Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Oktober 20, 2019

Memasuki fasa baru - Sampai masanya untuk kembali pada penulisan tesis

Salam hari Ahad malam Isnin 22 Safar. Dikongsikan satu luahan penting sebagai penutup bagi segala yang telah berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan. Penting sebelum membuka fasa baru bagi tempoh-tempoh akan datang.



Ini adalah gambar yang digunakan untuk menghiasi bahagian paling atas blogspot CATATAN SI MERAH SILU sejak lebih 2 tahun kebelakangan. Gambar ini diambil ketika menziarahi makam Sultan Malikus Saleh dekat Geudong, Lhokseumawe, Aceh pada hari Selasa 21 Mac 2017. Rujuk artikel lama Misi HIKMAH Aceh 2017 - Tafakur di Makam Sultan Sayyid Maulana, kemuncak di makam Ratu Nurul Aqla dan ketenangan di makam Sultan Malikussaleh. Perjalanan dibuat dalam satu rangka kerja besar berjalan keliling Aceh sambil melaksanakan satu majlis ilmu. Hal ini boleh dirujuk dalam artikel Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) juga artikel Misi HIKMAH Aceh 2017 - Kompilasi perjalanan 8 hari yang meliputi keseluruhan perjalanan 16 hingga 23 Mac 2017.

Selepas tamat perkongsian semua cerita berkenaan perjalanan iaitu pada pertengahan April 2017 gambar atas pun dimuatnaik berserta tulisan "Catatan Si Merah Silu" bagi menggantikan gambar sebelum itu. Untuk pengetahuan gambar lama juga diambil di makam yang sama tetapi bagi perjalanan pusing Aceh yang dilakukan Mac tahun 2014. Dalam perjalanan tersebut satu acara atas nama HIKMAH dilakukan buat pertama kalinya di Aceh. Lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014 diikuti Berjayanya misi HIKMAH Aceh

Perjalanan Mac 2017 menyaksikan acara diadakan buat kali kedua di Aceh. Masuk pula perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera yang berlangsung 28 Ogos hingga 4 September 2019. Perjalanan yang akhirnya memakan jarak darat lebih 1,800 km itu sendiri sudah cukup memenatkan kerana asyik terkejar-kejar untuk meliputi begitu banyak tempat-tempat bersejarah dalam tempoh yang relatif singkat. Dalam tempoh waktu itu dilaksanakan lagi acara atas nama HIKMAH. Kali ini bermula di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 September bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah dan dipanjangkan hingga ke Banda Aceh 3 September bersamaan 3 Muharram. 

Apabila kembali ke Malaysia butiran cerita harus dikongsikan. Sambil itu muncul hal-hal lain seperti perjalanan pusing Perak 15-18 September yang turut memerlukan saya menyediakan bahan berupa kertas kerja dan slaid bagi  pembentangan majlis ilmu. Lihat Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi. Begitu juga halnya bagi satu majlis ilmu kurang 3 minggu kemudian. Lihat Program Tempa Melayu - Menyingkap kajian terbaru tentang Hang Tuah sebelum mengupas kelebihan Benua Tua Melayu dan bangsa.... Di celah-celah itu dihadiri pula majlis-majlis ilmu yang lain juga majlis persilatan. 

Sudah menjadi kebiasaan malah tabiat saya harus menulis tentang semua majlis tersebut sehingga mencapai tahap yang memuaskan. Kalau tidak rasa tak senang duduk. Susah hendak tidur, tidak boleh berehat. Sejak kembali daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera iaitu pada 4 September hampir setiap hari saya menulis. Disebabkan cerita-cerita perjalanan memerlukan artikel-artikel sokongan ada hari-harinya saya menulis hingga 15 artikel. Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera itu sendiri memerlukan 93 artikel untuk menghuraikannya. Ini terdiri daripada 12 artikel utama di blogspot CATATAN SI MERAH SILU, 27 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 54 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)

Campur cerita-cerita lain, sejak kembali ke Malaysia sebulan setengah lalu itu saya telah menulis lebih 150 artikel di blogspots (diletak huruf 's' pada hujung perkataan blogspot untuk menunjukkan lebih daripada 1 blogspot). Ini termasuk 7 artikel di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ia menceritakan perjalanan acara HIKMAH yang diadakan waktu itu. Sudah diberitahu ia adalah kali ketiga acara diadakan ke Aceh. Biar ditambah ia juga adalah kali ke-21 secara keseluruhan sejak HIKMAH dimulakan 12 Oktober 2012 iaitu 7 tahun lalu.

Itu adalah cerita sekitar perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera sedangkan saya telah dilanda kesibukan pelbagai perkara sejak beberapa bulan lagi sebelum itu. Sebetulnya saya hendak meluahkan satu perkara. Sudah 6 bulan saya tidak menyentuh penulisan tesis untuk Masters atau sarjana di tempat saya belajar iaitu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Sedangkan kini sudah masuk semester ke-3...


Ini adalah gambar baru di hadapan makam Sultan Malikus Saleh daripada pengembaraan 28 Ogos hingga 4 September. Selepas ini ia akan menggantikan gambar terdahulu di bahagian atas CATATAN SI MERAH SILU. Berbalik pada hal penulisan tesis yang sudah tersangkut lama. Saya perlu menyatakan dan meluahkan ini dengan jujur dengan harapan dapat kembali menanganinya

 Adapun saya mula 'keluar' daripada penulisan tesis apabila harus pergi ke Kuala Terengganu untuk majlis haul Tok Pulau Manis bulan April. Lihat artikel-artikel berikut :-







Selepas itu disibukkan pula dengan kerja-kerja penulisan buku ke-13 saya sehingga ia terbit penghujung Jun lalu diikuti pula dengan kerja-kerja pemasaran dan promosi buku. Lihat artikel-artikel berikut :-







Akibat daripada semua ini saya hilang rentak penulisan tesis. Sampai dah tak tahu bagaimana hendak kembali menanganinya. Yang tahu ada perkara tak selesai kerana mahu menjayakan perjalanan pusing Aceh dan Sumatera 28 Ogos - 4 September. Sedangkan dalam tempoh waktu itu mahu dilaksanakan satu acara HIKMAH selepas lama melupakannya atas sebab-sebab tertentu. Rujuk artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? yang ditulis April 2017. 

Namun begitu saya tetap rajin ke ISTAC untuk mengikuti majlis-majlis ilmu supaya tidak lari terlalu jauh daripada tujuan asal menyambung pengajian di sana iaitu untuk menyiapkan tesis bagi mengangkat ilmu pengetahuan dan kajian tertentu. Itulah yang menyebabkan saya juga menulis banyak artikel ilmu. Kini segalanya sudah selesai. Perjalanan dan segala yang berkaitannya telah berlaku, penulisan tentangnya pun sudah lengkap. 

Semalam hingga petang tadi saya berusaha untuk mengumpulkan pautan bagi artikel-artikel berkenaan bagi memudahkan capaian. Ini termasuk mengemaskinikan ruangan khas bagi artikel-artikel ilmu serta membuka ruang baru. Lihat artikel-artikel berikut :-





4. Tempat-tempat dilawati dalam perjalanan pusing Perak (Places visited in Perak round trip) 15-18 September 2019




Sekarang selesailah luahan saya tentang hal ini. Sudah sampai masanya untuk kembali memberikan tumpuan pada penulisan tesis. Walaupun tetap akan ada majlis-majlis ilmu harus dihadiri malah perjalanan jauh dibuat lagi lalu menulis tentangnya, walaupun ada permintaan untuk berkongsi ilmu malah menulis buku-buku baru itu semua akan diletakkan ke belakang berbanding tesis. Harapan saya dapat menyiapkannya paling lewat sebelum tamat semester ini. Mohon tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang dimuliakan supaya memanjatkan doa bagi membantu saya mencapai sasaran ya. Sekian wassalam. :]


Tiada ulasan: