Salam malam 1 Syawal 1437 Hijriah. Selamat hari raya maaf zahir batin. Ada cerita perlu dilepaskan sebelum saya dapat betul-betul berhari raya.
Untuk yang pertama alhamdulillah dapat dilakukan sehari sebelum itu. Pembacaan Al-Quran bagi bulan Ramadhan dapat dikhatamkan lewat petang Rabu 25 Ramadhan. Tetapi untuk penulisan dan semakan tesis cabarannya lebih berat. Antaranya disebabkan gangguan komputer riba rosak petang Selasa.
Akibatnya sebahagian daripada kerja-kerja pusingan ketiga yang dimulakan tengah hari Isnin sehingga petang Selasa hilang begitu sahaja. Selepas itu saya disibukkan pula berkejar untuk memperbaiki komputer. Bila tengok tak berbaloi baru pergi ke tempat lain mencari komputer ganti. Lihat
Akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga. Itupun belum boleh terus pakai untuk buat kerja. Kena selesaikan dahulu berbagai
settings yang patut lalu pagi Rabu barulah dapat disambung kerja.
Oh. Kenapa sampai kena ada tiga pusingan ya? Begini. Pusingan pertama adalah penulisan tesis itu sendiri. Saya betul-betul bermula pada bulan April tahun 2020, selepas penyelia saya iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar telah bersetuju dengan aturan isi kandungannya. Tetapi disebabkan masalah kepala berat, ilham tidak mengalir, tulisan terasa tidak sedap dan sebagainya, selain hal-hal harian kehidupan dan lain-lain perkara yang perlu ditangani dari semasa ke semasa ia asyik tersangkut lalu dapat ditulis sedikit-sedikit sahaja.
Adapun tesis saya mengandungi lima buah bab. Saya tulis tidak ikut aturan lalu cuba membuat Bab 1, 2 dan 3 sekaligus dengan cara memasukkan apa-apa yang patut pada mana-mana bab berkenaan apabila timbul gerak ilham. Ia dibuat sekaligus kerana saling berkaitan. Tiba-tiba pada bulan Mei tahun itu kalau tak salah dapat menyiapkan Bab 2 dalam tempoh 2-3 hari sahaja.
Kemudian tersangkut lama lagi. Nak dapat satu ayat pun terasa amat susah apatah lagi satu perenggan. Penghujung bulan Oktober tahun 2021 Bab 1 baru dapat sampai ke tahap yang cukup bagus untuk saya tidak merasa malu menyampaikan kepada penyelia. Yang tinggal ketika itu cuma Literature Review iaitu Kajian Literatur.
Penyelia pun memberikan cadangan. Sambil itu disediakan sekali isi untuk menghadapi Thesis Proposal Defense atau mempertahankan cadangan tesis yang sepatutnya sudah dilakukan selewatnya penghujung tahun 2020. Tetapi pada bulan Februari 2022 baru dapat disediakan selengkapnya berserta Bab 1 yang terasa cukup siap. Ini kerana isi Bab 1 yang merupakan bab pengenalan tentang tesis, cadangannya dan permasalahannya adalah sama dengan apa yang membentuk cadangan tesis. Maka dengan itu ia memang patut ditulis secara selari.
Lalu berlakulah proses rasmi berkenaan pada 15 Mac yang mana saya telah melepasi dengan jayanya. Lihat
Berjaya mempertahankan cadangan tesis di ISTAC. Fikir saya dapat juga menyelesaikan Bab 3 sebelum berlaku sesi itu. Rupa-rupanya kena tunggu dekat seminggu lagi baru betul-betul menjadi. Tidak diketahui ketika itu sudah berlaku suatu perkara penting melibatkan hubungan saya dan keluarga Laksamana Perak daripada cabang tertentu dengan orang-orang besar sedia ada juga Istana Perak...
Apapun, penulisan tesis menjadi semakin lancar selepas itu. Selepas Bab 3 siap Isnin malam Selasa 21 Mac penulisan Bab 4 pun mahu dimulakan keesokannya harinya. Tengok-tengok terasa ada yang perlu ditambah pada Bab 3 lalu ini disiapkan kemudian dihantar 22 Mac. Selepas itu baru dimulakan Bab 4 lalu ia siap dan dihantar pada 8 April. Terus dimulakan pula Bab 5 lalu dapat disiapkan dan dihantar 16 April.
Tu dia. Bayangkan. Bab 1, 2 dan 3 dimulakan secara sekaligus pada bulan April 2020 (tak ingat tarikh tepat) tapi masuk 22 Mac 2022 iaitu dekat dua tahun kemudian baru dapat siap. Tiba-tiba dua bab seterusnya dapat disiapkan dalam tempoh kurang sebulan. Lebih tepat dalam tempoh 22 atau 23 hari sahaja. Masyaallah. Agak ajaib sebenarnya apabila difikirkan kembali.
Dengan itu selesailah penulisan tesis. Tetapi itu baru pusingan pertama. Perlu dibuat lagi satu pusingan penulisan dan semakan. Kena bermula balik daripada Bab 1 sehingga Bab 5. Kena tengok kot-kot ada silap taip, silap tunjuk rujukan. Kena tengok apa perlu ditambah, dan ada masanya, apa yang perlu dikurangkan. Pusingan kedua ini dimulakan pada siang Sabtu 16 April kalau tak salah. Awal pagi Isnin 25 April iaitu sembilan hari kemudian dapat disiapkan di rumah kawan di Bukit Tinggi.
Pun begitu kerja-kerja penulisan tesis belum dirasakan cukup selesai. Saya merasa perlu untuk membuat pusingan ketiga tulisan dan semakan baru boleh betul-betul puas hati. Proses ini dimulakan tengah hari itu juga sambil belum habis lagi berjalan ke sana ke mari. Lihat
Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik".
Dah memang saya dan isteri kaki berjalan suka membawa anak-anak keluar mengembara. Ada kalanya saya berjalan bersendirian sahaja. Dalam tempoh dua tahun sejak penulisan tesis betul-betul dimulakan April 2020 pun sudah cukup banyak perjalanan dilakukan walaupun ketika itu sedang berlangsung PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid-19. Lihat artikel-artikel berikut :-
Tapi itu le,. tengok-tengok berlaku pula komputer rosak lalu lalu hilang segala kerja antara pagi Isnin sebelum Subuh dengan petang Selasa (jam 5 gitu) seperti telah diceritakan lebih awal tadi. Pagi Rabu 27 April harus dimulakan kembali daripada awal pusingan ketiga penulisan dan semakan tesis. Alhamdulillah selepas jam 2 petang Bab 1 siap lalu dapat dihantar kepada penyelia. Bab 2 pula dapat disiapkan lalu dihantar sekitar jam 8.30. Maka kerja pun disambung dengan Bab 3 dengan harapan segalanya dapat diselesaikan sebelum masuk waktu Maghrib Khamis malam Jumaat seterusnya.
Untuk makluman disebab ada menghantar kerja kepada penyelialah saya tahu bila ia siap. Ini kerana waktu ia dihantar melalui e-mail juga fail-fail berkenaan masih tersimpan dalam sistem e-mail. Dengan cara itu penyelia boleh tahu perkembangan kerja saya. Kedua, fail-fail berkenaan daripada satu peringkat ke satu peringkat (pusingan pertama, pusingan kedua dan seterusnya) semuanya ada dalam sistem lalu boleh menjadi back up.
Memandangkan siang Jumaat itu merupakan hari Jumaat terakhir bagi bulan Ramadhan kali ini maka saya pun merancang mahu ke bersolat Jumaat di ISTAC. Itu yang ditunjukkan gambar-gambar yang ada di sini. Sebenarnya ia menunjukkan perjalanan sehingga masuk ke bangunan utama ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur kemudian ke masjid kampus untuk bersolat Jumaat.
ISTAC dan bangunannya adalah sangat istimewa buat saya. Aura ilmunya begitu terasa sesuai dengan jiwa. Sebetulnya sebaik sahaja siap Bab 3 saya menyambung dengan peringkat ketiga Bab 4. Selepas Subuh baru tidur. Selepas bersolat Jumaat di ISTAC sambung kerja lagi di masjid. Sampai dah nak masuk waktu Maghrib pun rupa-rupanya tak selesai lagi.
Selepas berbuka lalu bersolat Maghrib saya berjumpa dua orang kawan lama di Bukit Damansara. Sambil layan kawan-kawan berbual sambil menyambung kerja pun tak siap-siap. Bila balik rumah lewat malam sambung lagi. Dekat nak Subuh pagi Sabtu 30 April baru selesai Bab 4 itu.
Hmm. Benda ni sebenarnya berlaku baru sahaja semalam. Tapi saya pun dah lupa bila masanya berehat. Rasanya selepas Subuh kot ada le tidur dalam 3-4 jam gitu. Selepas itu sambung kerja untuk Bab 5.
Alhamdulillah dapat selesai sebelum Maghrib, dapat selesai sebelum masuk tarikh 29 Ramadhan. Yang ini ingat dengan tepat kerana e-mail yang mengandungi fail tertera jam 7.09 petang waktu dihantar kepada penyelia.
Dengan itu selesailah pusingan ketiga keseluruhan tesis. Baru le ada mood sedikit nak beraya. Malam jam 9 lebih keluarlah kami sekeluarga untuk membeli sedikit barangan raya di bandar Rawang kemudian baru makan malam. Ya. Kami berbuka puasa sangat ala kadar kerana cadangnya selepas itu hendak makan di luar dalam perjalanan kembali ke kampung isteri di Tanjung Sepat.
Apapun di kampung isteri petang tadilah baru dibuat kerja seterusnya iaitu menggabungkan semua bab (asalnya dibuat menggunakan Microsoft Word) dalam bentuk PDF. Campur sekali sedikit bahan tambahan sebagai apendiks. Ia kira tesis muktamad buat masa ini. Belum betul-betul muktamad kerana itu memerlukan maklum balas penuh penyelia terlebih dahulu kemudian kena letak muka surat untuk penghargaan, daftar kandungan dan sebagainya. Itu akan dibuat selepas raya insyaallah.
Sebetulnya ada banyak perkara mahu dinyatakan tentang itu. Tentang rasa dikhianati, tentang rasa Istana Kesultanan Perak atas saranan orang-orang tertentu nampaknya telah menolak bukan sahaja saya tetapi sebenarnya seluruh cabang tertentu daripada keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, cabang yang paling rapat dengan Sultan Abdullah yang sama-sama dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877. Saya mahu melepaskan sedikit lagi rasa hampa yang ada dilampiaskan sedikit melalui artikel
Antara 'keemasan', 'keperakan' dan kehampaan dan sejumlah artikel yang terkumpul di dalamnya 17 hari lalu.
Sebaliknya timbul rasa cukuplah untuk menyatakan bahawa saya kemudian dapat tahu secara rasminya orang lain yang bukan sahaja lebih 20 tahun lebih muda daripada saya malah darah keturunan Laksamananya adalah daripada belah perempuan, bukan laki-laki seperti sepatutnya itu dipilih pada tarikh 15 Mac 2022. Sedangkan pada tarikh tersebut saya pula baru menyelesaikan satu proses penting dalam penulisan tesis. Maka fahamlah saya Allah SWT mahu agar tesis disiapkan sepenuhnya sebelum memikirkan apa-apa yang penting selain itu.
Selepas itu iaitu dalam tempoh kurang sebulan saya dapat menyelesaikan baki penulisan Bab 3 kemudian terus ke Bab 4 diikuti Bab 5. Ini dapat dilakukan walau dalam keadaan hampa walhal sebelum itu hampir dua tahun penulisan tersenggut-senggut teruk. Kini ia sudah dapat disiapkan ke satu tahap muktamad untuk semakan penyelia, pada petang tadi yang merupakan hari terakhir Ramadhan kali ini rupanya. Sesungguhnya penulisan artikel ini dimulakan petang tadi dalam keadaan masih menyangkakan Selasa nanti baru nak raya. Dalam jam 8.12 malam tadi baru dapat tahu esok Isnin raya malah malam ini dah masuk pun 1 Syawal sebenarnya. Semoga ini membawa sinar yang cemerlang buat diri ini.
Sesungguhnya saya masih berhajat untuk berkhidmat dengan negeri Perak diikuti orang Melayu secara keseluruhannya. Ini telah mula saya lakukan sebenarnya melalui usaha-usaha penggalian sejarah yang terpendam, penulisan buku, perkongsian pengalaman dan pelbagai cerita di blogspot juga penganjuran majlis-majlis ilmu secara percuma sejak menyedari makna asal usul keturunan lebih 20 tahun lalu. Saya tahu ada orang tidak suka saya naik kerana apa yang mahu dilakukan terhadap sistem sedia ada. Saya pula bukan jenis orang yang berpura-pura atau bermuka-muka. Sejak dahulu saya telus dengan apa yang dirancang demi agama, bangsa dan negara.
Pada awal tahun saya pernah membuat artikel bertajuk
Semangat pedang bagi tahun 2022. Dengan ini, berserta lafaz
Inna Fatahna Laka Fathan Mubina saya menyeru, dengan wasilah tok nenek moyang yang tak perlu disebut nama kecuali menyebut ia membawa ke Perak ke Aceh ke Samudera Pasai ke Baghdad ke Mekah dan ke Madinah semoga yang bathil akan gugur secara sendiri tidak lama lagi. Biar yang hak menjalankan amanah seperti yang sepatutnya. Itulah harapanku bagi hari raya. Dengan itu diucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan