Salam. Adapun tengah hari tadi saya baru kembali dari satu lagi sesi permusafiran seorang diri ke Perak yang memakan masa 4 hari 3 malam. Sekarang ni boleh dikatakan bersusun satu demi satu program sejak sebulan kebelakangan membawa ke dua bulan akan datang, tetapi sedikit sahaja cerita yang dikongsikan kepada umum. Permusafiran kali ini mahu dikongsikan sebahagian cerita dan dilepaskan secepat mungkin kerana esok pun saya sudah harus memberikan tumpuan bagi satu program. Terus pergi pada cerita...
Antara program atau perkara yang dilakukan tetapi tidak ada diceritakan atau dikongsikan kepada umum langsung baik di blogspot mahupun di media-media sosial seperti Facebook dan WhatsApp adalah memberikan sumbangan buku bagi perpustakaan-perpustakaan awam yang dapat dicari dalam suatu perjalanan. Perkara ini dilakukan sejak lebih 2 bulan lalu. Tetapi bukanlah pada setiap perjalanan. Ia ikut angin saya.
Atas sebab tertentu timbul gerak untuk menyumbang 5 naskah buku ke-13 saya Kenangan Kembara Solo Hitchike Eropah Tahun 1995 (terbit Jun 2019) bagi setiap perpustakaan awam yang ditemui, apabila 'datang angin'. Tentang buku boleh dilihat dalam artikel-artikel lama berikut :-
Sebetulnya saya tak ingat di perpustakaan manakah pertama kali sumbangan buku dibuat. Ini kerana saya tidak ada membuat apa-apa catatan berkenaan mahupun mengambil gambar. Niat saya ketika itu malah hingga kini sebenarnya adalah untuk menyumbang tanpa disedari. Tapi mana boleh tidak disedari langsung? Saya perlu memberitahu kepada petugas di perpustakaan ingin menyumbang buku. Tak boleh main tinggal sahaja di luar, atas meja dan sebagainya. Kalau tidak orang tak tahu buku-buku itu berada di situ untuk apa.
Kalau petugas menerima tanpa bertanya maka saya terus keluar selepas menyerahkan buku. Kalau bertanya encik ni siapa baru diberitahu saya penulis buku. Selepas itu saya terus membuang ingatan dari kepala seolah-olah tidak berlaku apa-apa. Begitulah dilakukan sejak sekian lama tanpa memberitahu walau seorang manusia pun (selain petugas) kecuali isteri saya.
Saya memberi kepada perpustakaan-perpustakaan awam yang dapat dikesan dalam Google Map berada di sekitar atau tidak jauh daripada satu laluan dalam perjalanan. Misalnya, rekod simpanan gambar saya bagi bulan Jun (baru semak ketika menulis ini) menunjukkan saya ada ke tanah perkuburan Kota Damansara bagi pengkebumian seorang saudara daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Jadi saya ada singgah menyumbang di perpustakaan awam sana.
Dalam satu perjalanan ke Perak 2 minggu lalu yang ceritanya cuma disebut sepintas lalu melalui artikel
Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023 pula saya ada membuat sumbangan ke beberapa perpustakaan awam sana. Selesai sahaja perbicaraan tentang harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah (saya sudah menyebut banyak kali tentang siri perbicaraan yang sudah berlangsung lebih setahun itu
terutama melalui artikel
Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama) di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 27 Julai saya mula mencari manakah perpustakaan untuk dibuat sumbangan. Dari Ipoh kami hendak ke sekolah lama isteri iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) di Hutan Melintang. Laluan yang dicadangkan oleh Google Map membawa kepada persinggahan ke perpustakaan-perpustakaan awam berikut (cari balik tadi dalam Google Map) :-
1. Perpustakaan Awam Negeri Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh
2. Perpustakaan Awam Batu Gajah
3. Perpustakaan Awam Kampung Gajah
Di Kampung Gajah saya diberikan pamphlet atau risalah mempromosikan Pesta Buku Perak 2023. Ia mahu diadakan pada 3 hingga 7 Ogos iaitu bermula seminggu lagi sahaja selepas persinggahan. Saya tidak tahu langsung tentang acara sebelum itu. Kebetulan sesi perbicaraan seterusnya melibatkan harta Laksamana mahu diadakan pada 8 Ogos. Ah. Saya mesti pergi. Mana boleh tak pergi? Saya baru sahaja 2 bulan lebih mengeluarkan buku terbaru saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai.
Kembali ke rumah baru tersedar ia dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak. Lokasinya adalah di kompleks membeli belah AEON di Klebang, ke utara sedikit bandar raya Ipoh. Isteri pun terus menghubungi pihak berkenaan untuk mencari ruang bagi mempromosikan buku. Maklumlah buku Laksamana itu melibatkan banyak hal tentang Perak. Laksamana pun Laksamana Kesultanan Perak...
Sayangnya tidak ada ruang untuk kami menyelit kerana slot sudah penuh...
Tak mengapa saya memberitahu isteri. Abang akan buat cara 'gerila'...
Walaupun tidak ada kelapangan untuk hadir bagi setiap hari acara kerana komitmen lain saya boleh hadir bagi dua hari terakhir acara iaitu Ahad 6 Ogos dan Isnin 7 Ogos. Esoknya Selasa 8 Ogos boleh hadir perbicaraan. Boleh buat sekali jalan.
Cadangnya hendak bergerak ke Ipoh selepas menghantar anak ke kelas silat di Bukit Beruntung jam 8.30 pagi Ahad. Isteri boleh ambil anak selepas selesai kelas jam 10.30.
Nak dijadikan cerita malam sebelumnya kami anak beranak pergi menonton teater di tengah bandar raya Kuala Lumpur bersama sepupu dari Pahang dan keluarganya. Itu yang diceritakan dalam artikel pada
Teater "Waris Rubiah" di Panggung Bandaraya - Sejauh manakah kebenaran sejarahnya?. Kemudian kami berjalan-jalan merata KL. Jam 3 pagi baru sampai rumah lalu lambat tidur. Sedangkan sejak bermula tahun baru Islam 1 Muharram 1445 Hijriah iaitu pada hari Rabu 19 Julai saya telah berazam akan bangun pagi selewatnya jam 5.30 setiap hari. Dan saya tidak akan kembali tidur selepas itu walau bagaimana penat sekalipun kecuali setelah matahari terbit diikuti solat sunat Isyra'.
Itulah yang dilakukan pagi Ahad itu. Anak pun sama penat lalu tidak ke kelas silat. Selepas matahari naik saya tidur hingga masuk waktu Zohor. Selepas makan dan solat di rumah baru bergerak ke Perak. Itulah yang ditunjukkan dalam gambar-gambar awal artikel ini.
Selalunya saya akan mengambil Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari tol Bandar Sungai Buaya hingga ke tol Tanjung Malim kemudian mengambil jalan lama hingga ke Ipoh. Kali ini gunakan PLUS sehinggalah harus keluar ke Klebang kerana hendak cepat.
Maklumat daripada gambar menunjukkan saya bergerak sekitar jam 2.50 petang lalu sampai ke AEON Mall 2 jam kemudian.
Selepas itu berlegar-legar ke segenap ruang pameran dan jualan buku.
Agak meriah Pesta Buku Perak hari itu. Namun janganlah dibandingkan dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang jauh lebih besar dan sudah dimulakan secara tahunan jauh lebih awal.
Alhamdulillah, Dapatlah satu sudut yang baik bagi mempamirkan buku. Ditakdirkan datang beberapa orang yang mengenali saya sebagai Merah Silu melalui media sosial. Dapatlah jual beberapa naskah. Dapatlah menampung duit minyak dan makan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan