Assalamualaikum semua. Sempena hari Jumaat yang mulia ini timbul satu gerak kecil bercerita. Oleh kerana siri kecil "Jalan-jalan anak-beranak" memerlukan sekurang-kurangnya 3 lagi cerita sebelum tamat sedangkan cerita-cerita Aceh yang akan menyusul kemudian mungkin jadi panjang dan memakan masa, saya rasa elok dilepaskan dahulu gambar-gambar di bawah untuk tatapan semua.
Kalau mengikut giliran, gambar-gambar ini cuma akan ditayangkan paling awal pun 2 minggu selepas ini, ada yang mungkin cuma dapat dilihat pembaca bulan April. Gerak rasa pagi Jumaat pula membuatkan saya ingin meletakkan beberapa gambar di Facebook. Alang-alang begitu biar disiarkan terus gambar-gambar senada dan turut dikongsikan di sini juga. Cuma di sini penerangannya boleh diberi lebih panjang kerana ada lebih ramai pembaca yang sudah faham kecenderungan saya untuk menziarahi makam-makam. Ini dia...
OK. Rujuk pada artikel pengenalan Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat Februari 4, selepas selesai perjalanan ke Aceh 27 Jan-1 Feb. Semasa itu tak terlintas pun di fikiran yang kami akan ke Aceh lagi penghujung bulan Februari. Apapun, gambar pada artikel itu diambil di hadapan makam pengasas kerajaan Samudera-Pasai, Sultan Malikus Salih yang dikatakan mangkat tahun 1297 Masihi. Sejurus kemudian iaitu pada pagi Jumaat 29 Feb, saya dan isteri membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid untuk menjejakkan kakinya di atas tanah kawasan makam. Untuk makluman, itulah kali pertama Al-Rasyid menjejakkan kakinya di atas tanah. Ketika itu dia baru berumur 3 bulan setengah.
Adapun makam Sultan Malikus Salih itu terletak di Geudong, kira-kira 300 km di tenggara Banda Aceh. Sekembalinya kami ke Banda Aceh, tergerak pula untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di sekitar makam seorang lagi moyangnya, Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1727-1735 Masihi.
Oh. Baru teringat. Dari Geudong hari Jumaat kami naik ke kawasan pergunungan Takengon di tengah Aceh lalu bermalam di sana. Siang Sabtu baru kembali ke Banda Aceh dan sampai lewat. Maka Al-Rasyid menjejakkan kaki di makam Sultan Ahmad itu pada hari Ahad 31 Januari, hari kami dijadualkan kembali ke Malaysia tengahari. Sempat juga menjejakkan kaki di perkarangan Masjid Baitur Rahman yang termasyhur itu...
Dengan takdir Allah, kami tertinggal kapalterbang lalu harus mengambil pesawat hari Isnin iaitu keesokannya 1 Februari. Ini memberi peluang untuk kami berjalan-jalan lagi. Lalu dari lapangan terbang kami terus pergi ke Teluk Lamreh atau Lamuri, 40 km ke timur Banda Aceh. Di situ berhampiran makam Laksamana Raja Keumalahayati ada lereng bukit yang terasa seperti serambi istana lama. Di situlah Al-Rasyid menjejakkan kaki seterusnya, menghadap teluk yang pernah menjadi pelabuhan besar sejak lebih 1,000 tahun lalu!
Tak sampai sebulan kemudian kami ke Aceh lagi. Apabila melihat gambar-gambar lawatan terbaru ini saya terfikir... hmm... terlupa pula untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di sekitar makam Syiah Kuala @ Sheikh Abdul Rauf Singkil. Tengok-tengok ada pula gambar ini yang diambil hari Khamis 25 Februari. Kiranya Rasyid telah menjejakkan kaki juga di makam ini walaupun kakinya ditutup dan di atas tikar yang diletakkan di atas kawasan bersimen sebelah makam...
Pada hari yang sama kami ke makam Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat lagi. Adapun dalam lawatan lalu saya terlupa... Al-Rasyid menjejakkan kaki di bahagian kaki makam, bukannya di kepala. Kali ini baru kami meletakkan anak kami itu di bahagian kepala. Tanpa disuruh Al-Rasyid sendiri memegang erat batu nesan bahagian kepala yang sudah patah dan hilang!
Kami pergi ke Aceh kali ini atas jemputan untuk menghadiri majlis pembukaan sebuah masjid juga sambutan Maulud Nabi di Perlak, 400 km di tenggara Banda Aceh. Hari itu, Jumaat 26 Februari adalah bersamaan 12 Rabiulawal, hari Maulud Nabi. Selesai majlis, kami mengambil kesempatan untuk menziarahi makam Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah yang terletak sekitar 10 km dari masjid. Untuk pengetahuan inilah raja pertama dari keturunan Nabi Muhammad SAW yang memerintah sebuah kerajaan Islam di Nusantara, bermula 1 Muharram tahun 225 Hijrah bersamaan 840 Masihi, 1200 tahun lalu! Kalau tak salah ingatan, saya pernah terbaca catatan menyebut kerajaan Islam Perlak secara rasminya diperintah Sultan ini bermula hari Jumaat. Saya pula tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di tanah sekitar makam. Dah... mari bersiap untuk solat Jumaat... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan