Salam semua. Satu cerita istimewa bagi hari ini Ahad 26 November 2023 yang tarikh Islamnya selepas Maghrib, malam Isnin adalah 13 Jamadil Awal 1445 Hijriah.
Merujuk pada artikel
Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik yang dipersembahkan selepas masuk waktu Isyak semalam. Ada dinyatakan pada penghujung artikel bahawa siang itu saya ada mengambil anak keluar bercuti dari ma'ahad tahfiznya di Janda Baik. Ini supaya dapat bersama ibunya melihat saya menerima ijazah daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini dijadualkan berlaku dalam majlis konveksyen ke-39 UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang berlangsung 25-29 November.
Untuk pengetahuan ISTAC adalah institusi kajian (research) bagi pelajar pascasiswazah sahaja, tidak ada pelajar Sarjana Muda sementara UIA adalah universiti induk yang menaunginya. Kalau tidak kerana syarat berupa cuma institusi yang bertaraf universiti penuh sahaja boleh mengeluarkan ijazah Sarjana dan PhD tentu ISTAC tidak perlu dinaungi. Ini kerana reputasinya sebenarnya lebih besar dan cukup dikenali dalam dunia intelektual Islam sedunia. Apapun, sesi bagi saya menerima ijazah sarjana dalam bidang Malay World Studies (pengajian Alam Melayu) daripada ISTAC (saya lebih suka sebut itu walaupun secara rasminya UIA yang menganugerahkan ijazah) berlangsung pada pagi Ahad 26 November 2023.
Maka bergegaslah saya bersama isteri dan anak ke kampus induk UIA di Gombak bagi menyertai majlis apabila sampai masanya. Ada dinyatakan dalam artikel
Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik bahawa 26 November adalah satu tarikh yang sangat-sangat istimewa buat diri ini. Sekarang biarlah diberitahu. Ia adalah ulang tahun kelahiran saya yang ke-53!
Ya. Saya sudah berumur 53 tahun. Satu umur yang agak tua dalam dunia akademik kerana selalunya, orang akan menyambung ke peringkat Sarjana tidak lama selepas lulus lalu mendapat ijazah Sarjana Muda, biasanya ketika berumur antara 23-25 tahun. Kemudian apabila lulus Sarjana sambung ke peringkat PhD. Dalam dunia akademik adalah menjadi kebiasaan orang sudah memiliki PhD apabila masuk umur 35 tahun. Jadi Sarjana itu tidaklah sebesar mana. Tetapi bagi orang di luar dunia akademik? Sarjana Muda pun sudah cukup untuk meningkat naik dalam pelbagai kerjaya...
Sebetulnya saya ada mendapat tawaran untuk menyambung ke peringkat Sarjana atau Master di United Kingdom sebaik sahaja mendapat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik daripada University College of London hampir penghujung tahun 1995. Tetapi ketika itu berlaku sejumlah perkara pelik bersifat spiritual yang menyebabkan saya hilang minat untuk menyambung pelajaran. Bahkan konvokesyen pun tidak hadir langsung. Walhal ia sangat didambakan graduan di mana-mana universiti...
Saya mendapat ijazah yang dihantar secara pos, lupa sama ada pada penghujung 1995 atau awal 1996. Kemudian ketika bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times (1996-2001) saya diajak menyambung di ISTAC. Ketika itu ia berpusat di Bukit Damansara. Yang mengajak itu seorang anak kepada Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib Alattas iaitu pengasas ISTAC, sekitar tahun 1998 kalau tak salah ingatan.
Tetapi sekali lagi, saya tidak berminat hendak menyambung pelajaran. Saya cuma ada timbul balik minat sekitar tahun 2016. Ini berlaku setelah banyak kali diajak untuk menyambung, dalam bidang sejarah di Universiti Malaya, oleh sejarawan terkenal Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, sejak 2-3 tahun sebelum itu. Namun apabila melihat yuran semester agak tinggi terus tak jadi. Saya tak mampu membayarnya.
Maka bayangkan perasaan apabila akhirnya dapat lulus pengajian kemudian menghadiri konvokesyen. Ia adalah konvokesyen pertama dihadiri bagi menerima ijazah kerana tidak hadir yang di London 28 tahun lalu.
Seingat saya cuma pernah menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di bangunan Parlimen, ketika bapa menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar tahun 1975 kalau tak salah. Bapa saya asalnya guru lulusan sijil maktab perguruan. Beliau menyambung pengajian ketika saya masih kecil. Teringat bagaimana dahulu selalu bertanyakan ibu bila bapa hendak balik kerana kami menetap di Muar, sedangkan beliau menyambung pelajaran di Kuala Lumpur (kampus induk di Bangi cuma siap lalu dibuka tahun 1977). Saya yang merupakan anak sulung selalu merindui bapa walaupun beliau amat garang orangnya.
Selesai sesi sekitar jam 11.30 terus menukar topi graduasi dengan tanjak. Kalau sahaja boleh memakai tanjak dalam majlis konvokesyen tentu saya akan melakukannya. Namun nak tak nak kena ikut cara pakaian yang ditetapkan. Bahkan rambut panjang saya pun harus disorokkan lalu ditolong perkemaskan oleh petugas demi memenuhi kehendak majlis.
Sepanjang sesi berlangsung anak yang memakai tanjak. Saya suruh supaya mudah mengambilnya selepas sesi...
Dari kampus induk UIA di Gombak kami ke ISTAC di Bukit Tunku sekitar 16-17 km perjalanan.
Oh. Cuma terdapat 4 orang lulus PhD daripada ISTAC tahun ini, 7 orang Sarjana. Saya diberitahu cuma seorang sahaja hadir pada sesi PhD pagi Sabtu 25 November. Bagi sesi Sarjana pagi Ahad pula cuma 2 orang hadir termasuk saya. Yang ini nampak dengan mata kepala sendiri kerana duduk di barisan sama yang mana terdapat 5 buah kerusi kosong.
Layan gila-gila nombor sat. Kerusi saya nombor 13. Konvokesyen ini adalah ke-39 buat UIA. 39 adalah 3 x 13. Bagi mereka yang faham 313 adalah nombor perjuangan (313 tentera Islam dalam Perang Badar).
Ini adalah satu keunikan yang langka. Difahamkan, sebelum ini program tersebut cuma terdapat di universiti-universiti yang jelas ada institut atau fakulti yang terkait dengan ketamadunan Melayu. Sedangkan ISTAC reputasinya adalah tentang dunia pemikiran tinggi Islam, tidak dikaitkan dengan perjuangan bagi memartabatkan keMelayuan. Yang terkenal ada menjalankan program ini sejak beberapa tahun lama adalah ATMA (Institut Tamadun Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Satu lagi adalah APM (Akademi Pengajian Melayu) di UM (Universiti Malaya).
St Chaterine College yang merupakan sebahagian daripada University of Cambridge, satu daripada dua universiti paling terkemuka di UK (lagi satu adalah Oxford) pula mula memperkenalkan program pada bulan Julai tahun 2021. Gambar ini adalah di masjid ISTAC...
Ada satu rasa kesayuan timbul sebelum mengambil gambar dalam masjid. Mungkin kerana ia sudah banyak kali menyaksikan saya beribadat dan bertafakur malah sudah sekurang-kurangnya 5 kali beriktikaf bermalam seorang diri...
Satu lagi tempat kegemaran di ISTAC adalah air pancut. Entah sudah beberapa kali saya duduk bersila seorang diri menghadap kiblat membaca Al-Quran di sudut sebelah kiri dalam gambar ini.
Anak mencuba topi graduan. Semoga dimudahkan ke menara gading seperti ISTAC suatu hari nanti.
Sungguh ISTAC sangat bermakna bukan sahaja bagi saya tetapi buat kami sekeluarga.
Isteri pula mencuba pakaian graduasi...
Berbalik pada saya memakainya sebelum meninggalkan ISTAC.
Kami harus ke Janda Baik untuk menghantar anak kembali masuk asrama. Makan nasi dengan sup tulang terlebih dahulu di satu bahagian. Lupa pula hendak mengambil gambar yang nampak sup.
Bergambar di hadapan bangunan asrama anak...
Selepas meninggalkan beliau bergambar di beberapa tempat di Janda Baik yang ada makna tersendiri buat saya.
Adapun laluan ke Janda Baik dari Genting Sempah juga dari pekan Bukit Tinggi ditutup kerana katanya ada banjir. Logiknya, yang masih ada adalah banjir lumpur berdasarkan bentuk muka bumi berbukit yang tidak hujan ketika itu. Banjir harus terbit membawa tanah berlumpur daripada hujan lebat malam sebelumnya. Akibatnya jalan yang boleh diambil cuma yang menyambung ke Bentong. Dari satu sudut dapat dilihat pekan Bukit Tinggi dan Lebuh Raya Karak...
Kembali ke kampus induk UIA untuk memulangkan pakaian graduasi. Sampai sekitar jam 4.30 petang, ketika sesi petang konvokesyen iaitu untuk graduan Sarjana Muda masih berlangsung. Layan lagi ambil gambar. Kali ini, tanpa dirancang, kelihatan kami seperti sebahagian daripada poster.
Gambar selepas pakaian dipulangkan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menzahirkan kata-kata tahniah juga selamat hari lahir baik di Facebook, mahupun WhatsApp atau apa-apa bentuk media. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang memberikan sokongan dan mendoakan. Cukuplah cerita. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,455 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Semoga selepas ini akan muncul lebih banyak perkara baik buat kami sekeluarga. Amin. :]
Teks tambahan (dibuat pagi Isnin 27 November) : Lupa hendak memberitahu. Penerimaan ijazah ini jadi sangat sangat bermakna bukan sahaja kerana berlaku pada hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-53. Ia juga berlaku dalam keadaan saya pernah hampir kehilangan motivasi untuk meneruskan penulisan tesis. Sebagai seorang berusia yang sudah berkeluarga tentu ada cabaran kelapangan masa selain gangguan aliran pemikiran dan sebagainya. Sebetulnya saya sudah terlebih 4 semester kerana kalau menurut jadual asal sepatutnya sudah selesai menulis lalu menyerahkan tesis sebelum masuk semester baru September 2020.
Ini kerana saya memulakan pengajian pada September 2018. Sebetulnya dalam tempoh-tempoh selepas itu ramai yang gugur atau drop out daripada pengajian kerana cabaran kehidupan masing-masing. Apabila berlaku PKP (Pergerakan Kawalan Pergerakan) akibat penularan virus Covid-19 bermula Mac 2020 memang pengajian jadi terganggu. Lebih setahun setengah tidak boleh masuk ke kampus. Sedangkan antara sebab utama saya memilih ISTAC adalah bangunan seperti Istana Alhambra memberikan rasa dan inspirasi keilmuan tinggi.
Apabila tidak boleh menjejakkan kaki memang sangat terganggu. Keadaan tersebut juga cabaran-cabaran lain ada dikongsikan dalam artikel-artikel berikut :-
Selepas beberapa lama baru tesis terasa cukup siap untuk diserahkan kepada penyelia. Lihat artikel
Jumaat 27 Ramadhan di ISTAC dan harapanku bagi hari raya yang ditulis 1 Mei 2022. Berlakulah proses semakan demi semakan dan pembetulan sehinggalah tesis dirasakan cukup mantap untuk diserahkan ke pejabatan akademik ISTAC pula penghujung September 2022 bersama dokumen-dokumen yang perlu bagi memenuhi syarat penyerahan.
Saya tidak ingat jika ada menyatakan ini dalam mana-mana artikel di
blogspot ini. Yang pasti perlu menunggu agak lama sebelum dipanggil untuk peperiksaan lisan. Ia asalnya dijadualkan berlangsung 10 Mac. Tetapi ditunda ke 24 Mac disebabkan perlu membuat perjalanan ke Thailand. Lihat artikel
Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan diikuti
Apabila perjuangan dihargai.
Selepas lulus peperiksaan lisan ambil masa pula untuk membuat pembetulan seperti dicadangkan oleh para pemeriksa. Dipendekkan cerita, pada 13 Oktober yang merupakan hari kelahiran ke-14 anak yang sedang belajar tahfiz di Janda Baik itu baru mendapat
official graduation endorsement iaitu pengesahan dapat menjadi graduan Sarjana ISTAC. Lihat
Misi hartanah dan wacana Laksamana - Panggilan tak dirancang ke Tanjung Rambutan. Cuma menunggu masa sahaja untuk menerima ijazah lalu berlakulah ia 26 November.
Tentang tarikh yang merupakan ulang tahun kelahiran saya itu biar ditambah sesuatu. Ketika hendak mencari artikel-artikel lama tentang perjalanan pengajian dan penulis tesis sehingga dapat menjadi graduan ditemui artikel
Tarikh lahirku 26 November sejak 13 tahun lalu. Ditulis lalu dipersembahkan pada 26 November 2021 ia adalah usaha bagi mengingati di manakah saya berada pada hari ulang tahun sebelum-sebelumnya sehingga tahun itu. Sekarang biarlah ditambah. Pada 26 November 2022 saya ada menghadiri satu majlis persilatan sebelum membawa keluarga balik ke kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor. Lihat
Dari Sungai Buaya Rawang ke Sungai Buaya Banting : Asbab balik kampung isteri pada hari lahir ke-52. Untuk tahun ini dapat ijazah.
Semoga tulisan ini memberikan inspirasi untuk orang lain juga berjaya dalam pengajian mereka malah apa-apa usaha. Adapun sebab utama saya membuat teks tambahan ini adalah kerana ada yang menyatakan mendapatkan semangat baru untuk menamatkan pengajian setelah membaca artikel. Selamat maju jaya. :]
Petang Isnin 27 November baru jumpa di manakah kedudukan saya dalam rakaman video konvokesyen UIA. Ia adalah pada jam 1:10. Untuk melihat rakaman sila masuk
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan