Rabu 12 Februari 2020 saya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk satu majlis ilmu.
Osman yang merupakan Sheikhul Quliyyah ISTAC juga penyandang kursi Al-Ghazzali di institusi sama membuka dengan mengalu-alukan kedatangan ramai muka baru. Kemudian beliau memberitahu baru-baru ini ada bertemu dengan duta negara Kazakhstan. Duta tersebut memberitahu bahawa tidak lama lagi negaranya dan beberapa negara jiran di Asia Tengah mahu membuat sambutan ulang tahun ke-1,150 kelahiran ulamak silam terkenal iaitu Al-Farabi. Beliau tahu Osman telah menulis beberapa buah buku tentang ulamak tersebut lalu bertanya apakah ISTAC akan membuat acara serupa.
Dengan itu Osman pun memberitahu ISTAC hadirin akan membuat sambutan berupa diskusi buku pada 15 April nanti. Buku bertajuk "Al-Farabi - Life, Works and Significance" (Al-Farabi - Kehidupan, Hasil Kerja dan Kepentingannya - terjemahan saya) tulisannya itu telah diterbitkan tahun 2018. Setelah itu baru diberikan sedikit pengenalan tentang buku "Classification of Knowledge in Islam" yang menjadi asas siri syarahan ini. Disebutlah lagi bahawa ia adalah hasil daripada PhD beliau yang berjaya disiapkan tahun 1986.
Untuk pengetahuan PhD dan buku mengenengahkan pemikiran tiga ulamak silam Islam seperti berikut :-
1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)
2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)
3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311M)
Saya telah bersedia untuk mengikuti syarahan dengan membuka versi PDF buku dalam komputer riba. Buku yang telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa ini juga telah dicetak beberapa kali dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Inggeris. Ada cetakan terbaru dijual pada majlis lalu dibeli hadirin untuk dijadikan rujukan. Tetapi buat masa ini saya rasa lebih selesa dan mudah merujuk ke dalam komputer.
Osman memulakan daripada Bab 2 buku. Tajuknya "Al-Farabi's Psychology in Its Relation to The Hierarchy of The Sciences" boleh diterjemahkan sebagai "Psikologi Al-Farabi dan Kaitannya dengan Hieraki Ilmu-ilmu Sains". Beliau pun menerangkan apakah itu ilmu psikologi (ilmu jiwa) menurut pandangan klasikal lama atau tradisi terutama dalam Islam. Ia adalah ilmu tentang nafs atau kita biasa panggil sebagai nafsu.
Kelihatan Osman merujuk pada konsep berkenaan dalam pengajian Tasawuf. Beliau juga menyebutnya sebagai sains roh (science of the soul). Kalau tidak percaya kepada roh (kewujudan roh) maka kita akan bermasalah. Kata Osman inilah yang berlaku pada ilmu saikologi moden. Sains yang dipelopori Barat menolak kewujudan roh lalu cuba mengkaji jiwa atau ilmu psikologi berdasarkan apa yang ada pada tubuh badan atau aspek fizikal manusia sahaja.
Disebut pula tentang kepentingan heiraki ilmu pengetahuan, satu lagi perkara yang sering diabaikan Barat. Kata Osman semua perkara itu ada susunan duduk letak kepentingan dan taraf. Mana boleh disamakan ilmu tentang Tuhan dengan ilmu kajian terhadap rama-rama? Tambah beliau ada 2 perkara asas perlu difahami dalam epistemologi atau sains ilmu pengetahuan. Satu adalah kesatuan ilmu pengetahuan (unity of knowledge) termasuk untuk sains. Kedua adalah hieraki ilmu pengetahuan (juga bagi sains). Ia menjadi pegangan para ulamak silam dalam dunia Islam. Tanpa kefahaman ini jadilah masalah dalam ilmu moden sains di mana sains alam semulajadi (natural sciences) sering dilihat bertentangan dengan sains kemanusiaan (human sciences) sehinggalah sekarang.
Kalau mengikut turutan asal itu kami harus bermula daripada muka surat 21 buku sedangkan Bab 2 bermula pada muka surat 43. Mungkin Osman memilih untuk 'melompat' jauh kerana sub-topik ini serupa tajuknya dengan buku beliau yang mahu dibincangkan pada majlis 15 April (rujuk balik tulisan atas tentang saranan duta Kazakhstan). Yang saya ingat beliau sekadar menyebut satu tahun (tahun lepas) telah dihabiskan semata-mata untuk mensyarahkan Bab 1 sahaja. Daripada segi itu lompatan terus ke Bab 2 boleh dianggap satu permulaan yang lebih segar bagi tahun ini.
Masuk pada perenggan demi perenggan. Bermulalah sub-topik pertama Bab 2 yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Ide Penyatuan dan Hieraki dalam Ilmu-ilmu Sains". Osman membacakan satu persatu perkataan dan ayat seperti terpapar dalam buku. Secara rata ia menekankan keperluan untuk mengkaji terlebih dahulu aspek-aspek tertentu epistemologi atau kajian ilmu (secara umum) sebelum dapat mengkaji secara falsafah klasifikasi yang dibuat oleh Al-Farabi terhadap ilmu-ilmu sains.
Dengan kerangka epistemologi tersebut baru kita boleh memahami atas dasar apakah Al-Farabi membuat klasifikasi. Kenapa tidak dimasukkan beberapa ilmu zamannya seperti alchemy (saya tidak tahu terjemahannya ke dalam bahasa Melayu, yang tahu ia adalah ilmu kimia lama yang tercipta akibat usaha sesetengah pihak mahu menukar logam biasa menjadi emas) juga tafsir mimpi walaupun Al-Farabi ada menulis tentang ilmu-ilmu ini dalam hasil kerja lain? Begitu juga, kenapa beliau tidak meletakkan ilmu Feqah dan ilmu Kalam pada kedudukan utama dalam klasifikasinya? Apapun sarjana Barat seperti N. Rescher meletakkan kitab Ihsa al-Ulum yang memberikan klasifikasi tersebut sebagai salah satu hasil kerja terpenting Al-Farabi dalam bidang epistemologi.
Masuk perenggan kedua disebut bahawa Al-Farabi memegang sepenuhnya bahawa ide paling asas terkait dengan epistemologi tradisi adalah kesatuan dan hieraki ilmu-ilmu sains. Daripada satu segi ide ini boleh dikatakan sebagai hasil penyiasatan (inquiry - terjemahan terus adalah pertanyaan, dalam konteks ini ia lebih pada penyiasatan yang merupakan pertanyaan mendalam) terhadap epistemologi, daripada segi lain ia adalah asas kepada penyiasatan itu. Hal pertama adalah benar kerana ide ini terhasil daripada pemakaian doktrin Tawhid terhadap keseluruhan aspek kebijaksanaan (intelligence) manusia dan aktivitinya berfikir juga mengetahui sesuatu. Nota berkenaan, nota 2 bagi Bab 2 yang terletak pada muka surat 64 buku pun dirujuk...
Jelas doktrin Tawhid yang dirujuk adalah seperti dalam pengajian Tasawuf. Ia adalah berkenaan Zat KeTuhanan (Divine Essences), Nama-nama atau Asma' dan Sifat. Kata Osman pertanyaan demi pertanyaan atau penyiasatan mendalam terhadap hal berkenaan akhirnya boleh disimpulkan menjadi satu persoalan sahaja - Who am I? Siapakah aku? Nampak begitu ringkas bunyinya. Siapakah aku? Takkan tak kenal diri kita sendiri? Sebetulnya ia adalah persoalan yang sangat besar dalam dunia ini. Ia adalah persoalan wujud diri yang sebenarnya terkait dengan hakikat keTuhanan dan hubungan manusia dengan Tuhan.
Setelah mengikuti syarahan-syarahan Osman beberapa lama saya sudah cukup faham tentang aliran pemikiran atau line of thinking beliau. Selain bersifat falsafah (memang pun beliau mengajar falsafah) ia membawa kepada persoalan mengenal diri seperti sering dianjurkan dalam ilmu Tasawuf dan pengajian orang Sufi. Seorang hadirin pun membangkitkan persoalan kenal diri menurut falsafah pemikir Barat dari Perancis bernama Rene Descartes (hidup 1596-1650). Beliau terkenal dengan ungkapan dalam bahasa Latin, Ergo Corgito Sum yang bahasa Inggerisnya berbunyi I think therefore I am.
Terjemahan saya : "Aku fikir maka aku ada (wujud seadanya)". Maknanya disebabkan dia boleh berfikir maka itulah bukti akan kewujudannya. Hadirin tersebut menyarakankan agar perkara Ergo yang bermaksud fikir itu diubah menjadi Credo yang bermaksud percaya. Dia mahu mengatakan bahawa "Aku percaya maka aku ada" adalah lebih baik bagi menerangkan hakikat wujud kita.
Kata Osman tidak ada banyak perubahan makna kalau begitu halnya. Dan lagi kita ini bukan sekadar makhluk yang berfikir atau percaya. Kita ada banyak lagi aspek dalaman yang membentuk diri. Malah menurut beliau kenyataan Descartes itu sebenarnya adalah kesalahan daripada segi logik atau mantiq kerana meletakkan fikir sebelum ada. Sedangkan disebabkan kita ada itulah baru boleh berfikir. Begitu juga halnya dengan percaya. Kita ada dahulu baru boleh percaya. Bagaimana sesuatu yang tidak wujud atau belum ada boleh berfikir mahupun percaya?
Ah. Tiba-tiba teringat tentang pengajian ilmu Sifat 20 yang bermula dengan Wujud (adanya Allah SWT), Qidam (sedia ada, bukan dicipta atau datang daripada tiada kepada ada), Baqa' (kekal selamanya) dan seterusnya. Bukankah bermula dengan Wujud baru boleh diperkatakan hal-hal lain selepas itu, antaranya adalah Iradat (berkehendak), Qudrat (memiliki kekuatan), Sama' (mendengar), Basar (melihat), Kalam (berkata-kata)?
Inilah sebenarnya persoalan wujud diri manusia yang dianuti oleh ulamak-ulamak silam Islam yang faham, tidak seperti Barat yang keliru kerana bersungguh-sungguh mahu menolak kewujudan Tuhan. Sesungguhnya wujud diri kita ini adalah kerana wujudnya Tuhan lalu mencipta kita. Malah pada manusia itu terzahir segala sifat-sifat keTuhanan, cuma dalam skala kecil sesuai dengan kedudukan kita sebagai makhluk ciptaanNya. Namun tetap ada semua itu kerana kita dijadikan sebagai Khalifah Allah di muka bumi...
Ah. Boleh jadi gila meroyan kita kalau mahu dikupas lagi perkara ini dengan lebih mendalam. Tetapi itulah antara keseronokan hadir ke syarahan-syarahan Osman. Terus pada ayat selepas itu yang bersambung ke sebelah, muka surat 44. Disebutlah bahawa dalam menyiasat bagaimana manusia boleh tahu secukupnya kita tidak akan dapat lari daripada sifat hieraki dan realiti ilmu pengetahuan yang memiliki kutub-kutub (poles) berbentuk subjektif dan objektif.
Dikupas pula apa makna subjektif, apa itu objektif? Menurut Osman subjektif itu adalah melihat ke dalam diri. Objektif melihat ke luar daripada diri. Sains Barat selalu menekankan bahawa kita harus bersifat objektif dalam membuat kajian. Dengan itu kita boleh mendapatkan hasil maklum balas yang tepat kerana tidak terpengaruh dengan subjektiviti diri yang sering ditafsirkan sebagai perasan yang tidak boleh diharap dalam memberikan ketepatan kerana boleh berubah (bila marah nampak lain, bila sayang nampak lain). Namun, walaupun objektiviti atau bersifat objektif boleh memberikan ketepatan sebetulnya ia menjadikan kita pincang kerana cuba menolak hakikat bahawa kewujudan kita ini perlu kedua-duanya subjektif dan objektif. Kerana sibuk dengan objektiviti sains cuba memahami wujud manusia dan alam dengan melihat semakin jauh ke luar melepasi bintang-bintang. Sedangkan manusia itu dicipta bersifat sebagai cermin kecil yang dapat meliputi alam besar yang luas. Kata Osman dengan betul-betul melihat ke dalam kita sebenarnya boleh mengenali perkara-perkara di luar.
Ah. Boleh jadi panjang sangat menulis kalau ingin mengulangi kembali segala yang diulas dan diperkatakan. Terus pada perenggan seterusnya pada muka surat 44. Hieraki dalam kedua-duanya mikrokosma (konsep cermin dalam diri tadi) dan makrokosma (alam meluas yang juga merupakan penzahiran ayat-ayat Tuhan) mewakili pelbagai manifestasi atau penzahiran prinsip keTuhanan (divine principle). Maka itu hieraki ilmu-ilmu sains seperti diperkatakan Al-Farabi berakar umbi pada sifat semulajadi benda-benda yang dicipta.
Ilmu-ilmu sains ini membentuk satu kesatuan yang akan diterangkan dalam Bab 3. Sumber akhir atau utamanya (ultimate) cuma satu sahaja iaitu kebijaksanaan keTuhanan (terjemahan saya bagi divine intellect) tak kira bagaimana pun suatu ilmu itu diperolehi oleh manusia. Ide tentang kesatuan dan hieraki dalam ilmu-ilmu sains boleh dianggap sebagai asas kepada epistemologi tradisi. Hal ini cukup benar dan terpakai dalam masyarakat yang terikat rapat pada wahyu seperti halnya pada zaman kehidupan dan pemikiran Al-Farabi. Rujuk nota 3...
Nota pada muka surat 64 itu menyebut walaupun benar berlaku pergolakan politik dan manusia lupa diri (decadence) pada zaman kehidupan beliau namun daripada segi keagamaan, spiritual dan intelektual masyarakat Islam tetap rapat dengan ajaran Al-Quran. Seorang sarjana Barat, Sir Hamilton Gibbs menyebut sejak daripada awal masyarakat atau ummah diberitahu malah diingatkan setiap hari oleh Al-Quran tentang makna dan tujuan kehidupan. Osman menambah ini dapat dilihat pada makna azan yang dilaungkan 5 kali setiap hari :-
Allah maha besar (2 kali)
Aku bersaksi tiada yang disembah selain Allah (2 x)
Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah (2 x)
Marilah menunaikan solat (2 x)
Marilah menuju kemenangan (2 x)
Allah maha besar (2 x)
Tiada yang disembah selain Allah (2 x)
Pada azan itu ada formula kemenangan dan kejayaan. Kata Osman masyarakat sudah sedia terdidik dengan kepercayaan kental terhadap Tuhan, tidak seperti sekarang (yang mana pelbagai perkara dipengaruhi kerangka pemikiran Barat yang menolak kewujudan Tuhan). Lalu banyak hal yang diperkatakan Al-Farabi mudah diterima tanpa banyak soal.
Jika masyarakat sekarang cenderung untuk menyamaratakan taraf semua ilmu kerana sudah hilang kefahaman akibat kerangka pemikiran yang salah ia tidak begitu pada masyakat silam yang hidupnya masih terkait rapat dengan ajaran Al-Quran. Hieraki ilmu malah boleh dilihat pada ayat-ayat Al-Quran itu sendiri kerana ia tidak sama taraf. Misalnya Ayat Kursi disebut Nabi Muhammad SAW sebagai penghulu Al-Quran. Tentu ada kedudukannya yang istimewa mengatasi ayat-ayat lain. Surah al-Ikhlas pula disamakan dengan satu pertiga Al-Quran. Kedudukan tingginya adalah disebabkan ia adalah berkenaan Haqiqah atau pengetahuan hakikat keTuhanan. Ia adalah yang terbaik antara tiga bentuk asas atau peringkat ilmu pengetahuan yang terkandung di dalam Al-Quran.
Dua lagi bentuk asas atau peringkat adalah berkenaan Tariqah dan Syariah. Tariqah yang merupakan laluan khas kebatinan ke arah Tuhan adalah aspek kualiti dan pemanjangan (extension) menegak terhadap Shariah iaitu undang-undang berdasarkan wahyu yang merupakan jalan atau laluan umum kepada Tuhan. Nota-nota bagi perenggan ini tidak perlulah disertakan mahupun diulas. Nota 4 sekadar memberikan penterjamahan Ayat Kursi ke dalam bahasa Inggeris, nota-nota seterusnya adalah bagi buku-buku rujukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan