Alhamdulillah, komputer di sebuah Cyber- Cafe di Dungun yang sedang digunakan ini tidak bermasalah sepertimana komputer semalam di Kemaman ketika membuat
posting bertajuk
Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! . Maka cerita pun dapat disambung dengan lebih selesa melalui
posting baru dan terbaru ini, yang menyerlahkan baki gambar-gambar dalam
posting semalam yang belum sempat dihuraikan... Dan Insyaallah, cerita ini juga dapat disambung dengan satu kisah mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu, sebuah mimpi lama yang rasanya ingin menyatakan sesuatu tentang Jalan Penarikan... (Dan kemudian timbul cerita hantu Siam pula...) Silakan! :]
Semalam, saya sempat menerangkan tentang apa itu Jalan Penarikan serta Sungai Pertemuan dengan menggunakan sedutan berkenaan daripada
website http://bahau.com.my/ . Maka biar saya ceritakan mengenai sebuah mimpi yang berlaku lama dahulu, tidak pasti bila tetapi ia memang berlaku lebih 10 tahun lalu... Di ketika saya masih belum tergerak untuk mencari salasilah dan wasilah keluarga, belum lagi berminat untuk mengkaji sejarah bangsa Melayu dan Islam lalu belum lagi tahu langsung dan tidak pernah mendengar tentang kewujudan sebuah tempat yang dinamakan Jalan Penarikan.
Hmm... Elok juga jika cerita mimpi lebih 10 tahun ini dihuraikan seraya diselang-selikan dengan pengamalan nyata menyusuri Jalan Penarikan yang dibuat pagi Jumaat lalu ya... Sebelum itu, perhatikan gambar makam di bawah ini...
Oh... Lupa pula... Di atas ialah gambar pintu gerbang masuk ke Kampung Jambu Lapan. Saya pun berjalan melepasinya... Sekitar 500 meter kemudian, sampailah ke kawasan pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol...
Sebelum sampai ke kawasan yang juga dikenali sebagai Sungai Pertemuan ini, kelihatan sebuah makam tunggal yang agak menonjol di sebelah pintu masuk kawasan...
Tertera nama pemiliknya yang dikatakan seorang ulamak dan panglima, dikenali dengan nama Shah Pedang... Tetapi penduduk sini memanggilnya sebagai Datuk Sempedang...
Katanya, Datuk Sempedang telah mengetuai kedatangan 9 buah keluarga daripada Pasai (dalam wilayah Aceh sekarang) untuk membuka penempatan baru di kawasan ini, sebelum kemunculan keSultanan Melaka lagi... Lalu mereka dikatakan sebagai kelompok pertama yang tahu tentang kewujudan Jalan Penarikan yang boleh memotong perjalanan daripada Pantai Barat Semenanjung ke Pantai Timur dan sebaliknya... Dan mereka juga memperkenalkannya kepada para pedagang Arab yang sering datang ke Melaka sehingga laluan ini jadi terkenal zaman-berzaman. Ini sedikit cerita tentangnya, diambil daripada
http://bahau.com.my/
Terdapat juga beberapa misteri yang terjadi di kawasan ini. Datuk Sempedang yang mengetuai rombongan orang-orang Pasai sewaktu tiba di tempat ini adalah seorang yang warak. Sewaktu Datuk Sempedang meninggal dunia, dia dikebumikan di kawasan Sg Pertemuan. Sewaktu banjir besar yang terjadi pada tahun 1971, kawasan kubur ini dikatakan tidak lansung dimasuki air sedangkan ianya terletak berhampiran kawasan sungai. Penduduk di kawasan ini mengatakan tiada lansung kesan air mahupun sampah-sarap yang kelihatan. Perkara ini turut disaksikan oleh Wakil Rakyat pada waktu itu iaitu Tuan Haji Khatib dan juga guru Sekolah Menengah Rendah Jempol Tuan Hj Ismail. Selepas habis cerita mengenai banjir tersebut, terdapat satu projek mengambil pasir di kuala Sungai Jempol. Untuk menjayakan projek itu, mereka terpaksa lalu di atas kubur Datuk Sempedang. Namun begitu perjalanan mereka sering mengalami masalah sebaik sahaja mereka memasuki kawasan kubur tersebut. Pada awalnya enjin bulldozer tersebut tiba-tiba sahaja mati. Sebaik sahaja ia berjaya dihidupkan, bulldozer tersebut tidak bergerak, malahan ia bagaikan terbenam di dalam tanah. Kemudiannya sebuah lori penarik dihantar untuk menarik bulldozer tersebut. Namun begitu nasib lori tersebut juga sama seperti bulldozer tersebut. Lori itu bukan sahaja tidak mampu menarik bulldozer tersebut, malahan ia juga tidak mampu bergerak. Akhirnya mereka terpaksa membatalkan projek tersebut dan tidak pernah datang lagi ke tempat tersebut. Perkara ini diceritakan sendiri oleh pemandu bulldozer tersebut yang berbangsa Cina. Tidak lama kemudian kerajaan telah membina sebuah pam air berhampiran kawasan kubur itu hinggalah sekarang.
Untuk melihat banyak lagi gambar berkaitan pertemuan Sungai Muar dan Sungai Jempol yang penuh dengan sejarahnya yang tersendiri, silalah klik
Where Muar river meets Jempol in Negeri Sembilan... ya! Untuk mendapat lagi gambaran akan betapa pentingnya laluan ini dalam sejarah Melayu lama, biar saya
copy and paste sedutan ini pula daripada
http://bahau.com.my/
Jalan Penarikan juga pernah menyaksikan pelbagai peristiwa menarik antaranya ialah kisah Hang Tuah yang melarikan Tun Teja Ratna Benggala iaitu anak bendahara Pahang yang telahpun bertunang dengan Megat Panji Alam, anak raja Terengganu. Selain itu sewaktu penjajahan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mansur Shah telah membawa kerabat di raja menggunakan jalan ini untuk melarikan diri ke Pahang. Dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka, maka berakhirlah empayar dan juga kegemilangan kesultanan Melaka.
OK. Nampaknya ada sedikit kesilapan fakta pada sedutan. Sultan Melaka yang membawa kerabat ke Pahang itu sepatutnya ditulis Sultan Mahmud Shah, bukan Sultan Mansur Shah. Tapi tak mengapa le. Yang penting faham cerita, faham pentingnya kedudukan Jalan Penarikan sebagai jalan perhubungan timur dan barat Semenanjung...
Setelah puas melihat kawasan pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol daripada setiap sudut yang dapat, baru saya berjalan kaki untuk menyusuri Sungai Jempol pula... Supaya dapat menemukan Jalan Penarikan di mana ia akan menemui Sungai Serting. Untuk itu, saya perlu melalui kawasan ladang kelapa sawit yang kelihatan dalam gambar atas. Di sebelah kanan, luar daripada gambar berliku Sungai Jempol menghala ke utara iaitu arah saya menghadap. Maka di sini, bolehlah dimulakan cerita tentang mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu...
Jambatan menyeberangi Sungai Jempol di jalan utama Kuala Pilah ke Bahau...
Adapun sepanjang hidup, saya telah berpuluh kali bermimpi melihat Sungai Muar atau sungai besar serupa Sungai Muar di bahagian kuala... Mungkin kerana saya membesar di kawasan itu? Pada satu malam, saya bermimpi menaiki perahu seorang diri menghulu Sungai Muar... Daripada kawasan kuala yang melebar sehingga 1km, saya melepasi kawasan dekat bandar Muar di mana sungainya lebar sekitar 300 meter dan mula masuk kawasan berliku tetapi sungai masih lebar sekitar itu sehingga beberapa ketika... Sampai satu masa, sungai itu semakin mengecil dan saya semakin jauh ke hulu... Perjalanan menghulu sungai mula membawa kepada kawasan hutan tebal... Ada bahagian sungai yang kelihatan berjeram...
Daripada jambatan menyeberangi Sungai Jempol tadi boleh kelihatan masjid utama di sekitar ini... Di masjid itulah saya menginap seorang diri malam Jumaat itu...
Apa hendak dihairankan? Sedangkan malam itu sendiri saya sudah masuk seorang diri jauh ke dalam Kampung Jambu Lapan kerana tidak sabar mahu melihat pertemuan Sungai Muar dan Sungai Jempol. Apa nak buat, saya sampai di sini daripada Seremban selepas jam 8 malam... Makan malam di sebuah kedai kemudian mandi dan bersolat di masjid ini dan pada awalnya berfikir mahu berehat sahaja kerana badan kurang sihat, lagi penat akibat pengembaraan yang turut memerlukan banyak jalan kaki... Tetapi ternyata, saya tidak boleh duduk diam, lalu sanggup berjalan hampir jam 10 malam untuk mencari kawasan pertemuan sungai.
Di kawasan pertemuan itu, terjumpa 2 orang warga tempatan sedang memancing ikan. Kami pun berkenalan dan apabila mendapat tahu saya berminat tentang sejarah tempatan, seorang daripada mereka telah menalifon ketua kampung agar datang ke situ lalu membuka cerita!
Banyak juga cerita yang saya dapat, cerita yang menunjukkan sejarah Negeri Sembilan yang jauh lebih awal daripada diketahui umum... Kerana umum sering disogokkan dengan sejarah berkaitan Adat Minang dan Pagar-Ruyung akibat kerabat diraja yang memerintah berasal daripada Tanah Minang sejak abad ke 18 Masihi... Sedangkan menurutnya, cerita Datuk Sempedang dan orang-orang daripada Pasai berlaku sekitar abad ke 10 hingga 12 Masihi, sekurang-kurangnya 600 tahun lebih awal daripada penglibatan Pagar Ruyung di sini!
Pada malam itu juga, sekitar jam 1 pagi, pada malam Jumaat, saya berjalan seorang diri melepasi Istana Serting untuk masuk ke kawasan perumahan bersebelahan semata-mata untuk melihat Sungai Serting! Di hadapan istana, terdapat sebuah tanah perkuburan yang sederhana besar. Selepas melihat Sungai Serting, sekali lagi saya berjalan melepasi tanah perkuburan untuk melihat apa yang ada di jalan menghala ke Batu Kikir... Setelah puas berjalan, adalah juga 1-2 km melepasi istana, saya berpatah-balik untuk kembali ke masjid melalui tanah perkuburan...
Sebaik mendekati tanah perkuburan, saya ternampak seorang lelaki berseluar jingga (dalam cahaya samar-samar lampu di jalanan, saya rasa seluarnya berwarna jingga) tanpa baju duduk seorang diri di pondok hadapan tanah perkuburan... Tersentak juga saya tetapi saya menolak tepi apa-apa rasa yang bukan-bukan... Kalau bukan manusia pun, saya bukannya hendak mengacau atau mencari gaduh... Maka itu sebaik sahaja sampai ke pondok, saya pun memberikan salam...
Sungai Jempol boleh kelihatan terang daripada tepian kawasan dalam masjid...
Saya memberikan salam kepada lelaki berseluar jingga tanpa baju yang duduk di dalam pondok tanpa dinding di hadapan tanah perkuburan... Lelaki itu tidak menjawab, sekadar memandang saya dengan muka yang kurang senang... Kemudian dia bercakap seorang diri dalam satu bahasa yang saya langsung tidak faham... Orang gila ke hapa dia ni? Ah... Biarkanlah, asalkan bahagia...
Saya pun meneruskan perjalanan ke masjid. Kita lupakan seketika tentang lelaki ini, kita sambung kembali kepada cerita mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu...
Daripada tepian masjid, ingin sahaja saya menyusuri Sungai Jempol terus sehingga ke mana-mana tempat yang patut. Tetapi jalan terdekat sungai di belakang masjid terhalang kerana di pagari kawasan tanah orang. Terpaksalah saya lalu jalan terdekat yang tidak ditutup iaitu melalui kawasan perumahan di belakang masjid ini...
Kemudian baru saya berjalan kembali menghampiri sungai, masuk pula ke kawasan kampung ini...
Oh, tentang mimpi... Tadi saya telah memberitahu bahawa dalam mimpi itu, saya telah menyusuri Sungai Muar sehingga sampai ke bahagian hulu yang berjeram. Aliran sungai semakin mengecil tetapi cukup luas untuk sebuah kapal kecil lalu... Sampan masuk ke kawasan hutan yang semakin menebal... Tiba-tiba terasa ia ditarik laju menaiki kawasan tanah yang sedikit meninggi... Ah... Apa ini?
Inilah kawasan perkuburan yang diceritakan tadi... Kelihatan di latar-belakang ialah pagar putih panjang menandakan kawasan Istana Serting milik kerabat diraja Negeri Sembilan, istana yang dahulunya digunakan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Yam Tuan untuk memerintah negeri, kini cuma berperanan sebagai istana hinggap kerabat diraja sahaja!
Saya terus berjalan melepasi kawasan kampung di kiri dan tanah perkuburan di kanan... Kelihatan satu sudut pagar istana bertemu dengan kawasan ladang kelapa sawit. Timbul rasa hati bahawa Jalan Penarikan itu melalui kawasan di tepian pagar bersebelahan ladang ini. Tetapi kelihatan jalan di hadapan sana sangat bersemak apabila dilihat lebih dekat... Lalu saya membuat keputusan mengambil jalan tar ke kiri iaitu jalan ke Batu Kikir... Untuk memastikan di manakah sebenarnya kedudukan Jalan Penarikan yang menyambungkan Sungai Jempol ( ada dalam 50 meter di kiri gambar) dengan Sungai Serting yang saya tahu terletak di belakang istana ini...
Saya berjalan menghala ke Batu Kikir sehingga melepasi sekolah ini malah ke hadapan lagi. Hampir 2km meninggalkan Istana Serting tadi, baru saya terjumpa orang tempatan yang dapat memberikan kepastian... Katanya, memang Jalan Penarikan itu terletak di tepian istana tadi...
Allah! Berpatah-baliklah saya dalam kepanasan terik masa itu, rasanya hampir jam 10 pagi ketika matahari semakin naik... Pergi balik ke Istana sahaja sudah hampir 4km... Belum dicampur berjalan kaki daripada masjid ke pertemuan Sungai Muar dan Sungai Jempol tadi kemudian kembali ke masjid hingga sampai ke istana... Rasanya ada 3km juga!
Jadi sampai peringkat ini, saya sudah berjalan kaki hampir 7km pagi itu sahaja... Sedangkan saya masih lagi belum bertemu tempat yang paling dekat untuk ke Sungai Serting daripada Sungai Jempol dan saya tahu, nak tak nak, saya terpaksa melalui kawasan hutan belukar tebal nanti!
Beginilah keadaan belukar selepas melepasi ladang kelapa sawit tadi... Terpaksa saya redah begitu sahaja walaupun setakat memakai
t-shirt buruk dengan seluar cerut putih nipis dan selipar yang elok sedikit daripada selipar Jepun... Hampir terasa mahu mengalah sahaja apabila melihat keadaan ini sedangkan saya tak pasti dan tak boleh nampak di manakah letak duduknya Sungai Serting... Tetapi kalau mengalah, saya juga yang akan termenung panjang dan terkilan nanti... Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam...
Alhamdulillah... Walaupun tak tahu arah, dengan berpedomankan panahan cahaya matahari pagi yang tentunya datang daripada arah timur bercampur gerak hati, barulah saya terjumpa dengan Sungai Serting... Jika malam sebelum itu, malam Jumaat, saya melihat sungai ini daripada pinggiran kawasan perumahan di timur Istana Serting, kali ini saya melihatnya daripada sebelah barat kawasan istana juga, kawasan yang lebih hampir dengan Sungai Jempol...
Maka di sinilah sebenarnya paling sesuai menyambung cerita tentang mimpi menyusuri sungai serupa Sungai Muar yang berlaku lebih 10 tahun lalu. Tadi, saya telah memberitahu bagaimana tiba-tiba, apabila sudah sampai ke satu bahagian ulu Sungai Muar yang berjeram, sampan saya tiba-tiba ditarik menaiki darat... Tentunya dalam perkiraan biasa naik ke hulu, mungkin ke bukit... Tetapi sampai satu ketika, tiba-tiba sampan itu boleh pula masuk ke sebuah sungai kecil lain yang kemudian semakin membesar... Apahal?
Daripada pinggiran Sungai Serting tadi, saya cuba mencari kembali jalan melalui ladang kelapa sawit di tepian istana tadi... Allah! Saya sudah betul-betul hilang arah lalu tersesat! Pedoman yang saya dapat cuma menghala ke arah matahari iaitu Timur... Setelah berjalan beberapa ketika, terjumpa pula aliran air mati ini...
Saya sudah keliru, apakah ini aliran Sungai Serting juga? Bagaimana ini sedangkan aliran di sini mati sedangkan sungai yang kelihatan tadi nampak nyata arusnya bergerak walaupun tidak berapa deras...
Saya berpatah balik jalan yang disusuri sejurus sebelum itu lalu bertemu kembali dengan aliran Sungai Serting yang ternyata mengalir elok... Warna airnya pun lain... Jadi "sungai" apa tadi? Saya pergi balik untuk bertemu aliran air mati tadi...
Ah! Baru saya teringat... Ada diceritakan, sekitar abad ke 15 Masihi dahulu, satu angkatan perang Siam pernah cuba menyerang Melaka melalui Jalan Penarikan... Untuk memudahkan lagi kapal-kapal mereka lalu, angkatan perang ini telah menggali sebuah terusan... Ah... Inilah sebabnya wujud aliran air mati ini...
Saya menyusuri aliran air mati tadi untuk beberapa ketika... Panjang juga, rasanya hampir 100 meter melalui kawasan hutan belukar semak-samun sehingga sampai ke kawasan belakang istana... Ah... Sekarang baru saya sedar... Baru saya tahu kenapa agak susah untuk menyusuri laluan sebenar Jalan Penarikan... Manakan tidak, sebahagiannya sudah ditutup akibat didirikan Istana Serting ini!
Apabila diingat kembali laluan yang termaktub dalam peta juga rajah-rajah berkaitan, ternyata laluan darat yang menghubungkan Sungai Jempol dengan Sungai Serting ini begitu lurus... Lurus kerana kawasan sekitar adalah landai tanpa penghalang (kecuali Istana Serting yang dibina sekitar zaman moden juga) dan tentunya laluan lurus itu adalah laluan yang terdekat... Maka sekarang saya harus mencari jalan untuk mengekori pinggiran kawasan istana sehingga sampai ke ladang kelapa sawit... Tetapi laluan air mati binaan tentera Siam ini menghalang...
Seketika itu, timbul rasa, susur balik laluan air mati ini hingga kembali ke Sungai Serting... Baru saya sedar, laluan yang sebenarnya tidak siap (kerana ramai tentera Siam kemudian mati diserang penyakit) ini di bina menghala ke Sungai Serting tetapi belum sampai, sekitar 10-15 kaki sahaja baru sampai ke sungai... Jika tanah 10-15 kaki ini dikorek, nescaya melimpahlah air Sungai Serting yang berwarna tohor ke dalamnya... Tidaklah lagi laluan air ini berwarna sedikit jernih dan tidaklah ia mati begini... Ini bermakna, dahulu, laluan ini dikorek dalam keadaan kering... Air yang ada di dalamnya kini sebenarnya adalah air hujan, bukan air Sungai Serting...
Oh... Rasanya bab mimpi lebih 10 tahun lalu itu boleh ditamatkan teruslah... Setelah sampan ditarik naik ke darat kemudian masuk ke sungai balik, ternyata aliran sungai semakin melebar hingga sampai ke sebuah kuala yang luas... Bertahun kemudian, baru saya tahu tentang kewujudan Jalan Penarikan. Baru ternampak kaitan dengan mimpi tersebut yang menunjukkan, bahawa saya telah melalui Sungai Muar hingga ke hulu, sampai ke satu bahagian ditarik menaiki daratan kemudian masuk ke sebuah sungai kecil membawa ke sebuah sungai besar yang menepati ciri-ciri Sungai Pahang...
Apapun, Alhamdulillah, saya dapat menemui kembali kawasan ladang kelapa sawit dan keluar dengan selamat. Tetapi seluar putih saya yang nipis kotor teruk akibat palitan tanah di beberapa tempat selain bekas-bekas dedaunan dan duri-duri yang tersangkut... Dan saya turut mendapat
"souvenir" atau "buah-tangan" lain, 2 ekor lintah yang kelihatan begitu enak menghisap darah daripada jari kaki saya!
Dua ekor lintah itu saya buang dengan menghalakan api lighter ke badannya... Walaupun sudah hampir 2 tahun berhenti merokok, saya ada menyimpan lighter sebagai satu barang keperluan, sekurang-kurangnya untuk menyalakan ubat nyamuk jika perlu... Saya jarang membawa ubat nyamuk tetapi ada masanya kena beli juga kerana tak tahan gigitan nyamuk ketika tidur di sesetengah masjid ataupun pondok tepian jalan...
Adapun membuang lintah dengan cara begitu lebih elok daripada mencabutnya terus... Kerana kalau dicabut, akan tertinggal bahagian seperti gigi di dalam urat darah kita... Takut jadi berkudis pula... Satu lagi cara ialah membiarkan sahaja lintah-lintah ini menghisap darah sehingga kenyang... Kemudian ia akan tanggal sendiri tanpa perlu dipaksa...
Saya selalu juga membiarkan kerana tahu binatang ini cuma menyedut darah kotor sahaja... Tetapi ketika itu, saya mahu singgah ke perpustakaan desa bersebelahan kawasan perkuburan... Rasa tak eloklah masuk ke dalam dengan lintah-lintah gemuk ini kelihatan... Nanti takut pula anak dara yang dok sengsorang menjaga perpustakaan itu... Dah lah tadi dia tengok rupa saya pelik dengan seluar putih penuh kekotoran sibuk dok cucuh api ke kaki... Gilo ke hapa? Daripada jauh, bukan dia nampak pun lintah-lintah ini....
Selesai membuang 2 ekor lintah itu, saya menyingsingkan seluar untuk membasuh kaki. Ternyata, terdapat 4 ekor lagi lintah (lintah ya, confirm... Bukan pacat yang jauh lebih kecil)... Jenuh juga nak dapatkan angle mencucuh api yang sesuai agar kulit saya tidak terbakar. Itupun selepas dapat mencabut kesemuanya, darah keluar meleleh-leleh daripada setiap gigitan... Hampir kelihatan seperti luka orang accident kereta atau jatuh motor sehingga anak dara yang menjaga perpustakaan sanggup memberikan sepasang selipar kain (seperti yang biasa terdapat di hotel-hotel besar) untuk dipakai di dalam perpustakaan... Agar darah tidak jatuh menitik ke lantai...
Dan Alhamdulillah, selesailah lawatan pertama saya seumur hidup ke Jalan Penarikan... Berdasarkan pedoman perjalanan yang ditunjukkan oleh mimpi lebih 10 tahun lalu juga aliran sungai-sungai di Jalan Penarikan itu sendiri, sudah semestinya seterusnya saya harus ke Pahang... Ke bandar diraja Pekan kerana di sanalah terletaknya kuala Sungai Pahang! Lagipun memang pengembaraan saya yang terbaru ini ialah untuk ke Pantai Timur... Bandar Pekan itu sendiri terletak di Pantai Timur... Daripada sana, bolehlah saya naik ke Kuantan lalu ke Terengganu juga ke Kelantan... Serupa juga dengan perjalanan orang dahulukala melalui Jalan Penarikan untuk ke Pantai Timur!
Di atas ialah gambar stesyen bas di Bahau, sekitar 3-4 ke timur Jalan Penarikan tadi. Daripada situ, saya boleh mendapatkan bas ke bandar Muadzam Shah di wilayah tengah Pahang... Oh... Sekarang baru boleh disebut dan ditutup tentang lelaki berseluar jingga tanpa baju yang duduk di pondok di tanah perkuburan di hadapan Istana Serting tadi...
Adapun selepas berehat sebentar membaca suratkhabar di perpustakaan, saya telah membuat satu "survey" sehingga terjumpa kembali aliran Sungai Jempol di sebuah kawasan ladang kelapa sawit lain yang terletak di belakang kawasan kampung yang disebut di atas tadi... Baru saya sedar Jalan Penarikan itu memotong daripada kawasan kampung, lalu di tepian tanah perkuburan menghala ke kawasan sempadan istana dengan ladang kelapa sawit di seberang jalan ke Batu Kikir sebelum masuk ke kawasan istana... Makanya, mungkin ada tentera Siam yang mahu menyerang Melaka telah mati di kawasan perkuburan ini?
Beberapa hari kemudian, baru timbul satu rasa... Seorang lelaki berseluar jingga tidak memakai baju duduk seorang diri di sebuah pondok di tepian tanah perkuburan pada malam Jumaat hampir jam 2 pagi... Gayanya tidak senang dan seolah tidak faham apabila saya memberikan salam... Sebaliknya bercakap seorang diri, hampir menyumpah-nyumpah dalam satu bahasa yang tidak saya fahami... Timbul satu rasa, apakah dia ini salah seorang tentera Siam yang terkorban? Terkorban dalan usaha mahu menyerang Melaka lebih 500 tahun lalu? Sekian! :]