Jumaat, Julai 19, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Akhirnya, keputusan kes faraid harta Laksamana

Salam petang Jumaat 13 Muharram 1446 Hijriah. Kalau ikutkan artikel ini yang bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak tempat punca nama anak mahu ditulis dan dipersembahkan paling cepat pun esok petang Sabtu. Tetapi apabila menyedari tarikh cantik 13 Muharram terasa elok dilepaskan hari ini. 



Pagi Selasa 9 Julai 2024 bersamaan 3 Muharram, selepas bermalam di rumah kawan di pinggir selatan bandar raya Ipoh saya pun membawa anak pergi ke tempat seterusnya.



Ia adalah Mahkamah Tinggi Syariah negeri Perak. Saya mahu mendengar keputusan kes faraid Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sudah beberapa kali ditangguhkan dan inilah tujuan utama perjalanan terbaru ke Perak dibuat.



Gambar ini pula diambil jam 12.17 tengah hari di sebuah restoran mamak berdekatan, selepas selesai mendengar keputusan kemudian berbincang dengan saudara mara juga peguam kami tentang keputusan.




Sebetulnya keputusan kurang memuaskan. Moyang kami Orang Kaya Arsyad bin Laksamana Muhammad Amin (bagi saya yang lebih tepat adalah datuk kepada datuk) diisytiharkan telah meninggal dunia awal sebelum ayahnya meninggal tahun 1904. Walaupun kami ada membawa buku malah dokumen istana yang menyatakan Arsyad ada naik menjadi Laksamana ke-13 Perak pada tahun 1917.



Bukti-bukti kami ditolak atas alasan after thought. Saya tak mahu ulas sangat apa yang dimaksudkan. Cuma bahasa mudahnya suatu penemuan atau dapatan boleh ditolak kalau dibuat beberapa lama selepas perbicaraan bermula. Ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang dibuat-buat kemudian untuk menyokong hujah.



Adinda seibu sebapa OK Arsyad, Aminah yang anak cucunya diwakili peguam lain juga diisytiharkan sebagai mati lebih awal. Yang ini sekurang-kurangnya nampak jelas kenapa boleh diputuskan begitu. Ini kerana pihak mereka mengemukakan salinan paspot haji dan tiket yang ada tertera nama Aminah bagi menunjukkan beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 1924. Masalahnya tidak ada dinyatakan Aminah itu berbintikan siapa dalam dokumen-dokumen tersebut.



Selain itu mereka juga telah mengemukakan rekod belanjawan zaman British bagi beberapa tahun untuk berhujah bahawa Aminah bahawa masih hidup ketika bapanya meninggal dunia. Yang ini saya tahu sejak awal salah. Kerana tahu dan jelas Aminah manakah yang disebut dalam dokumen, balu kepada Raja Muda Musa ibni Sultan Ja'afar Perak.




Satu lagi nama yang dinyatakan mahkamah sebagai anak Laksamana Muhammad Amin yang meninggal awal adalah Ahmad Sharif. Ini adalah berdasarkan wujudnya satu dokumen tanah tahun 1925 yang dikemukakan pihak lawan (responden) menyatakan dengan jelas beliau meninggal dunia pada 29 Disember 1897.



Peguam pihak ini cuba menolak dokumen dengan mengemukakan satu laporan kajian batu nesan di Teluk Intan sebagai menunjukkan Ahmad Sharif itu meninggal dunia 1936. Ini tertera sebagai tahun Hijriah 1355 pada batu nesan berkenaan. Namun nama yang terpahat dalam tulisan Jawi adalah Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad. Tidak ada perkataan Laksamana.



Peguam sama turut mewakili satu cabang keturunan OK Arsyad yang wakil atau ketua jalurnya tidak mahu bersama kami. Beliau mengemukakan laporan batu nesan yang dibuat pihak sama untuk menyatakan OK Arshad meninggal dunia tahun 1918 seperti dinyatakan pada satu makam di Batak Rabit, Teluk Intan sebelah masjid warisan keluarga (lihat Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak). Namun kami telah menyemak ia sebenarnya adalah milik seseorang yang dikenali sebagai Tok Tambah, anak kepada Laksamana Hussin yang bersemenda dengan keluarga Panglima Kinta. Laksamana ke-12 Perak ini adalah saudara dua pupu kepada Laksamana Muhammad Amin.



Hakim dan mahkamah telah menolak  laporan batu nesan. Alasan yang saya ingat adalah kerana pihak yang didatangkan ke lapangan untuk mengkaji boleh dipengaruhi pihak berkepentingan (agar laporan menyokong dakwaan mereka). Yang pasti, semasa perjalanan perbicaraan pakar yang namanya digunakan untuk mengeluarkan laporan sudah mengaku tidak hadir di lapangan. Yang dihantar cuma para pelajarnya sahaja. Beliau cuma mengesahkan laporan.




Pada kami elok pun ditolak kerana sejak awal tidak bersetuju dengan laporan. Yang jadi masalah adalah ketua jalur berkenaan, yang tidak mahu bersama kami majoriti anak cucu Arsyad, menolak bahawa moyang kami itu pernah menjadi Laksamana Perak. Menurut beliau tidak ada cerita sebegitu dalam kalangan keluarga beliau (padahal ada cabang lain keluarga yang pernah mendengar cerita sebaliknya). Bantahan beliau (kerana mahu sangat berpegang pada laporan batu nesan) ada disebut oleh hakim dan nampaknya menjadi sokongan untuk menolak dokumen yang kami kemukakan daripada istana.



Sekali lagi biar dinyatakan, dengan itu Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif diisytiharkan sebagai meninggal dunia awal. Kalau ikut hukum faraid biasa tak boleh dapat bahagian daripada harta Laksamana Muhammad Amin lalu anak cucu pun tak dapat. Namun mahkamah memutuskan agar dianugerahkan kepada peringkat cucu Muhammad Amin apa yang dipanggil sebagai Wasiat Wajibah. Dengan itu anak-anak kepada Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif boleh mendapat 1/3 daripada keseluruhan harta Muhammad Amin. Inilah yang boleh diturunkan kepada anak cucu mengikut hukum faraid biasa.




Sebetulnya ada lagi 2-3 perkara kami bangkitkan, antaranya tentang orang yang dikatakan anak kandung Laksamana Muhammad Amin namun kami telah menemui bukti berupa surat sumpah orang itu sendiri menyatakan beliau lahir tahun 1907 sedangkan Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904. Ini tidak disentuh langsung dalam penghakiman. Mungkin kerana secara teknikalnya perbicaraan adalah cuma untuk menentukan apakah Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif layak mendapat bahagian faraid harta Laksamana Muhammad Amin. Lain-lain hal yang muncul dalam perbicaraan boleh diketepikan.



Saya rasa cukuplah bercakap tentang keputusan. Selepas makan tengah hari bersama saudara mara saya membawa anak beriktikaf ke Masjid Panglima Kinta, kemudian ke Hoga Tea Valley dekat Gopeng kemudian ke masjid Kampung Gunung Mesah Hilir. Kemudian mencari satu tempat berbatu-batu besar yang rupanya perlu naik ke lereng gunung berdekatan bandar Kampar. Semua ini ada dalam gambar-gambar  atas menurut turutan. 

Oleh kerana anak penat tidak mahu mendaki kami pun bergerak ke Malim Nawar untuk mencari sebuah tasik yang ada batu-batu kapur terjojol keluar daripada permukaan. Lihat artikel Limestone lake of Malim Nawar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.  Selepas itu singgah ke masjid sana. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Malim Nawar  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Jam 6.30 petang baru sampai ke pusat peranginan Sungai Bil dekat Ulu Slim. Sedangkan ini merupakan tempat utama mahu dibawa anak selepai selesai urusan di mahkamah.



Dekat waktu Mahghrib sampai ke bandar Tanjung Malim lalu menunaikan solat Maghrib di masjid situ.



Masuk kembali ke negeri Selangor singgah dahulu di masjid lama di Ulu Bernam. Oh, seperti biasa apabila sampai ke suatu masjid saya mesti beriktikaf walau cuma beberapa minit. Paling kurang akan buat solat Tahiyatul Masjid. Kalau lama akan baca Al-Quran dan solat wajib. Apabila penat lelaplah sampai rasa cukup rehat sebelum menyambung kembali perjalanan.



Apabila sampai ke rumah jam 9 malam didapati saya telah memandu sejauh 645 km. Selesai cerita perjalanan,  alhamdulillah. :]


Nota tambahan (dibuat jam 8.39 malam) : Baru teringat. Saya tidak memberikan latar belakang kes perbicaraan tentang harta faraid Laksamana Muhammad Amin. Kenapa pihak saya dan lain-lain yang disebut itu masuk dalam perbicaraan? Sebetulnya ada disebut sedikit dalam artikel-artikel sebelum ini tentang perjalanan perbicaraan. Tetapi untuk memudahkan pemahaman biar diceritakan seperti berikut.

Perbicaraan berlaku untuk menentukan sama ada 3 orang anak Laksamana Muhammad Amin yang dinyatakan seperi berikut - OK Arshad, Aminah dan Ahmad Sharif - masih hidup ketika Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904 lalu layak menerima bahagian faraid daripada harta almarhum di mana-mana sahaja, bukan sekadar di Mekah seperti disebut dalam artikel-artikel sebelum Ini. Ini adalah kerana pihak lawan iaitu responden telah lebih awal memohon kepada mahkamah untuk menerima mereka sahaja sebagai waris-waris yang layak menerima faraid  - atas alasan mereka sahaja yang datang daripada keturunan anak-anak juga isteri yang masih hidup ketika Laksamana meninggal dunia, anak-anak lain telah lebih awal meninggal dunia. Lalu ini telah diputuskan oleh mahkamah pada tahun 2018. Difahamkan mereka pun mula bergerak berurusan dengan pihak berkenaan di Mekah bagi mendapatkan pampasan.

Pihak kami datang kemudian setelah menyedari wujudnya tuntutan sebegitu rupa. Sedangkan kami tidak pernah dimaklumkan tentangnya ketika ia berlaku. Lalu pada tahun 2020 mahkamah rayuan membenarkan pihak kami masuk sementara mahkamah syariah membuat semakan lalu diadakan perbicaraan baru. Namun pokok pangkalnya, pihak lawan tetap menolak kami lalu bersungguh-sungguh mahu menegaskan ketiga-tiga OK Arshad, Aminah dan Ahmad Sharif telah meninggal dunia awal lalu tidak layak menerima bahagian faraid, maka begitu juga anak cucu keturunan mereka. Kami mengatakan sebaliknya. Itulah sebabnya berlaku perbicaraan sejak beberapa tahun lalu. 


Khamis, Julai 18, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak tempat punca nama anak

OK. Balik pada cerita-cerita perjalanan Perak. Bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak.



Hampir tengah hari Isnin 8 Julai 2024. Setelah puas berehat dan beriktikaf di surau ini di Kampung Tempong kami pun bersedia untuk menyambung perjalanan.




Ziarahlah ke makam Tok Temong.




Kemudian melihat Sungai Perak dari jeti di sebelah makam...







Kami makan tengah hari di Kota Lama Kiri. Beberapa hari itu saya asyik sibuk mencari laksa telur sarang...




Puas makan berjalan-jalan di kawasan riadah bandar diraja Kuala Kangsar. Lihat artikel Pedestrian bridge at the real Kuala Kangsar dan Perak river from different spots at the Kangsar jetty di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Dari Kuala Kangsar bergerak ke pekan Manong.




Singgah lagi makan. Tapi cuma ada laksa biasa, bukan telur sarang.




Kemudian ke Kampung Semat lalu singgah di masjid lama. Lihat Views from Kampung Semat old mosque.



Sebetulnya laluan yang diambil sejak meninggalkan Kampung Temong adalah sama seperti ketika perjalanan pertama saya seumur hidup ke makam-makam lama lebih 23 tahun lalu. 







Setelah beberapa lama sampailah ke jambatan menyeberang Sungai Perak menuju ke pekan Parit dari arah Kuala Kangsar.




Di tengah-tengah jambatan inilah saya mendapat nama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang kemudian dijadikan nama anak. Lihat ceritanya dalam artikel lama Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid.



Ini pula selepas berjalan kaki menyeberangi jambatan bagi pejalan kaki dan kenderaan ringan dari pekan Parit. Lihat Across the Parit bridge. Dengan  ini selesailah tujuan utama saya membawa Rasyid berjalan ke Perak. Masuk ke asbab utama perjalanan ini sendiri dibuat. Nanti disambung cerita...


Rabu, Julai 17, 2024

Tentang siri diskusi bulanan buku di ISTAC

Tadi saya telah menyemak kembali penulisan artikel Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC yang dibuat lewat petang semalam lalu mendapati ada keperluan untuk menerangkan tentang siri diskusi bulanan buku di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini memandangkan diskusi buku yang diadakan petang semalam telah diisytiharkan sebagai kesinambungan daripada siri yang pernah diadakan tahun 2019. Penerangan jadi lebih relevan apabila memikirkan buku terbaru saya, "Adam (a.s.) and the Origin of Man" akan menjadi yang kedua dalam siri baru diskusi.


Poster untuk majlis petang semalam...


Dalam artikel Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC saya ada meletakkan pautan-pautan berikut bagi artikel-artikel yang ditulis tentang diskusi buku bulanan sebelum ini :-



Artikel-artikel ini menunjukkan saya telah hadir lalu menulis tentang setiap edisi bulanan sejak ia dimulakan Januari 2019 hinggalah yang ke-5 pada bulan Mei. Kemudian terus lompat pada edisi bulan September, akhir sekali pada bulan November 2019. Mana pergi yang di celah dan selepas itu? Apabila disemak kembali arkib artikel-artikel lama yang pautannya ada disenaraikan pada sidebar kanan tengah CATATAN DI MERAH SILU didapati bahawa pada bulan Jun saya telah disibukkan dengan urusan menerbitkan buku ke-13 diikuti usaha-usaha mempromosinya. Selain itu masuk musim Raya Aidil Fitri. Lihat artikel-artikel berikut :-








Kemudian saya disibukkan dengan satu perjalanan jauh pusing Aceh dan Sumatera Utara di mana saya turut bertanggungjawab mengadakan acara atas nama HIKMAH (rujuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) di dua buah lokasi. Lihat artikel-artikel berikut :-







Kelihatan seperti kesibukan-kesibukan ini telah menyebabkan saya tidak dapat hadir diskusi buku bagi bulan Jun, Julai dan Ogos. Namun apabila disemak balik masih ada acara-acara di ISTAC dapat dihadiri lalu ditulis tentangnya. Lihat :-









Hal ini bermakna, walaupun mungkin saya tidak hadir diskusi buku tetapi ada kemungkinan juga ada edisi yang tidak diadakan bagi memberi ruang pada acara-acara lain. Selalunya kalau tidak hadir edisi suatu majlis ilmu yang diadakan secara bersiri, saya akan mencatatkan tentang ketidakhadiran itu pada artikel berikut. Ini dilakukan supaya tidak janggal jika ada kelompongan dalam kesinambungan perkongsian ilmu. Namun ini tidak dapat ditemui tentang diskusi buku. Mungkin kerana ia bukanlah diskusi yang bersambung-sambung dan saling kait mengait pengisian seperti misalnya syarahan "Classification of Knowledge" oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap sebagai contoh.

Bagi bulan Oktober 2019 juga saya tidak dapat menemui apa-apa artikel tentang diskusi buku. Sebaliknya ada artikel-artikel berikut menunjukkan saya cukup aktif menghadiri majlis-majlis ilmu di ISTAC dalam tempoh waktu tersebut...










Pada bulan Oktober itu juga saya ada menulis dan mempersembahkan artikel bertajuk Kumpulan syarahan dan majlis ilmu di ISTAC. Ini adalah bagi menyenaraikan semua artikel yang pernah dibuat tentang majlis-majlis yang dihadiri di ISTAC setakat itu. Lebih awal pada hari sama saya telah menulis Artikel-artikel ilmu selepas "Siri Refleksi Sejarah" mencapai jumlah 222 pada 8 bulan lalu. Ia boleh dikatakan adalah update atau pembaharuan bagi artikel Apabila jumlah artikel "Refleksi Sejarah" mencapai 222 yang ditulis February 2019.

Arkib atau rekod penulisan saya di CATATAN SI MERAH SILU menunjukkan artikel terakhir tentang diskusi buku adalah Pelancaran pembacaan baru Hikayat Raja Pasai oleh Timbalan Perdana Menteri pada bulan November tahun itu. Walaupun dalam tempoh waktu terdekat selepas itu saya ada disibukkan dengan hal-hal lain (lihat misalnya Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019) tetap ada acara di ISTAC dihadiri juga.  Biar dikongsikan senarai yang diperoleh daripada artikel Sedar tak sedar - Majlis-majlis ilmu dan tulisan berkenaan yang dibuat dalam tempoh kurang 4 bulan  (sehingga 12 Februari 2020) :-




Yang jelas tidak ada lagi diskusi buku di ISTAC selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung penularan virus Covid-19 mula berkuatkusa 18 Mac 2020. Sebelum itu saya sempat menghadiri lalu menulis tentang beberapa lagi acara ilmu di ISTAC termasuk satu anjuran pihak saya sendiri. Lihat Acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020. Dengan ini cuma terdapat 7 sahaja artikel tentang diskusi buku terdahulu direkodkan melalui penulisan saya. Semoga selepas ini dapat berkembang lebih maju.


Selasa, Julai 16, 2024

Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC

Salam petang Selasa 10 Muharram 1446. Lari sebentar daripada cerita-cerita Perak untuk berkongsi cerita aktiviti hari ini, Hari Asyura.



Awal pagi tadi, selepas bersahur untuk puasa sunat Hari Asyura saya bergerak ke masjid Kampung Sungai Chinchin lalu bersolat Subuh kemudian beriktikaf buat sejam dua.



Masjid dipilih kerana kedudukannya sudah dekat dengan kampus utama UIA (Universiti Islam Malaysia) di Gombak.




Setelah berapa lama, setelah disahkan mendapat ijazah Sarjana dalam bidang Malay World Studies (Pengajian Dunia Melayu) daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada 13 Oktober 2023 lalu pergi konvokesyen di UIA (Universiti Islam Malaysia yang menaungi ISTAC) pada 26 November (lihat Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53) baru hari ini mengambil skrol atau salinan rasmi ijazah. Ini kerana setelah beberapa lama baru ada cukup rezeki untuk membayar baki hutang pengajian yang tertunggak.



Selepas itu bergegas ke kampus ISTAC di Bukit Tunku untuk majlis ilmu.














Ia adalah tentang dua watak penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20 Masihi yang namanya terpampang pada poster. Mereka dilihat menjadi contoh tokoh keamanan dalam menyatakan penentangan terhadap kezaliman tanpa menggunakan kekerasan, seorang di Senegal, Afrika yang sedang dijajah Peranchis, seorang di India yang sedang dijajah Inggeris. Hmm. Tak jumpa pula video rakaman sedangkan saya malas hendak mengulas panjang.




Petang pula ada majlis ilmu melibatkan buku. 




Poster ini harus cukup menerangkan. Dan lagi rakamannya boleh dilihat di sini.




Saya cuma ingin menambah. Ini adalah permulaan kembali pada siri diskusi buku sebulan sekali yang telah dimulakan awal tahun 2019 tetapi diberhentikan semenjak berlakunya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak Covid-19 awal tahun 2020. Lihat artikel-artikel lama berikut :-






Oh. Apa yang diceritakan dalam artikel pertama daripada kumpulan tadi iaitu  Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC? sangat kena mengena dengan majlis ilmu pagi hari kerana buku yang dibincangkan adalah tentang tokoh keamanan berkenaan dari Afrika.



Adapun ada dinyatakan dalam artikel Dari majlis Takrim/Alumni Homecoming ISTAC ke Books Kinokuniya yang ditulis hampir 3 minggu lalu bahawa buku terbaru merangkap buku ke-15 saya  mahu didiskusikan atau dibincangkan, diwacanakan di ISTAC pada satu tarikh yang akan diumumkan. Lihat artikel-artikel berikut tentang buku :-


Sekarang biar diberitahu. Baru dipersetujui tadi bahawa ini akan dilakukan di bawah edisi kedua siri baru diskusi buku. Insyaallah dalam tempoh sebulan daripada sekarang.


Isnin, Julai 15, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak

Salam pagi Isnin 9 Muharram 1426 Hijriah. Adapun Sabtu malam Ahad saya telah disibukkan dengan satu majlis zikir. Esoknya pagi Ahad buat pertama kali seumur hidup mendaki Bukit Kiara hingga ke puncak, satu perkara yang pertama kali dilakukan seumur hidup walhal sudah lama menyimpan hajat kerana selalu melihatnya dari persekitaran rumah bapa saudara di Bukit Damansara sejak berumur 12 tahun lebih 40 tahun lalu, sebelum ke satu majlis ilmu tertutup di Taman Tun Dr Ismail. Sekarang baru ada sedikit kelapangan untuk berkongsi lagi cerita perjalanan terbaru. Bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak.



Awal pagi Ahad 7 Julai 2024 bersamaan 1 Muharram 1446 Hijriah. Bersedia untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid warisan keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan.



Sebelum itu saya dan anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid telah dapat menginap dan beriktikaf dengan selesa dalam masjid.



Berjalan-jalan melihat persekitaran masjid selepas matahari naik bersama anak. Lihat artikel Perak river from Batak Rabit on 1st Muharram 1446 diikuti Views from Batak Rabit mosque tower on 1st Muharram 1446 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Bersarapan di bandar Teluk Intan berdekatan bahagian Sungai Perak yang memberikan nama tempat. Lihat Perak river from the original Teluk Intan on 1st Muharram 1446.




Tengah hari itu, selepas beriktikaf dan berehat sejam dua lagi di masjid warisan, pergi ke majlis perkahwinan sepupu di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan.




Disebabkan majlis inilah saya bertolak ke Perak pada petang sebelumnya lalu beriktikaf Sabtu malam Ahad 1 Muharram di masjid. Kalau tidak, besar kemungkinan Isnin malam Selasa baru bertolak, untuk mengikuti keputusan kes faraid harta Laksamana Muhammad Amin di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pagi Selasa 9 Julai. 




Sekarang pergi pada hal kenapa artikel sebelum ini Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak, atau lebih tepat siri berkenaan, diberi tajuk utama "Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid".



Ada dinyatakan dalam artikel tersebut bahawa anak saya yang bernama Rasyid itu sedang bercuti lama kerana dalam proses bertukar  tahfiz dari Janda Baik ke tahfiz lain yang lebih dekat dan lebih murah yuran. Disebabkan itulah beliau dapat ikut saya ke Perak.



Sebetulnya sejak membawa keluar daripada tahfiz di Janda Baik pada 21 Jun saya memang ingin membawa bermusafir ke negeri Perak. Cadangnya pada sekitar 25 Jun. Kerana ketika itulah keputusan di Mahkamah Syariah Ipoh mahu diumumkan. Tengok-tengok apabila dekat tarikh ditunda ke 9 Julai.



Sekitar seminggu lebih sebelum 9 Julai  pula ibu saudara di Batak Rabit menghantar undangan untuk ke majlis perkahwinan anaknya pada siang Ahad 7 Julai bersamaan 1 Muharram. Itu yang bertolak ke Perak petang Sabtu. Oh. Saya mahu membawa anak untuk menjejak kembali laluan yang pernah saya gunakan ketika pertama kali pergi menziarahi makam-makam lama di Perak penghujung tahun 2001. Sebab utamanya akan diterangkan dalam artikel kemudian.



Bezanya dahulu saya datang dari arah Raub, Pahang melalui laluan berliku ke Bukit Fraser lalu sampai ke makam Keramat Kuala Bidor pada waktu malam. Pagi esoknya singgah lagi sebelum ke rumah ibu saudara lalu bermalam.  Rujuk cerita-cerita lama berikut :-


2. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek

3. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Mencari makam Keramat Kuala Bidor



Dalam perjalanan hampir 23 tahun lalu itu, selepas bermalam di rumah ibu saudara baru ke makam Sultan ke-22 Perak yang ditemui secara tidak sengaja, selepas tersesat di bandar Teluk Intan, kemudian ke makam Sultan ke-10 Perak dan seterusnya. Lihat artikel lama Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar.



Perjalanan baru bersama anak masih mengambil laluan yang sama. Cuma selepas ke makam Sultan ke-22 Perak (gambar pertama menunjukkan anak) baru ke makam Keramat Kuala Bidor (gambar kedua). Kemudian ke makam Raja Ahmad (gambar ke-3) diikuti makam Sultan pertama Perak (gambar ke-4), kedua-duanya tidak ada dalam perjalanan 23 tahun lalu. Kemudian baru ke makam Sultan ke-10 Perak (gambar ke-5). Seterusnya ke makam Sultan ke-13 (gambar ke-6, tidak ada dalam perjalanan lama) kemudian baru menjadi kuala Sungai Sayong (ada dalam perjalanan lama). Lihat Perak river from around Sayong river mouth on 1st Muharram 1446.



Dalam perjalanan lama saya ke makam Tok Temong dahulu sebelum masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar. Kali ini masuk bandar dahulu, melalui jambatan menyeberangi Sungai Perak yang belum siap 23 tahun lalu, Naik ke Bukit Chandan untuk ke kawasan pemakanan diraja Perak.



Ziarahlah ke makam moyang kami Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.




Oh. Semasa di makam Sultan  pertama Perak singgah di satu tempat berdekatan yang kewujudannya baru disedari kurang sebulan lalu. Lihat Kolam bersiram puteri (Princess bathing pool), Teluk Bakong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu ke makam Daeng Selili


Lewat petang baru masuk ke Masjid Ubudiyah yang terletak di sebelah kawasan pemakaman diraja.



Masuk waktu Isyak baru ke Masjid Kota Lama Kanan di mana terdapat batu nesan tanda Sultan ke-2 Perak. Ketika perjalanan 23 tahun lalu tempat ini disinggahi selepas pergi ke kuala Sungai Sayong. Rujuk kembali Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar