Sementara malam Jumaat masuk 1 JamadilAkhir ini masih berjalan, biar saya mengambil berkat dengan membuat posting ini, posting ke 339 di blogspot ini! Mari... :]
Ini adalah komputer laptop TwinHead 12D yang telah saya gunakan sejak 3 tahun kebelakangan. Untuk makluman, dengan komputer kecil yang mempunyai skrin bersaiz 12.1 inci dan berat sekitar 1.83 kg inilah saya berjaya menerbitkan sendiri 3 buah buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku pertama saya dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" (juga dikenali sebagai BKA I), buku kedua "Membela Syiar yang Asal" (BKA II) dan buku ketiga "Sirih Pulang ke Gagang?) (BKA III). Dalam tempoh itu, komputer ini juga telah menemani saya mengembara ke serata ceruk rantau seluruh Semenanjung Malaysia sehingga masuk hutan dan memanjat gunung-ganang! Pendek-kata, ia memang amat rapat dengan saya...
Ah... Terasa sedikit emosional pula mahu meneruskan cerita. Hmm... Biar saya memutar masa ke belakang jauh sedikit ya untuk mendapat aliran gerak cerita seterusnya...
Adapun seperti disebut dalam
posting bertajuk
Komputer Sinclair ZX81... Satu kenangan lama 25 tahun lalu! yang dibuat semalam, saya mula menggunakan komputer pada tahun 1982, ketika berumur 12 tahun. Saya mula menggunakan
laptop pula selepas tahun 1996, ketika berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times.
Allah! Saya terpaksa berhenti sebentar lalu melayan permainan Minesweeper sambil mendengar dan melihat video konsert pemain gitar eletrik 3G di Tokyo (mempamirkan persembahan mantap John Petrucci diikuti Steve Vai seterusnya Joe Satriani) sebelum dapat menyambung penulisan ini... Perenggan ini dibuat setelah setengah jam melayan permainan serta video itu!
OK... Pada mulanya di NST saya setakat menggunakan laptop apabila perlu membuat kerja outstation... Perlu menempah laptop yang jumlahnya terhad di pejabat beberapa hari sebelum keluar. Kalau tidak, mungkin tak dapat kerana ada orang lain menggunakannya. Tetapi masuk sekitar tahun 2000 begitu, NST telah mendapat satu deal tertentu dengan sebuah syarikat komputer lalu setiap wartawan yang ada membuat tugasan luar diberikan sebuah komputer laptop Dell untuk kegunaan dan simpanan masing-masing... Masih lagi hak syarikat tapi boleh dipergunakan seperti hak sendiri selagi masih menjadi wartawan di NST.
Pada penghujung tahun 2001, atas hal tertentu, setelah 5 tahun menghabiskan banyak tenaga dan masa untuk syarikat sehingga perkahwinan saya menghadapi masalah berat, saya dipecat 24 jam daripada NST. Tidak lama kemudian, komputer Dell saya diambil balik sedangkan saya tahu untuk meneruskan membuat penulisan seterusnya, saya memerlukan sebuah laptop...
Tidak lama kemudian, saya menggunakan skim pengeluaran duit daripada KWSP untuk membeli sebuah komputer Compaq Presario... Dengan komputer itulah saya memulakan usaha penulisan untuk membuat buku tentang kaitan peristiwa keruntuhan menara berkembar World Trade Centre di New York pada September 11, 2001 dengan perang akhir zaman serta rancangan Yahudi Zionis untuk menakluki dunia, satu perkara yang entah kenapa mengambil sepenuh perhatian saya sejak mendapat mimpi kaitan diri saya dengan sebuah keSultanan Melayu, sekitar 2 minggu sebelum berlaku peristiwa September 11 itu!
Apapun, usaha saya untuk membuat penulisan lengkap tentang itu sering sahaja terbantut akibat pelbagai perkara... Yang dapat sekadar 3-4 bab cerita... Tidak cukup untuk dijadikan buku sedangkan bahan-bahan yang diperlukan semuanya sudah ada... Allah! Saya terpaksa berhenti sebentar kerana perasaan sedih yang tiba-tiba "bertakung" kembali dalam hati...
Jam 4.19 pagi... Baru sambung balik...
Saya cuma dapat membuat gerak cerita yang lebih teratur sebelum pertengahan tahun 2004, 2-3 bulan sekembalinya saya dengan selamat daripada pengembaraan ke Aceh Januari 2004 di mana saya telah beberapa kali ditahan pihak tentera akibat masuk ke kawasan darurat... Pada satu ketika di mana tiada orang luar dibenarkan masuk kecuali dengan keizinan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta. Malah risiko nyawa melayang sangatlah tinggi akibat pertembungan bersenjata antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan puak pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM).. Tetapi dengan berkat kesungguhan mahu mencari dan memahami wasilah serta salasilah keluarga, baru saya dapat mengatur isi buku yang boleh dikira lengkap berdasarkan segala yang dilalui seumur hidup. Cuma alunan gaya bercerita sahaja belum dirasakan cukup sempurna...
Hmm... Saya lupa bilakah berlakunya perkara seterusnya, samada penghujung 2004 atau awal 2005. Komputer laptop Compaq Presario saya telah mengalami kerosakan teruk lalu tidak dapat digunakan sedangkan kerja-kerja menulis perlu diteruskan.
Pada suatu pagi Nur tiba-tiba muncul di rumah ibu saudara saya... Hmm... Harap Nur kedua jika terbaca ini jangan terasa cemburu ya. Ini cuma luahan rasa dalam gerak bercerita yang jujur tanpa diatur kecuali keluar mengalir secara spontan sahaja! Sesungguhnya Abang tidak lagi melebihkan Nur pertama seperti dahulu malah sekarang Nur kedua jauh lebih rapat dengan diri ini...
Nur muncul satu pagi lalu memberikan saya sesuatu... "Surprise! Untuk awak ni!" Rupa-rupanya dia telah membelikan saya komputer laptop baru, komputer TwinHead 12D di dalam gambar atas ini... Cuma semasa itu keadaannya jauh lebih baik kerana ia komputer baru... Kelajuan processornya pada 1.73 MHz juga memberikan persembahan jauh lebih baik daripada komputer Compaq Presario yang telah rosak... Kalau tak salah ingatan, kelajuannya adalah sekitar 800 KHz gitu...
Nur tahu tentang masalah saya memerlukan komputer untuk bekerja... Saya tidak pernah meminta tetapi Nur sendiri yang sudi kerana memahami keadaan saya ketika itu, sudah lama tidak membuat apa-apa kerja yang boleh mendatangkan wang akibat kekusutan hidup yang melanda sedangkan segala duit simpanan saya sudah lama habis dan saya sebenarnya tidak lagi mempunyai apa-apa waima kenderaan sendiri untuk bergerak ke sana ke mari pun!
Apapun, dengan komputer TwinHead itulah baru saya akhirnya dapat menerbitkan buku pertama saya diikuti buku kedua seterusnya buku ketiga. Dengan komputer itu juga saya telah mengatur begitu banyak gambar serta cerita yang telah dipaparkan dalam blogspot-blogspot saya!
Kini, siang tadi (sebenarnya siang semalam le...), secara rasminya komputer TwinHead itu telah "bersara"... Mungkin akibat penggunaan saya yang lasak kerana sering membawa komputer itu mengembara ke merata tempat, ia telah beberapa kali menghadapi masalah... Sedangkan sebuah komputer model yang sama, dibeli pada masa yang sama oleh Nur untuk kegunaan sendiri tetapi kemudian diberi kepada adiknya (kerana Nur sebenarnya tidak suka bermain komputer) masih begitu elok keadaannya (katanya le) hingga kini!
Masalah-masalah ini telah menyebabkan saya membelanjakan lebih RM1000 untuk membaik-pulihnya... Antaranya, skrin LCD yang pecah tahun lepas lalu diganti baru menelan belanja RM420, kemudian komputer tidak boleh hidup selepas beg yang mengandunginya terjatuh dalam perjalanan bas buruk daripada Mersing ke Kluang penghujung 2007... Lalu ada bahagian dalaman perlu diganti sehingga menelan belanja RM500!
Seminggu lepas, komputer ini menghadapi masalah tidak mahu mengeluarkan gambar pula. Tak pasti jika ia masalah skrin, komponen dalaman atau masalah software akibat ada membuat beberapa pertukaran dan penambahan isi seminggu sebelum itu! Rasanya kalau mahu diperbaiki lagi, jumlah segala perbelanjaan harus lebih elok digunakan untuk membeli komputer baru... Lagipun bateri komputer ini juga sudah lama menghadapi masalah, ada masa boleh dicas ada masa tidak... Kalau hendak beli bateri baru pun, saya diberitahu kosnya adalah sekitar RM700! Gila ke hapa?
Saya ambil ini sebagai isyarat bahawa sudah sampai masanya saya beralih ke sebuah laptop baru pula. Apapun, komputer lama itu sempat memberikan jasanya yang terakhir...
Setelah membeli sebuah komputer baru, ternyata saya amat memerlukan beberapa file yang terkandung di dalam komputer lama untuk kesinambungan kerja... Lalu hari Rabu di Kajang saya bercadang untuk membeli sebuah external hard disk supaya file-file daripada komputer itu dapat dimasukkan ke dalam external hard disk kemudian baru dimasukkan ke dalam laptop baru saya...
Di kedai komputer pula saya pening lagi... Sebuah external hard disk memerlukan belanja RM200 sedangkan saya baru sahaja menghabiskan beribu untuk membeli laptop baru. Lalu saya tawakal sahaja... Kata saya, kalau pembantu kedai dapat mengalihkan file-file daripada komputer rosak masuk ke dalam external hard disk, maka saya akan terus membelinya... RM200 pun RM200 le... Apa boleh buat? Saya amat memerlukan file-file di dalam komputer...
Alhamdulillah, ternyata ada pembantu lain yang lebih tahu jalan yang lebih baik malah dia cukup jujur... Katanya jika saya mahu, dia boleh sahaja mencabut hard disk daripada dalam komputer lama yang telah rosak itu kemudian diberi casing tertentu lalu jadilah ia sebuah external hard disk... Belanjanya cuma RM45 untuk casing dan Alhamdulillah sekali lagi, saya dapat mengalihkan file-file yang perlu sambil mendapat sebuah external hard disk untuk back-up segala file pula! Lalu kerja-kerja pengalihan file-file yang patut pun selesai sekitar waktu Subuh semalam, hampir 24 jam tadi...
Petang tadi, secara rasminya saya telah meletakkan komputer laptop TwinHead 12D yang amat berjasa hadiah daripada Nur itu masuk ke dunia persaraan. Tidak, saya tidak membuangnya... Saya cuma menyimpannya di satu tempat sebagai kenangan betapa ia telah berjasa sehingga saya mampu menerbitkan 3 buah buku pertama saya!
Oh... Terimakasih juga kepada Nur kedua yang sudi menghadiahkan sebuah beg harversack khas untuk komputer laptop baru saya... Semoga dengan ciri-ciri khas untuk menyimpan laptop yang terdapat dalam, beg ini, komputer baru saya tidak akan menghadapi apa-apa masalah seperti yang telah berlaku pada komputer lama itu!
Sekian luahan saya untuk kali ini... Selamat malam, eh... Selamat pagi ya!(Ayat ini habis ditulis jam 4.47 pagi... Tu dia, jam 5.08 baru selesai semak dan edit cerita!) :-]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan