Salam pagi Jumaat. Setelah melalui satu cabaran tertentu baru saya dapat kembali menulis di blogspot. Cabaran apakah itu? Nanti akan diceritakan di sini. Ia ada kena mengena dengan satu majlis ilmu yang dihadiri 2 hari lalu...
Sebulan lalu saya menerima surat undangan untuk menjadi ahli bengkel satu majlis seperti yang kelihatan pada surat atas. Undangan dibuat oleh PADAT, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Saya pun menyatakan komitmen untuk hadir.
Sebelum menerima surat undangan rasmi saya telah dihubungi oleh seorang pegawai PADAT menyatakan mahu mengundang ke majlis. Disebutlah antara tujuan majlis adalah untuk memastikan kedudukan makam Raja Nala. Untuk pengetahuan tokoh ini adalah adinda kepada Sultan kedua Selangor, Sultan Ibrahim Shah (memerintah 1778 - 1826). Apabila kekandanya menaiki takhta beliau dijadikan Raja Muda Selangor. Menurut ceritanya beliau dihantar ke Aceh untuk menolong Sultan Aceh menyelesaikan suatu masalah. Raja Nala kemudian mangkat lalu dikebumikan di sana.
Saya pernah menziarahi makam yang mungkin menempatkan jasad almarhum Raja Nala. Saya sebut mungkin kerana belum ditahkik atau disahkan/dipastikan 100 peratus. Saya dapat tahu tentang kewujudan makam tersebut daripada kawan-kawan di Aceh. Sebelum itu ada seorang ahli kerabat diraja Selangor bertanya kepada saya jika tahu kedudukan makam Raja Nala memandangkan saya sudah beberapa kali ke Aceh. Saya tanya kawan-kawan di Aceh melalui Facebook lalu ditunjukkan makam yang mungkin milik almarhum. Lihat artikel
Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam raja-raja dari Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa makam lama yang ditulis tahun 2015.
Namun jawaban yang diterima adalah tiada siapa yang dikenali mereka dapat memberikan kepastian tentang makam. Pun begitu saya tetap menerima maklumat baru daripada mereka. Saya disarankan membaca buku yang kelihatan. Seorang kawan Aceh menunjukkan pada muka surat 80 buku ada cerita tentang kedatangan Raja Nala ke Aceh. Saya pun bergegas ke Perpustakaan Negara untuk mencari buku. Alhamdulillah ada lalu saya pinjam dan baca setiap muka surat.
Buku setebal hampir 360 muka surat ini dibuat berasaskan tesis Masters penulisnya Lee Kam Hing. Buku diterbitkan oleh Oxford University Press sedangkan tesis disiapkan tahun 1968 sebelum diperbaiki lagi tahun 1983. Ternyata begitu banyak maklumat berguna dapat ditemui membuat saya faham bagaimanakah keadaan sosio-politik dan geo-politik Kesultanan Aceh pada tempoh yang dikaji iaitu daripada tahun 1760-1824. Cerita tentang Raja Nala cuma disebut dalam satu perenggan sahaja iaitu pada muka surat 80 seperti disebut kawan dari Aceh.
Disebut dalam perenggan bahawa beliau dihantar oleh Sultan Ibrahim dengan 80 orang dan 16 buah kapal untuk membantu Sultan Aceh menangani masalah pembesar yang melawan di daerah Pedir pada bulan Jun tahun 1788. Beliau mangkat Ogos tahun itu ketika melakukan kempen (menundukkan pembesar yang tidak mahu tunduk kepada sultan).
Cerita Raja Nala pergi ke Aceh lalu mangkat di sana turut disebut dalam buku Sejarah Selangor tulisan Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1981. Cuma menurut buku ini beliau dihantar untuk membantu Sultan Aceh menentang orang Dusun sebelum mangkat tahun 1795.
Kira-kira 2 minggu lalu saya dapati majlis diwar-warkan melalui poster yang kelihatan di WhatsApp.
Diwar-warkan sekali atur cara penuh majlis...
Sampai waktunya pagi Rabu 10 April 2019 iaitu 2 hari lepas saya pun bergegas ke lokasi.
Cuma hendak dijadikan cerita entah kenapa saya tersilap menganggap ia mahu diadakan di Hotel De Palma Ampang sedangkan lokasi sebenar adalah di Hotel De Palma Shah Alam. Mungkin kerana itulah De Palma yang pertama sebelum muncul cawangan-cawangan lain. Dan saya pernah menetap di Ampang selama beberapa tahun.
Ini menyebabkan saya sanggup bermalam di rumah seorang kawan lama di Setiawangsa. Dari rumah saya di Sungai Buaya, Rawang ke De Palma Ampang jaraknya 50 km. Dah lah jauh, keluar waktu Subuh pun akan bertembung dengan kesesakan jalan raya yang panjang. Itu yang membuat saya bermalam di rumah kawan, 5 km ke De Palma.
Jam 8.30 baru meninggalkan rumah kerana hendak keluar saing dengan kawan pergi kerja. Dah dekat 2 km bergerak baru terasa hendak menyemak kembali alamat. Allah! Baru perasan majlis di De Palma Shah Alam. Ada 40 km nak kena kejar itu selain harus melepasi kesesakan jalan raya di beberapa tempat. Lebih mudah sebenarnya bergerak dari rumah saya di Rawang.
Pun begitu, alhamdulillah sempat juga sampai ke lokasi sebenar sekitar jam 9.30.
Walaupun majlis dikatakan bermula jam 9 itu adalah untuk pendaftaran. Ikut jadual ia mahu dibuka dengan doa selamat jam 9.30. Kemudian ada ucaptama oleh Ketua Pegawai Eksekutif PADAT Dato' Paiman Keromo jam 9.45. Itulah yang harus dikejar sebelum bermula sesi pembentangan kertas kerja jam 10.15.
Rupa-rupanya 'drama' tak habis lagi buat saya hari itu. Sebelum masuk ke ruang majlis saya ke tandas untuk melepaskan hajat. Gantunglah beg sandang yang mengandungi laptop atau komputer bimbit pada tempat gantung di pintu tandas. Tengok-tengok patah tempat gantung jatuh beg sehingga terhempas ke lantai. Selesai menunaikan hajat saya masuk ke ruang majlis.
Ketika gambar ini diambil sudah jam 10.05. Majlis masih menunggu hadirin lain memenuhi tempat.
Sambil menunggu saya mengeluarkan laptop. Allah. Patah dan pecah sudut di mana terdapat suis untuk hidupkan komputer. Terkeluar dua tiga wayar dan tercabut dua tiga benda. Terus tak boleh dihidupkan. Aduh. Walhal saya bercadang untuk menyiapkan sedikit lagi kerja-kerja penulisan buku baru apabila masuk waktu rehat.
Bayangkan perasaaan ketika itu. Komputer rosak tu satu hal. Banyak kerja nak kena siapkan. Dalam beberapa hari kebelakangan saya bersengkang mata untuk menyiapkan buku baru. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi yang dipersembahkan jam 4.35 petang Selasa. Selain itu ada kerja-kerja tesis. Jangan lupa juga saya memerlukan
laptop untuk menulis artikel di
blogspot.
Pada petang Selasa itulah, setelah mengambil anak-anak balik dari sekolah agama kemudian menghantar mereka mengaji Quran, setelah isteri kembali ke rumah dari tempat kerja baru saya keluar ke rumah kawan di Setiawangsa. Sepatutnya bila dah sampai rumah kawan jam 8 malam berehatlah sebab pagi esok nak ke majlis. Sebaliknya kawan ajak keluar berjumpa sejumlah kawan lama di Cheras. Balik dekat 12 malam pula susah hendak melelapkan mata walaupun penat kerana teringatkan penulisan buku. Buka lagi komputer atau menyambung kerja. Lalu sekali lagi seperti hari-hari sebelumnya dekat jam 4 pagi baru nak berehat...
Apapun itulah cerita saya pagi Rabu itu. Disebabkan menyangkakan majlis yang diberi nama "Bengkel Meja Bulat Menjejaki Raja Muda Nala" mahu diadakan di De Palma Ampang saya bermalam di rumah kawan lama di Setiawangsa. Kalau tidak kerana itu entah bila nak berjumpa kerana kami memang jarang berjumpa. Kali terakhir setahun lalu. Sebelum itu sudah beberapa tahun juga tidak bersua muka.
Atas asbab tersilap lokasi majlis itu juga saya dapat bertemu dengan sejumlah kawan lama yang sudah lebih 10 tahun, mungkin mencapai 14 tahun tidak ditemui. Selepas melalui kesesakan jalan raya untuk sampai ke lokasi sebenar di De Palma Shah Alam pula berlaku petaka kepada laptop. Nasib baik dapat reda dengan keadaan. Sebetulnya komputer yang rosak itu sudah lama mengalami masalah asyik hang atau sangkut walau sudah dihantar baiki ke kedai. Ada juga beberapa masalah lain yang menyebabkan saya sudah berkira-kira hendak membeli laptop lain. '
Cuma belum ada bajet dan selagi boleh sabar dahulu pakai. Kerosakan komputer menandakan nak tak nak sudah sampai masanya untuk menggantikannya dengan yang lain. Oh. Dah dekat nak masuk jam 10.06 baru ucaptama diberikan oleh Paiman dengan tajuk seperti kelihatan di atas...
Diberitahu tujuan majlis diadakan. Antara yang paling utama adalah menentukan kedudukan makam Raja Nala di Aceh...
Diceritakan sedikit tentang latar belakang Raja Muda Selangor itu dan kedudukan beliau dalam salasilah keluarga kerajaan...
Diceritakan juga tentang makam kekanda beliau Sultan Ibrahim di Kuala Selangor...
Kemudian baru ditunjukkan makam di Banda Aceh yang dipercayai adalah makam Raja Nala, makam yang pertama kali saya sampai tahun 2015...
Sesungguhnya ada cadangan untuk mencantikkan lagi makam. Diberitahu bahawa Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah bercadang untuk menziarahi makam.
Cuma perlu dibuat kepastian bahawa ia benar-benar makam Raja Nala. Takut nanti selepas diisytiharkan apa pihak menolak mengatakan ia makam tokoh lain. Perkara ini menurut Paiman pernah berlaku kepada makam di Tanjung Keling. Ia diisytiharkan oleh kerajaan negeri Melaka sebagai makam Hang Tuah ketika Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memegang jawatan Menteri Besar 1982 to 1994. Padahal ia dahulu cuma dikenali sebagai makam tua. Kemudian ada orang mendakwa itu makam seorang moyangnya yang berdarah India Muslim...
1 ulasan:
Nama nenek saya raja kalsom binti raja nala
Catat Ulasan