Salam semua. Pada awal artikel Aktiviti antara perjalanan Perak 6-9 Ogos hingga ke Muar 26 Ogos yang dipersembahkan awal pagi Isnin 28 Ogos 2023 ada dinyatakan saya dan keluarga sedang berada di rumah ibu bapa di Muar. Sampai Sabtu lewat malam Ahad 26 Ogos setelah membuat sejumlah aktiviti dalam perjalanan dari rumah sendiri petang Jumaat 25 Ogos. Setelah mempersembahkan artikel tersebut diikuti Sedikit kajian di Perpustakaan Negara 15-16 Ogos sekitar waktu Zohor baru terasa sesuai untuk berkongsi cerita apa yang berlaku dalam perjalanan hingga ke Muar.
Dalam artikel Aktiviti antara perjalanan Perak 6-9 Ogos hingga ke Muar 26 Ogos ada ditunjukkan gambar atas. Dinyatakan bahawa pada hari Ahad malam Isnin 13 Ogos saya dan keluarga ke Bandar Saujana Putra untuk menghadiahkan senaskah buku Laksamana Raja Mahkota kepada sheikh tariqat yang dikenali sebagai Walid Ibrahim. Ketika itulah Walid memberitahu pihak beliau sedang bersedia untuk menganjurkan satu acara besar hari Jumaat malam Sabtu 25 Ogos. Sekarang biarlah diberitahu acara dipanggil Kota Sufi dan ia sebenarnya berlanjutan sehingga hari Ahad malam Isnin 27 Ogos.
Kebetulan sekitar seminggu sebelum itu saya ada menelefon ibu bapa di Muar untuk bertanyakan khabar. Ibu pun bertanya bila hendak balik kampung? Kali terakhir balik adalah ketika cuti Hari Raya Haji Aidil Adha penghujung bulan Jun iaitu 2 bulan lalu. Ini ada dinyatakan dalam artikel Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023. Isteri yang berada di sebelah terus menjawab kami balik cuti sekolah nanti. Ketika itu saya pun tak tahu bila cuti sekolah akan bermula. Isteri kemudian menyemak kalendar. Cuti bermula Sabtu 26 Ogos lalu berlanjutan sehingga Ahad minggu seterusnya. Kebetulan juga isteri perlu berkursus 25-26 Ogos di Port Dickson. Maka dirancanglah bahawa apabila tamat kursus saya boleh mengambilnya kemudian terus balik kampung.
Apabila Walid memberitahu ada acara Kota Sufi malam 25 Ogos di Masjid Sri Sendayan yang terletak sebelum Port Dickson dirancang pula agar pergi ke situ dahulu bersama anak. Boleh bermalam di masjid lalu mengikuti acara sehingga keesokan hari 26 Ogos lalu ke PD. Kebetulan lagi, di Melaka ada satu acara yang dianjurkan kawan kami 26-27 Ogos. Dari PD boleh singgah sana kemudian baru ke rumah ibu bapa di Muar. Ah. Cantik tersusun nampaknya perkara.
Petang Jumaat selepas anak habis sekolah agama baru bersiap untuk ke majlis. Pagi itu telah terlebih dahulu menghantar isteri ke rumah rakan sepejabatnya dekat Elmina di mana mereka dan seorang lagi rakan sepejabat kemudian bergerak dengan satu kereta ke PD. Namun didapati kesesakan jalan raya dari Kuala Lumpur ke selatan agak luar biasa petang itu. Saya dan anak sampai ke Masjid Sri Sendayan sekitar jam 9 malam.
Niat saya memang hendak beriktikaf di Masjid Sri Sendayan. Tetapi pihak masjid tidak membenarkan sesiapa pun menginap. Sebaliknya ada 2 masjid berdekatan telah disediakan bagi peserta Kota Sufi. Kami pergi ke yang terdekat antara 2 itu. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Felda Sendayan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan