Semalam, seorang teman wanita telah bertanya apakah saya akan membuat apa-apa posting sempena masuk tarikh 11 September hari ini... Untuk pengetahuan, 11 September atau September 11 adalah tarikh keramat yang menyaksikan bangunan berkembar World Trade Centre di New York runtuh menyembah bumi setelah dirempuh dua buah pesawat komersial, kononnya akibat perbuatan pengganas Islam.
Entah kenapa, hari ini saya terasa begitu lemah lalu banyak berbaring dan tidur di rumah... Sebelah petang baru keluar ke komplek membeli-belah berdekatan kemudian pergi ke sebuah Cyber-Cafe untuk membuat posting-posting baru untuk blogspot-blogspot saya...
Adapun kira-kira 13 hari lepas, setelah tidak membuat apa-apa pembaharuan dalam mana-mana
blogspot, barulah tergerak untuk 'memecah kesunyian'. Ketika itu, saya sengaja membiarkan
blogspot-blogspot menjadi 'lapuk' kerana suka dengan jumlah 171
postings untuk
blogspot ini, 111 untuk
BERPETUALANG KE ACEH dan 55 untuk
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Saya mahu jumlah-jumlah ini bertahan untuk suatu ketika... Maklumlah ada gila-gila nombor...
Apabila "kesenyapan" ini dipecahkan dengan satu artikel bagi setiap
blogspot, terus hati ini berkata, jika membuat
update lagi selepas itu, ia harus dijadikan 3 artikel untuk setiap
blogspot... Maka
update seterusnya dibuat 2 hari lepas dan kebetulan ia termasuk artikel ke 9 untuk siri cerita
Trip to Europe 1995 di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat berdasarkan satu pengembaraan
hitchiking mengelilingi benua Eropah tahun 1995.
Keadaan ini pula membawa gerak hati yang mencadangkan agar untuk
update seterusnya, mesti dibuat satu artikel untuk setiap
blogspot... Ini akan menjadikan satu turutan nombor 1-3-1 dan saya memang suka nombor in kerana entah kenapa, sejak 7 tahun lalu selalu mengaitkan nombor 131 dengan
home sweet home atau rumahku syurgaku yang diidam-idamkan seumur hidup tapi masih belum dapat lagi... Turutan ini cukup cantik kerana ini bermakna saya juga akan membuat bahagian 10 yang merupakan cerita terakhir perjalanan ke Eropah tahun 1995 lalu menutup siri cerita ini terus dalam
blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...
OK... Adapun tarikh September 11 yang "dikeramatkan" kerana peristiwa kejatuhan bangunan di New York juga dikenali sebagai 911 sempena September bulan ke 9 diikuti hari ke 11... Kebetulan 911 juga membawa makna nombor talifon kecemasan untuk memanggil ambulan, polis dan sebagainya...
Di sini tergerak saya untuk meletakkan beberapa cerita berkaitan daripada siri buku "Berpetualang ke Aceh" untuk tatapan semua... Oleh kerana tidak ada mukasurat 911 pada mana-mana buku dalam siri ini, maka biar diambil cerita daripada mukasurat 119 (11 haribulan 9?) dan 191 (satu lagi bentuk aturan yang diambil daripada nombor 911) kerana gerak hati menyuruh berbuat begitu, entahlah untuk apa... Mungkin sekadar memuaskan hati sendiri sahaja? Wallahualam...
Oh... Sebelum itu biar dipaparkan dulu cerita berkenaan peristiwa September 11 yang ada dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA, tentang apa yang berlaku setelah mendapat sebuah mimpi misteri penuh makna...
--------------------------
Daripada bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak: Kisah Keramat Kuala Bidor"
Pada mulanya Rasyid tidak mengendahkan mimpi ini. Ketika itu, dia telah tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan sukan, sedang sibuk membuat liputan terutama acara hoki, sukan berkuda dan permotoran. Tetapi Peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan dua buah kapalterbang penumpang melanggar menara berkembar World Trade Centre di New York menyentaknya kepada mimpi yang berlaku sebulan sebelum itu. Seolah-olah ia berkait rapat dengan peristiwa yang diyakininya adalah tanda bermula serangan besar-besaran Yahudi Zionis ke atas umat Islam yang bakal menyaksikan Perang Dunia keTiga meletus tidak lama lagi, ada kena-mengena pula dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang pernah disebut Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu.
Sebelum itu, dia pernah terbaca risalah Protocols of the Elders of Zion yang ditemui secara tidak sengaja semasa melayari Internet di pejabat, satu set protokol yang mengandungi rancangan terperinci untuk menakluki dunia demi menerbitkan sebuah kerajaan besar sedunia yang dikenali sebagai The New World Order. Rancangan yang diilhamkan intelektual Zionis dahulu ini turut menyenaraikan penguasaan segala bentuk media massa - suratkhabar, berita, rencana, siaran radio, program TV, hiburan dan filem-filem Hollywood untuk membentuk masyarakat leka yang mindanya senang dijajah, disertai galakan meluas terhadap sistem kewangan berasaskan riba’ yang dipelopori the international bankers juga sokongan terhadap bakal tokoh-tokoh politik yang bijak dan berkarisma seluruh dunia tetapi kurang bermoral lalu boleh dicucuk dan ditarik hidungnya oleh Yahudi.
Pemuda yang sudah mula berjinak balik dengan tikar sembahyang itu juga telah mengenali Freemason, rangkaian yang mengaku berdiri di atas prinsip persaudaraan manusia sejagat untuk menerbitkan ketamadunan insan mulia tetapi sebenarnya bergerak secara underground untuk menjayakan rancangan Protocols. Rangkaian ini disokong pula oleh Illuminati, kumpulan elit yang terdiri daripada para bijak pandai, kaya raya dan berkuasa seluruh dunia tetapi tersembunyi seperti watak bayang-bayang yang mendokong segala komplot dalam siri televisyen popular The X-Files.
Pandangan pengasas syarikat gergasi kereta Henry Ford dalam bukunya The International Jews yang memperincikan taktik Yahudi menguasai sistem kewangan Amerika awal abad ke 20 menguatkan lagi kewujudan rancangan teliti Zionis untuk menakluki dunia. Hati kecilnya pula berkata perkara ini telah dibayangkan secara tersirat dalam mimpinya dahulu...
Lebih seminggu Rasyid gelisah tertanya-tanya apakah makna semua ini. Mengapa dia merasakan Perang Dunia Ketiga yang menurut satu dokumen mengenai Illuminati adalah perang besar terakhir yang dirancang sebelum mereka dapat menakluki dunia amat dekat sekali. Malah mungkin perang itu telah pun bermula dengan peristiwa 11 September. Sepertimana Perang Dunia Pertama dan Kedua yang meragut berpuluh-puluh juta nyawa bermula dengan konflik bersenjata kecil di Eropah Timur sebelum merebak beberapa tahun kemudian ke seluruh dunia.
Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.
Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah nenek.
Sampai sahaja di sana, nenek telah bersedia menyambut mesra. Wanita yang telah melepasi umur 70an itu tetap seperti dahulu, dengan senyuman manis tidak pernah lekang di bibir dan mata redup bercahaya, masih suka berkain batik dengan baju kurung Kedah. Walaupun cucu sulungnya sudah lama tidak menjenguknya, nenek tidak pernah berkecil hati. Malah airmukanya kelihatan lebih senang daripada dahulu, seolah-olah memang menunggu dan menjangkakan kedatangan anak muda itu.
Muhammad Al Aminul Rasyid menunggu sehingga selesai makan tengahari sebelum mengemukakan apa yang sudah lama terbuku di hati. Dengan menceritakan mimpi ganjilnya yang melibatkan keSultanan Perak serta kaitannya dengan akhir zaman. Bayangkan selepas begitu lama tidak berbual dengan nenek malah seumur hidup tidak pernah mengambil tahu tentang negeri kelahiran ayah, tiba-tiba dia boleh muncul kembali dan bertanyakan cerita-cerita lama tentang Perak. Yang peliknya nenek tidak hairan pun malah tersenyum berseri-seri pula. Seolah-olah sudah sampai masa cucundanya mengenali asal-usul diri, sudah sampai waktu bersedia untuk memikul amanah keluarga. Apalagi, nenek pun membuka cerita...
----------------------------
OK... Sekarang baru dimulakan sesi cerita berdasarkan nombor... Diambil daripada mukasurat 119 BKA I... Dalam Bab 3
Dalam pada itu, Rasyid teringatkan Nur, gadis kesayangannya. Timbul pula rasa rindu, sudah lebih dua minggu tidak menatap wajah manis wanita langsing itu yang menetap di selatan Kuala Lumpur. Terbayang pula senyuman lebarnya yang jarang lekang di bibir...
Anak muda itu juga sudah lama tidak bermalam di Kajang, di salah sebuah rumah milik keluarga, rumah penginapannya semasa tahun pertama bekerja sebagai wartawan 1996 hingga 1997. Rumah itu juga adalah tempat ayah menetap sebelum pencen dan kembali ke Muar.
“Hmm... Kalau panjat Gunung Nuang dan keluar di Hulu Langat boleh juga berjumpa Nur kemudian balik ke Kajang,” getus hatinya.
Dia pun keluar mandi di sungai bersebelahan rumah lalu bersiap-sedia. Ringkas, sebuah beg knapsack besar diisi penuh pakaian yang akan dibawa balik ke Kajang. Pakaian di badan sekadar t-shirt, seluar tracksuit dan sebuah jaket kalis hujan tertera lambang Polis diraja Malaysia serta perkataan “JELAJAH MESRA PDRM” di dada kiri. Hingga ada orang yang menganggap Rasyid seorang anggota polis, walaupun ketika pemuda itu sedang berambut panjang. Ramai juga menduga dia mungkin seorang polis undercover kerana gayanya yang agak tenang tetapi tegas dan berani, lebih-lebih lagi ketika memakai jaket labuh berwarna biru gelap ini. Nasib baik dia bukan jenis yang suka menyamar...
Anak muda ini tergelak apabila ditanya tentang itu. Geli-hati pun ada.... Lalu dia akan menyuakan bahagian lain jaket supaya dapat dilihat dengan jelas, jaket yang merupakan salah satu daripada pelbagai hadiah yang diterima ketika bertugas sebagai wartawan dahulu.
“Ini, tengok ini,” katanya menerangkan keadaan. “Lambang KFC ada, Telekom ada, EON, Majlis Sukan Negara malah Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur pun ada. Pilihlah yang mana, kamu hendak kata saya bekerja di mana. Semua pun boleh,” pemuda ini berseloroh.
Rasyid keluar dari rumah Pak Syed sekitar jam 10 pagi dengan memakai sepasang kasut ‘kung-fu’ lalu melangkah ke dalam hujan renyai yang masih belum putus sejak semalam menuju ke kedai makan berhampiran surau. Kebetulan pula kawannya yang biasa keluar masuk Gunung Nuang ada di kedai. Maka dia pun bersantai sebentar membaca suratkhabar dan minum kopi kemudian mendapatkan sedikit petunjuk tentang laluan yang perlu dijejaki di gunung itu nanti, jalan mana yang harus dipilih jika terjumpa denai yang bercabang dan sebagainya... Semuanya diterapkan dalam ingatan sahaja.
Ini daripada mukasurat 119 buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II... Daripada bab bertajuk "KeSultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh"...
Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar... Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”
Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”
Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba...”
“Janji yang mana itu, tuanku?”
“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun.”
“Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”
Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”
Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas. Itulah sebabnya anak Melayu tidak boleh derhaka kepada raja walau seburuk-mana sekali pun perangai raja itu... Kalau derhaka, maka tulah dimakan sumpah. Raja pula tidak boleh memberi aib atau malu terhadap anak Melayu walau besar mana sekali pun kesalahannya. Kalau dilakukan juga, raja itu akan jatuh “terpele’ot” juga nanti...
Sang Si Perba dan Wan Sendari pun dikahwinkan. Ternyata Wan Sendari tidak menghadapi apa-apa masalah setelah beradu dengan Sang Si Perba. Dari perkahwinan ini dapatlah empat orang anak termasuk dua orang perempuan, Puteri Seri Dewi dan Puteri Chendera Dewi. Yang laki-laki adalah Sang Maniaka dan Sang Nila Utama. Puteri-puteri ini masing-masing dijodohkan dengan Raja China dan Raja Majapahit. Sang Nila Utama pula turun ke Bentan, berkahwin dengan Wan Seri Beni, puteri kepada Raja Bentan, seorang raja perempuan bernama Permaisuri Iskandar Shah.
Sang Nila Utama inilah yang kemudiannya pergi ke Temasik dan menamakan pulau itu sebagai Singapura mengambil sempena nama seekor binatang tangkas yang dilihatnya di situ. Baginda pun memerintah Singapura dengan memakai nama Seri Teri Buana...
Ini pula daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III yang belum keluar dan masih dalam proses penyuntingan...
Pada mulanya, saya tidak mahu memaparkan ini lagi kerana ia melibatkan perkara peribadi yang sepatutnya cuma akan dikeluarkan apabila ia memasuki pasaran, Insyaallah sebelum tamat 2007... Tapi apabila memikirkan gerak hati ini yang menyuruh mengeluarkannya pada tarikh ini kerana ia terletak pada mukasurat 119 maka saya ikut sahajalah... Ini dia, kebetulan daripada Bab 11...
Sebab utama yang diberikan isteri Rasyid mengapa mereka tidak lagi sehaluan sehingga akhirnya berpisah adalah pemuda itu tidak mahu berubah, sudah beberapa tahun tidak mahu bekerja atau mencari kerja. Sebenarnya bukan dia tidak mahu bekerja tetapi dia tidak mampu lagi... Walaupun zahirnya kelihatan Rasyid masih kuat, hakikatnya dia sedang begitu lemah akibat tamparan hidup yang hebat. Jiwanya terlalu runsing, tidur selalu tidak menentu dan badan pula selalu sakit, pening kepala, dan demam… Isteri yang suka merungut pula menambahkan beban...
Semasa isterinya sedang mengandung enam bulan, Rasyid pernah bekerja dengan seorang bapa saudara untuk menghidupkan kembali sebuah yayasan Islam yang sudah lama terkubur. Oleh kerana bapa saudara yang merupakan seorang daripada tiga pengarah asal yayasan sibuk dengan kerjaya sendiri, pemuda itu terpaksa bertugas seorang diri untuk menyatukan kembali ‘sisa-sisa’ yayasan berdasarkan dokumen-dokumen seperti penyata akaun serta minit-minit mesyuarat yang masih disimpan.
Yayasan peringkat nasional yang pernah dinaungi beberapa nama besar politik tanah-air ini ditubuhkan 5 tahun lalu dengan misi untuk memperkenalkan perubatan Islam. Kerajaan telah menganugerahkan sekeping tanah luas di sebuah kawasan yang sedang meningkat maju untuk digunakan sebagai tapak pusat perubatan yayasan. Modal permulaan berjuta Ringgit turut disumbang beberapa badan kebajikan.
Malangnya, pihak yang diamanahkan untuk mendirikan pusat ternyata tidak jujur. Selepas menubuhkan sebuah syarikat induk dengan beberapa buah anak syarikat, mereka terlebih dahulu menganugerahkan imbuhan tinggi untuk setiap pengarah syarikat termasuk kereta mewah berserta pemandu malah pakej pelancongan ke luar negeri setahun sekali untuk mereka dan keluarga! Orang-orang ini juga telah membazirkan banyak wang untuk menyewa pejabat operasi syarikat kemudian mebuat pengubah-suaian mewah. Yuran yang sangat mahal pula diberikan untuk khidmat profesional seperti guaman, audit, pakar hartanah dan sebagainya. Hasilnya, wang yayasan cepat susut sedangkan projek itu tak ke mana...
Apa yang Rasyid lihat, mereka telah memilih khidmat kenalan yang berkepentingan. Modal untuk mendirikan pusat disalurkan kepada kroni. Maka itu tidak hairanlah jika bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan hasil kerja yang terzahir. Projek pembinaan berjalan lancar di atas kertas tetapi hasil kemajuan seperti tak wujud langsung di tapak pembinaan....
Di bawah ini pula adalah isi mukasurat 191 bagi BKA I, BKA II dan BKA III... Kebetulan untuk setiap buku, mukasurat 191 menjadi permulaan bab-bab baru... Ini dia...
Untuk BKA I...
LEGENDA MERAH SILU:
KEMUNCULAN
SULTAN MALIKUS SALIH
QADDASALLAHU SIRRAHU
Ingatlah, sesungguhnya para Awliya Allah, tiada mereka perlu kuatirkan, dan tiada mereka berduka-cita, iaitu orang-orang yang telah beriman dan sentiasa bertaqwa, bagi mereka berita gembira dalam hidup di dunia dan akhirat,tiada perubahan dalam janji-janji Allah, inilah kemenangan yang besar.
- Surah Yunus, ayat 62-64
Daripada BKA II pula...
BAB 9
Setelah tiga hari berturut bermalam di teratak buruk Lelek menikmati ketenangan Pulau Kampai, sampailah masanya untuk Rasyid meneruskan perjalanan. Pemuda itupun menyatakan hasrat untuk mula melangkah ke Medan, orang tua itu pula terdiam muram. Malam tadi, anak Malaysia ini sudah menyatakan niat untuk berangkat segera tetapi orang tua ini masih berharap agar dia duduk lebih lama di situ. Malah Lelek mengajak Rasyid terus menetap di pulau itu sepertimana dia sendiri pernah mengembara ke seluruh tanah Jawa semasa zaman mudanya, kemudian sebahagian besar Sumatera sebelum menghabiskan sisa-sisa umur lanjutnya di pulau ini.
Orang tua itu diam membisu. Rasyid memecah keheningan suasana: “Saya mesti pergi Lek. Mesti ke Medan, cuba dapatkan surat kebenaran masuk ke Aceh. Perjalanan saya masih jauh, banyak yang belum selesai...”
Lelek menundukkan muka. Pemuda itu cuba memujuk lembut...“Sabarlah Lek... Mana tahu suatu hari nanti saya akan kembali ke sini? Mana tahu saya akan datang dan mendirikan rumah di sini? Bila timbul rasa rindu pada Pulau Kampai, bolehlah datang duduk... Bila rasa hendak berjalan ke tempat lain, jalan... Apa-apa hal pun Insyaallah, saya akan sampai ke sini lagi!”
Orang tua itu menoleh sayu. “Apalah hendak disusah-susahkan buat rumah nak?” dia bersuara tersekat-sekat. “Tidur sahaja di rumah Lelek. Rumah inipun bukannya ada orang sangat. Elok juga kalau kamu ada...”
Suasana senyap seketika. Malaikat lalu agaknya… Melihat pemuda itu tidak memberi apa-apa jawaban, Lelek pun menyambung: “Tak mengapalah kalau kamu mahu bergerak juga. Aku doakan kamu selamat bahagia.”
Mereka duduk diam saling memandang... Bagai adegan seorang anak ingin berjalan jauh meninggalkan bapa tidak berteman, mula terasa sunyi tetapi akur sudah sampai masa anaknya pergi. Selepas beberapa ketika, barulah orang tua itu tersenyum menerima keadaan. Rasyid tuut tersenyum sama. Mereka pun bersiap ke masjid untuk bersolat Subuh berjemaah, masjid yang berjaya menemukan dua jiwa pengembara tiga hari lalu…
Dan akhir sekali daripada BKA III...
TOK PULAU MANIS,
BATU BERSURAT TERENGGANU
DAN BEBERAPA WARISAN ACEH
Rasulullah dengan yang orang sentiasa sir,
Asa pada Dewata Yang Mulia Raya memberi menamakan negara Agama Islam,
Dengan benar bicara dari diajar mengesahkan bagi sekalian hamba Dewata muliaRaya,
Di benua aku ini penentu agama Rasulullah SAW Raja,
Mandalika yang benar secara Islam Dewata Mulia Raya,
Bahumi ini penentu itu fardhu pada sekalian Raja Mandalika,
Islam menurut sembah Dewata Mulia Raya,
Dengan benar secara hal ehwal kerana Hukum Mu Asma Ilahi Mu,
Maka titah Seri Paduka Tuhan menduduki Tamir ini di benua Terengganu ini
ada purnama ada,
Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di Sasakala,
Baginda Rasulullah telah lalu Tujuh Ratus Dua.
-Terjemahan Batu Bersurat Terengganu
OK... Cukuplah ya... Saya pun tak tahu lagi apakah yang tersurat dan tersirat dengan gerak untuk mengeluarkan cerita-cerita ini dengan aturan sebegitu rupa. Saya cuma menurut sahaja. Sekian! :] (Jam di Cyber-Cafe menunjukkan pukul 11.31 malam ketika menulis perenggan ini...)