Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Februari 22, 2010

Teknik penggelapan salasilah...

Hmm. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan...




Merujuk kepada artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... yang dibuat siang tadi, lihat senarai nombor 11 yang ada di situ. Di atas ialah snapshot yang saya ambil menggunakan teknik print screen ke atas isi sebuah website kelolaan sebuah agensi berkaitan kerajaan. Diharap ia cukup terang untuk diteliti dan dibuat perbandingan...



Anda boleh membesarkan lagi gambar dengan cara membuka image di dalam windows baru. Perhatikan bahawa website tersebut telah menyenaraikan Sultan ke 6 dan ke 8 Perak sebaris dengan Sultan ke 3 dan 4 juga seorang puteri yang berkahwin dengan Raja Aceh. Ini dibuat untuk menunjukkan mereka semua kononnya adik-beradik...




Allah Maha Besar. Pihak yang cuba membuat perubahan ini (kerana saya pasti salasilah sebelumnya menunjukkan Sultan ke 6 dan ke 8 sebagai anakanda puteri + Raja Aceh) nampaknya terlepas pandang. Maklumat tentang Sultan ke 6 dalam website yang sama menyebut "Baginda adalah putera saudara perempuan Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin (Sultan ke 3) dan Almarhum Sultan Tajul Ariffin (Sultan ke 4)"... bermakna puteri yang berkahwin dengan Raja Aceh itu sahaja yang merupakan adik-beradik kepada Sultan ke 3 dan ke 4, sedangkan Sultan ke 6 iaitu Sultan Mukaddam Shah adalah anakanda sang puteri merangkap anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin dan Sultan Tajul Ariffin.

Maklumat tentang Sultan ke 8 iaitu Sultan Mahmud pula menyebutnya sebagai adinda Sultan Mukaddam. Tak perlulah ditunjukkan snapshot sebagai bukti lagi. Yang penting sudah cukup terang Sultan ke 6 dan ke 8 adalah anak saudara Sultan ke 3 dan ke 4, bukannya adik-beradik. Cuma takut nanti fakta pada paparan maklumat akan diubah untuk menyokong salasilah baru yang kelihatan cuba menyembunyikan hakikat sebenar bahawa terdapat 2 orang Sultan Perak terawal yang merupakan anakanda Raja Aceh...



Ini pula bahagian salasilah yang menunjukkan Sultan ke 15 hingga ke 18 semuanya adik-beradik, katanya anak kepada Sultan ke 14...



Namun peliknya, Sultan ke 17 iaitu Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda boleh dikenali sebagai "Marhum Sulong" walhal maklumat di sini turut menyebut baginda sebagai adinda kepada Sultan Mahmud Shah yang menjadi Sultan Perak sebelumnya. Kalau mereka memang betul adik-beradik kandung sebapa bagaimana mungkin Sultan ke 17 dikenali sebagai Marhum Sulong dan pada masa yang sama menjadi adinda kepada Sultan ke 16? Kecualilah Sultan Alauddin Mansur sebenarnya adik ipar Sultan Mahmud, maka boleh jadi baginda adalah anakanda sulong kepada seorang Sultan atau kerabat diraja lain!

Sekarang rujuk balik pada luahan yang dibuat dalam artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... . Dahulu saya cuma tahu bagaimana salasilah dan keturunan sebenar seseorang boleh diubah apabila seorang menantu dikatakan anak kandung... maka sang menantu pun dibinkan kepada bapa mertua dalam salasilah lalu terkait dengan keturunan lain. Tetapi percubaan samada sengaja atau tidak mengubah isi salasilah yang melibatkan Sultan ke 6 dan Sultan ke 8 Perak, masing-masing anak Raja Aceh menunjukkan anak-saudara pun boleh dijadikan adik-beradik. Maka tak mustahil pengolahan kreatif salasilah sudah berlaku beberapa kali lebih awal dan terus dilakukan beberapa kali kemudian, atas sebab-sebab yang mungkin cuma diketahui pihak yang berkepentingan.

Hasilnya adalah satu salasilah rasmi yang menunjukkan kerabat diraja yang ada semuanya kononnya berasal dari satu keturunan walhal ada raja-raja yang sebenarnya berasal dari keturunan yang lain, misalnya kerabat diraja Bugis juga Aceh. Natijah kedua adalah sesetengah kerabat diraja dari keturunan lain yang dimaksudkan dapat dikeluarkan dari salasilah rasmi kerajaan sedangkan mereka yang tidak layak, anak angkat, anak gundik dan sebagainya pula dimasukkan terutama setelah campurtangan Inggeris yang menyokong kenaikan takhta mereka yang sudi mengikut telunjuk Barat. Sekian.



Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak...

Gambar buaya albino sebagai hiasan. Beginikah rupanya buaya putih legenda Sungai Perak? Tapi buaya putih Sungai Perak itu dikatakan boleh jadi amat besar sehingga kepalanya berada di Pulau Sembilan ekornya di Beting Beras Basah. Pada masa yang sama ia juga mampu mengecil malah memakai bentuk tubuh-badan seorang tua berjubah putih misteri! Menurut sesetengah pihak buaya putih Sungai Perak ini berasal dari Tanah Bugis...


Assalamualaikum semua. Sepatutnya cukup senang untuk saya menyambung penceritaan siri kecil "Jalan-jalan anak beranak". Sepatutnya saya sudah memaparkan bab di mana saya, isteri, Al-Rasyid dan 2 orang anak kami yang lain meninggalkan Tanjung Sepat untuk ke Port Dickson, Tanjung Tuan dan seterusnya ke Melaka. Tetapi entah mengapa, sejak kembali daripada perjalanan terbaru ke Aceh 3 minggu lalu saya jadi agak malas menulis... begitu malas sehingga sejak itu saya cuma membuat 6 artikel baru di blogspot ini, itupun 2 daripadanya setakat artikel kompilasi bagi siri penceritaan yang lalu. Dua artikel kompilasi yang sama tetapi dalam bahasa Inggeris pula menjadi 2 sahaja artikel baru yang ditulis untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH sejak itu sedangkan blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tidak dikemas-kinikan sejak 25 Januari!

Kalau mengikut rancangan yang diutarakan dalam artikel Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! (dibuat 4 Februari), siri berkenaan perjalanan terbaru ke Aceh akan dibuat sebaik sahaja siri kecil "Jalan-jalan anak beranak" siap disajikan. Tetapi apabila meneliti beberapa perkembangan terkini melibatkan hal-hal tertentu, biarlah diberitahu ada kemungkinan siri tentang Aceh itu cuma akan disajikan pada bulan April atau lebih lewat. Pada ketika itu, ada kemungkinan besar saya, isteri dan Al-Rasyid sudah pun ke luar negara lagi, ke satu lagi destinasi yang melibatkan sejarah dan salasilah keluarga, mungkin sehingga 2 minggu lamanya! Untuk hari ini biar dilepaskan sesuatu yang terbuka di dada agar nanti sekurang-kurangnya siri kecil "Jalan-jalan anak beranak" dapat diteruskan sehingga tamat... untuk memberi laluan kepada penceritaan yang akan datang.

Semalam saya telah ke Janda Baik setelah bermalam satu malam di Raub, Pahang. Oh, sebelum pergi ke Raub saya juga telah pergi ke Janda Baik tetapi masuk ke dalam tidak sampai 3 jam. Lawatan semalam kiranya mahu menyambung kembali satu perbincangan. Barulah saya mendapat kata putus tentang beberapa petunjuk mengenai sejarah dan salasilah keluarga yang ada menjolok fikiran tetapi masih agak kabur beberapa tahun kebelakangan.

Adapun perjalanan ke Janda Baik itu dibuat untuk bertemu seorang rakan lebih tua yang sudah lama menjadi rujukan dalam hal-hal kebatinan. Sebelum berlepas ke Aceh tahun lepas bersama isteri, kami sempat bertemu dan berbincang... tetapi sejak itu beliau sentiasa berada di perantauan sehinggalah kami bertemu kembali Sabtu baru ini diikuti malam semalam. Alhamdulillah, beliau dapat mentahkik atau mengesahkan melalui jalan tertentu akan beberapa ilham tentang keturunan yang sampai kepada saya dalam tempoh setahun kebelakangan. Antaranya adalah apa yang sudah diluahkan melalui artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?

Di sini biar disenaraikan akan perkara-perkara yang sudah ditahkikkan. Diharap pihak istana mana-mana atau pihak lain yang berkepentingan tidak tersedak. Apabila datang yang haq, yang bathil akan gugur dengan sendirinya.

1. Susur-galur sebenar kerabat diraja Perlak yang membawa kepada darah keturunan Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW melalui 2 cabang utama... cabang Khalifah Muhammad Nafs Zakiyah dan cabang Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Mungkin artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak... boleh melancarkan pancaran pemahaman...

2. Bagaimana sulur-galur keturunan Sultan Malikus Salih melalui cucunya Sultan Malikul Mansur yang mewarisi kerajaan Samudera tetapi kemudian terbuang dapat merajai Aceh beberapa abad kemudian. Tetapi hakikat ini dikaburkan dari sejarah melalui dua teknik mudah dalam penulisan salasilah - apabila 2 watak berlainan dikatakan orang yang sama, dan apabila adik-beradik ipar dikatakan adik beradik sebapa...

3. Bagaimana darah keturunan raja boleh dikenali sebagai laksamana, bagaimana pula ada yang memakai nama raja ketika memerintah dalam istana, tetapi memakai gelaran laksamana ketika masuk ke medan perang...

4. Bagaimana keturunan lelaki seorang raja agung Aceh cuba dihapuskan tetapi sebenarnya selamat dan terus berkembang-biak! Campurtangan halus Barat melalui tali-barut orang tempatan menyaksikan seorang putera mahkota dihukum rejam. Namun sebenarnya ada silap-mata berlaku di mana putera mahkota tersebut sebenarnya selamat dan berhijrah ke tempat lain. "Silap-mata" penulisan salasilah yang memungkinkan keturunan seorang raja dipecahkan kepada satu susur-galur diraja, satu lagi susur-galur laksamana yang kelihatan tidak ada kena-mengena walhal sama memungkinkan sang abang kepada putera mahkota tersebut dapat terus hidup di Aceh tetapi atas nama keturunan lain.

5. Raja agung Aceh ini memiliki darah diraja Bugis. Apabila datuknya, anakanda kepada seorang raja besar Aceh terdahulu pernah ke Sulawesi menjadi pendakwah lalu berkahwin dengan seorang puteri sana. Anak mereka kemudian kembali ke Aceh lalu dikenali sebagai seorang bangsawan Bugis.

6. Makam sebenar raja agung Aceh ini bukan terletak di tengah bandar sebaliknya di satu lereng tinggi bukit. Selain untuk melindungi identiti anak cucunya yang semasa itu sedang hangat diburu musuh, kedudukan sebenar makam juga dikaburkan supaya tidak dapat dirosakkan oleh mereka yang dengki lagi khianat. Yang dapat dirosakkan cuma makam tanda sahaja...

7. Keturunan raja agung Aceh ini dapat menaiki kembali takhta walaupun dikenali secara rasmi sebagai keturunan dari susur-galur lain.

8. Namun cabang paling afdal keturunan ini masuk ke Perak. Disebabkan perebutan takhta antara adik-beradik berlainan ibu selepas kemangkatan ayahanda mereka, waris utama membawa diri ke Patani sebelum anaknya pula berhijrah ke Perak.

9. Sekitar tempoh yang sama masuk seorang anak raja besar Bugis ke dalam kancah pemerintahan Perak. Ketika Belanda mula menguasai Sulawesi, seorang raja besar Bugis pernah menitipkan anaknya ke Aceh, seorang lagi ke Pagar Ruyung untuk melindungi keturunannya dari dihapuskan. Lagipun Aceh ketika itu diperintah saudara-mara mereka yang dikenali sebagai keluarga Dinasti Raja-raja Bugis. Lihat artikel lama Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? . Anak ini kemudian muncul di Perak lalu ingin mendirikan kerajaannya sendiri. Ini menyaksikan perang berlaku, satu siri peperangan yang dikaburkan dalam sejarah rasmi dengan menyebut ia cuma kes lanun bermaharajalela di Pulau Sembilan tetapi kemudian berjaya ditangani seorang pahlawan Bugis bernama Daeng Selili.

10. Timbul sistem giliran diraja Perak yang dilambangkan oleh 3 warna bendera Perak
- Putih untuk Sultan, kuning untuk Raja Muda dan hitam untuk Raja di Hilir. Seorang anak raja besar Bugis yang digeruni melawan pemerintahan sedia ada di Perak yang dikatakan berasal dari keturunan Melaka. Masuk pula seorang keturunan Aceh yang kebetulan ada juga darah diraja Bugis juga darah diraja Perak/Melaka, melalui Sultan Alauddin Mansur Shah ibni Sultan Mansur Shah (Sultan ke 2 Perak) yang dirajakan di Aceh tahun 1580. Maka sistem giliran sebenar adalah agar kerabat diraja keturunan Bugis, Melaka dan Aceh dapat berturut-turut memerintah Perak.

11. Rahsia sistem giliran ini terletak pada identiti sebenar Sultan ke 14 hingga ke 18 Perak
- Sebenarnya setiap Sultan ini memiliki nama lain juga gelaran-gelaran kepahlawanan sebelum menaik takhta mengikut giliran. Sejarah rasmi mencatatkan Sultan ke 15 hingga ke 18 semuanya adalah anakanda kepada Sultan ke 14 dan Sultan ke 14 pula adinda kepada Sultan ke 13. Sebenarnya Sultan ke 13 dengan 14 bukan adik-beradik tetapi dari keluarga diraja lain. Sultan ke 15 hingga ke 18 pula ada yang beripar-duai, ada yang sebenarnya pangkat anak saudara kepada yang sebelumnya.

"Silap-mata" salasilah serupa dapat dikesan dalam salasilah rasmi terbaru keSultanan Perak yang dicuba ditonjolkan melalui website satu agensi kerajaan negeri. Ia meletakkan Sultan ke 6 dan ke 8 sebaris dengan Sultan ke 3 dan 4 seolah-olah mereka semua adik-beradik. Sedangkan dalam salasilah rasmi sebelum itu, cukup nyata Sultan ke 6 dan ke 8 adalah anak seorang Raja Aceh yang mengahwini puteri kepada Sultan ke 2. Puteri ini adalah adik beradik kepada Sultan ke 3 dan Sultan ke 4, bermakna Sultan ke 6 dan ke 8 adalah anak saudara mereka. Salasilah rasmi terbaru cuba meletakkan mereka semua sebaris sebagai adik-beradik, Mungkin ini dilakukan untuk menidakkan hakikat sebenar bahawa Sultan ke 6 dan ke 8 sebenarnya berbapakan seorang Raja Aceh!

12. Identiti kerabat diraja Aceh yang bercampur dengan kerabat diraja Perak yang pernah dirajakan di Aceh tersirat pada nama Sultan ke 17 Perak
, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda. Seperti disebut awal tadi, salasilah rasmi sejak sekian lama meletakkan Sultan ke 15 hingga ke 18 sebagai adik-beradik. Maka dikatakan Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan ke 15 sebagai abang diikuti kenaikan adiknya Sultan Mahmud Shah sebagai Sultan ke 16 seterusnya Sultan Alauddin Mansur sebagai yang ke 17. Peliknya apabila meninggal dunia Sultan Alauddin ini turut dikenali sebagai Marhum Sulong. Anak sulong kepada siapa jika betul baginda adalah adik kandung Sultan Iskandar?

Seterusnya nama atau gelaran penuh yang dipakai. Nama Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda menggabungkan 2 nama besar pemerintah. Untuk pengetahuan, nama Sultan Alauddin Mansur Shah asalnya milik anakanda Sultan Perak yang dirajakan di Aceh pada tahun 1580. Iskandar Muda pula ialah nama raja Agung Aceh yang kebetulan dilahirkan semasa Sultan Alauddin Mansur memerintah.

13. Maka keturunan Laksamana Raja Mahkota, satu jawatan bangsawan turun-temurun Perak juga boleh menaiki takhta, bukan sahaja di Perak malah di Aceh.
Silap-silap boleh mewarisi juga kerajaan Bugis juga segala bekas jajahan takluk Melaka! Pangkat keturunan Laksamana Raja Mahkota itu dipakai oleh kerabat diraja Bugis yang pernah dititipkan ke Aceh sebelum masuk ke Perak abad ke 18 diikuti kerabat diraja Aceh yang ada darah keturunan Bugis. Pangkat yang sama sudah dipakai di Aceh sekian lama untuk anak-anak raja sebelum mereka menaiki takhta. Permainan "silap-mata" salasilah Perak yang menggabungkan ipar-duai dan anak saudara jadi adik-beradik nampaknya dapat menghilangkan identiti sebenar sesetengah raja yang asalnya adalah anak raja Bugis atau anak raja Aceh. Namun mereka tetap wujud dan berkembang-biak... dan seperti di Aceh, ada yang dapat menaiki takhta kembali tetapi atas nama baru, meninggalkan nama sebelum menjadi raja seolah-olah ia milik orang berketurunan lain yang cuma bangsawan sahaja.