OK. Untuk gerak penulisan seterusnya didapati ada keperluan untuk membahagikan cerita kepada dua bahagian. Ini yang pertama. Bersambung daripada Iktikaf malam 23 Ramadan di Kampung Sungai Buaya.
Merujuk pada artikel
Pantai Timur Ramadan 2025 - Ke Shah Alam diikuti majlis ilmu dan iftar di UIAM yang dipersembahkan Khamis 20 Mac 2025. Ada dinyatakan bahawa pada hari sebelumnya 19 Mac saya ada membawa isteri ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak untuk mengikuti satu majlis ilmu. Yang tidak dinyatakan ada bertemu guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang juga kini Rektor UIAM lalu memberikan komitmen akan hadir ke satu lagi majlis di kampus Gombak iaitu seperti tercatat pada poster atas.
Sampai masa tengah hari semalam Selasa 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446 Hijriah saya pun menuju ke lokasi majlis iaitu masjid UIAM. Kali ini berseorangan kerana isteri perlu masuk ke pejabat di Shah Alam.
Lagipun saya sendiri memang ada urusan perlu diselesaikan melibatkan hal kewangan di pejabat berkenaan di kampus Gombak. Ada jumlah dituntut mereka yang kemudian didapati adalah kesalahan akibat sistem automatik menambah yuran lebih daripada apa yang sudah dipersetujui dalam surat tawaran untuk saya menyambung ke peringkat PhD di ISTAC.
Oh. Sekadar makluman. ISTAC terletak di bawah pentadbiran UIAM. Menariknya Pro-Canselor UIAM, Tengku Ampuan Pahang baru sahaja setengah tahun menjadi pelajar sarjana (Master) di ISTAC.
Nah. Kelihatan meriah sungguh majlis tahunan QuranHour yang telah diadakan di beberapa tempat. Kali ini UIAM menjadi lokasi utama, tak pasti apakah pada peringkat negara atau negeri.
Tengku Ampuan Pahang hadir sebagai tetamu terhormat.
Saya pula lebih pada memegang janji kepada guru iaitu Osman akan hadir pada majlis.
Apa yang menarik adalah tema yang diangkat menerusi Surah as-Saf. Ia adalah tentang membentuk barisan kukuh bagi memperjuangkan kesyumulan agama Islam.
Beginilah rupa saya dalam majlis. Pada asalnya ada terfikir hendak memakai jubah. Tetapi Osman sendiri mahukan saya datang berbusana tradisional Melayu bertanjak, satu perkara yang telah mendapat sokongan Tengku Ampuan Pahang apabila melihat saya hadir sebegitu rupa dalam satu majlis di ISTAC. Lihat artikel-artikel berikut :-
Seorang anak muda yang merupakan ketua satu persatuan pelajar peringkat negara tiba-tiba menegur lalu memperkenalkan diri sebagai anak seorang kawan lama saya sejak zaman sekolah rendah sehingga zaman kolej. Kemudian ibunya menghantar gambar...
Dekat jam 3 petang bergerak meninggalkan UIAM melalui jalan lama ke Pahang.
Gambar ini diambil jam 4.22 petang selepas selesai mandi di air terjun yang kelihatan. Sebelum itu, sekitar jam 3.30 ada membuat video tentang kuil-kuil kecil yang didirikan sekitar air terjun lalu hendak memaparkannya di Facebook. Tetapi setelah mendapat talian yang cukup cantik di perhentian Genting Sempah hampir jam 5 baru dapat ditonton orang. Pun begitu, pada ketika ayat ini ditulis jam 8.33 pagi tadi 26 Mac ia sudah mendapat 418 ribu tontonan, 6.2 ribu
likes, 1.5 ribu komen dan 1.6 ribu
share. Lihat
sini.
Gambar ini pula diambil jam 5.18 petang. Memang saya hendak ke Janda Baik. Itu yang menyebabkan ikut jalan lama ke Pahang dari UIAM.
Kali terakhir berada di sana adalah pada 21 Jun tahun lalu. Ketika itu hendak membawa anak keluar dari tahfiz ditukarkan ke tempat lain yang lebih dekat. Lihat
Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak. Ini adalah setelah dua tahun setengah anak belajar di Janda Baik. Dalam tempoh itu hampir setiap bulan saya akan masuk sekurang-kurangya 2 kali sebulan. Satu untuk mengambil anak bercuti di rumah hujung minggu pertama setiap bulan, satu lagi untuk menghantar kembali ke tahfiz.
Sebelum membawa keluar itu telah dilakukan sejumlah urusan di Lembah Klang sejak 19 Jun kemudian bermalam dan beriktikaf di sebuah surau. Lihat
Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu?. Itulah juga kali terakhir singgah ke rumah bapa angkat, penulis buku politik terkenal, Syed Hussein al-Attas (S.H. Alattas) atau Pak Habib.
Menariknya ada meja dengan sepotong ayat terkenal daripada Surah ar-Rahman yang membawa makna : "Nikmat Tuhan yang mana hendak kamu dustakan". Dahulu tiada ini. Memang kebetulan usaha mengkhataman Al-Quran bagi bulan Ramadan baru melepasi Surah ke-54 iaitu Al-Qamar dalam juzuk ke-27. Ia dibaca di air terjun yang ada kuil-kuil kecil tadi selepas mandi. Lalu hendak masuk Surah ke-55 iaitu Ar-Rahman. Maka dibacalah di meja ini. Tidak lama kemudian kelihatan Pak Habib yang sudah berumur 86 tahun keluar dari rumah lalu menyapa beliau.
Surah seterusnya, Al-Waqi'ah dibaca di bahagian lebih ke hulu sungai sama yang mengalir sepanjang tanah Pak Habib seluas 8 ekar yang memiliki beberapa buah rumah. Kemudian baru ke surah yang menjadi tempat saya biasa beriktikaf, ke hilir sungai sama.
Di situlah berbuka pada tarikh yang sudah masuk 25 Ramadan. Sebelum berbuka sempat menghabiskan bacaan Surah al-Hadid sambil menghadap makanan lalu selesai Juz ke-27. Ketika menunggu hendak solat Maghrib berjemaah memulakan bacaan Juz ke-28, sambung lagi selepas Tarawikh. Selepas Tahajud sebelum Subuh dapat lagi 2-3 Surah.

Ini pula tadi pagi Rabu 26 Mac selepas solat Subuh. Tanpa dirancang surah pertama mahu dibaca selepas solat sampai pada As-Saf. Ini mengingatkan bagaimana surah dirungkai di masjid UIAM pada tengah hari sebelumnya. Bila dikaitkan dengan keadaan semasa sejak kecoh hal kuil haram dipacak di mana-mana tetapi asyik diberi muka sehingga mengguris hati ramai umat Islam di Malaysia, juga semalam 25 Mac, mantan menteri Tan Sri Rais Yatim yang pernah menjadi Presiden UIAM membuat sidang akhbar menyatakan ancaman komunis di negara kita yang semakin meningkat kerana mendapat sokongan orang-orang tertentu yang memiliki kuasa dan kedudukan terasa sungguh pesanan dan petunjuk di sebalik Surah as-Saf. Dalam keadaan umat Islam seluruh dunia bahkan asyik difitnah dan ditekan, sehingga hendak membela diri sendiri pun boleh dituju sebagai pengganas, dalam keadaan umat Islam Gaza asyik dibom Israel sedangkan negara-negara Islam sama ada tidak peduli, atau peduli tetapi tidak berkemampuan untuk mencegah dapat dilihat kias di sebalik majlis dan pemilihan surah. Umat Islam perlu berjuang dalam saf atau barisan yang kukuh dan terarur. Biar diambil dan disalin terjemahan daripada surah. Fikirkan, hadamkan. Fahamkan makna suatu perjuangan...
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka.
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan