Menyambung lagi gerak penulisan berdasarkan majlis ilmu, daripada artikel Kebudayaan Bugis dan Makassar dalam kesusasteraan Indonesia yang dipersembahkan jam 12.34 tengah hari tadi. Yang ini boleh hadir secara fizikal di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur walaupun melibatkan hal negara Indonesia juga. Namun saya tak dapat pergi kerana perlu mengambil anak kembali daripada aktiviti kokurikulum di sekolah rendah jam 3.20 petang.
Dan lagi saya sudah merancang untuk bermusafir petang Jumaat hingga petang Ahad demi mengikuti majlis-majlis ilmu di Kuala Lumpur. Isnin malam Selasa pula harus bergerak ke Ipoh untuk beberapa urusan di Perak sehingga Khamis malam Jumaat. Jadi cukuplah diikuti secara atas talian...
Syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Masa Hadapan Tamadun Dunia Melayu dan Sumbangannya Terhadap Wacana Pembangunan Mampan" dibawa oleh mantan Gabernur Jakarta (bagi tempoh 2017-2022) iaitu Dr. Anies Rasyid Baswedan. Beliau ini dikatakan bakal menjadi presiden baru Indonesia bagi tahun 2024. Sebagai orang yang dicanang bakal memimpin negara jiran kita yang terbesar di Asia Tenggara dan Alam Melayu tentu saya berminat untuk mengetahui apakah hala tuju yang akan dibawa apabila/jika berkuasa, bagaimanakah pola pemikirannya. Tak tahu pula saya beliau sedang berada di Malaysia. Sehinggalah terlihat ada berita di kaca televisyen pagi tadi memaparkan beliau dalam satu majlis di Kuala Lumpur. Barulah tersedar poster ini memaparkan beliau sebagai hadir di ISTAC untuk bersyarah.
Selama ini, sejak nampak poster diwar-warkan dalam grup WhatsApp di ISTAC lebih 2 minggu lalu saya tak tengok betul-betul lalu menyangkakan beliau akan bersyarah secara atas talian dari Jakarta atau tempat lain di Indonesia. Apapun, sampai masanya saya cuba mengikuti majlis melalui Zoom tetapi entah kenapa tak boleh masuk. Nasib baik boleh ikut melalui saluran Youtube ISTAC TV.
Paparan dari ISTAC TV selepas jam 2.30. Nampaknya ramai hadir secara fizikal.
Tidak lama kemudian Anies pun muncul bersama dif-dif terhormat termasuk dari ISTAC dan badan induk yang menaunginya iaitu UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Selepas itu menyusul sesi pembukaan seperti kata-kata aluan dan sebagainya. Untuk perkongsian ini biar terus ke syarahan oleh tokoh berumur 54 tahun yang memiliki darah Arab Hadhrami dan berasal daripada keluarga tokoh pejuang masyarakat yang juga ada kedudukan terpelajar dalam dunia akademik.
Anies mengambil tempat di pentas jam 3.16 bersama moderator atau pemudah cara, Dr Ahmad El-Muhammady daripada ISTAC. Saya pula dah nak kena bersiap untuk keluar mengambil anak habis kokurikulum di sekolah rendah jam 3.20. Sempatlah mendengar latar belakang pembicara disampaikan sebelum beliau memulakan bicara.
Kembali ke rumah jam 3.39 kedengaran beliau sedang bercakap tentang pengagihan kekayaan yang saksama, penekanan terhadap kesejahteraan hidup, pentingnya alam sekitar dan keharmonian antara ekologi dengan ekonomi. Untuk mencapai ini kita harus kembali pada akar umbi (asal usul) diri. Diceritakanlah sedikit pengalaman beliau dalam menangani hal-hal berkenaan ketika menjadi Gabenor Jakarta, sebuah bandar raya yang sangat penuh sesak dengan manusia. Disebut keperluan untuk menangani segala cabaran termasuk yang mendatang sebagai satu masyarakat dan keluarga.
Secara rata apa yang diperkatakan adalah bersifat umum. Namun ia tetap menggambarkan satu wawasan ke hadapan yang baik, namun tidak jelas bagaimana ia memenuhi kehendak tajuk syarahan yang boleh diterjemahkan sebagai "Masa Hadapan Tamadun Dunia Melayu dan Sumbangannya Terhadap Wacana Pembangunan Mampan" itu.
Dalam sesi soal jawab ada yang bertanya apakah yang beliau faham tentang dunia Melayu? Jawab Anies ia adalah tentang orang Melayu di Asia Tenggara yang berkongsi ciri-ciri sama seperti kebudayaan dan sebagainya. Dalam hal ini kita kena faham, di Indonesia takrifan Melayu sempit pada satu suku kaum sahaja dan suku kaum Jawa adalah paling dominan mengatasi yang lain. Di Malaysia takrif Melayu itu meliputi semua suku kaum berkenaan termasuk orang Jawa. Memakai definisi sebegitu rupa di Indonesia boleh menimbulkan kemarahan sesetengah pihak
Turut ditanya tentang peranan datuk beliau Abdurrahman Baswedan yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan melawan penjajahan Belanda melalui penulisan dan wacana intelektual. Tengok-tengok ramai orang beratur untuk bertanya soalan lalu ada beberapa soalan yang saya letakkan di ruangan chat Youtube ISTACTV tidak disentuh langsung. Tak mengapa. Biar diberikan terjemahan bagi soalan-soalan yang ditanyakan dalam bahasa Inggeris seperti berikut :-
Salam Dr Anies. Sebagai seorang pelajar Malaysia di ISTAC yang merupakan mantan wartawan di akhbar The New Straits Times, saya ingin bertanyakan soalan-soalan berikut, mengambil kira bahawa bapak ada dicanangkan bakal menjadi presiden baru Indonesia pada tahun 2004 dan ibu kota akan dipindahkan dari Jakarta ke Kalimantan Timur pada tahun sama.
1. Mengenai isu Pulau Rempang di Batam. Daripada apa yang dilihat di media sosial isunya nampaknya adalah tentang mendirikan satu pusat industri milik China membawa pada beribu orang kampung Melayu yang telah menduduki pulau sejak beberapa generasi diusir keluar. Apakah ini benar? Kalau benar diusir sehingga hilang sumber pendapatan tradisional seperti perikanan (daripada apa yang dapat saya faham) apakah ganti ruginya? Ke manakah mereka akan dipindahkan, apakah diberi rumah baru sebagai ganti dan apakah ada tawaran pekerjaan baru untuk menjamin kesinambungan hidup?
2. Ibu kota baru Indonesia yang dipanggil Nusantara di Kalimantan Timur. Apakah rancangan untuk menghubungkannya dengan tempat-tempat di wilayah-wilayah persekitaran? Bagaimana hubungan dengan Tawau di Sabah. Apa yang saya faham buat masa ini tiada jalan darat yang baik bagi menghubungkan Kalimantan dengan bahagian tersebut di Sabah yang merupakan bandar Malaysia terdekat ke sempadan Indonesia.
3. Rancangan untuk membina jambatan menyeberangi Selat Melaka dari Melaka ke Dumai. Adakah masih terpakai? Kalau masih, apakah kesannya terhadap laluan perkapalan mengambil kira fakta bahawa Selat Melaka adalah laluan perkapalan paling sibuk di dunia?
4. Akhir sekali. Perlawanan yang sedang berlangsung antara orang Palestin dengan Israel setelah serangan mengejut Hamas. Apakah pandangan bapak?
Melihat pada cara Anies menjawab beberapa soalan sehingga sanggup menegaskan bahawa Indonesia secara teknikalnya bukanlah sebuah negara Islam walaupun majoriti penduduknya orang Islam. Sebaliknya ia berdiri di atas prinsip Pancasila (yang menyamaratakan semua agama) tetapi berdasarkan Maqasid Syariah iaitu bertujuan untuk mencapai kebaikan yang seharusnya dapat dicapai jika menurut Syariah Islam tanpa mengisytiharkan mengikut syariah. Kelihatan seperti amat menjaga hati dan kepentingan orang bukan Islam. Cara fikir begini memang kelihatan akademik dan intelektual malah boleh kedengaran seperti adil dan saksama, tetapi pada saya berbahaya kepada umat Islam.
Saya fikir persoalan sensitif seperti apa yang berlaku di Rempang akan dielakkan daripada diperkatakan apa lagi pergerakan beliau sedang diperhatikan menuju ke arah pemilihan presiden baru Indonesia pada 14 Februari 2024. Sekian perkongsian daripada saya. Untuk mengikuti sendiri majlis boleh tonton rakaman di
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan