Subhanallah. Nampaknya keputusan untuk memulakan siri artikel tentang zaman di UK (lihat Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144) tengah malam tadi mula membuahkan hasil. Ia membawa pada satu gerak kerja menggunakan ilmu matematik yang sudah amat lama ditinggalkan, ilmu yang ditinggalkan semasa zaman belajar di UK lebih 18 tahun lalu! Terlihat kenyataan di Facebook seseorang tentang fosil manusia ditemui di Lenggong beberapa tahun lalu didapati berumur 1.83 juta tahun saya terpanggil untuk membuat kira-kira.
Adapun hal berkenaan penemuan fosil-fosil atau tulang/tinggalan manusia dikatakan berumur jutaan tahun di beberapa tempat termasuk di Lenggong berdasarkan perkiraan melalui carbon dating sudah lama saya tahu. Semasa zaman kanak-kanak hinggalah tahun awal masuk universiti saya meminati kajian sains berkenaan makhluk-makhluk yang dikatakan pernah wujud jutaan tahun lalu terutama binatang-binatang gergasi dinosaur. Saya menghafal jenis-jenisnya, zaman kemunculan suatu jenis binatang dan boleh melukis rupa bentuknya. Kiraan ilmu sains kelihatan berlawanan sungguh dengan kenyataan melalui kitab bahawa manusia pertama, Nabi Adam AS diturunkan ke bumi paling awal pun sekitar 10,000 tahun sebelum Masih.
Namun sejak 10 tahun lalu saya telah memikirkan jawabannya. Pada saya perbezaan kira-kira antara ilmu sains berbanding maklumat dari kitab yang bersumberkan wahyu adalah disebabkan dua perkara utama. Satu adalah bahawa sebelum turun Nabi Adam yang kita kenali sebagai manusia pertama sudah ada ramai lagi Adam yang mewujudkan kitaran hidup manusia-manusia terdahulu. Perkara ini saya mula dapat tahu ketika masih menuntut di UK 1991-1995. Ia ditemui dalam sebuah kitab karangan wali besar zaman kegemilangan Andalusia iaitu Ibnul Arabi (saya baca terjemahan bahasa Inggeris) yang saya dah lupa nama kitabnya, mungkin Fusus al Hikam, mungkin Futuhat al Makiyah. Ia menyebut bagaimana Ibnul Arabi terjumpa seorang yang penampilannya agak luar biasa di hadapan Ka'abah lalu beliau bertanya : "Apakah engkau Adam?". Orang itu menjawab : "Adam yang mana satu? Ada 124,000 Adam..."
Dalil tentang wujudnya Adam sebelum Adam yang kita kenali sekarang (Adam kita juga dikenali sebagai Adam Safiullah) tersirat dalam Surah Baqarah ayat 30...
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Bagaimana malaikat tahu manusia itu akan membuat bencana dan menumpahkan darah? Apakah disebabkan mereka pernah melihat contoh manusia-manusia terdahulu, manusia dari Adam-Adam awal yang pernah memenuhi muka bumi lebih dahulu tetapi pada zaman-zaman di mana makhluk jin memiliki kedudukan lebih utama, bila sampai masa Adam terakhir turun barulah mahu dijadikan khalifah sehingga menimbulkan rasa dengki makhluk jin termasuk Iblis. Ingat, ia dahulu bernama Azazil ketika menjadi ketua para malaikat, asalnya adalah jin yang sangat alim sehingga dikatakan tidak ada tempat di muka bumi tidak pernah dicecahkan dahinya untuk bersujud!
Perkara kedua tentang menyelaraskan masa antara tempoh wujud manusia dalam ilmu sains berbanding kitab terletak pada perbezaan panjang pendek masa. Sesungguhnya sudah disebut bahawa semakin hampir ke akhir zaman semakin pendek hari-hari iaitu masa berlalu semakin cepat. Ini sudah saya pelajari sejak sekolah rendah lagi lebih 30 tahun lalu. Tapi implikasinya baru saya dapat tahu ketika zaman saya selalu keluar mengembara dari masjid ke masjid atau menginap di rumah bapa angkat di Janda Baik 2003-2005.
Ketika itulah saya mengenali beberapa orang manusia yang disebut pihak lain sebagai orang yang jenis mati hidup balik mati hidup balik. Saya tak tahulah jika perkara ini benar, yang saya tahu ramai yang percayakan hal ini dan sanggup mengikut mereka ke mana sahaja belajar ilmu silat, Tasawuf, kehidupan dan hal-hal lain agama. Semasa itulah saya diberitahu bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW kita boleh menanam kacang pada waktu pagi dan mengambil hasilnya waktu petang. Sedangkan kalau zaman sekarang kita perlu menunggu seminggu baru kacang berbuah.
Bila difikirkan balik hal ini baru saya faham kenapa baginda ada begitu banyak masa untuk melakukan pelbagai perkara. Bayangkan, selepas solat Isyaq sempat beramal selain bermuzakarah bersama para sahabat kemudian boleh bergilir melayan 9 orang isteri. Selepas atau di celah-celah itu masih ada masa untuk bertahajud panjang kemudian beramal lagi sebelum masuk waktu Subuh. Mana datang masa yang begitu panjang untuk melakukan semua benda ini?
Perkara tentang 124,000 Adam dan masa yang dahulunya panjang semakin pendek ini pernah saya nyatakan di hadapan pakar arkeologi terkenal Profesor Dato' Dr Nik Hassan Suhaimi dan beberapa cendekiawan besar lain lebih setahun setengah lalu. Lihat Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Tapi beberapa jam tadi, selepas membuat artikel Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144 baru timbul gerak untuk melakukan kira-kira berdasarkan apa yang saya tahu. Mungkin kerana usaha membuka cerita lama itu sendiri dapat menimbulkan kembali sedikit bakat kepandaian yang sudah lama terpendam akibat pelbagai hal. Sesungguhnya sejak awal masuk ke universiti saya mengalami masalah mental block teruk apabila melibatkan kira-kira dan matematik. Ini menyebabkan saya tidak dapat memenuhi potensi sebenar diri walaupun masih sempat selamat memperolehi ijazah kepujian dalam bidang tersebut.
Tadi, dengan tiba-tiba muncul gerak untuk menganalisa hal berdasarkan kenyataan masa semakin ke akhir zaman semakin bergerak pantas. Apabila difikirkan balik coraknya saya dapati ia boleh diplot pada graf menurut corak persamaan (equation) y=1/x. Cuma beberapa nombor constant (maaf, saya tidak ingat terjemahan ke dalam bahasa Melayu) perlu dicari, tak boleh y=1/x sahaja kerana kalau y=1/x nilai y akan menghampiri infiniti apabila x menghampiri sifar.
OK. Apa yang disebut selepas ini mungkin agak teknikal tetapi saya rasa tidaklah terlalu tinggi, rasanya ada dalam kurikulum matematik tambahan Tingkatan 3 atau paling tinggi pun Tingkatan 5. Saya perhatikan, untuk mendapat kira-kira atau sebenarnya anggaran yang cukup baik persamaan yang sesuai adalah dalam bentuk y= a/(x+c) + b di mana a, b, c adalah constant yang perlu dicari berpandukan beberapa fakta dan assumption atau anggapan awal. Anggapan pertama adalah tahun 2000 dianggap tahun piawaian di mana panjangnya 1 hari pada tahun tersebut dijadikan rujukan. Berpandukan cerita orang lama bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW iaitu 1,400 tahun lalu kita boleh menanam kacang waktu pagi dan mengambil hasilnya waktu petang, anggapan kedua adalah 1 hari pada zaman itu bersamaan 7 hari zaman sekarang dengan panjangnya hari pada tahun 2000 sebagai piawai.
Namun untuk mencari semua nilai a, b, c kita perlukan satu lagi anggapan. Ketika itulah saya pening mana nak cari rujukan dan perbandingan kerana tidak pernah diberikan perumpamaan bagaimana lamanya masa pada zaman Nabi Nuh AS atau Nabi Ibrahim AS misalnya. Kemudian saya teringat bahawa fakta Nabi Adam AS turun dari syurga ke bumi boleh dijadikan rujukan dalam membentuk anggapan. Saya tidak tahu dengan tepat berapa panjangnya satu hari pada zaman Nabi Adam tetapi berdasarkan cerita juga rujukan dari Al-Quran saya tahu 1 hari di akhirat yang mana ia juga terpakai di syurga bersamaan 1,000 tahun di dunia. Maka ada satu detik di mana tempoh masa ini masih terpakai sebelum baginda betul-betul turun 100 peratus ke permukaan bumi. Ini dipadankan pula dengan kata-kata setengah pengkaji bahawa Nabi Adam AS turun ke bumi 10,000 tahun sebelum Masihi.
Tempoh 10,000 tahun sebelum Masihi itu kalau tak salah diambil dari kitab Bible orang Kristian dan kisah-kisah Israiliyat orang Yahudi. Namun begitu janganlah ia terus ditolak kerana ada juga kisah benar boleh diambil dari pihak mereka, sekurang-kurangnya untuk membentuk anggaran berguna. Untuk rujukan tahun yang diletak pada paksi x, saya gunakan kiraan Masihi. Namun untuk kira-kira 1 hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di bumi, saya mengambil tahun menurut kalender Islam yang mana satu tahun secara purata bersamaan 354 hari. Lalu satu hari pada detik Nabi Adam AS turun ke bumi dianggap bersamaan 354,000 hari sekarang.
Tiga anggapan ini digunakan untuk membuat plot seperti pada graf. Tahun 2000 dengan hari sepanjang 1 hari piawai membentuk titik koordinat (2000,1), tahun 600 (zaman Nabi Muhammad SAW 1,400 tahun lalu) dengan satu harinya bersamaan 7 hari sekarang menjadi titik (600,7) diikuti 1 hari ketika Nabi Adam AS turun ke bumi 10,000 tahun sebelum Masihi bersamaan 354,000 hari sekarang menjadi (-10,000 , 354,000). Dengan memasukkan data-data ini ke dalam persamaan y = a/(x+c) + b, kita pun mendapat 3 persamaan berikut :-
1 = a/(2000+c) + b
7 = a/(600+c) + b
354,000 = a/(-10,000+c) + b
Selesaikan 3 persamaan ini dan hasil yang saya dapat adalah :-
a = 545,292.0447
b = -44.43517
c = 10,001.540178
Ini membentuk persamaan y = 545,292.0447 - 44.43517
x + 10,001.540178
Menggunakan persamaan ini kita boleh membuat anggaran kira-kira berapa panjangkah hari pada sesuatu zaman, dengan memasukkan tahun berapa Masihi sebagai x lalu dapatlah hasilnya y sebagai panjang hari berbanding hari piawaian tahun 2000. Namun untuk mengira berapa tahun sebenar sudah berlalu sehingga kini, misalnya sejak zaman Nabi Muhammad SAW kita harus menggunakan proses pengkamilan ataupun integration... kerana jumlah sebenar tahun yang berlalu adalah bersamaan luas kawasan seperti diwarnakan dalam graf.
f(x) = 545,292 ln (x+10,001.540178) - 44.43517 x (ln adalah natural logarithm)
Jarak sebenar tahun dari zaman Nabi Muhammad SAW hingga ke tahun 2000 boleh dikira sebagai f(2000) - f(600). Hasil yang saya dapat adalah berbanding pendeknya tahun-tahun sekarang, Nabi Muhammad SAW sebenarnya hidup 5,426 tahun lalu!
Nak tahu apa pula kiraan yang saya dapat untuk zaman turunnya Nabi Adam AS? Kiraan yang saya dapat, baginda mula muncul di bumi 4,353,080 tahun lalu, lebih 4 juta tahun dulu tu! Jadi apalah nak dihairankan kalau boleh terjumpa fosil manusia di Lenggong berumur 1.83 juta tahun? Itu belum masuk lagi bab 124,000 Adam. Nampaknya dengan Adam terakhir ini pun sudah cukup untuk menjawab pelbagai soalan saintifik asalkan kita berpegang pada kenyataan bahawa masa semakin pendek semakin kita menghampiri akhir zaman. Cukup.
Nota pembetulan : Sebenarnya yang ditemui lalu didapati berusia 1.83 juta tahun itu bukanlah fosil manusia tetapi kapak batu. Oleh kerana kapak itu didapati memiliki ciri-ciri buatan manusia, bukan akibat hakisan alam dan sebagainya maka ia dianggap bukti bahawa manusia sudah wujud di Lenggong seawal itu.