Khamis, April 30, 2009

Misteri rumah Kutai... apakah yang ingin disampaikan?

Ini adalah gambar sebuah rumah Kutai yang saya temui apabila membuat Google image search di Internet lebih kurang seminggu lalu. Ketika itu saya baru sahaja kembali dari satu pertemuan dengan saudara-mara yang berasal dari susu-gulur keturunan raja/pahlawan yang sama dan baru mendapat tahu kenapa rumah-rumah lama di Perak terutama yang banyak terdapat di sekitar Pasir Salak, kawasan Datuk Maharajalela membunuh Residen British J.W.W. Birch tahun 1875 dipanggil sebagai "rumah Kutai". Yang menarik adalah catatan bersama gambar dalam sebuah website kelolaan satu jabatan kerajaan di Sabah ini menyebut bahawa rumah Kutai memiliki ciri-ciri rumah tradisional Aceh dan Bugis. Sila lihat artikel Asal-usul rumah Kutai di Perak (The origin of the rumah Kutai in Perak) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Jumaat lepas.

Adapun untuk memuatkan gambar ini ke dalam blogspot, saya harus terlebih dahulu menggunakan proses save as untuk menyimpannya di dalam komputer sendiri sebelum ia dapat diupload atau dimuat-turun ke dalam blogspot. Begitu juga yang harus dibuat untuk beberapa buah gambar yang diambil daripada Internet lalu dimuatkan pula ke dalam mana-mana blogspot saya. Petang semalam, tiba-tiba saya terasa mahu membuang kesemua gambar-gambar dari Internet yang ada tersimpan di dalam komputer. Ketika itulah berlaku satu perkara yang seolah-olah ingin menunjukkan sesuatu kepada saya!

Ini pula adalah gambar satu kawasan di tepian kuala Sungai Perak yang diambil menggunakan kamera digital lama saya. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Sambungan cerita ke Beting Beras Basah, tempat pertabalan Sultan Perak! , lihat juga artikel Kamera digital murah ku juga "bersara" akhirnya! yang memaparkan nostalgia jasa kamera lama.

Adapun bahagian tengah gambar ini yang memaparkan bendera-bendera Perak berserta pondok tempat raja berehat telah dijadikan desktop background komputer riba saya kini sejak ia dibeli pertengahan tahun lalu. Malah gambar yang sama juga turut menjadi desktop background komputer riba lama sejak sebulan-dua sebelum itu. Lihat artikel Komputer laptop TwinHead 12D hadiah daripada Nur. Mengenang jasa besarnya...

OK, berbalik pada apa yang berlaku petang semalam. Saya cuba memadamkan kesemua gambar yang pernah diambil dari Internet lalu disimpan di dalam file picture. Komputer pun membuang kesemua gambar ke dalam recycle bin... kecuali satu, gambar rumah Kutai di atas. Katanya ia sedang digunakan satu program, sebab itu ia tidak boleh dipadamkan.

Saya cuba lagi. Sekali, dua kali, berkali-kali... masih tidak berjaya. Aitt??? Bila masa pula saya ada membuka gambar rumah Kutai ini dalam apa-apa program. Saya pun mengalah lalu menutup semua windows dengan niat mahu menutup terus komputer. Terperanjat besar saya apabila mendapati gambar rumah Kutai itu sudah tertera besar menjadi desktop background menggantikan gambar lama di Beting Beras Basah!

Bagaimana ini boleh berlaku tanpa saya sendiri meletakkanmya begitu secara sedar? Sudah setahun saya menggunakan gambar di tepian Beting Beras Basah sebagai penghias komputer riba, kenapa tiba-tiba boleh naik gambar rumah Kutai tanpa dipinta? Atau ada sesuatu perkara tersirat yang ingin disampaikan dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah?

p/s:
Besok Jumaat 1 Mei kita akan menyambut Hari Buruh. Sempena cuti panjang yang bersambung hingga hujung minggu, saya dan isteri akan berlegar-legar di sekitar Melaka. Insyaallah kami akan bermalam di Pulau Besar juga Masjid Kampung Hulu. Sekian! :]

Susah-payah mempromosi/menjual buku (sehingga perlu lari-lari) di pesta buku...

OK. Sebenarnya artikel ini mahu dibuat sejurus selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 tamat Ahad malam Isnin lalu. Tetapi saya rasa harus melepaskan satu lagi bahagian tentang cerita An-Nur di blogspot ini juga satu lagi bahagian tentang kenangan zaman kolej "A" Levels di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti satu cerita ringkas tentang lumba basikal di sana dan ini cuma dapat dibuat semalam. Maka seharusnya artikel ini boleh dibuat semalam bukan? Sebaliknya selesai sahaja membuat cerita-cerita itu, saya mendapati jumlah keseluruhan posting di blogspot ini sudah mencapai 494 dan BERPETUALANG KE ACEH 313 sedangkan blogspot saya yang lagi satu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sudah mencapai jumlah 222 sejak Jumaat lalu.

Nombor-nombor yang cantik ini menyebabkan saya terasa eloklah jumlah ini dibiarkan begitu buat suatu waktu sebelum membuat apa-apa penambahan. Kebetulan pula sebaik sahaja saya selesai menyiapkan artikel terbaru "Cerita An-Nur" lalu menekan butang publish untuk menyiarkannya, jam di komputer menunjukkan 1.31 pagi. Hari ini selepas Zuhur, rasanya cukuplah jumlah-jumlah itu dibiarkan. Sekarang baru boleh dibuat penambahan melalui artikel ini. Mari! :]


Ini adalah gambar gerai ad-hoc mempromosi dan menjual buku yang saya dirikan sempena pesta buku di PWTC sejurus sebelum saya diminta beredar pada petang Sabtu. Sebenarnya gerai ini didirikan dengan meminjam meja yang ada di kawasan dalaman PWTC ini. Gerai sebegini berhampiran tempat yang sama pernah saya dirikan ketika hari-hari terakhir perhimpunan terbaru UMNO sekitar sebulan lalu dan semasa pesta buku ini saya telah mendirikannya pada petang Isnin lepas diikuti petang Rabu.

Alhamdulillah lokasi ini cukup cantik dengan lampu-lampu kuningnya, ruangan di sekitarnya cukup luas dan tidak begitu sibuk berbanding ruangan yang memang disediakan untuk para penyewa gerai di pesta buku. Sambutan juga amat menggalakkan. Selain datang para pembeli, ada yang sekadar mahu berbual-bual bercerita tentang sejarah Melayu dan Islam terutama mereka yang sudah lama mengikuti siri novel "Berpetualang ke Aceh".

Sebenarnya petang Rabu ketika mendirikan gerai lagi, beberapa pekerja dan pengawal keselamatan PWTC telah bertanya apakah kebenaran yang saya dapat untuk mendirikan gerai ini. Saya pun berterus-terang cakap mendirikannya secara curi-curi. Maklumlah, saya sekadar penulis dan penjual buku secara jalanan, buku pun cuma ada 3 tajuk dan 1 tajuk DVD. Tak berbaloi le jika saya menyewa sebuah gerai walaupun kecil seperti orang lain. Nasib baik mereka memahami dan sudi membiarkan sahaja. Tetapi petang Sabtu, setelah agak lama gerai ini mendapat sambutan dan 6 set buku "Berpetualang ke Aceh" berjaya dijual dalam tempoh 2-3 jam, saya diminta agar menutup gerai. Katanya ada orang mengadu... tak tahulah pasal apa sangat nak mengadu.


Saya pun beralih ke satu lokasi lain di dalam dewan bawah. Sebenarnya lokasi ini telah saya perhatikan sejak beberapa hari sebelum itu tetapi saya belum memakainya kerana lokasi di luar tempat saya mendirikan gerai awal sebelum diminta tutup kelihatan lebih menarik. Terperanjat isteri saya apabila datang jam 7 petang lalu mendapati saya sudah beralih tempat. Saya pula sudah bersedia untuk ini... maklumlah, mendirikan gerai secara curi-curi... perlulah bersedia untuk "berlari-lari"!

Gerai baru ini terletak berhadapan gerai Karnadya dan gerai Pekan Ilmu. Seperti ada disebut dalam artikel Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" pihak Karnadya ada mengajak saya menggunakan gerai mereka. Maklumlah kami bukan sahaja sudah rapat seperti keluarga, Karnadya juga adalah penerbit buku terbaru saya "Rumah Azan" yang baru dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari Isnin sempena pesta buku.

Saya masih cuba mengelakkan dari menggunakan gerai Karnadya kerana satu, saya segan dengan budi baik mereka, kedua saya mahukan ruangan sendiri yang tidak mengacau orang lain. Adapun gerai baru ini dibina di dalam kawasan sebuah gerai agak besar yang disewa satu penerbit lain tetapi pihak mereka nampak kurang aktif mempromosikan buku. Sejak pertama kali datang untuk pesta buku ini hari Isnin saya mendapati sedikit sahaja buku dipamirkan mereka sedangkan para pekerjanya sekadar duduk melangut di satu sudut... sudut di mana saya mendirikan gerai baru pula kelihatan seperti tidak terpakai langsung.

Petang Sabtu itu memang ia tidak terpakai. Apa yang berlaku adalah buku-buku yang ada di situ hilang kesemuanya! Hilang wooiii... kenapa? Tak percaya ke? Yang tinggal cuma 4-5 buah yang terjatuh ke bawah. Mengapa perkara pelik ini boleh berlaku? Pada mulanya ada yang menganggap mungkin ada orang dalam memang mahu mencuri buku. Tetapi buku-buku yang ada bukanlah menarik sangat... dah lah kebanyakannya ditulis dalam bahasa dan tulisan entah apa-apa yang saya langsung tidak faham.

Rupa-rupanya, akibat bosan kerana kurang sambutan, para pekerja di situ, rasanya cuma 2-3 orang sahaja telah keluar berjalan-jalan melihat keadaan tempat lain di pesta buku lalu membiarkan ia tidak terjaga. Para pengunjung ke pesta buku yang kepenatan pula lalu-lalang kemudian menggunakan gerai itu sebagai tempat berehat... ada yang kelihatan berbaring-baring di lantai berpermaidani hijau bersama keluarga. Oleh kerana tempat itu tidak berjaga, ada menyangkakan buku-buku yang terdapat di situ adalah percuma. Apalagi... ramailah yang menyambarnya sehingga habis... cuma tinggal 4-5 buku yang terjatuh di balik para!

Para penjaga gerai pulang lalu mendapati buku-buku mereka telah hilang. Jadi untuk apa lagi mereka menunggu? Maka apalah salahnya pula saya menggunakan sedikit ruang untuk membuka gerai sendiri? Cuma masalahnya tiada power point atau sumber kuasa eletrik berdekatan untuk saya menghidupkan komputer riba.


Malam sikit hari itu juga, pihak pengelola pesta yang petang Sabtu meminta saya menutup gerai di luar telah datang ke tempat baru. Rupa-rupanya mereka sedang menyelidik apa yang telah berlaku di tapak jualan itu... mengapa buku-buku di situ boleh hilang kesemuanya! Setelah beberapa ketika mereka memaklumkan bahawa tempat itu akan dibiarkan menjadi tempat berehat para pengunjung. Oleh itu, saya harus bersedia untuk mencari tempat lagi baru untuk esoknya hari Ahad.

Di atas ialah gambar gerai terbaru saya, gerai ketiga untuk pesta buku ini. Akhirnya saya harus berpindah masuk ke satu sudut gerai Karnadya juga. Nasib baik mereka memang sedia menerima. Cuma saya rasa sedikit tersepit kerana gerai itu memang sering dikunjungi ramai yang mahu membeli novel-novel cinta dan remaja.



Walaupun pihak Karnadya membenarkan saya mendirikan poster promosi buku "Berpetualang ke Aceh" di tepian gerai mereka, saya tetap terasa segan dan tidak mahu mengacau. Maka itu saya dirikan sahaja poster di seberang gerai Karnadya, iaitu di gerai tempat saya mempromosi/menjual buku Sabtu malam Ahad. Ada nampak poster di belakang?




Sebenarnya betul-betul di belakang saya (lihat kerusi putih di sebelah komputer riba) ada satu tempat yang sangat sesuai untuk diletakkan poster tanpa mengacau langsung pihak Karnadya... tetapi selepas Zuhur baru saya tergerak menggunakannya, hehe!





Digandingkan dengan satu lagi poster yang diletakkan betul-betul di seberang, akhirnya gerai baru saya kelihatan begitu menjadi! Cuma kedudukan poster berdekatan gerai itu sebenarnya menutup poster orang, poster gerai di belakang milik seseorang yang suka bercerita dalam buku-bukunya akan betapa hebatnya hidup sebagai seorang jutawan selain suka memaparkan gambar-gambar mukanya dengan besar di setiap buku dan poster...

Kemudian baru saya ternampak orang ini datang memerhatikan keadaan. Ya lah, saya kan dah tutup poster besar mukanya dengan poster saya, hehe! Saya cuma angkat tangan lalu memberitahu ingin menumpang poster saya buat sementara. Dia mengangguk sahaja. Beberapa minit kemudian, baru ada seorang pekerjanya memberitahu yang majikannya meminta saya menurunkan poster daripada tempatnya. Saya pun akur... cukuplah sedikit masa yang diberikan, hehe!

Di sini saya ingin mengucapkan terimakasih kepada setiap pengunjung yang mendatangi gerai saya samada untuk membeli buku mahupun sekadar berbual-bual berkenalan. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Walaupun sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung selama 10 hari ini saya cuma datang membuka gerai 4 hari sahaja, itupun selalu lambat lepas Zuhur dan di gerai "curi-curi" yang boleh beralih-alih tempat, hampir 80 naskah buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" berjaya dijual dan lebih 20 DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" turut dibeli orang sehingga habis segala stok yang ada.

Satu lagi perkembangan yang memberangsangkan adalah penjualan buku mewah atau coffee-table book "Rumah Azan" buku ke-empat saya oleh pihak Karnadya. Walaupun buku ini dijual pada harga RM75 (ada masa pula RM85, tu yang saya tak faham tapi masih elok le berbanding harga pasaran RM108 yang dicadangkan), semua stok yang ada untuk pesta buku juga turut licin dibeli orang!

Ini melangkaui jangkaan awal Karnadya kerana buku itu baru sahaja dilancarkan dan itulah pertama kali mereka menjual buku sebegitu mahal. Mereka sekadar berharap dapat mempamirkan buku agar dilihat orang, tak menyangka pun ia akan mula dibeli apalagi sehingga licin stok awal 40 buah buku yang sempat dicetak untuk pesta buku ini. Untuk makluman, "Rumah Azan" baru masuk kilang percetakan 2 minggu sebelum pesta... stok seterusnya cuma akan siap dalam tempoh seminggu dari sekarang. Sementara itu banyak pihak termasuk kontraktor penjual buku, pengedar malah pihak perpustakaan luar dan dalam telah menyatakan minat dan membuat tempahan. Sekian! :]


Rabu, April 29, 2009

Cerita An-Nur - Penerimaan yang memberangsangkan keluarga di Segamat

Gambar pusat bandar Segamat daripada artikel Segar yang amat sangat di Segamat... Ya ke? yang dibuat Januari tahun lepas.


Bersambung dari artikel Cerita An-Nur - ke Segamat bersama jodoh baru? Dan lisan agama dan keturunan yang keluar daripadanya... . Setelah sekitar 3 jam, mungkin lebih menaiki keretapi dari Kuala Lumpur membelah malam, saya dan An-Nur pun sampai ke Segamat. Ibu bapanya sudah dihubungi sejurus sebelum sampai lalu si ibu mengambil kami di stesyen keretapi sebelum menuju terus ke rumah.

OK. Banyak perkara yang berlaku saya sudah tidak ingat turutannya lagi. Apapun, apa yang dapat saya ingat biarlah dilepaskan atas proses untuk meluahkan apa yang terbuku di dada, perkara-perkara yang mungkin mengganggu aliran tenaga dalaman akibat sudah begitu lama dilupakan sedangkan ia sebenarnya menjadi seperti butiran pasir yang menyumbat saluran darah... semakin lama dibiarkan semakin teruk kesan memakan dalaman. Yang pasti kehadiran saya diterima dengan baik oleh seisi keluarga An-Nur termasuk adik-adiknya, kalau tak salah ingatan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Saya tak pasti hari pertama ke hari kedua... dua orang kawan An-Nur yang sebenarnya berasal dari Sabah kalau tak salah ingatan ada datang bertandang ke Segamat lalu saya 'ditugaskan' menjadi supir membawa kereta untuk mengambil juga membawa mereka berjalan. Sebenarnya kawan-kawan yang pernah belajar satu UiTM dengan An-Nur itu sedang dalam perjalanan keretapi ke tempat lain. Entah mengapa An-Nur mahu sangat agar mereka singgah di Segamat walau satu malam. Yang pasti dia kelihatan begitu bangga memperkenalkan saya kepada mereka.

Ibu dan bapa An-Nur pula mungkin dapat menerima saya dengan begitu baik dengan tangan yang terbuka luas kerana beberapa faktor. Selain mendapat tahu saya adalah seorang graduan matematik daripada London, pernah menjadi wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times, pernah menulis dan menyunting isi buku-buku penulis politik S.H. Alattas dan cukup peka akan hal-hal berkaitan Ahlul Bait anak cucu keturunan Nabi, saya rasa mereka lebih tertanya-tanya bagaimana saya dapat 'mengendalikan' An-Nur sehingga dia jadi begitu 'jinak'. Sebenarnya gadis ini ada masalah dengan keluarga terutama dengan bapa dan ini dapat saya lihat melalui perbualan pertama kami di tepi sungai di Janda Baik sekitar 3 minggu sebelum itu. Oleh kerana saya sendiri ada masalah keluarga terutama dengan bapa, sejak itu saya berazam akan cuba memperbaiki hubungan An-Nur dengan bapanya.

Dari bapanya saya dapat tahu An-Nur agak liar dan suka memberontak. Akibatnya dia banyak mensia-siakan zaman belajarnya di UiTM dengan membuat perkara yang bukan-bukan sedangkan gadis ini saya lihat boleh tahan tinggi tahap kepandaian semulajadinya. Dari An-Nur pula saya mendapat tahu dia memberontak akibat apa yang berlaku antara ibu dan ayahnya semasa dia masih kecil lagi. Lalu saya pun bertindak menjadi orang tengah dalam menyatakan apa yang terbuku dalam hati ayah kepada si anak dan apa yang terbuku dalam hati anak kepada sang ayah, perkara-perkara yang mungkin sudah jadi begitu susah untuk mereka sendiri berterus-terang menguraikan apa yang tersimpul di dada akibat sudah bertahun-tahun berselisih faham dan saling marah-marah.

Yang pasti, saya dapat melihat ibu dan bapanya menganggap kehadiran saya sebagai pengaruh yang baik terhadap anak gadis mereka. Ayahnya pernah menyebut, selama ini An-Nur bukan sahaja asyik berselisih dengan mereka hingga tidak suka balik ke kampung... dia juga tidak mahu bersolat apalagi hendak memakai tudung. Tup-tup tiba-tiba gadis ini balik ke Segamat dengan saya berjumpa ibu bapanya malah sanggup meminta maaf atas segala kesalahan lalu. Dan dia juga rajin bersolat, membaca Quran dan sedia memakai tudung litup tanpa disuruh.

Saya cuma tersenyum sahaja. Saya pun tak tahu bagaimana ini semua boleh berlaku. Ibu bapanya menyangkakan kami sudah lama berkenalan. Terperanjat besar mereka apabila mendapat tahu pertemuan saya dengan An-Nur di stesyen keretapi Kuala Lumpur untuk ke Segamat adalah pertemuan kami yang kedua.

Saya tidak ingat apakah kata-kata sebenar mereka yang menyatakan mereka sudah menerima saya sebagai bakal menantu. Yang saya pasti setelah 2-3 malam di situ memang mereka bercakap dengan saya seperti bercakap dengan bakal suami An-Nur. Gadis itu pula sampai bertanya apakah kami harus berkahwin dalam masa terdekat atau menunggu dia menyambung kemudian habis belajar. An-Nur sudah lama menyimpan hajat untuk menyambung pelajaran di UIA.

Berkenaan penerimaan ibu bapanya terhadap saya sebagai bakal menantu, saya teringat satu peristiwa. Adapun dalam telefon bimbit saya ketika itu (hilang dah...) tertera gambar saya sedang mendokong anak perempuan ketika dia berumur 2 tahun. Saya juga ada menyimpan gambar anak ketika berumur 6 bulan, satu-satunya gambar yang saya miliki diberi oleh bekas isteri. Sesekali saya akan mengeluarkan gambar dari dalam bag lalu mengucupnya. Begitu juga biasa dilakukan apabila membuka telefon bimbit lama yang boleh dilipat dua.

Satu hari selepas berehat di luar rumah, saya masuk melalui pintu hadapan. Seketika itu juga ternampak An-Nur sedang menutup telefon bimbit saya yang ditinggalkan di ruang tamu sambil kedengaran suaranya seperti merungut "Huuhhh!" gitu. Tidak lama kemudian, gambar anak saya pula hilang. Cuma ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa.

Lama kemudian baru terfikir mungkin An-Nur yang mengambilnya kerana sudah beberapa kali dia menggeladah barangan saya. Maklumlah, sesekali dia akan berperangai seperti orang hilang akal yang seperti kesurupan dirasuki makhluk halus, ada masanya cakap banyaknya keluar melampau-lampau. Saya menganggap ini semua sebagai satu proses pembetulan saikologi yang mungkin terpaksa dilaluinya setelah lama memberontak membawa diri keluar dari lingkungan sokongan keluarga. Lagipun saya tetap harus menerima keadaannya. Bukankah dia bakal isteri? Baik buruk, saya cuma berdoa agar keadaan berubah semakin baik nanti...

Saya tak ingat bagaimana peristiwa seterusnya berlaku. Yang saya ingat, selepas berbual perkara lain pernah sekali tiba-tiba ibunya menegur: "Tak payahlah diingat sangat anak dengan bekas isteri tu. Kan boleh buat anak baru nanti?"

Rasanya cukuplah ini untuk membayangkan betapa saya sudah diterima sebagai bakal menantu. Apabila mendapat tahu saya juga dalam proses untuk mendapatkan penerbit buku untuk satu manuskrip cerita yang sudah pun siap ditulis, si ayah berjanji akan cuba menolong mendapatkan penerbit. Rupa-rupanya dia juga sedang mencari seorang penerbit untuk penulisannya sendiri yang sudah dimulakan lebih 2 tahun sudah. Dan baru sebulan dua itu, dalam satu acara seminar yang melibatkan hal-hal sastera Melayu, dia terjumpa seorang pemilik syarikat penerbitan buku yang katanya berminat untuk melihat hasil tulisannya. Dan dia berjanji akan mengenengahkan penulisan saya kepada orang itu.

Untuk bahagian seterusnya, kita akan ke Perak untuk bertemu orang yang dimaksudkan. Untuk makluman, hasil penulisan saya itulah yang kemudian menjadi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Untuk pengetahuan, ini adalah posting ke 494 di blogspot ini. Bersambung nanti...