Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mei 06, 2017

Jumaat yang berkat di Pesta Buku Antarabangsa KL 2017

Meneruskan gerak cerita aktiviti hari Jumaat semalam. Bersambung daripada artikel Filologi Facebook : Sumbangan Media Sosial Pada Penelitian Manuskrip Dunia Melayu.


Acara di Dewan Bahasa dan Pustaka tamat jam 11. Selepas dekat sejam berlegar-legar berbual-bual dengan kawan dan kenalan di situ saya bertolak ke PWTC atau Putra World Trade Centre untuk menghadir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017.


Ia telah bermula 28 April iaitu Jumaat seminggu lalu dan akan tamat Ahad 7 Mei ini iaitu esok malam.








Saya pula baru semalam ada kelapangan dan gerak untuk bertandang...








Kebetulan saya sampai ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan. Saya pun duduk bersama jemaah yang memanjang keluar hingga ke bawah daripada surau utama sana.


Surau sini mungkin merupakan satu-satunya bangunan komersial di Malaysia yang selalu diadakan solat Jumaat. Keadaan selepas solat... orang kembali ke reruai buku dan sebagainya...


Solat Jumaat diadakan dalam bangunan kerana PWTC selalu menganjurkan acara-acara besar yang dihadiri ribuan manusia. Masjid terdekat terletak sekitar 1 km dari situ kalau tak salah,. Masalah juga kalau orang ramai perlu bergerak jauh dan kembali untuk solat.


Seperti biasa banyak buku baru dan lama dipamerkan dengan promosi pelbagai ragam. Namun paling awal betul-betul menarik perhatian saya adalah poster-poster lama filem P. Ramlee di reruai Jabatan Arkib Negara.


Diadakan sekali pameran yang memaparkan sejarah hidup dan laluan kerjaya beliau sebagai seniman serba boleh negara.


Tarikan reruai Arkib membuatkan saya turut mengambil peluang untuk mendaftar sebagai pengguna kemudahan dan penyelidik melalui talian. Sebelum ini saya cuma biasa membuat penyelidikan kepustakaan di Perpustakaan Negara, sesekali di menara-menara gading sekitar Lembah Klang.


Dengan pendaftaran tersebut saya boleh menggunakan kemudahan fizikal di Arkib juga kemudahan atas talian melalui apa yang dipanggil sebagai OFA - Online Finding Aid. Kelihatan adalah reruai DBP dalam sebuah dewan tingkat bawah.


Naik dewan tingkat atas ternampak pengacara terkenal program-program serius televisyen, saudara Sayed Munawar sedang mengendalikan satu sesi wawancara di reruai ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia). Konsisten betul ITBM mendapat ruang sama setiap kali berlangsung PBAKL. Cuma tahun lepas sahaja lain apabila acara besar ini buat pertama kali cuba dianjurkan di MAEPS, Serdang. Teringat bagaimana ketika itu juga terbit sedikit kontroversi terhadap buku tulisan saya. Lihat artikel lama Tentang Pesta Buku KL 2016 dan cabaran ke atas penulisan buku diikuti Ke Pesta Buku KL di Serdang untuk menjernihkan hal buku yang dituduh berunsur Syiah
.


Saya melepak lama kerana tertarik dengan subjek celoteh iaitu berkenaan teknologi buku atas talian, e-book juga buku dalam bentuk penceritaan melalui pendengaran (audio book). Lagipun dah 2 bulan juga tak jumpa Sayed. Kali terakhir semasa majlis di Galeri Petronas KLCC. Lihat Forum Kosmologi Alam Melayu di Galeri Petronas. Seperti biasa apabila ternampak kelibat saya berbusana tradisional Melayu bertanjak berkeris (sebenarnya hari itu saya sekadar menyisipkan sebilah rencong Aceh) masuk suatu majlis terus beliau memberitahu umum Merah Silu ada di sini. 

Saya juga melepak lama kerana salah seorang daripada dua orang yang diwawancara ialah kawan yang sudah bertahun tidak ditemui. Beliau adalah Syed Faiz al-Shahab, pengasas portal buku atas talian E-Sentral. Katanya ia kini portal buku atas talian terbesar di Asia Tenggara. Besar tak besar ada le gak nilai syarikat dalam RM12 juta... 

Saya kenal beliau setelah menumpang reruai syarikat Karnadya milik ibu beliau., novelis Aina Emir pada PBAKL 9 tahun lalu. Lihat artikel Perjumpaan di Pesta Buku Antarangsa Kuala lumpur di PWTC 2008. Terjalinlah hubungan baik bersama mereka sekeluarga sehingga saya juga jadi rapat dengan seniman pelukis dan penulis lirik terkenal S. Amin Shahab yang merupakan bapa saudara Faiz. Sempat juga saya menulis dua buah buku mewah bersama Karnadya, dahulu diuruskan oleh Faiz. Lihat Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC diikuti Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi


Tumpuan saya selepas itu adalah koleksi yang terdapat di reruai Kafilah Buku. Ia menggabungkan beberapa pengusaha kecil buku berkongsi kos menyewa ruang sama di pesta buku. Sekurang-kurangnya dua pengusaha buku adalah kawan-kawan saya. Rata-rata mereka menjual koleksi buku ilmu pengetahuan, agama dan akademik yang susah hendak ditemui di kedai-kedai biasa. Mereka cari di universiti, muzium dan sebagainya atau terbitkan sendiri.

Melihat suasana dengan banyak buku terasa sungguh bahawa dunia saya memang utama dalam bidang buku dan penerbitan. Kerja-kerja lain seperti aktivis budaya, busana dan persilatan itu cuma hal sisi berbanding buku. Saya membesar dengan membaca ensaiklopedia dan buku-buku maklumat sejak sebelum masuk sekolah rendah lagi. Hal ini sebetulnya mula nyata meruntun hati sejak di reruai ITBM tadi. Terasa sungguh saya harus kembali memberikan tumpuan penuh pada penulisan buku setelah hampir 5 tahun asyik disibukkan dengan aktiviti-aktiviti HIKMAH dan berkaitan. 


Salah satu sebab saya memutuskan untuk berhenti daripada menganjurkan apa-apa acara HIKMAH seperti dinyatakan dalam artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? Jumaat 2 minggu lalu adalah untuk menyelesaikan penulisan beberapa tajuk buku yang tertunggak sekian lama. Kesibukan dengan hal-hal selain buku juga menyebabkan saya tidak dapat memastikan penerbitan buku baru untuk PBAKL tahun ini. Sepatutnya sempat terbit dua tajuk. Tetapi satu tidak sempat disunting sepenuhnya oleh sebuah syarikat penerbitan baru sambil terbit hal lain. Satu lagi dah siap sampai ke peringkat PDF yang boleh dicetak sejak awal tahun lagi. Tetapi syarikat yang mengendalikan (lain daripada yang disebut tadi) terpaksa menyusun kembali aliran kewangan dan keutamaan yang terganggu buat suatu masa.


Dicampur hal terasa serik dengan kerenah sesetengah orang dalam dunia aktivisma budaya, busana dan persilatan seperti dinyatakan dalam artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? tak mahu saya keluar kawasan perumahan berjumpa orang sejak sebulan kebelakangan. Saya cuma keluar jauh kerana majlis-majlis melibatkan keluarga dan satu yang saya sudah janji sejak awal tahun di Kedah seperti diceritakan dalam beberapa artikel sebelum ini. Nak pergi PBAKL kena keluar lebih 50 km ke Kuala Lumpur lalu mengharungi kesesakan jalanraya yang teruk selain susah nak dapat tempat letak kereta. Buat apa nak susah-susah? Lain le kalau ada buku baru saya sempat diterbitkan sana.


Namun terlihat koleksi demi koleksi di reruai Kafilah Buku yang dipaparkan kawan-kawan melalui Facebook timbul rasa untuk datang melihatnya. Adanya majlis di DBP pagi Jumaat seperti diceritakan dalam artikel  Filologi Facebook : Sumbangan Media Sosial Pada Penelitian Manuskrip Dunia Melayu membantu  menetapkan hari untuk keluar lalu berlakulah semua yang diceritakan ini. Berkat penghulu segala hari saya diingatkan kembali tentang keutamaan dunia buku buat diri sendiri. Dalam senarai saya sejak awal tahun 2015 ada 5 tajuk baru perlu dikeluarkan selain 6 yang merupakan pecahan dan penambahbaikan daripada siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh".



Tiada ulasan: