Salam Ramadhan semua! Diharap awda semua (hehe! teringat di Brunei anda disebut awda) masih segar untuk menempoh 8 jam lagi perut kosong dan tekak kering juga mengawal hawa nafsu. Maklumlah hari pertama berpuasa, tentu sedikit mencabar kecuali pada mereka yang sudah biasa berpuasa bulan Rejab dan Syaaban atau biasa mengamalkan lain-lain puasa sunat secara berterusan, sekurangnya-kurangnya setiap hari Isnin dan Khamis. Saya sendiri masih bertahan setelah bangun agak awal dari kebiasaan iaitu jam 4:30 pagi, sebelum sahur sejurus sebelum waktu imsak. Cuma ada sedikit dugaan apabila mendapati kunci rumah saya hilang ketika mahu keluar menyelesaikan satu hal di luar, sedangkan isteri saya pula telah keluar untuk ke pejabat lebih awal. Terkurunglah sekejap di rumah sehingga terjumpa kunci lain untuk keluar dari pintu belakang... :]
Seperti yang sudah dijanjikan setelah sekian lama, hari ini 1 Ramadhan 1431 Hijrah sampailah masanya untuk melepaskan cerita tentang perjalanan saya ke Aceh yang dibuat penghujung Januari 2010. Untuk pengetahuan saya sudah 4 kali ke Aceh. Pertama, seorang diri Januari 2004 ketika Aceh sedang darurat akibat perang, kedua bersama isteri yang sedang mengandung 6 bulan Jun 2009 iaitu 5 tahun 5 bulan selepas lawatan pertama. Ketika itu Aceh sudah aman dan berjaya dibangunkan kembali. Peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang mengorbankan 200,000 nyawa di Aceh telah membawa kepada gencatan senjata diikuti perdamaian seterusnya pembukaan Aceh kepada orang luar demi proses pembaik-pulihan sekurang-kurangnya dari segi infrastruktur yang dijadualkan siap dalam masa 4 tahun.
Penghujung Januari 2010 saya pergi lagi ke Aceh bersama isteri, kali ini bersama anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan berserta seorang teman. Dengan tidak disangka penghujung Februari kami anak beranak pergi lagi kerana dijemput menghadiri majlis Mauludir Rasul... turut bersama kami adalah penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu", Suzana Othman bersama suami. Cerita mengenai lawatan pertama yang dibuat penuh susah-payah akibat darurat telah dilepaskan melalui siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang mula terbit Jun 2006. Cerita perjalanan kedua yang dibuat lebih santai kerana keadaan sudah aman menghiasi
blogspot ini tahun lepas. Lihat
Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... .
Cerita perjalanan keempat pula selesai dipersembahkan pada penghujung April. Lihat
Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat.... Tinggal cerita perjalanan ketiga yang masih 'tersangkut' walaupun perjalanan itu sendiri berlaku lebih awal. Seharusnya ia sudah dilepaskan sebelum cerita perjalanan ke empat bukan? Malah dalam artikel pengenalan yang bertajuk
Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat 4 Februari, tajuk sirinya telah pun dikemukakan, cuma perlu menyelesaikan satu siri lain terlebih dahulu sebelum ia dapat dimulakan...
Sebenarnya apa yang berlaku adalah timbul pengembaraan lain yang mengalihkan perhatian. Pembaca setia
blogspot ini tentu sedar betapa saya sering melepaskan cerita mengikut giliran berdasarkan pengembaraan sebenar yang telah dibuat terlebih dahulu. Namun ada ketikanya sesuatu cerita dilepaskan lebih awal walaupun pengembaraan berkaitan berlaku terkemudian. Misalnya sebelum pergi ke Aceh penghujung Januari saya telah melepaskan dua siri, satu berdasarkan perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan (Ogos 2009) semasa isteri sedang mengandung 8 bulan, satu lagi berdasarkan perjalanan ke selatan sebaik sahaja isteri tamat pantang melahirkan anak (November 2009). Lihat
Koleksi artikel "Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan" dan
Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan"... .
Kedua-dua artikel kompilasi dibuat sebaik sahaja kembali dari Aceh. Disember 2009 pula kami berjalan lagi disertai 2 orang anak isteri yang dibela bapa saudaranya di Kelantan. Pengembaraan inilah yang menunggu giliran untuk dilepaskan seterusnya. Selepas membuat 2 artikel untuk siri ini saya telah mendapat gerak untuk membuat 2 artikel lain tentang salasilah raja dan kaitan Aceh dengan Bugis. Sebaik sahaja selesai tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon menjemput kami sekeluarga menyambut Maulidur Rasul di Aceh.
Melihat bahawa rancangan untuk memaparkan cerita perjalanan ke Aceh penghujung Januari bakal tergendala, saya menyajikan artikel kecil
Jejak Al-Rasyid di Aceh! mengabungkan gambar-gambar dari lawatan itu juga lawatan penghujung Februari ke Aceh. Siri cerita untuk perjalanan Disember 2009 pula akhirnya berjaya ditamatkan pertengahan Mac. Lihat
Kompilasi "Jalan-jalan anak-beranak". Kalau ikutkan sudah sampai giliran untuk memaparkan cerita perjalanan ke Aceh penghujung Januari. Namun melihat bahawa ketika itu masih terasa bahang sambutan Maulidur Rasul di mana-mana, saya memaparkan perjalanan ke Aceh penghujung Februari pula.
Perjalanan penghujung Februari itu sendiri berlaku sebagai ganti kepada rancangan asal saya untuk menyambut Maulidur Rasul di Perak. Maka itu bulan April baru saya ke Perak... timbullah satu siri yang berjaya dikumpulkan melalui artikel
Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete! pertengahan Mei . Seterusnya saya disibukkan dengan projek penulisan buku keretapi yang memerlukan saya mengembara menaiki keretapi hingga ke Tumpat, Kelantan dan Hatyai, Thailand. Demi menggantikan masa meninggalkan anak isteri, saya membawa mereka berjalan ke bahagian lain Perak. Timbullah siri "Jalan-jalan di Perak sebelah barat" yang apabila diteliti kembali merupakan kesinambungan perjalanan ke Perak sebelumnya malah turut terkait dengan sambutan Maulidur Rasul di Aceh, atau lebih tepat di Perlak. Lihat
Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat .
Kini sampailah masanya untuk meluahkan cerita perjalanan ke Aceh penghujung Januari. Mungkin ada rahsia kenapa aturannya boleh jadi begini, kenapa siri baru ini cuma dapat dimulakan 1 Ramadhan 1431 Hijriah ini. Biarlah diberitahu, perjalanan tersebut berlaku apabila seorang teman yang sudah lama ingin menziarahi makam-makam di Aceh meminta pertolongan saya menunjukkan jalan. Memandangkan saya dan isteri sendiri rindu hendak pergi ke Aceh lagi apalagi Al-Rasyid ketika itu belum pernah menjejakkan kaki lagi ke bumi asal-usul nenek moyangnya, kami pun membuat keputusan untuk pergi bersama. Dapatlah juga menjimatkan belanja berkongsi sewa kenderaan dan sebagainya...
Seperti disebut awal tadi, saya telah ke Aceh 4 kali. Biar ditambah isteri telah pergi 3 kali dan Al-Rasyid 2. Perjalanan pertama saya Januari 2004 dibuat dengan niat untuk menziarahi makam Sultan Malikul Salih (saya lebih suka menggunakan ejaan ini berbanding Malikul Saleh). Namun ia tidak kesampaian kerana halangan darurat perang. Dalam perjalanan kedua iaitu bersama isteri Jun 2009, baru saya dapat menjejakkan kaki, itupun waktu malam. Begitulah juga keadaan ketika kami sampai sekali lagi penghujung Februari 2010 iaitu perjalanan saya yang ke empat. Namun untuk perjalanan ke tiga kami dapat sampai siang hari iaitu pagi Jumaat. Di situlah buat pertama kalinya Al-Rasyid menjejakkan kaki ke tanah...
OK. Gerak hati saya menyuruh meletakkan ini, sedikit informasi yang diambil dari Muzium Brunei, informasi yang mengaitkan Sultan-sultan Brunei sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW daripada nasab Saidina Hassan melalui Sultan ketiga Brunei Sharif Ali. Sepatutnya gambar ini cuma akan dipaparkan di samping cerita yang bakal dibuat dalam siri baru tentang perjalanan kami tiga beranak ke Brunei baru-baru ini, Insyaallah selepas Hari Raya, selepas siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" tamat. Namun itulah saya... saya pun tak pasti kenapa harus meletakkannya terlebih dahulu kecuali merasakan ia ada kena-mengena dengan siri terbaru tentang Aceh ini, ada kena-mengena juga dengan kenapa baru kini ia dapat dimulakan setelah sekian lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan