Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, April 03, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Asbab tayar pancit

Adapun pagi ini 3 April 2024 bersamaan 23 Ramadan 1445 masuklah hari ke-5 saya keluar bermusafir bagi 10 malam terakhir Ramadan. Jam 9 pagi karang harus mengambil anak di ma'ahad tahfiz di Janda Baik untuk bercuti panjang. Oleh itu, sementara ada kelapangan dan kesempatan viar dilepaskan terlebih dahulu cerita hari ke-3 perjalanan. Bersambung daripada Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Janda Baik.



Awal pagi Isnin 1 April 2024 bersamaan 21 Ramadan 1445 Hijriah. Menunggu solat Subuh berjemaah di masjid jamek Janda Baik. Pada malam sebelumnya saya telah menunaikan solat Tarawikh berjemaah di tahfiz bersama anak. Selepas itu baru ke masjid ini untuk beriktikaf dan bermalam.



Apabila naik matahari didapati tayar hadapan kanan kereta pancit. Sebetulnya sampai sahaja Janda Baik petang hari sebelumnya saya telah menyedari tayar kurang angin. Fikirnya nanti boleh cari stesyen minyak (terdekat di pekan Bukit Tinggi, keluar dari Janda Baik) atau bengkel kampung untuk tambah angin (jika ada). Bila dah pancit nak tak nak kena tukar ke tayar spare.

Nasib baik tayar spare ada angin. Dan nasib baik ada orang masjid dapat membantu. Nasib baik juga semua peralatan yang diperlukan ada dalam kereta. Saya sendiri sudah lama tidak menukar tayar kereta lalu kurang ingat cara. Kalau setakat kurang angin dekat-dekat rumah boleh pam dahulu di bengkel motosikal berdekatan, sekitar 2 km dari rumah kemudian ke kedai tayar lagi 11 km untuk diperiksa.

Orang masjid itu rupa-rupanya bekerja dengan lembaga lebuh raya lalu tahu selok belok menukar tayar. Walaupun tukar tayar, bukak screw, jack naik kereta dan sebagainya dibuat sendiri tanpa panduan beliau mungkin saya harus terkial-kial lama memikirkan dan mencuba bagaimana untuk melaksanakan perkara.




Selesai itu menyambung rehat di masjid. Maklumlah malam itu ada buat Qiamulail agak lama bermula sebelum jam 4 pagi kemudian bersengkang mata sehingga jam 8. Padahal malam itu dekat jam 1 baru dapat melelapkan mata. Maka itu selepas jam 12 tengah hari baru meninggalkan masjid. Fikirnya mahu membuat tulisan di CATATAN SI MERAH SILU dari perpustakaan kampung tapi ia tutup.




Maka berjalan-jalanlah mencari tempat yang dirasakan sesuai dan cukup aman.







Alhamdulillah dapat satu tempat cantik di tepi sungai lalu dipersembahkanlah cerita hari pertama perjalanan. Lihat Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Membuka dengan wacana Imam Ghazali di ISTAC.



Selepas itu berjalan-jalan lagi ke bahagian lain Janda Baik.




Jumpa lagi tempat yang dirasakan sesuai untuk berehat aman, bersendiri tiada gangguan orang. Siap mandi sungai lagi.




Sebetulnya di setiap tempat henti saya membaca beberapa muka surat Al-Quran bagi meneruskan proses pengkhataman bagi bulan Ramadan. Sambil itu turut menelaah sebuah buku tebal serta artikel-artikel imiah berkenaan (akan diceritakan dalam artikel perjalanan ini yang seterusnya).



Jam 5.43 sampai ke surau ini yang menjadi tempat solat Tarawikh juga bermalam seterusnya. Asbab tayar pancit yang memaksa untuk menukar ke tayar spare saya tidak keluar daripada persekitaran Janda Baik hingga sekarang (ketika tulisan ini dibuat pagi Rabu 3 April). Kalau tidak kerana itu mungkin saya akan membawa kereta dengan tayar angin kurang untuk diisi di pekan Bukit Tinggi, luar dari Janda Baik. Kalau itu berlaku ada kemungkinan saya akan meneruskan perjalanan lalu bermalam ke arah Bentong, hingga ke Raub pun boleh jadi.


Nota : Tadi baru tersedar saya tersilap menulis tahun Hijriah kini sebagai tahun 1425.  Padahal yang sebenar adalah 1445. Bahkan kesilapan ini tertera pada tajuk induk siri cerita perjalanan ini sendiri. Bukan sahaja itu. Didapati kesilapan ini turut berlaku dalam beberapa artikel CATATAN SI MERAH SILU sejak masuk bulan Muharam pada Julai 2023 lalu harus diperbetulkan. Alahai.

Timbul rasa untuk memeriksa apakah berlaku pada tahun 1425 Hijriah. Didapati hari pertama tahun Islam itu harus jatuh pada 21 Februari 2004, kalau lari pun cuma sehari dua. Ketika itu saya sudah hampir sebulan kembali daripada perjalanan pertama ke Aceh.


Tiada ulasan: