Asian X Games di Kuala Lumpur tahun 2002. Selain untuk sukan berkuda saya boleh dikatakan pernah menjadi wartawan paling ke hadapan di Malaysia dalam mengenengahkan sukan berkenaan, sekurang-kurangnya bagi media arus perdana...
Ketika perjalanan ke Perancis berlaku awal November 2000 reputasi saya sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times sudah mencapai suatu tahap cemerlang malah masih meningkat naik. Saya cukup dikenali di pejabat juga dalam kalangan wartawan akhbar lain dan majalah selain memiliki hubungan baik dengan ramai VVIP termasuk para menteri dan peneraju syarikat-syarikat korporat. Saya begitu dipercayai sehingga tak sampai sebulan kembali dari Perancis terus dihantar untuk meliputi kejohanan sukan ekstrem (skateboarding, wall climbing dan sebagainya) Asian X Games di Phuket, kali ini oleh akhbar NST itu sendiri. Saya dibekalkan wang sebanyak US$2,000 (ketika itu harus hampir RM8,000) dalam bentuk travellers cheque untuk belanja sepanjang berada di sana 3-13 Disember. Saya ingat tarikh kerana ada cop berkenaan dalam paspot lama.
Ini tidak termasuk tiket pergi balik penerbangan kerana telah ditempah oleh syarikat secara berasingan. Saya cuma ada menambah RM600 kalau tak salah untuk tiket penerbangan isteri lama kerana mahu membawanya bersama. Syarikat tiada masalah asalkan tidak mengganggu kerja. Malah katanya lebih baik membawa isteri kerana tahu Phuket memiliki reputasi tidak senonoh melibatkan perempuan. Rasanya semua orang tahu apa maksudnya ini...
Kami menginap di hotel termahal dan terbaik di pulau peranginan sehingga seorang pegawai muda tapi kanan bagi Menteri Sukan Malaysia terasa iri hati melihat keadaan kami. Ini berlaku setelah terserempak di Phuket lalu saya mengajaknya makan secara room service di bilik kami, saya yang belanja. Terus dia menyatakan mahu meminta kementerian menukarkannya ke hotel yang lebih bagus. Kalau saya yang 'cuma' bekerja sebagai wartawan boleh mendapat hotel terbaik sebegitu kenapa tidak dia pegawai kanan yang rapat dengan menteri?
Pegawai muda yang merupakan junior setahun saya semasa zaman kolej di A Level itu dihantar untuk meninjau kerana sukan ekstrem sedang meningkat naik di merata dunia. Beliau turut menemani beberapa orang atlet sukan ekstrem Malaysia lalu mereka pun diajak sama makan di bilik hotel saya. Ketika itu kementerian sedang memikirkan mahu membawa Asian X Games ke Kuala Lumpur lalu saya ada terlibat dalam kempen untuk mendapatkannya. Dan memang pun KL menjadi hos kejohanan dari tahun 2002 hingga 2004.
Tetapi ketika itu saya bukan lagi wartawan. Sebaliknya awal tahun 2001 bermulalah zaman suram akibat permainan politik pejabat yang mahu menjatuhkan kerjaya saya. Dalam kesuraman itulah saya mula terpanggil untuk kembali pada agama. Lalu berlakulah perjalanan yang mahu dikongsikan cerita seterusnya.
Cerita berkenaan ada diluahkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) terutama dalam bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor". Biar dicopy paste bahagian-bahagian berkenaan. Untuk perkongsian di sini biar ditambah tajuk-tajuk kecil yang bersesuaian...
DARIPADA KEBARATAN MULA MENGGAMIT MAKNA KEMELAYUAN
Rasyid mula tahu tentang kewujudan Keramat Kuala Bidor apabila tergerak untuk mengorek daripada almarhum Nenek cerita-cerita lama tentang Perak. Sebelum itu, dia tidak mahu mengambil tahu cerita-cerita sebegini malah pernah dicop keluarga sebagai seorang yang westernised, terlalu keBaratan sehingga tidak mengenal budaya bangsa sendiri... Mungkin kerana pengaruh pengajian empat tahunnya di London dahulu?
Muhammad Al Aminul Rasyid juga pernah berbangga dengan kepintaran semulajadinya mengupas pengajian Barat seperti falsafah Socrates dan Plato yang ‘ditelan’ bulat-bulat. Buku-buku ideologi Mat Saleh seperti Das Kapital dan Communist Manifesto oleh Karl Marx, Wealth of Nations oleh Adam Smith juga The Prince karangan Nicolo Machiavelli, pemikir strategi politik Itali yang terkenal dengan ungkapan “The ends justifiy the means”, matlamat menghalalkan cara yang menjadi ungkapan azimat ramai orang politik pernah turut menjadi ‘makanan’ hariannya.
Pemuda itu juga memiliki sedikit ‘wajah Barat’. Jika semasa kecil dahulu, dia sering terasa malu kerana kulit putih kemerahan dan rambut keperangannya menyebabkan dia sering diejek sebagai “Mat Saleh Celup”, keadaan itu menjadi terbalik apabila memasuki zaman remaja. Rupa paras yang pernah menjadi bahan ejekan dan gurauan kawan bertukar menjadi aset pujaan remaja perempuan sedangkan ramai lelaki Melayu pula sibuk untuk memutih dan melicinkan kulit serta mewarnakan rambut supaya kelihatan seperti orang Barat yang dianggap lebih segak dan kacak.
Rasyid mula “naik syok” apabila sering dipuji memiliki rupa paras Orang Putih terutama oleh gadis-gadis cantik walaupun sejarah keluarga menunjukkan dia tidak memiliki darah Mat Saleh. Maka itu anak kelahiran Muar, Johor ini merasa tidak perlu lagi mengambil tahu cerita-cerita lama Melayu yang sering dianggap legenda dan mitos semata. Walaupun semasa kecil dahulu dia selalu terpesona dengan kisah-kisah lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Inderaputra, di samping dongeng Barat tentang dewa-dewa rakyat Greek seperti Zeus dan Aphrodite, juga dewa-dewa Viking atau Norse Gods seperti Odin, Thor dan Loki kerana minat terhadap cerita-cerita berunsur kesaktian dan magic.
Pendiriannya cuma berubah apabila perasaan keMelayuan mula meresap kembali ke dalam dirinya, perasaan halus syahdu yang dicetus CD lagu-lagu M.Nasir nyanyian Hattan terutama “Lagu Cenderawasih” yang mempunyai semacam getaran mistik keMelayuan pada satu pagi buta semasa sedang mencuci serombong dapur di sebuah restoran Melayu. Ketika itu, tahun 1995, Rasyid sedang menuntut di tahun akhir pengajian tetapi terpaksa membuat beberapa kerja seperti menyusun buku di perpustakaan universiti, menyediakan makanan, melayan pelanggan dan mencuci periuk-belanga di kafetaria University of London Union di samping menyampaikan leaflet kepada orang-ramai di hadapan kedai buku Dillon’s bersebelahan, semuanya untuk menampung perbelanjaan hidup kerana pembiayaanya telah ditamatkan akibat melanggar kontrak penaja...
Malangnya, apabila kembali ke tanah air, dia terjebak lagi dengan suasana keBaratan yang mengenepikan nilai-nilai murni Islam dan keMelayuan. Tugas sebagai wartawan akhbar terkemuka sering membuat pemuda itu leka dengan majlis-majlis berprestij yang disertai pergaulan bebas, dihiasi wanita-wanita cantik, glamour dan mengghairahkan ditambah pula air kencing Syaitan yang mengalir tanpa batasan. Bayangkan parti eksklusif Formula One di kelab-kelab malam terkemuka ibukota yang dihadiri orang-orang terpilih. Dengan wanita bertaraf model yang selalu menghiasi acara-acara perlumbaan kereta turut serta melayani tetamu, segalanya ditaja syarikat-syarikat yang inginkan publisiti meluas. Tetapi dengan tidak disangka, selepas lama bergelumang dalam dunia hiburan langit terbuka zaman Internet penuh ‘kebebasan’, Rasyid mendapat sebuah mimpi ganjil yang memaksanya mengkaji cerita-cerita lama Perak seterusnya Aceh dan hal-hal berkaitan sehingga tertulislah buku ini...
MIMPI GANJIL DAN PERISTIWA 11 SEPTEMBER
Pada mulanya Rasyid tidak mengendahkan mimpi ini. Ketika itu, dia telah tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan sukan, sedang sibuk membuat liputan terutama acara hoki, sukan berkuda dan permotoran. Tetapi Peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan dua buah kapalterbang penumpang melanggar menara berkembar World Trade Centre di New York menyentaknya kepada mimpi yang berlaku sebulan sebelum itu. Seolah-olah ia berkait rapat dengan peristiwa yang diyakininya adalah tanda bermula serangan besar-besaran Yahudi Zionis ke atas umat Islam yang bakal menyaksikan Perang Dunia keTiga meletus tidak lama lagi, ada kena-mengena pula dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang pernah disebut Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu.
Sebelum itu, dia pernah terbaca risalah Protocols of the Elders of Zion yang ditemui secara tidak sengaja semasa melayari Internet di pejabat, satu set protokol yang mengandungi rancangan terperinci untuk menakluki dunia demi menerbitkan sebuah kerajaan besar sedunia yang dikenali sebagai The New World Order. Rancangan yang diilhamkan intelektual Zionis dahulu ini turut menyenaraikan penguasaan segala bentuk media massa - suratkhabar, berita, rencana, siaran radio, program TV, hiburan dan filem-filem Hollywood untuk membentuk masyarakat leka yang mindanya senang dijajah, disertai galakan meluas terhadap sistem kewangan berasaskan riba’ yang dipelopori the international bankers juga sokongan terhadap bakal tokoh-tokoh politik yang bijak dan berkarisma seluruh dunia tetapi kurang bermoral lalu boleh dicucuk dan ditarik hidungnya oleh Yahudi.
Pemuda yang sudah mula berjinak balik dengan tikar sembahyang itu juga telah mengenali Freemason, rangkaian yang mengaku berdiri di atas prinsip persaudaraan manusia sejagat untuk menerbitkan ketamadunan insan mulia tetapi sebenarnya bergerak secara underground untuk menjayakan rancangan Protocols. Rangkaian ini disokong pula oleh Illuminati, kumpulan elit yang terdiri daripada para bijak pandai, kaya raya dan berkuasa seluruh dunia tetapi tersembunyi seperti watak bayang-bayang yang mendokong segala komplot dalam siri televisyen popular The X-Files.
Pandangan pengasas syarikat gergasi kereta Henry Ford dalam bukunya The International Jews yang memperincikan taktik Yahudi menguasai sistem kewangan Amerika awal abad ke 20 menguatkan lagi kewujudan rancangan teliti Zionis untuk menakluki dunia. Hati kecilnya pula berkata perkara ini telah dibayangkan secara tersirat dalam mimpinya dahulu...
MENCARI MAKNA SEMUA INI
Lebih seminggu Rasyid gelisah tertanya-tanya apakah makna semua ini. Mengapa dia merasakan Perang Dunia Ketiga yang menurut satu dokumen mengenai Illuminati adalah perang besar terakhir yang dirancang sebelum mereka dapat menakluki dunia amat dekat sekali. Malah mungkin perang itu telah pun bermula dengan peristiwa 11 September. Sepertimana Perang Dunia Pertama dan Kedua yang meragut berpuluh-puluh juta nyawa bermula dengan konflik bersenjata kecil di Eropah Timur sebelum merebak beberapa tahun kemudian ke seluruh dunia.
Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma Nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.
Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah Nenek.
--------------
Selesai mukadimah. Cerita akan disambung dengan apa yang diberitahu oleh Nenek, Insyaallah selepas Zohor.
Ralat (ditulis pada jam 1.36 pagi Rabu 7 April 2021) : Selepas menulis sedikit isi artikel ke-5 dan terakhir siri ini bagi siaran petang nanti (sebelum itu sudah disediakan isi artikel ke-4 bagi siaran pagi) tergerak untuk menyemak kembali bilakah SEA Games 2001 berlangsung di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya pada 8 hingga 17 September. Patutlah boleh dapat cuti seminggu untuk pertama kali menziarahi makam-makam lama.
Rupa-rupanya cuti berlaku bukan kurang sebulan sebelum SEA Games tetapi selepas itu. Rupa-rupanya peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre di New York runtuh itu berlaku ketika kejohanan berlangsung. Bermakna saya melihat ia runtuh di kaca televisyen selepas meliputi acara bagi hari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan