Adapun Sabtu lebih seminggu lalu, 3 Januari 2026 telah dipersembahkan artikel "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Dewan Masyarakat untuk menunjukkan isi majalah yang sebenarnya sudah muncul atas talian hampir 2 minggu lebih awal. Sekarang biar dikongsikan isi serupa tetapi lebih panjang yang muncul di dada akhbar Berita Minggu, semalam Ahad 11 Jan.
Oh. Ini adalah artikel ke-2,770 di CATATAN SI MERAH SILU. Ini mengingatkan pada nombor plet kereta VQ770 pada kereta Honda BRV terpakai yang dibeli penghujung tahun lalu. Kebetulan saya sekarang berada di suatu tempat untuk menguruskan hal berkenaan kereta tersebut. Menulis ini pun dari tempat berkenaan. Hmm...
Tambahan - Dibuat bermula jam 10.46 pagi Selasa 13 Jan.
Tergerak untuk menyemak Berita Harian edisi atas talian bahagian sastera lalu mendapati artikel tentang Perjanjian Pangkor itu telah dimuatnaik Isnin 12 Jan jam 2.48. Nombor 248 mengingatkan pada kereta lama saya Kia Carens generasi pertama, model tahun 2000 ke atau 2001, yang dibeli terpakai hampir penghujung tahun 2014. Setelah beberapa lama berkhidmat dibawa banyak kali berjalan jauh sehingga meliputi hampir seluruh Semenanjung, pernah dibawa lebih 4,000 km dalam satu perjalanan meliputi banyak tempat hingga ke Ayuthayya, Thailand (lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation) ia jadi selalu bermasalah. Sampai satu peringkat tak mampu lagi nak jaga. Dibuat keputusan untuk melupuskan. Itu yang digantikan dengan Honda BRV terpakai penghujung Oktober 2024.
Apapun artikel perjanjian atas talian itu boleh dilihat di sini. Sebagai backup biar disalin di bawah...
"Nasihat" mengikat, detik mula cengkaman British di Perak
KUALA LUMPUR: Perjanjian Pangkor adalah detik penting dalam sejarah Tanah Melayu yang menandakan bermulanya campur tangan British secara rasmi dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.
Walaupun pada peringkat awal kehadiran British difahami oleh pembesar Melayu sebagai bersifat nasihat dan bantuan, realitinya Perjanjian Pangkor membawa kepada penguasaan British yang semakin meluas terhadap pentadbiran, ekonomi dan perundangan negeri Perak.
Perbezaan kefahaman terhadap isi perjanjian ini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan Perak, malah menjadi asas kepada peluasan pengaruh British ke negeri-negeri Melayu lain sehingga membentuk corak pemerintahan dan perlembagaan negara hingga ke era moden.
Calon doktor falsafah dan pengkaji sejarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-UIAM), Mohd Fahrulradzi Mohamad Sapiee, berkata perjanjian itu ditandatangani 20 Januari 1874 di perairan Pulau Pangkor oleh Raja Abdullah bersama beberapa orang pembesar Perak dan disaksikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke.
Katanya, tujuan utama perjanjian itu adalah untuk menaikkan Raja Muda Abdullah Ibni Sultan Ja'afar Muadzam Syah sebagai Sultan Perak ke-26, dan ia dimeterai di atas kapal British, HMS Pluto.
"Latar belakang perjanjian berkenaan berkait rapat dengan keadaan politik dan keselamatan negeri Perak pada abad ke-19.
"Pada ketika itu, Perak mengalami pertikaian takhta yang berpanjangan kerana sistem pewarisan takhtanya berbeza daripada negeri lain," katanya ketika siaran langsung Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun: Satu Penilaian Semula menerusi saluran YouTube ISTAC.
Masalah kongsi gelap
Mohd Fahrulradzi menjelaskan, konflik itu bermula sejak zaman Raja Ja'afar yang berselisih dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah I sehingga Raja Ja'afar pernah mengisytiharkan dirinya sebagai sultan sebelum dilantik secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-23 selepas kemangkatan Sultan Abdullah I.
"Selepas kemangkatan Sultan Ja'afar diikuti Sultan Ali, berlaku kekeliruan dalam pelantikan sultan baharu," katanya.
Beliau menambah, walaupun Raja Abdullah sepatutnya menaiki takhta mengikut adat, pelbagai halangan timbul termasuk konflik keluarga, faktor keselamatan dan campur tangan pembesar.
"Akhirnya Raja Ismail dilantik sebagai Sultan Perak ke-25 pada tahun 1871 walaupun baginda tidak memenuhi syarat adat sepenuhnya," katanya.
Dalam tempoh yang sama, Perak turut berdepan masalah keselamatan akibat pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap Cina yang terbabit dalam perlombongan bijih timah. Aktiviti perlombongan yang semakin pesat sejak pertengahan abad ke-19, mencetuskan keadaan huru-hara, sukar dikawal dan menjejaskan kestabilan negeri.
"Gabungan pertikaian takhta dan masalah keselamatan inilah yang membuka ruang kepada campur tangan British, lalu membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor yang memberi kesan besar terhadap pentadbiran dan kedaulatan negeri Perak," katanya.
Tambahnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani oleh pembesar Melayu, termasuk Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, dengan kefahaman bahawa kehadiran British adalah untuk membantu menjamin keselamatan dan memajukan negeri Perak di bawah kedaulatan sultan serta peranan pembesar Melayu.
"Namun realitinya perjanjian itu membuka jalan kepada campur tangan aktif British dalam pentadbiran Perak yang melangkaui batas kuasa yang difahami dan dipersetujui oleh orang Melayu pada ketika itu," katanya.
Campur tangan British yang semakin mencengkam akhirnya mencetuskan penentangan terbuka. Kemuncaknya adalah pembunuhan Residen British pertama di Perak, JWW Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875 ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya lagi, sikap angkuh Birch serta tindakannya memaksa pelaksanaan sistem cukai British tanpa menghormati adat dan sensitiviti tempatan telah mencetuskan kemarahan penduduk.
"Peristiwa ini membawa kepada Perang Perak–British yang berakhir dengan kekalahan pejuang Perak pada awal tahun 1876," katanya. Susulan kekalahan itu, Datuk Maharajalela dihukum gantung, manakala Sultan Perak, Laksamana Muhammad Amin serta dua pembesar lain dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada tahun 1877.
Kegagalan strategi
Menurut Mohd Fahrulradzi, Perjanjian Pangkor sering dianggap sebagai kegagalan strategi politik yang membolehkan campur tangan British di Perak.
Namun tegasnya, tafsiran ini perlu dinilai semula dengan menekankan kewujudan dua versi perjanjian, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu Jawi,.
Katanya, sejarah Malaysia banyak bergantung pada versi perjanjian berbahasa Inggeris, sedangkan pihak Melayu memeterai versi perjanjian berbahasa Melayu tulisan Jawi.
"Perbezaan bahasa dan makna, khususnya mengenai peranan Residen British, membawa kepada tafsiran berbeza dan menyumbang kepada peluasan kuasa kolonial British di Perak.
"Misalnya versi Melayu menjelaskan peranan Residen dilihat sebagai penasihat yang tidak wajib dipatuhi, berbeza dengan tafsiran dalam versi Inggeris," katanya.
Percanggahan tafsiran ini tegasnya, membawa kepada salah faham, konflik berterusan dan akhirnya membuka jalan kepada penguasaan Inggeris ke atas Perak walaupun secara rasmi negeri itu hanya dianggap berada di bawah perlindungan British.
Sedikit pembetulan terhadap kapsyen pada gambar yang menyatakan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor tahun 1874. William Jervois disebut sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat. Cuma beliau sebenarnya mula memegang jawatan pada 8 Mei 1875. Yang terlibat dalam perjanjian adalah Gabenor sebelum itu, Andrew Clarke. Apapun Jervois banyak terlibat dalam hal ehwal Perak selepas memegang jawatan.






Tiada ulasan:
Catat Ulasan