Salam pagi Isnin 31 Julai 2023 bersamaan 13 Muharram 1445 Hijriah. Kali terakhir saya ada berkongsi cerita tentang perjalanan adalah apabila mempersembahkan artikel Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak pada 8 Jun. Selepas itu tidak menulis apa-apa di blogspot sehinggalah muncul artikel Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad pada 19 Julai bersamaan 1 Muharram 1445 Hijriah. Padahal terdapat sejumlah perjalanan kecil dibuat dalam tempoh masa hampir sebulan setengah itu.
Adapun antara sebab utama saya rajin menulis (bila ada mood dan tidak malas le) adalah kerana ia menjadi terapi diri juga suatu macam diari. Walaupun tidak semua perkara mahu atau boleh dikongsikan, apabila selalu menulis dapatlah ingat yang telah dilakukan buat suatu waktu walau tidak menyebut tentangnya di blogspot. Baru-baru ini apabila terlihat dalam koleksi gambar bulanan yang disimpan di laptop saya jadi tertanya-tertanya kenapa boleh berada di Janda Baik pada hari Isnin 5 Jun. Sedangkan kebiasaannya sejak 2 tahun kebelakangan saya cuma akan ke sana pada hari Sabtu. Bagi mengambil seorang anak yang belajar di tahfiz keluar bercuti sehingga hari Ahad, itupun sebulan sekali.
Disebabkan tidak ada berkongsi apa-apa cerita tentangnya atau apa-apa cerita lain yang boleh dikaitkan saya jadi terlupa. Rupa-rupanya sudah berlaku beberapa hari cuti khas yang asalnya tiada dalam jadual. Setelah lebih sejam dua memikirkan perkara sambil membelek beberapa lagi gambar baru teringat bahawa sebelum iaitu pada 31 Mei saya telah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung 28 Mei hingga 4 Jun. Malamnya bertolak ke Janda Baik lalu bermalam. Pagi Khamis 1 Jun ambil anak kemudian bawa beliau ke Pesta Buku. Malam itu kembali ke rumah berehat sebentar sebelum kami sekeluarga ke Perak bagi membuat perjalanan seperti diceritakan dalam artikel Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak.
Kembali dari Perak sekitar jam 2 atau 3 petang Sabtu 3 Jun saya mahu ke Pesta Buku lagi. Namun didapati gazebo di rumah roboh, nampaknya akibat gegaran daripada letupan batu bagi satu projek industri baru berdekatan rumah. Lalu saya mengambil masa untuk mendirikan kembali gazebo. Esoknya Ahad, hari terakhir Pesta Buku baru ke sana lagi.
Petang Isnin 5 Jun bertolak ke Janda Baik kerana anak masuk kembali ke tahfiz. Itu yang ada ambil sekeping dua gambar. Tidur di sana iaitu di rumah bapa angkat, penulis buku politik terkenal Syed Hussein Al-Attas @ Pak Habib. Barulah padan kembali dengan ingatan bahawa pada pagi Selasa sebelum meninggalkan Janda Baik saya ada menghadiahkan kepada beliau senaskah buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai.
Hal tersebut menyedarkan kepada betapa pentingnya ada dibuat catatan. Walau tidak semua harus atau boleh dikongsikan sekurang-kurangnya jangan jarang sangat membuat cerita seperti apa yang berlaku 2 bulan kebelakangan. Sekurang-kurangnya seminggu sekali harus dikongsikan sesuatu. Misalnya sekali Isnin ini, seterusnya Isnin depan. Dengan cara itu lebih mudah untuk ingat apa yang berlaku antara 2 Isnin itu walaupun tidak diceritakan kecuali sedikit yang dilakukan.
Sekadar bagi mengingatkan perkara-perkara penting yang boleh dikira berlaku sejak awal Jun tetapi tidak dinyatakan sebelum ini di blogspot. Gambar pertama artikel ini diambil ketika satu perhimpunan keluarga belah ibu yang diadakan di Semenyih pada hari Sabtu 17 Jun. Sudah amat lama keluarga kami tidak berkumpul begitu lalu ada yang menggunakan alasan biar diadakan satu untuk menyambut seorang sepupu kami yang bersuamikan orang putih Amerika kembali bercuti sempena Hari Raya Haji. Gambar kedua pula diambil selepas selesai pengkebumian seorang saudara belah bapa di Kota Damansara pagi Selasa 20 Jun. Alfatihah bagi almarhum Che Din bin Laksamana Hamidi bin Laksamana Razali bin Laksamana Ali Wasi bin Laksamana Orang Kaya Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Gambar ketiga pula diambil di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada petang Selasa 27 Jun. Malam itu selepas Maghrib saya berjaya menghabiskan pembetulan tesis di ISTAC. Hal perlu membuat pembetulan ini ada dikongsikan pada awal artikel
Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad. Setelah menyerahkan tesis yang selesai dibetulkan kepada penyelia saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar barulah fikiran cukup lega untuk kembali memikirkan hal-hal buku.
Esoknya Rabu 28 Jun malam Khamis saya dan keluar bergerak ke rumah ibu bapa di Muar. Ketika itu sudah masuk malam Raya Aidil Adha 10 Zulhijjah 1444 Hijriah lalu kami menyambutnya siang Khamis 29 Jun di rumah. Gambar keempat dan gambar kelima (di atas) ini diambil di Masjid Jamek Muar tengah hari Jumaat 30 Jun. Saya dan dua orang anak lelaki telah menunaikan solat Jumaat di sana.
Pada hari Sabtu 8 Julai kami ke Jalan Kebun ke Klang untuk menghadiri satu majlis di rumah saudara belah isteri.
Selepas itu terus ke kampung isteri di Tanjung Sepat. Esoknya Ahad 9 Julai pergi kenduri kahwin di dua tempat berdekatan.
Ketika itulah dapat tahu ada sebuah tokong atau kuil Buddha Cina telah berdiri sejak setahun dua lalu di sekitar. Kami pun pergi lalu jadilah gambar-gambar atas.
Sabtu seterusnya 15 Julai datang bertandang satu pasangan, suami kerabat diraja Negeri Sembilan, isteri kerabat diraja Perak untuk bercerita tentang hal-hal perjuangan akhir zaman.
Yang isteri adalah pangkat anak saudara kepada seorang kawan lama saya zaman kolej. Beliau membawa setelah pasangan tersebut mendapat tahu kami berkawan baik hingga sekarang.
Esoknya petang Ahad 16 Julai pergi ke majlis housewarming pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir. Tengok-tengok seorang kawan lama saya semasa belajar di London tahun 1990an ada sekali. Rupa-rupanya mereka sepupu, keturunan pejuang Kedah zaman Perang Musuh Bisik 1821-1842 iaitu Tunku Kudin. Beliau ini berdarah Sayyid marga Shahabuddin campur kerabat diraja Kedah.
Hadir sama adalah Pemegang Mohor Raja-raja Melayu, Tan Sri Syed Daniel yang turut bersaudara dengan mereka. Ramai mengenali beliau sebagai orang yang mengisytiharkan tarikh bermula puasa bulan Ramadhan juga tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi setiap tahun. Rupa-rupanya Syed Daniel cam muka saya, mungkin disebabkan cara berpakaian dan kami pernah berjumpa 2-3 kali dalam majlis-majlis ilmu. Menariknya beliau ini ada darah kerabat diraja Aceh daripada Dinasti Sayyid (yang memerintah Aceh tahun 1699-1727).
Adapun ketika housewarming itu Sharifah Fatimah yang kami panggil sebagai akak (kerana begitulah dia memperkenalkan diri kepada isteri saya, dan beliau memang kakak sepupu kawan lama saya) telah menunjukkan buku sejarah dan salasilah keluarga Wan Kedah yang dimiliki. Beliau ada kaitan dengan keluarga besar tersebut, begitu juga saya kerana datuk kepada datuk, Orang Kaya Arsyad bin Laksamana Muhammad Amin beribukan Wan Long Sa'adiah binti Perdana Menteri Kedah Wan Mat Saman bin Laksamana Paduka Raja (Kedah) Wan Ismail. Apabila saya menyatakan, perlu ambil masa untuk membaca betul-betul dan mengkaji buku beliau yang rupa-rupanya sudah lama tahu tentang penulisan saya menyarankan agar dibawa buku kembali ke rumah. Petang itu juga saya ambil gambar setiap muka surat menggunakan kamera digital lalu menjadikan ia sebagai buku PDF.
Selepas itu baru baca setiap muka surat dengan teliti. Hasilnya, petang Rabu 19 Julai bersamaan permulaan tahun baru Islam 1 Muharram 1445 Hijriah dapat dipulangkan buku seperti ditunjukkan dalam gambar atas. Oh. Tengah hari sebelumnya iaitu Selasa 18 Julai bersamaan hari terakhir tahun 1444 Hijriah saya dan keluarga telah bergegas ke Felda Jelai berdekatan Gemas kerana kakak isteri baru kematian suami. Tidurlah di sana sebelum bergerak kembali ke rumah sendiri.
Petang Jumaat 21 Julai bergerak ke Janda Baik lalu bermalam sebelum mengambil anak yang diberikan cuti seminggu bermula pagi Sabtu 22 Julai.
Malam itu kami menginap di sebuah hotel di tengah bandar raya Ipoh bersebelahan Sungai Kinta. Letaknya sangat dekat dengan Masjid Panglima Kinta lalu saya bersolat Subuh pagi Khamis 27 Julai di sana.
Selepas itu berjalan kaki menghilir Sungai Kinta hingga sampai ke Masjid Paloh lalu menziarahi makam-makam di sana termasuk milik sutradara terkenal, almarhum Mamat Khalid (meninggal 2021) yang ada darah keturunan Panglima Kinta. Terlihat jambatan kecil menarik ini. Lihat artikel
Kinta river from the Treacher bridge, Ipoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Dalam perjalanan kembali ke hotel melalui persisiran utara sungai terlihat sebuah pokok besar yang membuat terasa tertarik untuk memanjat lalu duduk di satu pangkal.
Punyalah selesa hampir-hampir tertidur atas pokok. Siap boleh buat solat Isyra' (dalam keadaan duduk), sempat pula mengaji 3 muka surat Al Quran.
Tengok sahajalah bagaimana rupa pangkal itu. Kalau dekat rumah sendiri tentu dah buat rumah pokok.
Selepas selesai perbicaraan mahkamah jumpa pula orang mahu membeli buku. Selepas itu singgah di beberapa tempat juga atas urusan buku.
Sehinggalah membawa ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan. Ada wartawan menemu bual tentang buku. Oh. Malam itu malam Jumaat sudah masuk tarikh 10 Muharram iaitu Hari Asyura lalu kami beriktikaf di masjid. Selepas solat Maghrib baru meninggalkannya.
Petang Sabtu 29 Julai harus menghantar anak kembali ke tahfiz di Janda Baik. Sempatlah berjalan-jalan melihat pemandangan di beberapa bahagian tanah tinggi yang kini sudah menjadi destinasi pelancongan terkenal...
Malam itu pula menonton persembahan teater di Kuala Lumpur sebelum kembali ke rumah. Insyaallah saya akan menulis satu artikel khas tentangnya. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan