Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, April 07, 2021

Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid

 

Ini adalah gambar anak lelaki saya Muhammad Al-Aminul Rasyid. Gambar ini diambil tidak lama selepas anak dilahirkan pada awal pagi Selasa 13/10/2009. Ini adalah 5 hari overdue atau melepasi tarikh jangkaan doktor. Tarikh Islam lahir itu adalah 24 Syawal. 

Menariknya menurut jangkaan doktor sayalah yang sepatutnya lahir pada tarikh Islam tersebut tepat 40 tahun Qamariah lebih awal. Ini adalah tahun menurut bulan seperti dipakai dalam kalender Islam. Panjangnya adalah 354 hari sedangkan tahun Syamsiah menurut matahari seperti dipakai kalendar Barat mengandungi 365 hari (atau 366 pada tahun lompat). Sebaliknya saya ditakdirkan lahir tak cukup bulan lalu keluar pada 27 Ramadhan iaitu Malam Tujuh Likur, pada malam Jumaat. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131...

Hampir ke penghujung artikel ada disebut begini...


Sesungguhnya saya menaruh harapan yang tinggi dengan kelahiran bayi ini. Nama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang timbul satu petang ketika menyeberangi Sungai Perak di sekitar pekan Parit, setelah pertama kali menziarahi makam beberapa orang kerabat diraja lama Perak telah disimpan sejak penghujung 2001, baru kini saya mendapat seorang anak lelaki yang layak menerima nama itu. Selama ini, ia cuma dapat dipakai untuk watak utama siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan dan pengembaraan saya. Semoga anak ini menjadi orang yang lebih baik dari saya, semoga ia mendapat manfaat dari segala salah-silap perkiraan hidup saya yang membuahkan segala macam ilham dan ilmu tanpa dia sendiri perlu melalui segala susah-payahnya!

Dengan pembukaan ini maka masuklah kita pada artikel ke-5 dan terakhir bagi siri perjalanan yang sedang berlangsung. Bersambung daripada artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar.


Ini adalah surau berdekatan makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar. Gambar diambil daripada artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Kuala Kangsar ke Ipoh dan cabaran pendakian Bukit Singa tahun 2017. Saya juga isteri dan anak-anak sudah banyak kali menumpang bermalam di sini. Walaupun tak ingat di manakah menginap selepas pertama kali sampai ke makam Tok Temong hampir penghujung tahun 2001 besar kemungkinan ia di surau ini. Oleh itu biar dijadikan titik permulaan perjalanan bagi hari berkenaan, hari terakhir perjalanan ke makam-makam lama tahun 2001.

Ketika itu sudah masuk 7 hari saya keluar mengembara dengan menunggang motosikal besar kesayangan seorang diri. Tiga malam pertama menginap di rumah almarhum Nenek (ibu kepada ayah) di Raub, malam ke-4 di masjid Kampung Bahagia dekat makam Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan dan malam  ke-5 di rumah ibu saudara dekat masjid keluarga di Batak Rabit. Malam ke-6 baru di sekitar ini. Maka sudah sampai masanya untuk bergerak kembali ke Kuala Lumpur kerana esoknya harus kembali masuk bekerja di meja sukan akhbar The New Straits Times.

Dari persekitaran kampung saya pun menunggang motosikal besar kembali ke arah bandar diraja Kuala Kangsar. Rasanya ada singgah lagi di makam Tok Temong kemudian mencari warung untuk mengisi perut dalam perjalanan. 


Bila dah masuk ke bandar harus singgah ke masjid cantik di Bukit Chandan. Ini sudah menjadi kebiasaan apabila sampai ke Kuala Kangsar. Harus pada hari terakhir perjalanan tahun 2001 itu saya mengambil masa untuk bersolat juga bertafakur dalam masjid. Gambar diambil daripada artikel Tok Temong dan dua Sheikh di Kuala Kangsar tahun 2016. 

Dari bandar pula saya mengambil jalan ke Manong. Ia adalah jalan yang menghilir tebing kiri Sungai Perak (kiri jika dipandang dalam peta mengikut mata arah angin yang betul) sedangkan hari sebelumnya telah bergerak ke masjid Kota Lama dengan menghulu sungai melalui tebing kanan.  Sekitar 3 km selepas pekan Manong masuk ke Kampung Pulau Semat. Di situ terdapat sebuah pulau yang memanjang di tengah Sungai Perak. Itulah Pulau Semat.



Gambar daripada artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Makam keramat di Pulau Semat... tahun 2010 ini menunjukkan bahagian tengah pulau yang menghadap ke jeti kecil kampung. Ke seberang itu terdapat makam seorang Sultan Perak yang dianggap keramat. Ketika pertama kali sampai tahun 2001 saya berhajat untuk menziarahi makam tetapi tidak berjaya mendapatkan kenderaan untuk menyeberang sungai. Tak tahulah bagaimana mendapat tahu tentang makam. Mungkin ada mendengar cerita orang di Temong.

Hal ini ada diceritakan dalam artikel yang ditulis 9 tahun kemudian...


Teringat penghujung tahun 2001 ketika saya pertama kali tergerak untuk menziarahi makam-makam lama dengan menunggang motosikal besar. Dari Kuala Kangsar saya telah singgah ke Kampung Semat untuk mendapatkan pengangkutan ke Pulau Semat. Lalu saya diberitahu tidak ada sesiapa pun mahu ke sana...

Di jeti Manong saya menerima nasib yang serupa. Sembilan tahun lalu saya juga terpaksa berpatah-balik ke sini tetapi ketika itu sudah lewat petang, tidak ada lagi perkhidmatan bot di jeti. Kali ini terdapat sejumlah bot dengan pemandu menunggu pelanggan. Tetapi mereka semua cuma mengambil penumpang untuk pergi ke seberang sungai iaitu ke Seberang Manong, tidak ke Pulau Semat.


Nasib baik dalam lawatan tahun 2010 dapat bot ke sana. Hal ini diceritakan sebegini...


Dengan kuasa Allah, terbetik di hati salah seorang pemilik bot untuk memberi pertolongan. Sebenarnya beliau mahu keluar menjala ikan tetapi kesian melihat saya, isteri dan anak kecil terus menunggu. Itupun beliau tidak berani membawa kami. Sebaliknya beliau meminta rakannya seorang bekas komando memakai botnya untuk ke sana. Sampailah hajat saya untuk menziarahi makam Sultan Tajul Ariffin...


Menarik apabila difikirkan saya dapat pergi itu bersama anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid. Ketika ini umurnya baru hendak masuk 6 bulan. Sekarang masuklah bab bagaimana nama anak ini boleh terbit. Selepas tidak berjaya mendapatkan kenderaan untuk masuk ke Pulau Semat saya pun meneruskan perjalanan kembali ke KL...


Laluan dari Manong dan Kampung Pulau Semat membawa ke simpang yang kelihatan. Seingat saya pernah mengambil gambar simpang lalu dimasukkan ke dalam satu artikel lama tapi tak jumpa. Jadi biarlah dipakai gambar ini daripada kemudahan Street View (melihat pada paras permukaan bumi) di Google Map.

Ke kiri boleh naik ke satu jambatan menyeberangi Sungai Perak lalu masuk ke tebing kanan (ataupun timur) sungai menuju ke pekan Parit. Ke kanan boleh ke Beruas tapi sebelum itu ada simpang masuk ke jalan yang boleh membawa terus menghilir sungai di belah tebing kiri (ataupun barat). Dua tebing inilah yang memberikan nama tempat-tempat seperti Bota Kanan dan Lambor Kanan. Lawannya di seberang sungai, di belah tebing kiri adalah Bota Kiri dan Lambor Kiri.

Entah kenapa saya memilih untuk membelok ke kiri lalu menyeberangi jambatan masuk ke tebing kanan. Padahal laluan berkenaan telah diambil ketika menuju ke Kota Lama Kanan  di Kuala Kangsar pada  hari sebelumnya seperti diceritakan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar. Oh. Kota Lama Kanan mendapat nama kerana terletak di tebing kanan Sungai Perak. Sebagainya lawannya wujud Kota Lama Kiri di seberang sungai. 


Boleh jadi laluan diambil kerana hendak cepat kembali ke KL. Jalan di tebing kanan lebih sesuai untuk itu. Logik juga kerana teringat ketika berada di Kampung Pulau Semat itupun sudah sekitar jam 5 petang. Mesti cepat balik ke rumah kerana esoknya sudah harus kembali bekerja di NST.

Gambar Street View ini menunjukkan jambatan berkenaan. Sampai sahaja ke tengah jambatan merangkap tengah sungai tiba-tiba timbul nama "Muhammad Al-Aminul Rasyid" dalam hati. Ia bukan bisikan tetapi satu lintasan seperti terbetik suatu ingatan. Entah nama siapakah ini terus bergetar sambil perjalanan diteruskan ke KL.

"Buah tangan" inilah yang dibawa untuk menutup perjalanan kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001. Dalam beberapa tulisan saya tentang hal berkenaan ada disebut barangkali inilah nama anak pertama yang sedang dikandung isteri lama ketika itu. Sekarang biar dibuat pembetulan. 

Ketika perjalanan berlaku Oktober 2001 isteri belum lagi mengandung. Ini kerana anak tersebut lahir hampir penghujung September 2002. Ketika mendapat berita isteri telah mengandung beberapa bulan kemudian memang saya ada merasakan itu adalah nama anak. Tetapi ternyata yang keluar adalah bayi perempuan. Dah tu siapa pula Muhammad Al-Aminul Rasyid yang namanya terbit di tengah jambatan ketika menyeberangi Sungai Perak?

Masuk tahun 2003 saya tidak lagi bersama isteri lama. Ketika itu saya sudah lebih setahun asyik keluar berkelana ke sana ke mari tanpa mempedulikan lagi kehidupan biasa lalu ada masanya kelihatan tidak terurus seperti orang gila. Awal tahun 2004 perkelanaan demi mencari jawaban kepada makna diri dan tujuan hidup membawa ke Aceh, tanah asal nenek moyang belah bapa beratus tahun lalu. Sekembali dari situ tergerak untuk menulis buku lalu terhasillah siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang buku pertamanya terbit Jun 2006.


Pada mulanya tulisan hendak dibuat secara straight forward bagi menceritakan pengalaman perjalanan berserta cerita-cerita sejarah yang dapat digali dalam perjalanan. Kemudian saya dinasihatkan agar mengubahnya menjadi bentuk novel. Pengalaman sebenar hidup yang mengandungi banyak perkara pelik dibuat kelihatan seperti fiksyen. Apabila hendak memilih nama mewakili watak sebenar diri teringatlah nama Muhammad Al-Aminul Rasyid lalu itulah yang digunakan. Rasanya ia mula dimasukkan dalam penulisan cerita hampir penghujung tahun 2004.

Penghujung tahun 2008 pula baru saya kembali berumah tangga. Sepuluh bulan kemudian dapat anak lelaki  lalu diberikanlah nama tersebut. Begitulah cerita nama yang diperolehi dalam perjalanan kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 menjadi nama watak dalam novel kemudian nama anak lelaki pertama.



Kembali pada hal perjalanan dari Temong ke Kuala Kangsar ke Manong dan Kampung Pulau Semat kemudian menyeberangi jambatan Sungai Perak sebelum kembali ke rumah di KL. Ia boleh dilakarkan secara ringkas seperti di atas. Jarak yang ditunjukkan oleh Google Map iaitu 278 km tidak mengambil kira pusing-pusing di bandar Kuala Kangsar juga berpatah balik dari Kampung Pulau Semat ke pekan Manong untuk mencari kenderaan masuk ke pulau. Kalau dicampur itu perjalanan sebenar harus mencapai jarak 290 km.

Campur pula perjalanan keseluruhan sebelum itu, sejak meninggalkan KL iaitu 490 km (rujuk Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar). Jadilah 780 km. Ini tidak cukup untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 perjalanan terjauh pernah dibuat setakat ini. Tetapi layak dimasukkan ke dalam senarai 11 perjalanan istimewa.


Merujuk pada satu ralat yang telah dikongsikan pada penghujung artikel pertama siri iaitu Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku. Sedutan berkenaan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" menyebut perjalanan kali berlaku kurang sebulan sebelum Sukan SEA tahun 2001 berlangsung di Kuala Lumpur. Bila disemak di Internet rupa-rupanya kejohanan berlangsung 8 hingga 17 September. Patutlah boleh dapat cuti seminggu untuk membuat perjalanan... kerana sudah selesai acara. 

Di sini biar hari terakhir Sukan SEA itu dicari tarikh Islamnya. Dengan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter yang boleh dicari menggunakan Google didapati tarikh 17 September 2001 adalah bersamaan 29 Jamadil Akhir 1422 Hijrah iaitu sekitar 2 bulan sebelum masuk bulan puasa Ramadhan. Disebut hal ini kerana ketika meliputi  sukan saya masih bersemangat untuk terus bekerja di NST walaupun sudah lebih setengah tahun hasil tulisan asyik disekat akibat permainan politik pejabat. Beberapa lama setelah kembali daripada ziarah ke makam-makam baru terasa hilang semangat. Ini membawa pada turutan peristiwa yang akhirnya menyaksikan saya dipecat 24 jam beberapa hari sebelum puasa.

Hal ini akan dipanjangkan dalam satu artikel khas selepas dibuat kompilasi siri. Insyaallah akan dikongsikan esok Khamis selewatnya sebelum Maghrib.


Tiada ulasan: