Meneruskan gerak penulisan iktikaf pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan. Adapun pada permulaan artikel QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf yang dipersembahkan pagi semalam ada dinyatakan bahawa untuk gerak penulisan ketika itu didapati ada keperluan untuk membahagikan cerita kepada dua bahagian. Itu yang pertama. Sekarang baru masuk bahagian kedua.
Gambar ini diambil jam 7.04 pagi Rabu 26 Mac 2025 bersamaan 25 Ramadan 1446 Hijriah. Kelihatan surau tempat saya beriktikaf dan bermalam di menginap di Janda Baik.
Masuk kembali ke surau menulis artikel tersebut kemudian berehat. Selepas mandi sungai sekitar jam 12.45 petang baru menyambung kembali perjalanan.
Masuk lebih dalam ke arah hutan pergunungan Banjaran Titiwangsa di Janda Baik.
Ada masa menyambung bacaan Al Quran yang ketika itu sudah melepasi separuh Juz 28.
Ada masa sekadar berehat menikmati suasana dan pemandangan.
Selepas jam 2 baru meninggalkan Janda Baik lalu mengambil lebuh raya terus ke Kuala Lumpur.
Singgah surau di Ampang kerana ada orang ingin bertemu, membeli buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin juga meminta pendapat tentang perjalanan hidup melibatkan darah keturunan.
Seperti biasa kalau dah singgah masjid atau surau mesti beriktikaf dan menunaikan solat. Baca juga beberapa muka surat lagi Al Quran.
Dari surau boleh naik ke lebuh raya bertingkat.
Singgah ke rumah yang di Hulu Langat untuk mengambil beberapa barangan yang ditinggalkan. Ada penyewa baru masuk lalu saya harus memberikan laluan.
Oh, Rekod menunjukkan gambar tadi diambil jam 5.35, selepas berjaya menamatkan bacaan Juz 28. Rupa-rupanya lama juga duduk menghadap sungai kerana gambar ini pula diambil jam 6.21. Ketika itu baru menyiapkan penulisan tesis saya di ISTAC (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam) sampai ke satu tahap yang memuaskan.
Selepas itu mahu mandi air panas di kolam belakang sebuah surau...
Tetapi surau dan kolam sedang ditutup lalu pergi pula ke kolam air panas awam berdekatan IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara). Dapatlah berendam dalam kolam. Kalau yang di belakang surau tu cuma boleh mandi pakai gayong atau berendam dalam tong yang diisi air panas.
Selepas jam 7 baru meninggalkan kolam lalu menuju ke masjid utama Hulu Langat di Batu 14.
Ketika menunggu waktu berbuka sempat menghabiskan Surah Al-Mulk iaitu surah pertama Juz 29.
Malam itu, 26 Ramadan, menunaikan solat Tarawikh di tahfiz anak-anak dekat di persekitaran Cheras.
Selepas solat kemudian makan-makan baru boleh membawa anak-anak keluar bercuti untuk berhari raya. Ronda-ronda dahulu di tengah bandar raya Kuala Lumpur kerana tidak jauh dari laluan hendak kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya.
Itulah antara sebab saya keluar beriktikaf 25 Ramadan di Janda Baik. Majlis di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak tengah hari 25 Mac seperti dinyatakan
QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf melorongkan untuk ke Janda Baik kerana sudah cukup dekat. Perjalanan diteruskan siang 25 Ramadan bersamaan 26 Mac ke berbagai tempat untuk mengisi masa sebelum dibenarkan mengambil anak. Semua tempat yang disinggahi tidak jauh daripada laluan hendak ke tahfiz mereka.
Apabila sampai kembali ke rumah iaitu selepas tengah malam didapati sudah berjalan 235 km walau tidak berapa jauh dari Lembah Klang. Beberapa jam kemudian memulakan lagi satu permusafiran, kali ini berseorangan menaiki motosikal besar kesayangan. Niat utama adalah untuk beriktikaf di sebuah masjid yang ada makna tersendiri malam 27 Ramadan. Sekarang ini menulis dari satu tempat persinggahan dalam permusafiran.
Nota tambahan (dibuat jam 2.22 petang) : Baru teringat. Dalam artikel sebelum ini ada dinyatakan sekitar jam 3.30 petang Selasa 25 Mac ada membuat video tentang kuil-kuil kecil yang didirikan sekitar air terjun dalam laluan Gombak ke Janda Baik lalu hendak memaparkannya di Facebook. Namun hampir jam 5 baru dapat ditonton orang ramai, setelah mendapat talian yang cukup cantik di perhentian Genting Sempah. Ada dinyatakan bahawa pada jam 8.33 pagi Rabu 26 Mac ia sudah mendapat 418 ribu tontonan, 6.2 ribu likes, 1.5 ribu komen dan 1.6 ribu share. Terbaru ia telah mendapat 1.1 juta tontotan, 15 ribu likes, 3 ribu komen dan 3.2 ribu share. Ini berlaku tak sampai 48 jam selepas dipaparkan. Lihat sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan