Sekarang baru ada sambungannya.
Pagi Rabu 14 September 2022 iaitu pada dua hari lalu sekali lagi buat sekalian kalinya saya keluar ke bandar raya Kuala Lumpur dengan tujuan utama untuk membuat penyelidikan tentang jejak sejarah nenek moyang menggunakan dokumentasi-dokumentasi lama seperti tulisan dalam jurnal British.
Saya keluar selepas jam 9 pagi dengan harapan dapat mengelak kesesakan lalu lintas orang berkejar ke tempat kerja. Tengok-tengok tak dapat juga. Tetap banyak kesesakan di laluan utama.
Inilah antara sebab kenapa apabila telah membuat keputusan untuk membuat penyelidikan sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut saya sanggup bermalam di masjid di tengah bandar raya. Mahu mengelakkan kesesakan yang perlu dilalui dalam perjalanan pergi sekitar 50 km dan balik lagi 50 km selain tidak mahu membuang masa.
Sebetulnya untuk sesi penyelidikan kali ini saya bercadang untuk memulakan pada hari Isnin 12 September. Walaupun tingkat-tingkat pembacaan di Perpustakaan Negara tutup pada setiap hari tersebut masih boleh ke bahagian manuskrip yang dibuka hari Isnin atau ke tempat lain seperti Arkib Negara. Tetapi sekembalinya daripada perjalanan ke Muar membawa ke Melaka kemudian Tanjung Sepat yang meliputi tempoh masa 5 malam 6 hari (lihat
Memanfaat cuti sekolah bulan September 2022) pada petang Sabtu lalu 10 September saya dilanda rasa kepenatan yang amat sangat selain badan terasa tidak sihat dan sering sakit kepala. Kalau tidak kerana sudah berjanji akan hadir satu majlis ilmu di perpustakaan pagi Rabu boleh jadi sesi kali ini ditangguh ke lain minggu. Lihat
Antara martabat dan daulat - Isu-isu di sebalik pembentukan negara Malaysia.
Tentang diri yang kadangkala kurang sihat itu, sebenarnya bukan kadangkala tetapi memang selalu. Cuma ada hari-hari terasa lebih kuat semangat untuk mengenepikannya lalu dapat keluar melakukan pelbagai perkara termasuk memanjat bukit dan gunung seolah-olah tiada masalah apa-apa. Diakui penat mengembara selain penat berfikir adalah antara punca. Tetapi saya ada sebab untuk percaya bahawa sakit-sakit yang dialami juga berpunca daripada serangan ghaib disebabkan hal darah keturunan yang boleh mencabar kekuasaan dan keabsahan pihak lain. Dan ini ditambah lagi oleh satu atau dua pihak baru disebabkan aktif terlibat cuba merungkai permasalahan dalam kes tuntutan faraid harta peninggalan moyang kepada datuk saya Laksamana Muhammad Amin seperti ada dikongsikan dalam artikel-artikel kompilasi berikut :-
Oh. Gambar atas diambil selepas menyelesaikan pembacaan beberapa muka surat Al Quran bagi proses pengkhataman bulan Safar. Sahaja nak tunjuk bahawa selepas selesai majlis yang diceritakan dalam artikel
Antara martabat dan daulat - Isu-isu di sebalik pembentukan negara Malaysia saya menyelesaikan dahulu beberapa hal tertunda. Sejak beberapa lama saya memberikan komitmen untuk mengaji sekurang-kurangnya satu juzuk sehari. Kadangkala tercicir disebabkan kesibukan hal lain juga kepenatan. Tetapi ada masanya pula dapat dikejar balik dengan mengaji lebih dua juzuk dalam satu hari.
Selesai mengaji sehingga terasa cukup dapat kembali pada landasan mengejar matlamat satu juzuk pada hari itu (maksudnya cukup muka surat supaya dapat diselesaikan satu juzuk selewatnya sebelum tengah malam) barulah dimulakan penyelidikan. Kali ini terus ke bahagian manuskrip di tingkat 11 bangunan tinggi perpustakaan (ia ada satu lagi bangunan yang lebih rendah tetapi melebar panjang). Saya mahu mencari satu manuskrip bertajuk "Riwayat Negeri Perak" (1952). Ini kerana menurut buku Cempaka Sari : Sejarah Kesultanan Negeri Perak tulisan M.A. Fawzi Basri terbitan Yayasan Negeri Perak tahun 1986 itulah rujukan yang digunakan untuk membuat senarai pemegang gelaran Laksamana di Perak.
Saya mahu membuat rujukan primer kerana percaya telah berlaku purging of records atau pembuangan rekod yang mengenepikan peranan datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin dalam sejarah Perak pada awal abad ke-20 Masihi. Perkara sebegini boleh berlaku akibat kepentingan-kepentingan politik tertentu. Berdasarkan senarai tersebut berakhir dengan nama Laksamana Razali (cucu OK Arshad) sebagai Laksamana ke-14 nampaknya manuskrip ini ditulis antara tahun 1948 dengan 1952 kerana saya tahu dan ada bukti rekod lama bahawa Razali dilantik menjadi Laksamana pada penghujung tahun 1947. Purging or records selain kesilapan yang tidak disengajakan boleh mempengaruhi penulisan kemudian seperti mana senarai dalam Cempaka Sari itu dijadikan rujukan ramai pengkaji moden.
Malah apabila disemak kembali dengan teliti senarai yang katanya dirujuk daripada "Riwayat Negeri Perak" itu ternyata ia sememangnya cacat. Ini kerana tidak menyertakan nama Tun Abu Usama yang jelas dalam rekod-rekod Belanda pernah menjadi Laksamana pada zaman pemerintahan Sultan ke-13 Perak, Sultan Muzaffar Syah III (1728 - 1752) hingga ke Sultan ke-15, Sultan Iskandar Zulkarnain (1752 - 1765). Abu Usama ini sebenarnya seorang Laksamana yang sangat berpengaruh dalam sejarah negeri Perak pada waktu itu. Ini boleh dirujuk panjang lebar dalam buku Perak : The Abode of Grace – A Study of an Eighteenth Century Malay State tulisan Barbara Watson Andaya terbitan Oxford University Press tahun 1979 di Kuala Lumpur.
Namun semakan atas nama "
Riwayat Negeri Perak" dengan pegawai berkenaan melalui sistem data maklumat perpustakaan menunjukkan ia tiada dalam rekod. Tergerak pula untuk mencari "
Hikayat Pocut Muhammad". Menurut sedikit bacaan yang pernah ditemui atas talian ia adalah tentang bagaimana pada awal penubuhan Raja-raja Aceh Dinasti Bugis abad ke-18 (rujuk ceritanya dalam artikel lama
Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh?) pernah berlaku peperangan dengan keluarga daripada dinasti yang memerintah Aceh sebelum itu iaitu Dinasti Sayyid (daripada keturunan Arab yang memakai gelaran Sharif dan Sayyid). Untuk makluman saya percaya bahawa keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak berasal daripada Dinasti Bugis Aceh ini. Namun bila dicari dalam sistem pun tiada manuskrip atau apa-apa dokumen atas nama hikayat tersebut. Rupa-rupanya ia direkod sebagai
Hikayat Pocut Muhamat. Lain sedikit sahaja ejaan.
Menurut pegawai berdasarkan nombor rujukan pada hikayat ia ada dalam bentuk buku pada paras bacaan ramai di tingkat 7. Saya pun terus meluru ke situ.
Tapi tak jumpa pula di rak buku yang sepatutnya mengikut sistem pernomboran perpustakaan yang dipakai secara piawai di kebanyakan perpustakaan di dunia, sistem yang dipanggil sebagai Dewey Decimal Classification. Tak mengapa. Masih ada bacaan lain berkenaan melibatkan hal-hal keluarga boleh dirujuk di tingkat itu.
Seterusnya saya ke bahagian mikrofilm di tingkat 6. Ketika itu sudah selepas jam 4.30 petang sedangkan perpustakaan tutup jam 5. Sekurang-kurangnya cukup masa untuk memastikan bahawa sejumlah bahan yang diperlukan memang wujud dan boleh dicapai di situ. Ia boleh dibuat salinan pada hari lain.
Selalunya saya berlegar di halaman perpustakaan sehingga selepas jam 6 petang untuk menunggu kesesakan jalan raya cukup surut. Hari itu keluar lebih awal, kononnya supaya dapat mengelak daripada bersama orang ramai meninggalkan pejabat. Tengok-tengok tak juga. Dengan itu dibuat keputusan masuk ke pusat bandar raya yang mana jalannya tidak begitu sesak kerana melawan arus.
Singgah di Chow Kit pekena mee Aceh sat.
Selesai itu tergerak untuk ke tempat belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Ada niat untuk bermalam di sana tetapi tak pasti jika dibenarkan. Kalau tak boleh tak mengapa. Saya boleh ke rumah kawan di Sri Hartamas.
Gambar ini diambil pada jam 5.44 pagi Khamis 15 September. Alhamdulillah dapat bermalam di masjid ISTAC. Nasib saya baik kerana kebetulan jam 5 pagi itu mahu diadakan majlis Qiamulail. Selepas solat Isyak berjemaah pada malam sebelumnya imam masjid yang sudah cukup kenal saya kerana sudah banyak kali bermalam bersendirian di masjid memberitahu boleh bermalam walhal saya tak bertanya pun. Kata beliau mari ikut sekali majlis. Rupa-rupanya ada beberapa orang kakitangan turut bermalam tetapi dalam bangunan perpustakaan supaya dapat berQiamulail.
Saya mengambil gambar ketika keluar dari saf sebentar. Ini kerana perlu bersahur untuk berpuasa siang itu. Adalah telah menjadi kebiasaan saya sejak lima tahun lalu untuk berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis juga puasa putih pertengahan bulan Islam iaitu pada hari ke-13, ke-14 dan 15. Tentang tidur di masjid saya sebenarnya risau tidak dibenarkan kerana takut masih ada sisa-sisa SOP (Standard Operating Procedure) dari zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid-19 melarang daripada berbuat begitu.
Selepas solat Subuh diadakan pula sesi tadabur ayat ke-9 hingga ke-13 Surah Hujurat berserta tazkirah. Selepas itu buat sedikit kerja dalam komputer riba kemudian ke pejabat ISTAC untuk urusan penyerahan tesis (submission of thesis). Sebenarnya ia sudah diserahkan melalui e-mail 2 hari sebelumnya. Cuma belum selesai bab formaliti seperti borang-borang yang perlu diisi.
Tengok-tengok semua kaki tangan sedang sibuk kerana ada program Ibadah Camp atau kem ibadah. Rupa-rupanya majlis Qiamulail malam itu adalah sebahagian daripada program. Dengan itu bergeraklah ke tempat penyelidikan seterusnya iaitu Arkib Negara. Dah lama nak pergi sebenarnya, sejak memulakan siri penyelidikan kepustakaan bagi mencari jejak OK Arshad hampir 2 bulan lalu.
Untuk pengetahuan itulah kali pertama saya membuat penyelidikan di arkib. Sebelum itu pernah datang untuk menghadiri majlis-majlis ilmu. Lihat artikel-artikel berikut :-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan