Salam pagi Jumaat 10 Syawal 1445 Hijriah. Sedikit cerita sekitar sambutan raya.
Adapun untuk musim raya ini kami sekeluarga bertolak dari rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor ke kampung ibu bapa saya di Muar lewat malam raya. Pagi 1 Syawal bersamaan 10 April 2024 solat raya di masjid terdekat.
Di rumah ibu bapa itulah, selepas makan raya beramai-ramai dipersembahkan artikel
Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah. Selepas tengah hari keluar membawa isteri dan anak-anak berjalan-jalan di bandar diraja Muar.
Singgah di masjid jamek yang menjadi tempat permainan saya semasa kecil-kecil dahulu.
Ambil gambar anak beranak.
Kemudian singgah beraya di rumah saudara...
Pagi Jumaat 12 April bersamaan 3 Syawal bergerak meninggalkan Muar untuk ke kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor.
Di hadapan masjid ini di Sungai Rambai, Melaka berhenti sebentar untuk menambah minyak enjin atau minyak hitam. Sebetulnya kereta kami dilanda masalah semasa kembali ke Muar malam raya. Sampai di Seremban lampu amaran minyak hitam keluar berkelip kemudian hilang kemudian terbit kembali. Apabila sampai di rumah ibu bapa didapati seperti tidak ada minyak hitam walhal baru siang Selasa itu menghantar kereta ke bengkel untuk menukar baru minyak.
Kata bapa mungkin bengkel terlupa mengisi selepas mengeluarkan minyak lama? Nasib baik ada setengah tong baki minyak hitam daripada episod terdahulu. Untuk makluman, saya ada 2 kali balik ke Muar pada suku keempat tahun lalu. Pada kedua-dua kali itu kereta yang sama, kereta yang kelihatan ini didapati bermasalah selepas sampai.
Kali pertama, melibatkan kebocoran minyak hitam, Kali kedua melibatkan spark plug dan wiring berkaitan. Pada yang kali pertama itu diisi setengah botol besar minyak hitam sebelum masalah berupa kebocoran gasket dapat diselesaikan di bengkel hadapan rumah ibu bapa. Tengok-tengok radiator pula bocor dan kipas rosak lalu harus ditukar. Lebih RM1,000 juga melayang...
Pada lewat malam atau lebih tepat awal pagi raya itu juga, sekitar jam 3 pagi diisi setengah tong baki minyak hitam daripada episod terdahulu. Sebelum meninggalkan Muar dibeli lagi satu tong besar 4 liter sebagai back up lalu diisi hampir setengah di Sungai Rambai. Nampaknya memang benarlah tiada kecuali saki baki minyak hitam lama yang masih melekat dalam enjin ketika sampai ke Muar awal pagi raya. Kalau tak bagaimana boleh diisi dua kali setengah tong besar tanpa melimpah keluar?
Pun begitu lampu amaran minyak hitam masih menyala malah lebih kerap. Apabila diperiksa ternyata minyak cukup dalam enjin. Ini menunjukkan sensor amaran itu sendiri bermasalah. Perjalanan pun diteruskan ke Masjid Kampung Ulu di tengah bandar raya Melaka tanpa menghiraukan lampu amaran.
Sempatlah bersolat Jumaat di situ sebelum beraya ke rumah saudara di Melaka.
Selepas itu menyambung perjalanan ke kampung isteri melalui jalan pantai.
Gambar rumah keluarga isteri ini diambil pada pagi Sabtu 13 April bersamaan 4 Syawal.
Selepas beraya di rumah adik beradik isteri di sekitar Tanjung Sepat kami pun mengorak langkah untuk kembali ke rumah sendiri. Singgah sebentar di pantai Morib.
Petang Ahad 14 April bersamaan 5 Syawal bergerak pula ke Ipoh.
Sampai di satu bahagian pinggiran bandar raya Ipoh dapat pekena laksa sarang. Sebetulnya sejak sebelum bulan puasa lagi terasa sangat nak makan. Hari tu cari di Kuala Kangsar tak dapat kerana bulan puasa orang tak niaga. Lihat
Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Kuale-Tepen-Beruas.
Membawa keluarga berjalan malam di pusat bandar raya Ipoh. Selepas itu beraya dan menginap di rumah kawan. Esoknya pagi Isnin 15 April bersamaan 6 Syawal harus ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh.
Ada dinyatakan dalam artikel
Masuk Perak siang Nisfu Sya'aban hampir 2 bulan lalu bahawa pada tarikh tersebut mahkamah akan membuat keputusan bagi kes faraid harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Oh. Yang tepat, keputusan adalah untuk menentukan siapakah waris-waris yang layak menerima faraid harta almarhum tak kiralah pun di mana.
Saya sebelum ini selalu menyebut bahawa perbicaraan adalah tentang harta di Mekah. Yang sebenarnya itu adalah sebahagian daripada perkara. Almarhum ada banyak lagi hartanah termasuk di Singapura di mana beliau pernah hidup dalam tahanan British selepas dipindahkan daripada buangan di Pulau Seychelles tahun 1895 lalu meninggal dunia tahun 1904. Cuma harta Mekah lebih ditekankan disebabkan dokumen-dokumen berkenaan ada jelas ditemui satu pihak. Disebabkan mereka bergerak menuntut pampasan (hartanah telah diambil alih oleh kerajaan Arab Saudi bagi projek pembesaran Masjidil Haram) sambil mendakwa bahawa mereka sahaja waris yang layaklah berlaku kes mahkamah yang sedang berjalan.
Mereka yang rajin mengikuti CATATAN SI MERAH SILU mesti sedar bagaimana sejak hampir 2 tahun kebelakangan saya selalu ke Ipoh, hampir setiap bulan untuk mengikut perbicaraan kes. Namun ini yang pertama bagi tahun 2024, setelah keputusan yang asalnya dikatakan mahu dikeluarkan pada 20 Februari ditunda ke bulan Mac kemudian ke 15 April. Maka ramailah yang hadir untuk mengikuti.
Tetapi itulah. Setelah berebut masuk untuk mendapatkan tempat apabila kamar perbicaraan dibuka sekitar jam 9.30 pagi kemudian menunggu sejam lagi untuk hakim kami diberitahu keputusan harus ditunda ke 25 Jun. Katanya sudah ada. Tetapi perlu dikumpul lagi hujah dan maklumat agar semua pihak akan betul-betul puas.
Hal ini seperti membayangkan telah berlaku kebocoran keputusan dan alasan/hujah berkenaan sebelum ia sepatutnya diumumkan lalu ada yang tidak berpuas hati. Kelihatan seperti sudah berlaku tekanan oleh pihak tertentu dan saya boleh faham kenapa. Bergambar di luar kamar setelah keputusan ditangguhkan. Kali ini, buat sekian lama setelah perbicaraan bermula 4 tahun lalu, ada wartawan-wartawan mengikuti. Semoga ini membawa kepada terserlahnya kebenaran yang hakiki. Semoga yang bathil akan gugur dengan sendirinya lalu timbullah yang haq.
Benda ini tak boleh cakap lebih-lebih kerana takut dituduh mendahului atau menghina mahkamah. Namun saya percaya telahan tentang kenapa keputusan ditangguhkan adalah berasas kerana sudah mengikuti perjalanan kes sejak beberapa lama malah bertanggungjawab membongkar beberapa perkara yang sudah diterima sekitar seabad sebagai 'benar' namun sudah ditemukan bukti dan dokumen bertulis yang menunjukkan sebaliknya. Kelihatan pada saya ada perkara bakal disinggung dalam keputusan yang boleh menjejas teruk kepentingan pihak-pihak tertentu dan hubungan mereka dengan istana. Oh, singgah beriktikaf sebentar di Masjid Panglima Kinta.
Oh. Kalau ada yang tidak berpuas hati dengan kata-kata saya tentang hal mahkamah ini maka ketahuilah saya bercakap sebagai anak sulung kepada Mohamad Sapiee yang merupakan anak sulung kepada Mohamed Arshad yang merupakan seorang daripada dua sahaja anak laki-laki Muhammad Wahi, anak sulung kepada Orang Kaya Arshad yang merupakan waris utama Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Kamu-kamu itu, daripada keturunan anak-anak Muhammad Amin yang lebih rendah keutamaan, malah ada yang taraf keturunannya boleh dipersoalkan yang cari pasal dengan kaum kerabat belah kami yang merupakan waris-waris sulung/waris utama. Kami ini yang selama ini sentiasa bersangka baik dengan kamu namun kamu pijak-pijak kepala kami...
Hendak dijadikan cerita ketika keluar dari kawasan pendalaman di Gopeng saya telah tersilap membuat anggaran ketika melalui satu selekoh mendaki yang sempit sehingga tayar hadapan kiri kereta terlanggar batu besar lalu pecah koyak rabak. Saya tidak nampak batu, yang nampak cuma keadaan curam jalan kecil yang perlu didaki. Akibat itu harus menukar ke tayar spare, Ini adalah kali pertama saya berbuat begitu dengan kereta ini setelah hampir 10 tahun memilikinya.
Sebetulnya setelah berlaku peristiwa tayar kereta lagi satu pancit di Janda Baik sekitar setengah bulan lalu saya ada merasakan ia adalah latihan bagi menggantikan sendiri tayar pada kereta ini pula. Lihat
Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Asbab tayar pancit. Cuma bezanya kali ini ia berlaku akibat silap perkiraan memandu, bukan pancit sendiri. Dan kedua, tayar
spare itu sendiri sudah kurang sangat angin. Namun saya tidak pilihan, harus mengunakan tayar itu untuk meneruskan perjalanan. Nasib baik ada kedai-kedai tayar dalam 5 km perjalanan iaitu di pekan Gopeng lalu dapat dipam kemudian diganti dengan tayar terpakai.
Pun begitu ada lagi satu masalah. Ada bahagian besi yang memegang tayar telah bengkok. Ingatkan boleh dapat gantian di Gopeng tetapi tiada stok. Yang dapat dibuat adalah meluruskan sebahagian yang bengkok. Cukuplah untuk dibawa kereta kembali dengan selamat. Boleh ganti nanti di bengkel kebiasaan tidak jauh dari rumah.
Disebabkan urusan tayar masuk 6 jam baru dapat menjamakkan solat Zohor dan Asar iaitu di Kampar. Lihat
Masjid (Mosque of) An Nur, Kampar, Perak. Padahal ikut rancangan asal pada waktu itu kami sepatutnya sudah selesai bermandi manda di satu kawasan perkelahan di pendalaman Slim River.
Malam itu kami menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di Sungkai. Di Slim River ambil Lebuh Raya Utara Selatan hingga ke susur keluar berdekatan rumah, tiada lagi apa-apa persinggahan dibuat.
Apabila sampairumah hampir jam 10 malam didapati saya sudah memandu sejauh 975.5 km dengan kereta itu sepanjang awal musim raya. Syukurlah dapat selamat sampai walau dilanda masalah. Cuma peliknya apabila ke bengkel tempat tukar minyak hitam di Rawang semalam 18 April ditunjukkan video CCTV bahawa mereka memang ada menukar pada siang Selasa (9 April) iaitu sebelum malam raya. Jadi bagaimana boleh hilang begitu sahaja 4 liter?
Yang pasti setelah disemak beberapa pihak termasuk saya sendiri sepanjang dan selepas perjalanan tidak dapat ditemui apa-apa tanda kebocoran. Selepas diisi dua kali setengah tong boleh dikatakan dapat kepastian minyak hitam tiada masalah. Cuma lampu amaran sahaja boleh menimbulkan was-was. Menariknya selepas berlaku tayar pecah tidak keluar lagi amaran.
Tak mengapalah. Ini semua dugaan. Dan alhamdulillah, anak-anak yang turut diduga kerana harus menunggu lama di bengkel lalu tidak dapat ke tempat berkelah seperti dirancang tetap reda menerima keadaan seperti mana kami sudah banyak kali diuji di lain-lain tempat. Antaranya apabila berlaku kebocoran teruk minyak hitam sehingga kereta tidak dapat meneruskan perjalanan malah rosak teruk sehingga perlu ditukar enjin. Ini ada diceritakan melalui
Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan