Salam. Satu perkongsian sempena tarikh 1 Julai 2024 (walaupun dah penghujung hari). Sedangkan kurang seminggu sahaja lagi iaitu pada hari Ahad 7 Julai akan masuk tahun baru Islam 1446 Hijriah.
Menyusuri Sungai Perak di sekitar Batak Rabit, Teluk Intan pada 1 Muharram 1440 Hijrah...
Kira-kira 2 minggu lalu saya mendapat poster pemberitahuan daripada ibu saudara di Batak Rabit, Teluk Intan mengundang datang ke majlis perkahwinan seorang anaknya di rumah. Tarikh majlis Ahad 7 Julai 2024 dinyatakan sebagai bersamaan 1 Muharram 1446 Hijriah dan ini boleh disemak dalam kalendar. Kebetulan pada Selasa 9 Julai saya harus berada di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh untuk mendengar keputusan kes hak faraid terhadap harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Harap-harap betul-betullah selesai. Dahulu katanya hendak diputuskan pada bulan Februari (ke Mac? Dah lupa tarikh), kemudian tunda ke Isnin 15 April. Yang ini saya sekeluarga ada datang ke Ipoh. Tetapi bila sudah menunggu beberapa lama dalam mahkamah tengok-tengok ditunda pula ke Selasa 25 Jun. Lihat Dugaan perjalanan raya 1445 Hijriah.
Hampir sampai tarikh 25 Jun, ketika sudah merancang laluan mana hendak diambil di Perak sebelum dan selepas ke mahkamah dapat makluman baru ia ditunda ke 9 Julai. Jadi apabila kemudian mendapat undangan untuk ke majlis perkahwinan di Batak Rabit 7 Julai maka dirancanglah agar ke Teluk Intan dahulu kemudian baru ke Ipoh sekali jalan. Dan ada rancangan perjalanan unik kali ini yang akan diceritakan selepas jadi nanti. Alang-alang 7 Julai itu adalah bersamaan 1 Muharram elok juga datang awal pada malamnya untuk beriktikaf di masjid warisan keluarga di Batak Rabit.
Hal ini mengingatkan bagaimana saya pernah beriktikaf bersama isteri dan anak-anak di masjid itu pada 1 malam Muharram beberapa tahun yang lalu. Timbul rasa untuk mengesan di manakah saya berada pada 1 Muharram setiap tahun Hijriah sejak CATATAN SI MERAH SILU dimulakan penghujung tahun 2006.
Adapun artikel pertama CATATAN SI MERAH SILU iaitu Apa-apa aje le... ditulis dan dipersembahkan pada 12 November 2006. Ini harus bersamaan (atau sekitar) 21 Syawal 1427 Hijrah. 1 Muharram berikutnya iaitu bagi tahun 1428 Hijrah harus bersamaan (atau sekitar) 20 Januari 2007. Saya cuba kesan di manakah berada pada 1 Muharram itu dan berikutnya berdasarkan artikel-artikel dalam CATATAN yang ditulis pada atau sekitar waktu itu.
a. 1 Muharram 1428 Hijrah @ 20 Januari 2007 atau sekitar
Artikel Gambar-gambar di Muar yang ditulis 15 Januari menyatakan ketika itu saya sudah lebih seminggu mengembara di utara tanah air sedangkan artikel Chaakkk!!! yang ditulis Februari 3 (Sabtu) menyatakan pengembaraan itu selesai Isnin sebelum itu (29 Januari). Turut dinyatakan pengembaraan mengambil masa hampir sebulan. Berdasarkan cerita dalam Chaakkk!!! (walau tidak dinyatakan tarikh) besar kemungkinan saya sedang berada di sekitar Lembah Bujang pada 1 Muharram.
b. 1 Muharram 1429 Hijrah @ 10 Januari 2008 atau sekitar
Artikel Mencari Muzium Bugis di Pontian... yang ditulis hari Sabtu 12 Januari menyatakan sejak hari Rabu (9 Januari) saya berehat seorang diri di Kajang. Ini adalah akibat kepenatan semenjak kembali daripada di Johor kemudian singgah di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan hari Selasa. Maka pada 1 Muharram saya harus berada di Kajang.
c. 1 Muharram 1430 Hijrah @ 29 Disember 2008
Artikel Salam tahun baru, baik Hijriah mahupun Gregorian (tahun mat saleh le...) yang ditulis hari Rabu 31 Disember menyatakan ketika itu isteri sedang menunggu untuk memulakan satu perjalanan ke Pantai Timur. Turut dinyatakan hujung minggu sebelum itu kami baru sahaja kembali dari satu perjalanan di selatan. Ahad hujung minggu adalah 28 Disember sedangkan 29 Disember hari Isnin. Ada dinyatakan dalam artikel bahawa 2 hari sebelum 31 Disember (29 Disember lah itu) masuk Ma'al Hijrah. Ertinya ketika itu kami sedang berehat di rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Ketika itu kami baru 2 minggu lebih berumah tangga. Lihat Nombor 131 dan makna satu pernikahan...
.
d. 1 Muharram 1431 Hijrah @ 18 Disember 2009
Pada tarikh tersebut saya telah menulis artikel bertajuk Selamat menyambut masuk tahun Hijriah 1431 dan sedikit tentang kaitan Aceh-Bugis.... Ini nampaknya dibuat di rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Artikel ada menyebut sepatutnya saya berada di Tawau, Sabah. Dalam tempoh masa berdekatan nampaknya tidak berjalan jauh Cuma ada pergi ke beberapa majlis di sekitar Lembah Klang. Untuk pengetahuan ketika itu anak pertama saya bersama isteri (kami masing-masing sudah ada anak daripada perkahwinan terdahulu) sudah berumur lebih 2 bulan.
e. 1 Muharram 1432 Hijrah @ 6 Disember 2010
Saya telah membuat dan mempersembahkan artikel Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1432!. Nampaknya sedang berada di rumah. Sebelum itu telah membuat beberapa perjalanan jauh lalu seminggu dua kebelakangan lebih banyak menghabiskan masa untuk menulis dan berehat.
f. 1 Muharram 1433 Hijrah @ 26 Disember 2011
Mempersembahkan artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Berastagi ke Danau Toba lalu ada menyatakan ketika itu sudah Ma'al Hijrah, sementara tarikh Gregorian atau Barat 26 Disember adalah hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-41. Harus sedang berada di rumah. Telah membuat beberapa perjalanan lalu sedang banyak menulis dan berehat. Perjalanan yang diceritakan pula berlaku ketika meliputi beberapa tempat dari Sumatera Utara ke Aceh 2-13 November. Lihat Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Selepas itu iaitu pada 10-18 November pergi pusing Johor membawa ke Singapura dan Pulau Bentan. Lihat Koleksi Kembara Johor-Riau. Ketika itu isteri sedang sarat mengandungkan anak kedua kami.
g. 1 Muharram 1434 Hijrah @ 16 November 2012
Mempersembahkan artikel Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Complete yang merupakan kompilasi bagi cerita perjalanan berkenaan yang berlaku 27 September - 1 Oktober. Ada dinyatakan hari itu adalah awal Muharram. Harus sedang berada di rumah.
h. 1 Muharram 1435 Hijrah @ 4 November 2013
Artikel Bersendirian Maal Hijrah di Hulu Selangor yang ditulis 7 November menyatakan bahawa ketika Ma'al Hijrah hari Isnin saya sedang mengembara seorang diri menunggang motosikal besar kesayangan berjalan-jalan pusing di Hulu Selangor. Ini adalah kali pertama berjalan dengan motosikal, setelah mengalami kecederaan agak teruk patah kaki awal tahun tahun. Di celah-celah itu ada mengembara ke Tanah Bugis di Sulawesi Selatan sehingga menyebabkan tulang kaki patah tumbuh kembali tidak sekata lalu perlu dipatahkan balik sebelum dimasukkan besi. Selepas beberapa hari duduk di hospital pergi pula ke Pantai Timur untuk menjayakan satu acara. Lihat artikel-artikel berikut :-
i. 1 Muharram 1436 Hijrah @ 25 Oktober 2014
Artikel Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang melampau yang dipersembahkan pagi Jumaat 24 Oktober menyatakan ketika itu hari terakhir tahun 1435 Hijrah. Maka 25 Oktober memang sudah masuk 1 Muharram. Artikel selepas itu Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan... yang ditulis Selasa 28 Oktober pula menyatakan bahawa pada hari sebelumnya (27 Oktober) saya pergi ke majlis berkenaan. Berdasarkan ada sejumlah artikel dilepaskan penulisan, besar kemungkinan pada 1 Muharram saya sedang berada di rumah. Tetapi bukan lagi di Bandar Tasik Puteri. Sebaliknya sejak awal tahun 2014 kami telah berpindah ke Bandar Sungai Buaya, Rawang.
j. 1 Muharram 1437 Hijrah @ 14 Oktober 2015
Artikel Reunion kecil Sains Johor sambil meraikan buku baru "Mencari Diri dan Erti" yang ditulis 13 Oktober Selasa malam Rabu menyatakan ketika itu iaitu sejak selepas Maghrib sudah masuk Ma'al Hijrah. Siang sebelumnya anak sulung saya bersama isteri kini, Muhammad Al-Aminul Rasyid genap umur 6 tahun (menurut kiraan Barat). Nampaknya malam itu dan siang seterusnya 14 Oktober kami berada di rumah.
k. 1 Muharram 1438 Hijrah @ 2 Oktober 2016
Sabtu 1 Oktober malam Ahad sudah masuk 1 Muharram dan ini ada disebut dalam artikel Forum di KUIM dan persekitaran Kuala Sungai Baru. Beberapa hari sebelum itu ada berjalan dari Kuala Kangsar hingga ke Melaka belah Linggi sana melakukan pelbagai aktiviti termasuk memberikan syarahan ilmu. Lihat Dari Bukit Chandan ke Kuala Linggi - Menurut gerak untuk penghujung 1437 Hijriah. Maka pada 1 Muharram dan sekitar masa dihabiskan di rumah untuk berehat juga menulis cerita.
l. 1 Muharram 1439 Hijrah @ 22 September 2017
Artikel Google Street View dan perubahan rumahku yang ditulis hari itu petang Jumaat jelas mengatakan hari itu adalah 1 Muharram dan saya berada di rumah. Cuma ada keluar untuk bersolat Jumaat.
m. 1 Muharram 1440 Hijrah @ 11 September 2018
Artikel Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan yang ditulis 10 September menyatakan beberapa hal yang berlaku pada hari sebelumnya 9 September. Artikel seterusnya, Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440 ditulis 11 hari kemudian iaitu pada 21 September. Namun ia jelas menyatakan saya dan keluarga bergerak ke Batak Rabit di Teluk Intan pada petang Isnin 10 September supaya dapat beriktikaf malam itu masuk 1 Muharram di masjid warisan keluarga. Inilah kali pertama seingat saya pernah beriktikaf pada tarikh begitu cantik di sana. Siangnya 11 September, siang Selasa 1 Muharram kami dibawa berjalan menaiki bot di Sungai Perak menyusuri kesan-kesan sejarah yang ada kena mengena dengan keluarga kami, keluarga Laksamana Raja Mahkota. Maka secara rata kami berada di Batak Rabit waktu itu.
n. 1 Muharram 1441 Hijrah @ 1 September 2019
Artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Mencari jejak Awalun Islam di Barus ketika Malaysia menyambut Hari Merdeka yang ditulis 27 September menunjukkan bahawa ketika masuk malam awal 1 Muharram kami masih dalam perjalanan dari Barus di pantai barat Sumatera untuk ke Geudong di pantai timur pulau, dalam wilayah Aceh. Pada siang 1 Muharram bersamaan 1 September kami mengadakan satu majlis di makam Sultan Malikus Saleh. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai. Boleh juga lihat keseluruhan cerita pengembaraan agak epik ini dalam Kompilasi artikel perjalanan pusing Aceh dan utara....
o. 1 Muharram 1442 Hijrah @ 20 Ogos 2020
Telah menulis dan mempersembahkan artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan pada tarikh tersebut. Dinyatakan dalam artikel bahawa memang 20 Ogos itu bersamaan 1 Muharram. Nampaknya saya sedang berada di rumah selepas penat membuat perjalanan berkenaan (lihat juga Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam) lalu sekadar ingin berehar dan menulis.
p. 1 Muharram 1443 Hijrah @ 9 Ogos 2021 atau sekitar
Selepas menulis artikel bertajuk Penyusunan dan pengurusan ilmu di universiti : Sudut pandang Islam pada pagi Jumaar 25 Jun 2021 yang dinyatakan bersamaan 14 Zulkaedah 1442 Hijriah saya tidak menulis apa-apa di CATATAN SI MERAH SILU... sehinggalah keluar artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat pada petang Jumaat 8 September bersamaan 1 Rabiulawal 1443 Hijriah. Ada dinyatakan dalam artikel bahawa sudah lebih 3 bulan saya tidak menulis di blogspot akibat hilang mood untuk menulis juga untuk mengikuti mana-mana majlis ilmu. Cuma hari itu baru datang kembali mood baik. Sebabnya, buat pertama kali sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) diperkenalkan 18 Mac 2020 bagi membendung masalah penularan virus Covid-19 iaitu pada lebih 18 sebelum itu saya dapat masuk ke dalam kawasan dan bangunan kampus ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Hal ini membayangkan bahawa saya tidak dapat berjalan jauh akibat PKP. Jadi besar kemungkinan pada 1 Muharram sekadar berehat di rumah.
q. 1 Muharram 1444 Hijrah @ 30 Julai 2022
Menulis dan mempersembahkan artikel Hari Peradaban Bangsa Melayu dan misi keluarga Laksamana pada tarikh tersebut lalu ada dinyatakan 30 Julai itu bersamaan 1 Muharram. Selepas menulis artikel di rumah pergi menghadiri majlis berkenaan di Taman Melati di Kuala Lumpur. Lihat Permulaan Hari Peradaban Bangsa Melayu pada setiap 1 Muharram?
r. 1 Muharram 1445 Hijrah @ 19 Julai 2023
Artikel Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad jelas menyatakan ia dipersembahkan pada tarikh tersebut di rumah dan memang hari itu 1 Muharram. Cuma ia dipersembahkan pada jam 3.23 petang walaupun isinya sudah disediakan 2 hari lebih awal. Ini kerana pagi dan malam sebelum itu berada di rumah kakap ipar di Jelai, Negeri Sembilan. Isyarat Internet kurang baik di situ lalu artikel tidak dapat dipersembahkan lebih awal.
Kesimpulan :
Setelah mengatur perkara tahun demi tahun Hijriah baru dapat dikesan di manakah saya berada pada 1 Muharram sejak 18 tahun kebelakangan iaitu sejak CATATAN SI MERAH SILU ini dimulakan penghujung tahun 2006, sejurus selepas itu masuk tahun 1428 Hijirah. Didapati secara rata saya berada di rumah kecuali untuk tahun-tahun berikut :-
a. 1428 Hijriah @ 2007 Gregorian di Lembah Bujang.
b. 1429 @ 2007 di Kajang
c. 1435 @ 2013 di Hulu Selangor
d. 1440 @ 2018 di Batak Rabit
e. 1441 @ 2019 di makam Sultan Maliks Salih, Aceh menganjurkan acara ke-19 HIKMAH.
f. 1444 @ 2022di Taman Melati, Kuala Lumpur menyertai Hari Peradaban Bangsa Melayu.
g. 1445 @ 2023 di Jelai, Negeri Sembilan
Begitulah al-kisah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,515 di CATATAN SI MERAH SILU.
2 ulasan:
satu catatan yang menarik, teruskan perjuangan tuan
Alhamdulillah
Catat Ulasan