Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Ogos 29, 2007

Seorang tua tariqat di Langsa, Aceh...

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Kelmarin, 11 hari lepas, saya telah membuat posting ke 171 dalam blogspot ini, selepas menyiapkan posting ke 111 untuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH dan posting ke 55 untuk blogspot dwi-bahasa
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Susunan serta jumlah nombor-nombor yang menarik ini menyebabkan saya terasa ingin membiarkan blogspot-blogspot saya tidak di update buat suatu masa. Maklumlah, saya kan ada gila-gila nombor sedikit...
Adapun semalam, saya telah 'memecahkan' kesenyapan ini dengan membuat satu update baru untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH dengan sebuah artikel bertajuk Trip to Europe 1995... Getting classical (and Merdeka too) in Austria! Kebetulan artikel itu ada bercerita sedikit tentang 'sambutan' perayaan Merdeka tahun 1995 yang dibuat di Vienna, Austria. Maka silalah jenguk ya.
Memandangkan kesenyapan telah pun 'dipecahkan', oleh itu elok juga blogspot ini turut di update sama. Oleh itu terimalah, sebuah sedutan daripada Bab 10 buku terbaru yang sedang dalam proses penyuntingan. Ini dia preview pertama untuk umum daripada buku bertajuk "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III. Bacalah... Bacalah dengan nama Tuhan mu yang Maha Penyayang lagi Mengasihani... Insyaallah, jika tiada aral melintang, buku ini akan keluar sebelum tamat 2007. Doakan ia berjaya ya! :]

--------------------------

Rasyid melangkah masuk ke Masjid Raya Langsa lalu menunaikan solat sunat Dhuha. Entah mengapa, selesai sahaja berdoa meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam meneruskan perjalanannya, terbetik pula untuk menoleh ke belakang. Ternampaklah seorang tua yang agak tinggi lampai, putih kemerahan kulitnya sedang duduk seperti antara dua sujud lebih 10 saf di belakang. Ada suatu tarikan terpancar daripada kelibatnya...
Lama juga pemuda itu memerhatikannya, adalah dekat 15 minit. Hati kecilnya berkata dia mesti berjumpa orang tua itu. Tidak lama kemudian, orang itu bangun lalu mula berjalan bertongkat terbongkok-bongkok meninggalkan masjid. Rasyid terus bergegas mendapatkannya.
Sampai sahaja ke sisinya, anak muda itu memberi salam lalu bertanya: "Pakcik-pakcik… Pakcik hendak pergi ke mana ini?"
Orang tua itu menoleh perlahan memandangnya lalu tersenyum dan menjawab: "Tidak ada ke mana, cuma mahu ke warung minuman sahaja."
Rasyid memerhatikan rupa bentuk dan air mukanya. Nampak seperti orang yang ada amalan tinggi. Memandangkan dia memang sudah agak tua, jalan bertongkat terbongkok-bongkok dan amat perlahan pula, pemuda itupun menawarkan diri untuk menolong memapahnya sampai ke warung.
Setelah hampir melepasi kawasan masjid, orang itu bertanya: "Sudah solat Dhuha?" Rasyid jawab sudah. Kemudian terus berjalan memapah pakcik itu ke warung makan terdekat lebih kurang 100m daripada masjid.
Orang tua itu memesan secawan kopi dan sepinggan makanan tempatan, sudah lupa apa. Pemuda itu memesan makanan yang sama. Kemudian barulah mereka mengenalkan diri dan bercerita.
Orang tua berumur sekitar 90an ini memberitahu dia berasal daripada Temiang, berdekatan sempadan tempat Rasyid pernah ditahan askar dahulu. Katanya, dia selalu berulang-alik ke Langsa, juga ke Perlak yang terletak lebih kurang 40km ke utara, tidak ingat atas urusan apa.
Dalam sedar tak sedar, anak muda kelahiran Muar,Johor ini mengaku hendak ke Aceh untuk menyambung wasilah kerohanian. Mungkin kerana mengharapkan sedikit petunjuk daripada orang tua ini? Che Mat dan Abang Bakhtiar yang tidur menumpang di menara azan masjid telah mengingatkan akan terdapat banyak perhentian dan pos askar sepanjang perjalanan ini... Dapat sampai ke Langsa pun Alhamdulillah kerana buat masa ini tiada orang luar, orang bukan warga Indonesia dibenarkan masuk kecuali ada surat keizinan atau dokumen perjalanan daripada Jakarta.
Tidak lama kemudian, orang tua itu mengeluarkan duit untuk membayar harga makanan dan minuman. Pemuda itu beritahu tidak payah, biar dia sahaja yang bayar. Selesai itu, dia meminta Rasyid memapahnya menghala balik ke masjid. Anak muda itu menurut sahaja... Dalam perjalanan, orang tua itu tiba-tiba bertanya: "Kamu tahu Ayat Lima?".
Ayat Lima? Rasyid menjawab tidak tahu. Memang dia tidak pernah mendengar sebelum ini… Kata orang tua itu, ayat ini bagus untuk orang-orang yang suka berkelana, sebagai pelindung dalam perjalanan daripada musuh dan mara-bahaya. Pemuda itu mengaku tidak pernah tahu pun tentang kewujudan ayat ini. Lagipun memang dia jahil tentang banyak perkara... Orang tua itu kata tak apa. "Nanti kamu beli Majmuk Sharif."
Majmuk Sharif? Nama itupun dia belum pernah dengar sebelum ini. Terasa sangat dirinya bodoh. Ayat Lima tidak tahu, Majmuk Sharif pun tak pernah dengar. Habis tu camno? Rasyid pun bertanya apakah itu...
Pakcik itu tersenyum lalu memberitahu, Majmuk Sharif ialah sebuah kitab kecil yang mengandungi banyak ayat-ayat serta Surah-surah pilihan daripada Al Quran yang bagus dan berguna untuk keadaan-keadaan tertentu... Seperti Ayat Lima untuk berjalan jauh dan menghadapai musuh!
"Tidak mengapa nak," katanya lembut. "Sekejap lagi saya akan tunjuk di mana kamu boleh dapatkan kitab Majmuk Sharif."
Setelah hampir beberapa tapak ke kawasan masjid, orang tua itu menuding jari ke arah sebuah gerai yang menjual kitab-kitab agama, betul-betul di luar pintu pagar tempat mereka keluar tadi. Ait? Tadi pemuda itu tidak perasan pun ada gerai dekat situ. Agaknya sebab dia tidak cukup ambil perhatian akan apa yang berlaku di sekelilingnya? Allah! Gerai buku yang terletak betul-betul di luar pintu kawasan masjid pun boleh tak sedar ada?
"Ambil yang itu," dia memberikan arahan sambil menuding ke arah kitab kecil berwarna hijau gelap dengan tulisan jawi di kulitnya, besar sedikit daripada tapak tangan. Rupa-rupanya terdapat beberapa edisi kitab Majmuk Sharif di situ, kalau tidak salah ingatan, tiga atau empat jenis, ada yang menggunakan tulisan Rumi, ada yang bercampur dengan Jawi...
Pakcik itu sengaja menyuruh Rasyid membeli kitab yang terkecil, yang isinya semua tulisan Jawi, langsung tiada Rumi. Kemudian dia mengajak pemuda itu duduk di atas pangkin kayu berdekatan lalu meminta kitab Majmuk Sharif yang dibelinya itu. Orang tua itupun membukanya untuk mencari Ayat Lima. Dia masih ingat lagi mukasuratnya, iaitu 91.
Setelah terjumpa ayat yang dimaksudkan, pakcik itu meminta sebatang pen lalu menandakan awal dan akhir ayat itu yang merupakan gabungan ayat-ayat tertentu daripada empat Surah Al-Quran yang berturutan dicampur sepotong ayat daripada Surah Al Ra’ad. Maka itu juga ayat-ayat ini dikenali sesetengah orang sebagai Ayat Empat. Ayat itu bermula begini:

Alam tara ilal mala’i min bani Israila min baqdi Musa iz qala linabiyyil lahumub ‘as lana malikan nuqotil fi sabilillah.

Orang tua itu menuding jari pada perkataan di penghujung ayat itu, lalu berkata: "Fi sabilillah" sama seperti bahagian yang tertulis. Dia menoleh ke arah muka Rasyid kemudian menunjukkan satu lagi bahagian dalam ayat seterusnya yang mengandungi perkataan "Fi sabilillah."
"Lihat maksudnya… Keluar ke jalan Allah, insyaallah kita selamat! Musuh tidak nampak, semua sekatan akan lepas." Kemudian menunjukkan bahagian akhir Ayat Lima itu, perkataan dalam kurungan yang berbunyi:

Qayyumu yarzuku maiyasha ‘ul quwwah.

"Quwwah, maknanya kuat. Kukuh!" dia menambah. Rasyid pun disuruh membaca kuat faedah Ayat Lima yang tertulis sebelum permulaan ayat. Bunyinya: "... tiada dibaca oleh seseorang pada muka seterunya melainkan menang dan keras dan tiada dibaca pada hadapan orang yang takut akan kejahatannya melainkan daripada akan dia (ditolong) oleh Allah Ta’ala akan kejahatannya dan tiada dibaca pada hadapan orang yang merampas di jalan atau binatang yang buas-buas atau orang yang aniaya atau yang jahat melainkan daripada Allah Ta’ala (diselamatkan) akan yang membaca akan dia daripada kejahatan mereka itu..."
"Hafal ayat ini," kata pakcik itu. "Saya sudah hafal. Senang! Setiap kali hendak berjalan jauh, baca. Jumpa musuh baca, hembuskan ke mukanya."
Kemudian dia menyuruh pemuda itu menyalin potongan ayat dan zikir yang disebutnya. Katanya untuk diamalkan harian dalam hidup... Dinukilkan di dalam ruangan kosong di dalam kitab Majmuk Sharif itu.
Rasyid pun menurut dalam keadaan merangkak-rangkak menulis Jawi. Maklumlahlah, sudah lama tidak menulis Jawi, akhir sekali semasa di darjah lima sekolah agama kerajaan Johor, 22 tahun yang lampau!
Melihatkan Rasyid asyik tersekat-sekat menulis dalam Jawi, pakcik itu mengambil pen daripada tangan pemuda itu lalu menulis sendiri... Siap dengan gambarajah seorang manusia bersongkok dengan hatinya tertera nama Allah. Pada akhir ayat-ayat yang diberi, tercatit sepotong doa yang berbunyi: "Ya Allah, lepaskan aku daripada gangguan jin dan manusia yang jahat-jahat yang dengki kepadaku. Kuserahkan kepada Allah."
"Amalkan ini setiap malam," katanya memberikan panduan. "Kemudian baca Surah Ya Sin sampai habis sebelum tidur."
Selepas itu dia memberi dua pesanan. Satu, potong rambut sehingga pendek sampai ke telinga sepertinya. Jangan di simpan panjang lagi... Semasa itu, rambut Rasyid panjang melepasi bahu, adalah lebih setahun tidak dipotongnya.... Kurang terurus pula, nampak berserabut seperti orang gila pun ada… Kedua orang tua itu menyuruhnya berbai’at dan mengambil ijazah Tariqat Naqshabandiah daripada khalifah di Kampung Babussalam, Tanjung Pura, kampung kerohanian yang pernah dilawatinya 10 hari lalu.
Rasyid termenung panjang memikirnya... Apakah perlu menurut pesanan orang tua itu? Pemuda ini sudah lama menyimpan hasrat untuk menyimpan balik rambut panjang kerana terasa lebih selesa begitu. Akhir sekali dia memiliki rambut melepasi bahu adalah semasa menuntut di London, adalah dekat 10 tahun lalu. Sayang juga hendak dipotong, terasa berat untuk dilaksanakan… Kedua, anak muda yang sudah lama bergelumang dalam dunia Tasawuf ini pernah menziarahi Kampung Babussalam. Pada pandangannya, kampung kerohanian yang namanya tersebar luas di Sumatera malah lebih jauh ke Malaysia terutama di kalangan sesetengah ahli jemaah agama bukanlah tempat yang terbaik untuknya menyambung wasilah kerohanian...
Pada Rasyid, kampung itu sudah kurang kejujurannya kerana diresapi banyak unsur-unsur materialistik dan keduniaan disebabkan harta, nama dan duit. Lagipun dia memang ada mengikuti majlis zikir Naqshabandiah di Malaysia tetapi di bawah naungan seorang pemimpin antarabangsa, Maulana Sheikh Nazim yang berasal daripada Cyprus di benua Eropah.
Sebenarnya, Tariqat Naqshabandiah ini banyak pecahannya. Di Malaysia sendiri, ada aliran yang dikira tua kerana banyak mengamalkan kaedah suluk ataupun zikir menyendiri, ada pula yang dikira ‘moden’ seperti kumpulan yang dipimpin khalifah Sheikh Nazim di Timur, Raja Ashman Shah anakanda Sultan Perak sekarang, Sultan Azlan Shah.
Sekali-sekala, Rasyid akan mengikuti majlis zikir bersama kumpulan ini yang diadakan setiap malam Jumaat di sebuah bungalow di kawasan mewah Bukit Damansara. Ada masanya, anak kelahiran Muar, Johor ini juga ikut menghadiri majlis-majlis kumpulan di tempat-tempat lain terutama di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang. Tetapi dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai ahli Tariqat Naqsyabandiah atau ahli mana-mana kumpulan tariqat. Pada anak muda ini, dia sekadar menumpang berzikir dan beribadat sepertimana dia sering beriktikaf daripada masjid ke masjid lalu bergaul dengan ahli berbagai-bagai kumpulan dakwah.
Berbalik pada apa yang berlaku di Aceh.. Atas sebab-sebab peribadi yang bersangkut-paut dengan asal-usul serta nasab keluarga, pemuda itu mahu mencari guru mursyid yang membawa Tariqat Shadziliah atau Tariqat Qadiriah cara lama, kedua-duanya diasaskan oleh anak cucu keturunan Saidina Hassan hampir 1,000 tahun lalu. Malangnya susah hendak berjumpa pengamal Shadziliah di sebelah Timur ini kerana Tariqat yang diasaskan oleh Imam Abul Hassan as Shadzili di Afrika Utara itu memang tersebar luas di sana tetapi kurang dikenali di bumi sebelah sini.
Untuk makluman, salah seorang pengamal dan pembawa Tariqat ini ke Nusantara ialah Tok Pulau Manis, seorang ulamak berketurunan Saidina Hassan yang dikenali sebagai seorang Wali besar di Terengganu abad ke 17 Masihi. Itupun, catatan rasmi menyatakan beliau sebagai seorang pengamal Tariqat Syattariah. Untuk mengetahui lebih lanjut, bacalah bab: "Tok Pulau Manis, batu bersurat dan beberapa warisan Aceh"
Tariqat Qadiriah yang berasal dari Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al Jilani di Baghdad pula ramai pengikutnya di bumi Nusantara ini. Malah kebanyakan Wali-wali di Aceh seperti Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai, juga Sultan-Sultan Aceh seperti Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid al Mukammil dan nendanya Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam diketahui mendokong dan mengamalkannya. Tetapi kebanyakan pecahan Tariqat Qadiriah yang masih wujud hari ini diketahui telah bercampur-baur dengan kaedah-kaedah kerohanian yang lain oleh guru-guru dan para khalifah yang kemudian atas nama peredaran zaman. Maka itu, Rasyid berhasrat untuk mencari seorang khalifah di bumi Serambi Mekah yang boleh mengajar dan mengijazahkannya zikir-zikir serta amalan Tariqat Qadiriah cara lama seperti yang pernah diterima Wali-wali dan Sultan-sultan Aceh dahulukala.
Pemuda itupun menyatakan apa yang terbuku di hati... Dia berterus-terang akan hasratnya untuk mencari seorang guru Tariqat Qadiriah cara lama. Tetapi orang tua di Langsa itu tetap mahukan Rasyid mengambil Tariqat Naqshabandiah di Babussalam. "Banyak faedah Tariqat Naqshabandiah ini melebihi Tariqat-Tariqat lain," katanya yakin.
Anak muda itu menolak dengan baik sambil menegaskan bahawa dia masih ingin mencuba mencari seorang guru mursyid tariqat Qadiriah di Aceh, kalau boleh yang mempunyai hubungan darah dan nasab dengan Sultan-Sultan dan Wali-wali tertentu. Melihatkan tekadnya, orang tua itu akhirnya akur. Lalu sampailah masanya untuk meminta diri.
Semasa hendak berpisah, barulah orang tua itu memberitahu namanya lalu mencatitkannya berserta alamat rumah di dalam kitab Majmuk Sharif yang dibeli tadi. Rupa-rupanya dia seorang khalifah Naqsyabandiah juga! Patutlah dia beriya-iya benar mahukan Rasyid berbai’ah menyatakan tata setia dengan khalifah utama di Kampung Babussalam. Maklumlah, dia sendiri mendapat ijazah tariqatnya daripada situ...
"Bila-bila nanti datanglah ziarah," dia menjemput lalu melangkah pergi.