Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Disember 12, 2017

Benua Tua Melayu - Betulkah ia sumber peradaban dunia?

Salam semua. Sekarang tentang buku lagi satu. Bersambung daripada artikel  Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?.




Pada hari yang sama  Jumaat 24 November 2017 saya meletakkan gambar atas berupa tajuk buku di Facebook berserta teks berikut :-


--------------


Salam semua. Semoga sihat sejahtera. Merujuk kepada update saya sebelum ini tentang satu buku bertajuk "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu". Sebenarnya saya bercadang untuk menerbitkan ia secara berkembar bersama sebuah lagi buku. Oleh itu apa pula pendapat kawan2 tentang tajuk yang kelihatan di bawah? Apakah yang terbit atau tercetus dalam fikiran?


--------------


Maklum balas yang diterima.... rata-rata mengatakan tajuk ini cantik dan menarik.



Sudah disebut pada penghujung artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?. bahawa buku ini memanjangkan lagi cara pemikiran yang dipertontonkan dalam buku Nabi Adam. Biar ditambah, jika buku Nabi Adam ada menceritakan tentang majlis-majlis ilmu dan pembentangan yang membentuk isi buku, sambungannya iaitu buku ini pula mendapat pengisian awal akibat mengkaji dakwaan seorang penulis Indonesia bahawa Candi Borobudur di Jawa Timur adalah peninggalan Nabi Sulaiman AS.




Lalu dipanjangkan kajian saya sendiri tentang dakwaan tersebut baik berdasarkan buku berkenaan mahupun lawatan lapangan ke Borobudur. Daripada situ ulasan, pemerhatian dan kajian dikembangkan lagi untuk menunjukkan keistimewaan kedudukan geografi Alam Melayu di Asia Tenggara. Sesungguhnya ada kajian-kajian daripada sarjana Barat sendiri menyatakan memang bumi sini sangat istimewa dalam sejarah manusia. Dikaitkan pula dengan cerita-cerita berdasarkan kitab termasuk tempat turunnya Nabi Adam AS setelah dikeluarkan dari syurga bertambah-tambah lagilah keistimewaan Alam Melayu yang suatu masa dahulu pernah berdiri di atas tanah besar yang dikenali pengkaji sebagai Benua Sunda.





Daripada situ dapat disusuri pergerakan manusia sejagat sehingga ke merata ceruk rantau dunia terutama orang Melayu, Maka baru betul-betul dapat dipanjangkan pemikiran daripada buku "Nabi Adam AS dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" (mungkin ditukar tajuk bergantung pada ilham dan saranan yang tiba). Jika buku tersebut cuba menyelaraskan fakta kewujudan manusia berdasarkan sains berbanding kitab menggunakan satu formula matematik yang mengambil kira hakikat daripada hadis Nabi Muhammad SAW bahawa hari menjadi semakin pendek semakin kita menghampiri kiamat buku ini pula memanjangkan kesan atau implikasi daripada kira-kira. Maka peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah dunia, kemunculan tamadun-tamadun dan sebagainya pun diatur balik berdasarkan kira-kira. Semuanya diletak kembali dalam konteks 25 nabi dan rasul yang wajib orang Islam ketahui.

Seperti buku Nabi Adam, buku ini juga dibuat dengan pada saiz 6.36 x 9 inci dan 304 muka surat. Tetapi pada penghujung artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya? ada disebut bahawa baru pagi tadi saya disarankan untuk mengubah saiz dan muka surat supaya lebih jimat dan ekonomi kos percetakan. Saya disarankan agar mengubah saiz kepada 6 x 9 inci dan muka surat jadi 320. Ini untuk mengambil kesempatan atas sistem lipat kertas 32 muka surat (orang dalam bidang faham le) sedangkan selama ini saya ingat cuma ada sistem lipat kertas 16 muka surat.

Insyaallah ini akan dilakukan selepas kembali daripada perjalanan jauh seperti disebut dalam artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017. Selain itu kedua-dua buku belum mendapat reka bentuk kulit yang sesuai. Oh, merujuk pada gambar paling atas tadi, tentang teks berkenaan di FB. Lagi satu maklum balas utama yang diterima adalah membuka pre-order atau tempahan awal untuk buku. Elok tempahan dibayar awal oleh mereka yang berminat, dengan itu saya boleh mendapat bayangan baik berapa banyak bukukah yang perlu dicetak selain mendapatkan modal untuk percetakan. 

Dengan ini cukuplah saya berkongsi tentang buku. Doakan ia iaitu kedua-dua tajuk buku berjaya mencapai matlamat, selamat dan lancar penerbitannya seperti mana harus juga selamat, lancar, mencapai matlamat malah mendapat berkat dunia dan akhirat perjalanan jauh yang akan dimulakan sedikit masa sahaja lagi. Amin. :]



Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?

Rasanya saya belum pernah memberitahu pembaca di blogspot ini tentang satu projek buku yang dimulakan Mac tahun lepas lalu siap manuskrip pertama hampir setahun kemudian. Sekarang biar diceritakan sedikit tentangnya. Ini boleh dikira menyambung lagi gerak yang berkaitan daripada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017.



Pada hari Jumaat 24 November 2017 iaitu hampir 3 minggu lalu saya telah meletakkan gambar atas berupa tajuk buku di Facebook berserta teks berikut :-


---------- 


Salam tengah hari Jumaat 5 Rabiul Awal 1439 Hijriah. Nak tanya kawan2. Apa yang anda nampak atau fikirkan bila melihat tajuk ini pada buku? Apa anda harapkan? Apa maklum balas?


---------- 


Hasilnya saya mendapat sejumlah maklum balas berkenaan.. Biar dicopy paste beberapa yang terpilih tanpa menyatakan siapakah yang memberikan komen...


Sejarah yang detail dari zaman Nabi Adam hingga wujudnya bangsa Melayu. Perbandingan (secara ringkas) antara kajian2 ilmuan Islam dan ilmuan barat....


Yg dlm fikiran saya bangsa melayu adalah bangsa tertua.


Mendalam dan kena banyak kajian. Terutama kepada penulisan melayu lama yang banyak kiasan dan makna tersembunyi


Ada juga yang musykil kenapa Nabi Adam dan bangsa Melayu ditulis seolah seperti wujud pada zaman yang sama. Ada pula menyoalkan bagaimana datang hal Melayu 60,000 tahun lalu sedangkan menurut kiraan ulamak  seperti Profesor Dr Hamka umur manusia daripada zaman Nabi Adam sampai sekarang lebih kurang 7 hingga 8 ribu tahun sahaja. 




Ada juga beberapa orang yang menyatakan keingina untuk membeli buku. Apa pun percayalah jawabannya ada dalam buku.Hari ini, memandangkan saya akan membuat perjalanan jauh tidak lama lagi biar diberikan bayangan isi buku. Biar ditunjukkan tajuk-tajuk bab dan tajuk-tajuk kecil atau sub-topik dalam setiap bab. Sesungguhnya apa yang dikongsikan dalam buku ini adalah berdasarkan pemikiran berserta maklum balas yang diperolehi daripada sejumlah cendekiawan dalam majlis-majlis ilmu di pelbagai menara gading dan institusi setaraf awal tahun 2011. Cerita tentang majlis-majlis ini berserta sedikit isi pembentangan ada dikongsikan dalam buku agar jelas rentetan pemikiran yang membawa kepada penulisan buku...




Secara rata saya cuba menyatukan sudut pandangan sains tentang kemunculan makhluk manusia berbanding sudut pandangan bersumberkan kitab. Bagaimana hendak diletakkan kemunculan makhluk berkaki dua serupa manusia sekarang yang disebut sains sebagai homo sapiens pertama kali muncul 209,000 tahun lalu sedangkan kira-kira berdasarkan kirab menyebut Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi tidak lebih 10,000 tahun lalu!




Saya mendapati penyelarasan boleh dibuat berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW bahawa semakin kita menghampiri hari kiamat semakin pendek masa yang berlalu pada setiap hari. Sebetulnya perkara ini telah saya utarakan beberapa kali kepada para cendekiawan di majlis-majlis ilmu.. Saya meminta mereka cuba mengambil kira hal masa semakin pendek ni. Tetapi mereka nampaknya tidak jelas bagaimana mahu menangani perkara. Maka berterusanlah pencapahan pemamahan tentang kewujudan manusia - mereka yang berpegang pada sains terus dengan apa yang dipelajari, mereka yang berpegang dengan kitab terus dengan apa yang diyakini. 

Setelah beberapa lama saya membuat keputusan untuk menangani sendiri hal ini. Berdasarkan fakta bersumberkan wahyu ilmu naqli saya membuat satu formula kira-kira matematik yang boleh menyelaraskan pencapahan sudut pandang. Harapan saya semoga dengan penjelasan dalam buku golongan cendekiawan akademik berdasarkan sains dan golongan agamawan berdasarkan kitab dapat duduk semeja membincangkan perkara. Betulkanlah apa yang kurang dalam buku saya. Yang penting dapat keputusan tuntas yang boleh dipegang oleh semua.



Ada pun manuskrip akhir buku ini yang lengkap reka letak teks dan gambar dapat saya siapkan  sepenuhnya sebulan atau dua bulan lalu. Saya pun dah lupa bilakah sebenarnya kerana selepas itu saya terus menyambung penulisan satu buku lain yang memanjangkan lagi pemikiran yang telah diperkenalkan dalam buku ini. Ia sudah cukup baik untuk dicetak. Cuma satu, saya belum ada modal dan kedua, belum dapat ilham yang baik untuk reka bentuk kulit buku. 

Yang kelihatan di atas ini cuma satu cadangan ringkas yang terbit secara spontan dalam fikiran . Warna pun belum nampak lagi nak pakai apa. Ia mungkin digunakan mungkin tidak. Mungkin  akan diletakkan keris bersilang di tengah. 

Untuk makluman buku ini saya letak bersaiz 6.36 inci (lebar) x 9 inci (tinggi). Ketebalannya 304 muka surat. Cuma pagi tadi saya dinasihatkan agar mengubah sedikit ini supaya lebih menjimatkan kos percetakan. Tentang hal tersebut akan saya ceritakan dalam artikel selepas ini, artikel tentang buku sambungan yang juga sudah siap manuskrip yang boleh dicetak. Tapi sama juga seperti buku ini, belum ada modal dan belum dapat ilham reka letak kulit buku.

Tajuk buku ini mungkin diubah menjadi "Orang Melayu Keturunan Adam Sebelum Adam?" Tapi ini cuma satu cadangan. Kalau ada tajuk lebih baik sila kemukakan. Sila juga berikan maklum balas berdasarkan apa yang anda dapat bayangkan tentang isi buku berdasarkan apa yang diceritakan dalam artikel ini ya. OK. Saya nak kena tulis tentang buku lagi satu pulak...



Isnin, Disember 11, 2017

Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017

Salam hari Isnin malam Selasa 23 Rabiulawal 1439 Hijriah. Menyambung gerak penulisan berkenaan daripada artikel Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki..... 



Jumaat lalu 8 Disember 2017 saya telah meletakkan peta atas di Facebook berserta teks berikut :-



JEJAK LANGKASUKA-SIAM LAMA-SRIVIJAYA

Salam semua. Insyaallah tidak lama lagi saya dan keluarga akan membuat perjalanan darat masuk ke selatan Thailand dari Rantau Panjang/Sungai Golok ke Narathiwat naik ke Patani ke Songkhla ke Nakhon Si Thammarat ke Surat Thani ke Chaiya ke Chumpon kemudian naik ke Bangkok sampai kota lama Ayuthia. Selepas itu kembali ke selatan singgah Segenting Kra, Ranong, Takuapa, Phuket, Krabi, Trang, Patthalung dan Hatyai sebelum balik Malaysia melalui sama ada Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam. Sila bagi cadangan tempat2 menarik bersejarah yang patut kami singgah. Kalau boleh bagi sekali maklumat sokongan dan lokasi tepat serta gambar2. Doakan perjalanan ini berjaya mencapai matlamat dan selamat sejahtera dunia akhirat. Terima kasih. Amin.

p/s :: Peta yang ditunjukkan adalah bayangan ringkas perjalanan dari Golok ke Bangkok. Jarak yang bakal diliputi harus lebih jauh kerana banyak tempat mahu disinggahi dalam perjalanan pergi balik sampai ke Bangkok/Ayuthia...




Adapun perjalanan tersebut telah difikirkan sejak awal tahun 2017. Ini berikutan perjalanan yang saya buat ke Patani bersama satu rombongan tanpa membawa keluarga lalu diikuti perjalanan solo ke Songkhla dan Hatyai sebelum kembali ke Malaysia singgah ke beberapa tempat. Lihat artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka - The compilation. Sejak itu isteri menyimpan hajat untuk bersama berjalan ke Patani dengan kenderaan kami sendiri. Cadangnya mahu dibawa sekali dua orang anak besar, anak isteri bersama suami terdahulu berserta dua orang anak kecil kami.




Tentunya paling utama kami mahu melihat tempat-tempat bersejarah di Patani. Apa yang disenaraikan dalam gambar atas adalah sedikit contoh...




Isteri juga mahu menurut laluan saya ke Songkhla dahulu. Dalam perjalanan itu saya dapat menziarahi makam ulamak besar Melayu, Sheikh Abdussamad Al-Falimbani tidak jauh dari simpang Patani-Hatyai-Songkhla.




Alang-alang dah rancang nak naik kenderaan sendiri biar pergi lebih jauh lagi sampai ke Nakhon Si Thammarat yang pernah menjadi pusat kerajaan Melayu Ligor. Sebelum itu ia pernah menjadi pusat kerajaan Sri Dharmaraja, sebelumnya Tambralingga...




Bila dilihat lagi peta biar sampai ke Surat Thani kemudian Chaiya. Difahamkan Chaiya yang berasal daripada perkataan Melayu Cahaya pernah menjadi pusat sebuah negara kota bernama Grahi. Di situ pernah ditemukan satu artifak berupa bukti bahawa kerajaan Srivijaya pada zaman pemerintahan Dinasti Mauli yang berpusat di selatan Sumatera abad ke-12 Masihi berkuasa sampai ke situ. Malah ada yang percaya Srivijaya sebenar bermula di situ!




Dari Chaiya dah cukup dekat dengan Segenting Kra, kawasan paling sempit di sepanjang Semenanjung Tanah Melayu. Oleh itu biarlah berjalan sampai ke Chumpon kemudian baru bergerak ke Segenting Kra yang disebut sebagai Kra Isthmus. Dari situ barulah turun kembali ke selatan melalui Ranong, Takuapa, singgah di Phuket kemudian Krabi, Trang, Phattalung dan Hatyai sebelum kembali ke Malaysia sama ada melalui Padang Besar di Perlis atau Bukit Kayu Hitam di Kedah. Begitulah rancangan kami suami isteri sejak sebulan dua kebelakangan. Difahamkan kerajaan Melayu Kedah sendiri pernah menguasai wilayah yang memanjang sampai ke Ranong sekitar abad ke-18 Masihi.





Kemudian apabila dilihat lagi peta lalu kelihatan Bangkok sudah tidak berapa jauh ditambah pula perjalanan ke situ dalam rancangan. Itu yang kemudian saya buat status di FB menunjukkan peta perjalanan dari Rantau Panjang ke Bangkok. Peta yang diperolehi melalui program Google Map itu meletakkan jarak perjalanan sebagai 1,190 km. 

Tapi itu adalah perjalanan terus. Kalau campur persinggahan di tempat-tempat yang dirancang seperi disebut tadi dah jadi 1,284 km. Campur perjalanan dari rumah di Sungai Buaya, Rawang (464 km kalau ikut Grik) dan lagi kami bercadang hendak ke kota lama Ayuthia ( Ayudhya) 78 km ke utara Bangkok perjalanan harus memakan jarak 2,000 km. Kembali ke rumah dan singgah di beberapa tempat dalam perjalanan harus makan lagi jarak 2,000 km. Dah jadi 4,000 km pergi balik tu!



Kalau ikutkan dari Bangkok dah tak berapa jauh untuk sampai ke Angkor Wat di Cambodia (Kemboja) cuma 400 km lebih sahaja lagi. Bila melihat peta dan jarak memang timbul rasa kuat hendak pergi, Bukan selalu dapat peluang begini. Ada pun seorang kawan isteri yang ikut sama pun teringin sangat nak pergi sampai ke sana.

Tapi pergi balik campur perjalanan pusing bandar kampung dah sebagainya kena tambah 1,000 km. Campur dengan 4,000 km tadi dah jadi 5,000 km. Kena fikir juga ketahanan kereta MPV keluarga yang akan kami gunakan untuk perjalanan ini. Tu yang dalam beberapa hari lalu saya kata tak boleh pergi le Angkor Wat. Cukup sampai ke Bangkok dan  Ayudhya sahaja...

Nak dijadikan cerita semalam semasa menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kawan di Gombak kami telah terjumpa seorang kawan lain yang agak sealiran. Isteri tergerak untuk mengajak bersama dalam perjalanan. Beliau terus bersetuju! Malah apabila dinyatakan agar memberi sumbangan untuk duit minyak beliau menawarkan diri untuk menaja sepenuhnya sekurang-kurangnya ketika berada di Thailand yang harga minyaknya lebih mahal di Malaysia. Apabila kawan isteri yang turut hadir di majlis menyatakan sangat berhasrat untuk sampai ke Angkor Wat beliau menambah kenapa tidak? Selain sedia menanggung kos minyak beliau sanggup menanggung kos maintenance atau penjagaan kereta...



Oleh itu diputuskan kami akan berjalan sampai ke Angkor Wat. Beginilah jarak perjalanan sampai ke sana sambil singgah ke tempat-tempat yang dirancang. Tapi itu perjalanan terus sambil lalu di tempat-tempat. Kalau dicampur perjalanan pusing bandar masuk kampung cari tempat-tempat  bersejarah, masjid, makam termasuk balik ke rumah harus mencapai 5,000 km! Tentang masa boleh adjust. Kalau asalnya saya bercadang selepas Patani mahu bermalam di Songkhla kemudian Nakhon Sri Tammarat ini boleh ditukarkan supaya kami sekadar singgah sebelum bermalam sama ada di Surat Thani, Chaiya atau Chumpon. Kemudian boleh terus bergerak ke Bangkok.

Dalam artikel Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki..... saya ada menyebut akan membuat perjalanan jauh darat lebih 4,000 km. Nampaknya saya harus mengubah kenyataan menjadi sekitar 5,000 km. Tentang tajuk artikel ini kenapa disebut "Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya"? Biar saya ringkaskan begini...

Sejak sekian lama saya percaya dengan jalan cerita kemunculan kerajaan-kerajaan lama yang diceritakan dalam kitab Hikayat Merong Mahawangsa. Daripada kemunculan kerajaan Langkasuka di kaki Gunung Jerai timbul kerajaan Kedah kemudian anak cucu yang naik jauh ke utara membina kerajaan Siam lama yang disebut hikayat sebagai Siam Lanchang. Saya percaya itulah yang membawa kepada kemunculan kerajaan atau empayar Funan yang terkenal dalam sejarah Asia Tenggara. Daripada situ ada keturunan yang turun di sekitar Chaiya untuk menerbitkan kerajaan Srivijaya awal sebelum ia berkembang untuk meliputi seluruh Semenanjanung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera juga lain-lain kawasan. Harapan saya semoga segala perkara ini dapat dijejaki dalam perjalanan lalu dibukakan hijab ilmu dan penglihatan agar dapat memahami keadaan dengan Ilmul Yaqin, Ainul Yakkin dan Haqqul Yakin, insyaallah. Doakan perjalanan kami lancar, selamat dan mencapai matlamat. Amin.



Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki...

Sukacita dimaklumkan tidak lama lagi saya dan keluarga akan membuat satu perjalanan jauh yang sangat menarik. Sebelum bercerita tentang rancangan perjalanan biar dilepaskan satu gerak berkaitan.



Adapun perjalanan jauh ini dijangka akan meliputi jarak lebih 4,000 km atas darat meliputi tiga buah negara dengan kereta sendiri. Agar anak-anak kecil kami Rasyid yang berumur 8 tahun dan Johan 5 tahun tidak merasa jemu kerana kami tidak mahu mereka bermain games di telefon bimbit lagi seperti kebiasaan kami biarkan bila berjalan jauh isteri mencadangkan agar diberikan kamera. Fikir isteri biar kamera saya yang sedia ada diserahkan kepada Rasyid, untuk saya pula dibelikan kamera baru.

Semalam dalam perjalanan kembali dari satu majlis perkahwinan saudara kami pun singgah di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk mencari kamera yang sesuai, tidak mahal tetapi cukup berkualiti dan elok hasil gambar. Apabila mendapati ada model yang sesuai dan setelah ditanya di beberapa tempat kami mendapat harga yang cukup baik, isteri pun membeli dua. Biar satu lagi dihadiahkan kepada seorang anak laki-laki besar yang tidak dapat ikut dalam perjalanan ini. Kebetulan beberapa bulan sebelum itu saya ada menghadiahkan sebuah kamera lama saya yang masih boleh dipakai, cuma rosak sedikit mekanisma fokus kepada anak tersebut. Dengan itu kamera lama itu pun diserahkan pula kepada anak bongsu, si Johan.

Hasilnya malam tadi Ahad malam Isnin 10 Disember 2017 saya mendapat kamera digital ke-9 setelah beberapa tahun rajin mengambil gambar lalu berkongsi cerita di blogspots. Bagaimana saya boleh tahu ia adalah yang ke-9? Kerana saya selalu mencatat cerita apabila mendapat kamera baru juga komputer laptop. Lihat artikel Kamera digital ke-7 memulakan peranan secara rasmi diikuti Kamera baru Sony dan semangat 46

Alang-alang dah sebut begitu baru teringat saya tidak pernah menyebut tentang satu komputer laptop Acer dengan processor I7 yang dibeli awal tahun ini. Sebelum itu saya ada menggunakan komputer Sony Vios I5 yang dibeli pertengahan tahun 2014 lalu bercerita tentangnya pada artikel bertajuk Hikmah laptop rosak. Maka biar hal komputer Acer itu disebut sepintas lalu. 

Berbalik kepada kamera digital semalam. Atas asbab perjalanan jauh akan datang maka saya kini memiliki kamera digital ke-9. Setiap 3 orang anak laki-laki saya juga memiliki sebuah kamera digital seorang satu. Sebagai mengakhiri artikel ini biar diletakkan pautan bagi 4 artikel terakhir di blogspot BERPETUALANG KE ACEH menggunakan gambar-gambar daripada kamera saya sebelum itu, kamera model Sony yang kini jadi milik Rasyid...