Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 30, 2023

Peranan wartawan dalam menerbitkan kesedaran dan membangkitkan perjuangan

OK. Lagi melibatkan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).  Ahad malam Isnin 26 November saya telah bercerita tentang hal ijazah yang diterima siang itu, dalam artikel Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53. Hari sebelumnya Sabtu malam Ahad 25 November bercerita tentang majlis ilmu yang dihadiri di kampus ISTAC petang Jumaat 24 November. Lihat Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik. Sebelum itu pula iaitu pada petang Rabu 22 November tentang majlis ilmu di bahagian lain kampus petang Selasa 21 November. Lihat Penyalahgunaan maklumat sejarah di media sosial - Bagaimana hendak menanganinya?. Sekarang biar dipersembahkan satu lagi cerita tentang majlis ilmu di ISTAC.


Majlis ilmu kali ini berlangsung semalam petang Rabu 29 November 2023. Ia adalah yang pertama di bawah siri baru yang namanya boleh diterjemahkan sebagai "Syarahan-syarahan Kewartawanan, Pembaharuan dan Masyarakat". Tajuk edisi pertama boleh diterjemahkan sebagai "A Samad Ismail (1924-2008) dan Haji Muhammad Said (1905-1995" : Wartawan, Intektual Awam dan Nasional". Ia merujuk kepada dua tokoh besar, seorang di Malaysia, seorang di Indonesia yang sangat memainkan peranan dalam memupuk kesedaran masyarakat bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah di tempat masing-masing. 



Penyampai adalah Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican dan Profesor Madya Dr Mehmet Ozay, kedua-duanya daripada ISTAC. Murad yang turut bertindak sebagai moderator/pemudah cara pun memperkenalkan majlis. Sebetulnya apabila isteri memberitahu telah dibenarkan bekerja dari rumah (work from home) hari itu saya bercadang untuk hadir secara fizikal ke majlis. Saya turut bercadang untuk menghadiri satu majlis besar bertajuk "Islam-Confucianism Leadership Dialogue" - Dialog Kepimpinan Islam dan Confucianism (satu pegangan falsafah masyarakat Cina yang hampir menyerupai agama) - di bahagian lain bandar raya Kuala Lumpur pada hari sama pagi hingga petang. 

Guru dan penyelia tesis saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar adalah seorang penyampai utama dalam majlis dialog. Bahkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk  merasmikan sebuah buku tulisan beliau yang sangat relevan dalam tajuk. Saya boleh hadir sebahagian daripada majlis dialog sebelum bergegas ke ISTAC. Namun hendak dijadikan cerita saya harus menguruskan beberapa perkara melibatkan kereta dan rumah 

Ada kemalangan kecil telah berlaku petang sebelumnya menyebabkan saya harus membuat usaha gantian sendiri barangan berkenaan. Ada pula barangan lain harus dibeli lalu dicari merata untuk kegunaan rumah yang sedang dibuat sedikit tambahan. Bila dah keluar baru tersedar rupa-rupanya lesen kereta tamat 26 November belum diperbaharui. Jadi macam-macam kena buat dan ia tidak boleh ditunda.

Akibatnya saya harus berada di Bukit Beruntung sehingga jam 3 petang. Memang tak terkejar ke ISTAC 40 km dari rumah. Sampai rumah sekitar jam 3.11 terus mengikuti majlis yang telah bermula melalui Youtube. Dengan itu biar dikongsikan tangkapan-tangkap gambar yang dibuat apabila menonton kembali petang Khamis 30 November bagi menyokong penceritaan.



Murad menyebut bahawa kita harus tahu sejarah dunia kewartawanan untuk lebih faham keadaan dan ia harus merentasi sempadan (yang memisahkan Malaysia dengan Indonesia itu).  Disebutlah tentang akhbar terawal berbahasa Melayu yang bermula tahun 1870an iaitu Jawi Peranakan diterbiktan di Singapura tetapi turut dibaca di Pulau Pinang,  Medan, Batavia (nama lama Jakarta) dan Pontianak membawa pemikiran yang bersifat kosmopolitan . Kemudian muncul akbar seperti Al-Islam tahun 1906 mengangkat isu Islam dan modernisma dibaca di seluruh Alam Melayu. Akbar-akbar ini memainkan peranan yang bersifat ketamadunan dalam tempoh waktu berkenaan.



Di sini tidak larat saya untuk menceritakan semua perkara penting yang disampaikan dalam majlis. Saya berusaha untuk membuat perkongsian ini pun dalam keadaan badan kurang sihat dan penat, begitu juga kepala berat semacam. Cukuplah dinyatakan, menurut Murad tanpa dunia kewartawatan melibatkan wartawan dan akhbar kedua-dua Malaysia dan Indonesia tidak akan berjaya mendapatkan kemerdekaan. A Samad Ismail muncul sebagai tokoh besar dunia kewartawanan di Negeri-negeri Melayu yang kemudian membentuk negara Malaysia.




Sebetulnya banyak maklumat boleh dicari tentang Samad melalui pelbagai cara. Umumnya beliau pernah menjadi wartawan prolifik di akhbar Utusan kemudian menerajui Berita Harian.




Seingat saya, semasa bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 pernah beberapa kali terserempak dengan beliau di ibu pejabat di Jalan Riong, Bangsar. Seorang anak perempuannya pula wartawan senior sepejabat. Untuk pengetahuan Berita Harian adalah antara akbar di bawah kumpulan NST.



Murad menceritakan bahawa beliau sendiri pernah menjadi wartawan. Walaupun bukan di Berita Harian tetapi di Bernama tetap berpeluang bertemu dan bertukar cerita dengan Samad. Lalu dinyatakan tokoh besar wartawan itu turut membuat lain-lain bentuk penulisan termasuk kumpulan karangan (essays) dan novel. Warna warni kehidupan turut menyaksikan beliau pernah dituduh menyokong komunisma.



Selepas beberapa lama sampai masa untuk pembentang kedua Mehmet Ozay berkongsi tentang tokoh kewartawanan Indonesia, Haji Muhammad Said yang lahir hampir 20 tahun lebih awal.




Disebutlah tentang latar belakang keluarga dan keturunan Mohd. Said yang merupakan orang-orang beragama, bagaimana ini dilibat membentuk hala tuju beliau.





Dinyatakan bagaimana hal perubahan zaman melibatkan kemasyarakatan ditanggapi para pemikir, golongan intektual juga agamawan.




Dinyatakan bagaimana wartawan seperti Mohd Said yang juga merupakan seorang intelektual menyumbang pada usaha bagi menghidupkan kembali budaya dan ketamadunan Islam dalam persekitaran yang sudah lama dijajah bangsa Barat,



Pertembungan antara 'kemodenan' yang dibawa Barat dengan realiti sosio-politik tempatan yang sedang berusaha menolak penjajahan menjadi latar belakang untuk wartawan yang prihatin bertindak.




Cukuplah sedikit perkongsian daripada saya ini ya.  Sila ikuti sendiri majlis melalui rakaman di sini.



Ahad, November 26, 2023

Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53

Salam semua. Satu cerita istimewa bagi hari ini Ahad 26 November 2023 yang tarikh Islamnya selepas Maghrib, malam Isnin adalah 13 Jamadil Awal 1445 Hijriah.



Merujuk pada artikel Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik yang dipersembahkan selepas masuk waktu Isyak semalam. Ada dinyatakan pada penghujung artikel bahawa siang itu saya  ada mengambil anak keluar bercuti dari ma'ahad tahfiznya di Janda Baik. Ini supaya dapat bersama ibunya melihat saya menerima ijazah daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini dijadualkan berlaku dalam majlis konveksyen ke-39 UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang berlangsung 25-29 November. 





Untuk pengetahuan ISTAC adalah institusi kajian (research) bagi pelajar pascasiswazah sahaja, tidak ada pelajar Sarjana Muda sementara UIA adalah universiti induk yang menaunginya. Kalau tidak kerana syarat berupa cuma institusi yang bertaraf universiti penuh sahaja boleh mengeluarkan ijazah Sarjana dan PhD tentu ISTAC tidak perlu dinaungi. Ini kerana reputasinya sebenarnya lebih besar dan cukup dikenali dalam dunia intelektual Islam sedunia. Apapun, sesi bagi saya menerima ijazah sarjana dalam bidang Malay World Studies (pengajian Alam Melayu) daripada ISTAC (saya lebih suka sebut itu walaupun secara rasminya UIA yang menganugerahkan ijazah) berlangsung pada pagi Ahad 26 November 2023. 




Maka bergegaslah saya bersama isteri dan anak ke kampus induk UIA di Gombak bagi menyertai majlis apabila sampai masanya. Ada dinyatakan dalam artikel Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik bahawa 26 November adalah satu tarikh yang sangat-sangat istimewa buat diri ini. Sekarang biarlah diberitahu. Ia adalah  ulang tahun kelahiran saya yang ke-53!




Ya. Saya sudah berumur 53 tahun. Satu umur yang agak tua dalam dunia akademik kerana selalunya, orang akan menyambung ke peringkat Sarjana tidak lama selepas lulus lalu mendapat ijazah Sarjana Muda, biasanya ketika berumur antara 23-25 tahun. Kemudian apabila lulus Sarjana sambung ke peringkat PhD. Dalam dunia akademik adalah menjadi kebiasaan orang sudah memiliki PhD apabila masuk umur 35 tahun. Jadi Sarjana itu tidaklah sebesar mana. Tetapi bagi orang di luar dunia akademik? Sarjana Muda pun sudah cukup untuk meningkat naik dalam pelbagai kerjaya...




Sebetulnya saya ada mendapat tawaran untuk menyambung ke peringkat Sarjana atau Master di United Kingdom sebaik sahaja mendapat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik daripada University College of London hampir penghujung tahun 1995. Tetapi ketika itu berlaku sejumlah perkara pelik bersifat spiritual yang menyebabkan saya hilang minat untuk menyambung pelajaran. Bahkan konvokesyen pun tidak hadir langsung. Walhal ia sangat didambakan graduan di mana-mana universiti...




Saya mendapat ijazah yang dihantar secara pos, lupa sama ada pada penghujung 1995 atau awal 1996. Kemudian ketika bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times (1996-2001) saya diajak menyambung di ISTAC. Ketika itu ia berpusat di Bukit Damansara. Yang mengajak itu seorang anak kepada Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib Alattas iaitu pengasas ISTAC, sekitar tahun 1998 kalau tak salah ingatan. 




Tetapi sekali lagi, saya tidak berminat hendak menyambung pelajaran. Saya cuma ada timbul balik minat sekitar tahun 2016. Ini berlaku setelah banyak kali diajak untuk menyambung, dalam bidang sejarah di Universiti Malaya, oleh sejarawan terkenal Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, sejak 2-3 tahun sebelum itu. Namun apabila melihat yuran semester agak tinggi terus tak jadi. Saya tak mampu membayarnya.




Hampir penghujung 2018 baru akhirnya menyambung di ISTAC. Ketika itu ia bukan lagi di bawah Syed Naquib dan sudah berpindah ke Bukit Tunku. Ini kerana selain tertarik dengan reka bentuk bangunan kampus yang memiliki ciri-ciri serupa Istana Alhambra semasa zaman kegemilangan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol yuran semesternya jauh lebih murah. Lihat artikel lama Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia.




Maka bayangkan perasaan apabila akhirnya dapat lulus pengajian kemudian menghadiri konvokesyen. Ia adalah konvokesyen pertama dihadiri bagi menerima ijazah kerana tidak hadir yang di London 28 tahun lalu.




Seingat saya cuma pernah menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di bangunan Parlimen, ketika bapa menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar tahun 1975 kalau tak salah. Bapa saya asalnya guru lulusan sijil maktab perguruan. Beliau menyambung pengajian ketika saya masih kecil. Teringat bagaimana dahulu selalu bertanyakan ibu bila bapa hendak balik kerana kami menetap di Muar, sedangkan beliau menyambung pelajaran di Kuala Lumpur (kampus induk di Bangi cuma siap lalu dibuka tahun 1977). Saya yang merupakan anak sulung selalu merindui bapa walaupun beliau amat garang orangnya.




Selesai sesi sekitar jam 11.30 terus menukar topi graduasi dengan tanjak. Kalau sahaja boleh memakai tanjak dalam majlis konvokesyen tentu saya akan melakukannya. Namun nak tak nak kena ikut cara pakaian yang ditetapkan. Bahkan rambut panjang saya pun harus disorokkan lalu ditolong perkemaskan oleh petugas demi memenuhi kehendak majlis.




Sepanjang sesi berlangsung anak yang memakai tanjak. Saya suruh supaya mudah mengambilnya selepas sesi...




Dari kampus induk UIA di Gombak kami ke ISTAC di Bukit Tunku sekitar 16-17 km perjalanan.




Oh. Cuma terdapat 4 orang lulus PhD daripada ISTAC tahun ini, 7 orang Sarjana. Saya diberitahu cuma seorang sahaja hadir pada sesi PhD pagi Sabtu 25 November. Bagi sesi Sarjana pagi Ahad pula cuma 2 orang hadir termasuk saya. Yang ini nampak dengan mata kepala sendiri kerana duduk di barisan sama yang mana terdapat 5 buah kerusi kosong.

Layan gila-gila nombor sat. Kerusi saya nombor 13. Konvokesyen ini adalah ke-39 buat UIA. 39 adalah 3 x 13. Bagi mereka yang faham 313 adalah nombor perjuangan (313 tentera Islam dalam Perang Badar).




Oh. Sekadar mengulangi apa yang ada dinyatakan dalam artikel  Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik, sebelum itu dalam artikel Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat. Saya adalah seorang daripada cuma 2 orang graduan Sarjana ISTAC dalam bidang Malay World Studies. Program itu tidak ditawarkan lagi dan seorang lagi itu pula lulus lalu menerima ijazah pada konvokesyen tahun lalu. Ini menjadikan saya graduan terakhir program tersebut daripada ISTAC juga daripada UIA! 




Ini adalah satu keunikan yang langka. Difahamkan, sebelum ini program tersebut cuma terdapat di universiti-universiti yang jelas ada institut atau fakulti yang terkait dengan ketamadunan Melayu. Sedangkan ISTAC reputasinya adalah tentang dunia pemikiran tinggi Islam, tidak dikaitkan dengan perjuangan bagi memartabatkan keMelayuan. Yang terkenal ada menjalankan program ini sejak beberapa tahun lama adalah ATMA (Institut Tamadun Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). 




St Chaterine College yang merupakan sebahagian daripada University of Cambridge, satu daripada dua universiti paling terkemuka di UK (lagi satu adalah Oxford) pula mula memperkenalkan program pada bulan Julai tahun 2021. Ini di masjid ISTAC...




Ada satu rasa kesayuan timbul sebelum mengambil gambar dalam masjid. Mungkin kerana ia sudah banyak kali menyaksikan saya beribadat dan bertafakur malah sudah sekurang-kurangnya 5 kali beriktikaf bermalam seorang diri...




Satu lagi tempat kegemaran di ISTAC adalah air pancut. Entah sudah beberapa kali saya duduk bersila seorang diri menghadap kiblat membaca Al-Quran di sudut sebelah kiri dalam gambar ini.




Anak mencuba topi graduan. Semoga dimudahkan ke menara gading seperti ISTAC suatu hari nanti.




Sungguh ISTAC sangat bermakna bukan sahaja bagi saya  tetapi buat kami sekeluarga.




Isteri pula mencuba pakaian graduasi...












Berbalik pada saya memakainya sebelum meninggalkan ISTAC.




Kami harus ke Janda Baik untuk menghantar anak kembali masuk asrama. Makan nasi dengan sup tulang terlebih dahulu di satu bahagian. Lupa pula hendak mengambil gambar yang nampak sup.




Bergambar di hadapan bangunan asrama anak...




Selepas meninggalkan beliau bergambar di beberapa tempat di Janda Baik yang ada makna tersendiri buat saya.



Adapun laluan ke Janda Baik dari Genting Sempah juga dari pekan Bukit Tinggi ditutup kerana katanya ada banjir. Logiknya, yang masih ada adalah banjir lumpur berdasarkan bentuk muka bumi berbukit yang tidak hujan ketika itu. Banjir harus terbit membawa tanah berlumpur daripada hujan lebat malam sebelumnya. Akibatnya jalan yang boleh diambil cuma  yang menyambung ke Bentong. Dari satu sudut dapat dilihat pekan Bukit Tinggi dan Lebuh Raya Karak...




Kembali ke kampus induk UIA untuk memulangkan pakaian graduasi. Sampai sekitar jam 4.30 petang,  ketika sesi petang konvokesyen iaitu untuk graduan Sarjana Muda masih berlangsung. Layan lagi ambil gambar. Kali ini, tanpa dirancang, kelihatan kami seperti sebahagian daripada poster.



Gambar selepas pakaian dipulangkan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menzahirkan kata-kata tahniah juga selamat hari lahir baik di Facebook, mahupun WhatsApp atau apa-apa bentuk media. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang memberikan sokongan dan mendoakan. Cukuplah cerita. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,455 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Semoga selepas ini akan muncul lebih banyak perkara baik buat kami sekeluarga. Amin. :]


Teks tambahan (dibuat pagi Isnin 27 November) : Lupa hendak memberitahu. Penerimaan ijazah ini jadi sangat sangat bermakna bukan sahaja kerana berlaku pada hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-53. Ia juga berlaku dalam keadaan saya pernah hampir kehilangan motivasi untuk meneruskan penulisan tesis. Sebagai seorang berusia yang sudah berkeluarga tentu ada cabaran kelapangan masa selain gangguan aliran pemikiran dan sebagainya. Sebetulnya saya sudah terlebih 4 semester kerana kalau menurut jadual asal sepatutnya sudah selesai menulis lalu menyerahkan tesis sebelum masuk semester baru September 2020.

Ini kerana saya memulakan pengajian pada September 2018. Sebetulnya dalam tempoh-tempoh selepas itu ramai yang gugur atau drop out daripada pengajian kerana cabaran kehidupan masing-masing. Apabila berlaku PKP (Pergerakan Kawalan Pergerakan) akibat penularan virus Covid-19 bermula Mac 2020 memang pengajian jadi terganggu. Lebih setahun setengah tidak boleh masuk ke kampus. Sedangkan antara sebab utama saya memilih ISTAC adalah bangunan seperti Istana Alhambra memberikan rasa dan inspirasi keilmuan tinggi. 

Apabila tidak boleh menjejakkan kaki memang sangat terganggu. Keadaan tersebut juga cabaran-cabaran lain ada dikongsikan dalam artikel-artikel berikut :-






Selepas beberapa lama baru tesis terasa cukup siap untuk diserahkan kepada penyelia. Lihat artikel Jumaat 27 Ramadhan di ISTAC dan harapanku bagi hari raya yang ditulis 1 Mei 2022. Berlakulah proses semakan demi semakan dan pembetulan sehinggalah tesis dirasakan cukup mantap untuk diserahkan ke pejabatan akademik ISTAC pula penghujung September 2022 bersama dokumen-dokumen yang perlu bagi memenuhi syarat penyerahan. 

Saya tidak ingat jika ada menyatakan ini dalam mana-mana artikel di blogspot ini. Yang pasti perlu menunggu agak lama sebelum dipanggil untuk peperiksaan lisan. Ia asalnya dijadualkan berlangsung 10 Mac. Tetapi ditunda ke 24 Mac disebabkan perlu membuat perjalanan ke Thailand. Lihat artikel Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan diikuti Apabila perjuangan dihargai.

Selepas lulus peperiksaan lisan ambil masa pula untuk membuat pembetulan seperti dicadangkan oleh para pemeriksa. Dipendekkan cerita, pada 13 Oktober yang merupakan hari kelahiran ke-14 anak yang sedang belajar tahfiz di Janda Baik itu baru mendapat official graduation endorsement iaitu pengesahan dapat menjadi graduan Sarjana ISTAC. Cuma menunggu masa sahaja untuk menerima ijazah lalu berlakulah ia 26 November.

Tentang tarikh yang merupakan ulang tahun kelahiran saya itu biar ditambah sesuatu. Ketika hendak mencari artikel-artikel lama tentang perjalanan pengajian dan penulis tesis sehingga dapat menjadi graduan ditemui artikel Tarikh lahirku 26 November sejak 13 tahun lalu. Ditulis lalu dipersembahkan pada 26 November 2021 ia adalah usaha bagi mengingati di manakah saya berada pada hari ulang tahun sebelum-sebelumnya sehingga tahun itu. Sekarang biarlah ditambah. Pada 26 November 2022 saya ada menghadiri satu majlis persilatan sebelum membawa keluarga balik ke kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor. Lihat Dari Sungai Buaya Rawang ke Sungai Buaya Banting : Asbab balik kampung isteri pada hari lahir ke-52. Untuk tahun ini dapat ijazah pula. 

Semoga tulisan ini memberikan inspirasi untuk orang lain juga berjaya dalam pengajian mereka malah apa-apa usaha. Adapun sebab utama saya membuat teks tambahan ini adalah kerana ada yang menyatakan mendapatkan semangat baru untuk menamatkan pengajian setelah membaca artikel. Selamat maju jaya. :]




Petang Isnin 27 November baru jumpa di manakah kedudukan saya dalam rakaman video konvokesyen UIA. Ia adalah pada jam 1:10. Untuk melihat rakaman sila masuk sini.