Anak pertama dipanggil Long, kedua Ngah, keempat Uda, kelima Andak. Kalau tak salah saya keenam pula dipanggil Hitam atau Itam (misalnya adik bapa saya Anuar yang merupakan anak keenam saya panggil Pak Hitam) dan ketujuh Uteh. Seterusnya saya tak pasti tetapi anak paling kecil atau anak bongsu dipanggil Su dan anak sebelumnya atau kedua bongsu dipanggil Achik. Namun untuk Raja Alang atau Raja Allang ibni Raja Berayun perkataan Alang atau Allang itu memang nama, bukan menandakan kedudukan dalam keluarga.
Tidak lama kemudian muncul saudari Harleny (dua dari kiri) bersama ayahanda dan ibundanya. Harleny yang mengendalikan blogspot Jejak Mihrab & Mimbar adalah seorang pengkaji senirupa binaan pada bangunan lama yang sedang gigih menelusuri salasilah keluarganya. Ibunya berketurunan Haji Mustafa Raja Kamala yang membuka Tanjung Malim dan menjadi penghulu pertamanya penghujung abad ke 19 Masihi. Ayahandanya pula dipercayai berketurunan Raja Berayun.
Kelihatan dalam gambar, berdiri adalah Raja Firdaus dengan bapanya Raja Allang duduk berbaju dan berkopiah putih. Ke kanan adalah saya diikuti ayahanda kepada Harleny yang bernama Arif. Membelakangkan gambar, dari kiri adalah isteri saya, Harleny dan bondanya.
Adapun moyang Harleny sebelah bonda iaitu Haji Mustafa Raja Kamala agak terkenal dalam sejarah sebagai tokoh besar orang Rawa. Beliau disebut bersaudara rapat dengan tokoh pahlawan terkenal Mat Kilau dan ayahandanya Tok Gajah lalu pernah turut terlibat dalam perang saudara Pahang antara Bendahara Wan Mutahir dan adindanya Wan Ahmad (kemudian menjadi Bendahara seterusnya Sultan Pahang) pertengahan abad ke 19 Masihi. Selepas itu beliau dan pengikutnya membawa diri ke Perak lalu membuka Tanjung Malim. Namun kajian peribadi Harleny yang membawanya mengembara hingga ke Kota Raja di Tanah Rawa atau Rao, Sumatera dan ke Aceh mendapati nasab Haji Mustafa sebenarnya sampai kepada keluarga Raja-raja Aceh dari Dinasti Bugis. Untuk pengetahuan, sejak tahun 1720an hinggalah kesultanannya ditamatkan Belanda awal 1900an, Aceh diperintah raja-raja berketurunan Bugis.
Kami ada sebab sendiri untuk percaya baik Raja Allang yang terkenal sebagai orang besar Kuala Lumpur dahulukala mahupun ayahandanya Raja Berayun yang pernah menjadi panglima utama kepada Sultan Selangor keempat, Sultan Abdul Samad juga ada kaitan dalam persoalan ini. Walaupun mereka dikenali sebagai tokoh besar orang Mandailing, kami ada sebab tersendiri untuk percaya nasab utama mereka iaitu bapa atas bapa sampai kepada Raja-raja Aceh Dinasti Bugis.
Namun saya tidak pasti bagaimana persoalan ini mahu dikemukakan kepada Raja Allang yang umurnya sebaya dengan ayahanda saya. Saya biarkan dahulu dia bercerita tentang nasab keluarga diraja Mandailing di mana datuknya Raja Allang dan moyangnya Raja Berayun disebut berasal dari marga atau kelompok keluarga Nasution yang bermakna "orang sakti". Raja Allang sempat menceritakan, semasa ibunya mengandungkannya dahulu ada seorang ibu saudaranya juga sedang mengandung sama. Lalu datuk perempuannya, isteri kepada Raja Allang ibni Raja Berayun berpesan, siapa yang dapat anak lelaki dahulu biarlah dia diberi nama Raja Allang serupa nama datuknya (yang sudah meninggal dunia tahun 1930an). Ternyata beliau dilahirkan lebih awal sekitar 1942 lalu dapatlah nama itu...
Raja Allang juga menunjukkan gambar-gambarnya sewaktu pergi umrah beberapa tahun lalu. Katanya abangnya yang ikut sama berkenalan dengan seorang dari Sumatera, Indonesia. Cerita punya cerita terkeluarlah hal mengenai keluarga mereka yang berdarah Mandailing dari nasab Raja Allang ibni Raja Berayun. Orang Indonesia yang rupa-rupanya ada kaitan itu terus teruja. Terus dijemputnya mereka pergi ke Tanah Mandailing dengan segala kos ditanggung beres.
Kata Raja Allang mereka anak-beranak disambut penuh istiadat seperti keluarga jauh kembali ke tanah tumpah darahnya apabila datang ke sana. Mereka dibawa masuk ke dalam istana lama Mandailing dan ditunjukkan salasilah besar di mana ternyata nama datuknya Raja Allang ibni Raja Berayun sudah sedia tercatat berserta nama keluarga. Menurut salasilah itu, nasab Raja Berayun sampai kepada Sang Siperba yang dipercayai berketurunan Iskandar Zulkarnain. Ah. Saya cukup tahu cerita ini kerana ada disebut di dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang. Menurut kitab tersebut, semasa Iskandar Zulkarnain mengalahkan India baginda sempat mengahwini seorang puteri raja sana.
Dari situlah terbit keturunan yang membawa kepada seorang raja besar India (sebenarnya yang dimaksudkan adalah benua Hindi) bernama Raja Suran. Raja Suran pernah turun ke dalam laut lalu terlihat sebuah kerajaan besar dan berkahwin dengan puteri rajanya. Dari puteri ini lahir 3 orang putera yang kemudian muncul di Bukit Siguntang Palembang. Salah seorang putera kemudian menjadi raja besar yang dipanggil Sang Siperba.
Sang Siperba memiliki seorang anak bernama Sang Nila Utama yang kemudian membuka kerajaan Singapura. Dari Sang Nila Utama inilah muncul nasab Raja-raja Melaka sementara Sang Siperba ini kemudian pergi ke tengah Sumatera membuka kerajaan baru lalu ceritanya tidak disebut lagi dalam Sulalatus Salatin. Maka di sinilah kerajaan Minangkabau mengaitkan keturunan raja-rajanya dengan nasab raja besar Iskandar Zulkarnain. Nampaknya dari situ pula muncul satu pecahan yang merajai tanah Mandailing. Raja Berayun malah seluruh marga diraja Nasution disebut berasal dari keturunan ini.
Sambil itu saya teringat satu salasilah keluarga milik ibu mertua kepada seorang ibu saudara saya (adik kepada ibu). Ibu saudara ini berkahwin dengan seorang cucu kepada pahlawan Perak zaman Perang Perak 1875-1877 (akibat pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch) iaitu Ngah Jabor. Ngah Jabor diketahui berasal dari keluarga Maharajalela Perak yang berdarah Bugis dan katanya ada campuran darah Aceh juga. Beliau diberitakan berkahwin dengan seorang perempuan Mandailing bermarga Nasution, puteri kepada Imam Perang Basir (ada yang kata Nasir). Ketika itulah Ngah Jabor yang dapat melarikan diri dari buruan British (katanya akibat pertolongan Sultan Idris I yang merupakan adik-beradik susuannya) memakai nama lain Jabarumun atau Imam Perang Jabarumun lalu dikenali sebagai orang Mandailing.
Oh. Saya telah terlangkau menyebut bagaimana Ngah Jabor yang sebenarnya berdarah Bugis dan Aceh boleh dikenali sebagai orang Mandailing pula, akibat menjadi menantu seorang tokoh pemimpin dan ulamak Mandailing. Selain itu beliau berbuat demikian untuk mengelakkan diri daripada ditangkap kerana pada zaman penuh pancaroba itu orang Mandailing di Perak telah dianggap sekutu kepada Inggeris berbanding orang Melayu Perak terutama berdarah Aceh dan Bugis yang dikira pemberontak. Berbalik pada salasilah milik ibu mertua kepada ibu saudara saya. Adapun salah seorang anak Ngah Jabor ini bernama Ahmad, ayah mertua kepada ibu saudara ini. Ahmad ini mengahwini seorang wanita yang saya panggil Opah, lupa pula nama sebenarnya. Kalau tak salah ingatan Opah yang meninggal dunia tahun 2007 pada umur 92 tahun itu lebih berasal daripada keluarga Mandailing marga Rangkuti di mana datuk atau moyangnya dikenali sebagai Bendahara Raja yang terlibat aktif ketika perang saudara Selangor (perang Raja Mahadi dengan Tengku Kudin).
Salasilah keluarga Rangkuti itu membawa kepada nama raja-raja Mandailing yang pelik-pelik bagi telinga orang Melayu. Tetapi apabila sampai kepada bahagian paling atas tahukah anda nama apakah yang muncul? Saidina Ali! Ya Saidina Ali. Menurut salasilah itu, keluarga Mandailing Rangkuti adalah keturunan Saidina Ali tetapi dari isteri lain, bukan Sayiditina Fatimah, puteri kepada Nabi Muhammad SAW). Macam susah nak percaya. Dari nama-nama bawah yang kelihatan seperti milik orang asli dalam hutan boleh sampai ke Arab malah ke satu personaliti yang sangat terhormat dalam Islam seperti Saidina Ali.
Oh. Nak tahu bagaimana pertemuan semalam boleh berlangsung? Saudara Raja Firdaus (gambar atas) menceritakan pada satu hari ayahnya Raja Allang meminta beliau mencari kisah Raja Berayun di Internet. Selepas beberapa hari baru beliau mencari lalu terjumpa beberapa buah halaman dengan cerita-cerita menarik menyebut sejarah Raja Berayun seperti sudah sedia diketahui keluarga mereka. Ada di antaranya menunjukkan gambar-gambar sekitar makam di Jugra. Lihat artikel saya Makam (Tomb of) Raja Berayun di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Namun beliau terasa seperti belum cukup lalu membuat search nama Raja Alang atau Raja Allang iaitu anakanda Raja Berayun pula. Ketika itulah terjumpa artikel Makam (Tomb of) Raja Alang ibni Raja Berayun yang saya buat tepat sebulan lalu.
Kata Raja Firdaus beliau agak terperanjat melihat artikel itu. Ini kerana ia merupakan satu-satunya artikel beliau pernah jumpa yang memaparkan gambar makam Raja Allang dengan tepat. Pada beliau kemunculan gambar-gambar makam Raja Berayun tidak begitu menghairankan kerana makamnya sangat terang yang mana dan di manakah kedudukannya kalau kita sudah masuk ke kawasannya di kaki Bukit Jugra. Sebaliknya makam Raja Allang adalah satu antara beribu makam dan kubur yang terdapat di tanah perkuburan Ampang. Setahunya cuma waris sahaja yang tahu kedudukannya.
Itulah yang membuatnya terasa hendak meletakkan komen pada artikel tersebut. Katanya dia boleh mengaturkan satu pertemuan dengan ayahandanya yang merupakan cucu Raja Allang jika saya mahu tahu kisah keluarga itu lebih lanjut. Kebetulan pula Harleny baru sahaja ke Perak menyusuri sejarah keluarga Raja Billah dan Raja Asal yang merupakan dua tokoh Mandailing paling terkenal di negeri itu dan saya percaya ada kaitannya dengan keluarga Raja Allang dan Raja Berayun. Saya pun menyuruhnya mengatur pertemuan dengan Raja Firdaus. Jadilah sesi soreh semalam...
Sebenarnya Raja Allang ini adalah cucunda Raja Allang ibni Raja Berayun melalui bondanya Raja Arfah ibni Raja Allang. Nasab lelaki atas lelaki yang harus dikira nasab utama pula sampai kepada Raja Hassan @ Raja Busu yang membuka lombong bijih timah di Lukut sekitar tahun 1815 (menurut salasilah yang saya lihat Raja Allang ini generasi keenam keturunan langsung Raja Hassan). Raja Hassan pula adalah anakanda Raja Nala ibni Sultan Salehuddin (Sultan pertama Selangor) ibni Daeng Chelak. Raja Nala yang menjadi Raja Muda Selangor semasa kekandanya Sultan Ibrahim menjadi Sultan kedua Selangor (1782-1826) dikatakan mangkat di Aceh sekitar 1795. Terus bulu roma saya meremang melihat ini...
Tu dia. Dalam kita asyik dok bercerita pasal keluarga diraja Mandailing rupa-rupanya keturunan induk pakcik Raja Allang ini sebenarnya berdarah Bugis dan ada kena-mengena dengan Aceh. Ini seolah-olah membenarkan telahan awal saya yang turut dirasakan Harleny bahawa nasab Raja Berayun, Raja Asal dan Raja Bilah kalau dapat dikupas secara teliti induknya akan membawa kepada Raja-raja Aceh Dinasti Bugis sepertimana yang berlaku pada nasab Haji Mustafa Raja Kamala yang dikenali umum sebagai tokoh besar orang Rawa. Saya bertanya pakcik Raja Allang kenapa beliau terasa rapat dengan nasab belah Mandailing sehingga lebih merasakan dirinya berdarah Mandailing. Jawab beliau, datuknya dahulu yang kalau tak salah ingatan bernama Raja Hitam tidak berapa berkenan apabila ayahnya (Raja Ali kalau tak salah) memilih untuk berkahwin dengan Raja Arfah, puteri Raja Allang ibni Raja Berayun. Lalu mereka lebih rapat dan dibesarkan di kalangan keluarga berdarah Mandailing.
Apapun induk keturunan mereka tetap berdarah Bugis yang ada kena-mengena dengan Aceh. Kiranya ini contoh yang Allah beri di hadapan mata, bagaimana orang dari keturunan Bugis-Aceh boleh menyangkakan dirinya berketurunan Mandailing atau Rawa. Teringat keluarga saya sendiri di mana ibu dan adik-beradiknya selalu menyatakan diri sebagai orang Jawa. Walhal darah induknya dari sebelah bapa adalah Bugis yang baru sekitar 3 minggu dahulu saya dapat tahu berketurunan Daeng Parani. Kalau begitu tidak mustahil ada seorang dari keluarga Raja-raja Aceh Dinasti Bugis telah berhijrah ke tanah Mandailing lalu berkahwin dengan perempuan bangsawan mereka dan terus hidup di kalangan itu. Anak cucunya pun terus dikenali sebagai orang Mandailing walhal induk keluarga adalah dari darah Aceh-Bugis.
Nota: Raja Allang ada juga menceritakan penglibatannya dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969, tentang rumah datuknya Raja Allang di tengah bandaraya Kuala Lumpur, tentang satu jalan bernama Malay Street yang dah jadi Jalan Masjid India dan sebagainya. Beliau juga ada menyebut tentang Keris Beruk Berayun yang menjadi keris kebesaran Selangor. Katanya ia memang milik Raja Berayun dahulu. Tetapi cukuplah saya menyentuh hal nasab keluarga sahaja ya. :]