Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Disember 05, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham

Salam semua Merujuk pada artikel Merajut kesinambungan pemikiran Za'aba dan Mesyuarat Meja Bulat Penyelidikan & Penerbitan Peradaban Melayu di UPSI yang dibuat berdasarkan acara-acara berkenaan di Tanjung Malim seminggu lalu. Sejak itu saya tidak keluar ke mana-mana majlis ilmu kerana harus menjaga anak-anak yang baru bersunat Selasa sebelum itu. Petang Ahad alatan bantuan sunat dibuka. Tengok-tengok hari Isnin mereka sudah cukup aktif sehingga dapat mengikut saya memanjat anak-anak tangga gua Batu Cave hingga ke bahagian paling atas. Muncul pula kelapangan lain membenarkan saya untuk menghadiri satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) semalam petang. Ini ceritanya...


Majlis ini merupakan syarahan ke-9 dalam siri "Classifications of Knowledge in Islam" (Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam) bagi semester sekarang. Sebelum ia bermula jam 5 petang Rabu 4 Disember 2019 saya pun sampai ke ISTAC. Sekadar mengingatkan 7 syarahan dalam siri telah dijalankan pada semester lalu untuk mengulas isi buku yang memiliki tajuk tersebut. Tetapi ia dimulakan kembali daripada muka surat pertama kerana muncul muka-muka baru mengikuti.

Penerangan berkenaan telah diberikan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap 2 bulan lalu. Secara rata syarahan-syarahan ini masih berkisar pada kehidupan dan keintelektualan ulama silam Islam al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi). Masih terlalu jauh untuk sampai pada butiran tentang dua orang lagi ulamak besar yang dibincangkan dalam buku iaitu al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M) dan Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311M). Demi kesinambungan ilmu harus dinyatakan bahawa saya tidak dapat hadir syarahan ke-8 semester ini Rabu lalu kerana menghadiri majlis di Tanjung Malim seperti dinyatakan dalam artikel Merajut kesinambungan pemikiran Za'aba dan Mesyuarat Meja Bulat Penyelidikan & Penerbitan Peradaban Melayu di UPSI. Tetapi berdasarkan fakta bahawa syarahan sebelum itu berakhir pada perenggan kedua muka surat 12 (rujuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?)  kemudian diberitahu syarahan ke-8 tamat pada pertengahan muka surat 17 boleh dijangkakan apa telah terlepas itu. 

Untuk pengetahuan bahagian daripada muka surat 12 hingga dua pertiga muka surat 14 pernah dipanjangkan dalam syarahan ke-7 semester lalu (lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik). Oleh itu biar dilihat sepintas lalu bahagian selepas itu yang membentuk syarahan minggu lalu sebelum dipanjangkan apa yang telah dikongsikan petang semalam...



Syarahan minggu lepas harus bermula dengan mengulas bahagian ini. Dinyatakan bahawa pengajian Al-Farabi dalam bidang bahasa atau linguistik menyebabkan dia tertanya-tanya tentang hubungan antara logik (ilmu mantiq) dengan nahu (grammar), satu perkara yang menimbulkan banyak perbalahan antara ahli-ahlinya.



Disebutlah sebaik sahaja muncul peluang untuk mendekati buku-buku dan guru dalam bidang berkenaan beliau pun meninggalkan kerja (sebagai qadi - rujuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik) malah tempat tinggalnya untuk memulakan fasa baru kehidupan kesarjanaan. Ini bakal membawa ke banyak tempat termasuk bumi orang Yunani (land of the Greeks). Dipercayai beliau mula belajar ilmu logik dan falsafah Aristotle (pemikir besar Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi) di kota Merv dalam wilayah Khorasan. 

Disebut bagaimana ilmu Aristotle pernah bergerak dari kota Alexandria (Iskandariah di Mesir) ke Antioch (sekarang Antakyah di Turki) lalu 'menetap' lama sehingga tinggal satu sahaja guru. Dua orang kemudian menuntut dari guru tersebut, seorang dari Marw (Merv). Daripada orang Marw itu berguru seorang bernama Yuhanna ibn Hailan. Inilah yang bakal menjadi guru kepada Al-Farabi.




Dikatakan ilmu falsafah Yunani aliran Alexandria sampai ke Baghdad pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mu'tadid (892-902M). Namun dipercayai Al-Farabi tidak menerimanya di kota pusat pemerintahan Kekhalifahan Bani Abbasiyah itu. Sebaliknya beliau sampai setelah menerima ilmu secukupnya di bawah Ibn Hailan di Merv. Apabila ke Baghdad beliau sekadar menyambung lagi pengajian..







Tentang sekolah falsafah Merv ia mungkin terkait rapat dengan biara (monastery) Kristian aliran Nestorian yang mana Ibnu Hailan adalah seorang penganut. Sudah diketahui ramai penganut Nestorian memainkan peranan penting dalam mengembangkan ilmu pengajian Yunani terutama melalui terjemahan kitab-kitab lama ke dalam bahasa Suryani (Syriac). Di Merv ini Al-Farabi mengaji kitab-kitab penting logik Aristotle termasuk Analytica Posteriora yang mana belum ada orang Islam sebelumnya mengaji di bawah seorang guru pakar. Ini membawa kepada persoalan, dalam bahasa apakah Ibn Hailan mengajar dan membuat ulasan/syarahan? Sesungguhnya buku tersebut  cuma diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Matta Ibn Yunus selepas penubuhan sekolah falsafah Baghdad (berlaku pada satu masa kemudian).


Sekarang baru boleh masuk pada syarahan petang semalam bermula pada separuh kedua muka surat 17.


Pensyarah merangkap penulis buku, Sheikhul Quliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar membuka dengan persoalan apakah Al-Farabi tahu berbahasa Yunani? Hal ini penting kerana ketika itu belum ada lagi terjemahan ajaran Aristotle ke dalam bahasa Arab, bahasa utama dunia Islam....



Dinyatakan tentang pandangan sarjana bernama Mahdi (rujuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan) yang berpandangan Al-Farabi mengaji dengan Ibnu Hailan dalam bahasa Suryani juga bahasa Yunani. Namun sarjana seperti Madkour, Zimmermann dan Gonzales Palencia menolak kemungkinan Al-Farabi tahu bahasa Yunani kerana dianggap pernah membuat kesalahan dalam menterjemahkan perkataan safsatah (merujuk kepada golongan Sophist di Yunani purba yang pandai membelitkan kata-kata lalu menjadi ikutan peguam). Tetapi pada Osman terdapat lebih banyak hujah menunjukkan sebaliknya. Banyak hasil kerja Al-Farabi membandingkan bahasa terutama Kitab al-Huruf yang bercakap tentang asal usul bahasa di suatu negara. Kerja-kerja ini selalunya melibatkan bahasa Yunani dan Arab.

Osman pun ditanya kenapa begitu penting untuk mengetahui apakah Al-Farabi tahu bahasa Yunani. Jawab beliau ini adalah soal mencari kebenaran - Al-Haq atau jamaknya (plural) Huquq yang membawa maksud hak-hak (Osman menyebut perkataan Inggeris rights). Beliau pun berkongsi pengalamannya mempelajari pemikiran Islam. Kata beliau kebanyakan yang belajar di Barat adalah orang bukan Islam. Dan mereka rata-rata orang Yahudi! Kenapa? Bukanlah sebab mereka cintakan falsafah Islam tetapi hendak mencari kedudukan falsafah Yahudi dalam dunia Islam.

Tambah beliau pemikir Islam patut menaruh minat tentang ini. Harus ada cukup sarjana Islam yang boleh berhujah dengan Barat. Osman pun menceritakan ketika pertama kali mahu mencetak buku "Classifications of Knowledge in Islam" di Barat ia tidak diterima. Beliau kemudian mendapat tahu kebanyakan yang menelitinya adalah orang Arab Kristian. Mereka sudah memiliki kedudukan tertentu (hold a certain position) dalam hal ini. Mereka tidak setuju falsafah Islam boleh berdiri sendiri kerana menganggap kesemuanya berasal dari Yunani. Tambah Osman, semua orang Arab awal di universiti-universiti Barat beragama Kristian. 



Lebih penting lagi terdapat laporan oleh Al-Khattabi (931-998M) menyatakan Al-Farabi kemudian belajar falsafah di Constantinople. Laporan yang besar kemungkinan berdasarkan satu penulisan autobiografi Al-Farabi yang sudah hilang itu menyatakan selepas selesai mengaji kitab Posterior Analytic dengan Ibn Hailan beliau mengembara ke tanah orang Yunani lalu menetap selama 8 tahun hingga selesai belajar keseluruhan sukatan pelajaran falsafah.  Satu kajian tentang sukatan pelajaran falsafah di universiti Constantinople zaman itu menunjukkan Al-Farabi memiliki pengetahuan yang cukup tentang bahasa Yunani. Kata Osman zaman itu bahasa Yunani adalah bahasa utama ilmu dalam Empayar Byzantine (Rum Timur) yang berpusat di Constantinople (ditukar nama menjadi Istanbul setelah ditakluki Sultan Muhammad al-Fatih daripada kerajaan Uthmaniyah tahun 1453M).

Pengembaraan Al-Farabi ke Constantinople berlaku selepas beberapa tahun mengaji di Baghdad. Dalam tempoh masa itu beliau berusaha untuk menguasai bahasa Arab (beliau berdarah Turki tetapi membesar dengan budaya dan peradaban Parsi) dan sains-sains falsafah. Al-Farabi sampai ke Baghdad dari Merv bersama Ibn Hailan sekitar tahun 900M. Kemudian besar orang ini mempengaruhi beliau untuk belajar di Constantinople yang sekolah falsafahnya sangat terkait dengan Alexandria (di Mesir, pusat keilmuan Yunani buat beberapa abad).

Al-Farabi meninggalkan Baghdad pada zaman Khalifah al-Muqtadir (908-932). Beliau pergi dahulu ke Harran ditemani gurunya. Menurut Ibn Khallikan, Al-Farabi juga mengaji dengan Ibn Hailan di Harran. Oleh itu beliau harus mengambil masa sebelum menyambung perjalanan ke Constantinople.



Cerita pengembaraan Al-Farabi bagi menuntut ilmu membuat saya tergerak untuk mencari kedudukan tempat-tempat yang diceritakan. Kedudukan Baghdad dan Constantinople (Istanbul) sudah lama tahu, yang tak tahu di manakah Merv walaupun dah lama dengar nama dan di manakah Harran. Menggunakan Google Map dapat disemak kedudukan tempat lalu dibuat anggaran laluan perjalanan. Ah. Begitu menarik ini. Didapati Merv kini terletak dalam sempadan negara Turkmenistan. Tempat asal beliau iaitu Farab juga dalam negara tersebut, kira-kira 238 km ke arah timur laut mendekati sempadan Uzbekistan. Tapi ia tidak tak tandakan dalam peta kerana mahu menunjukkan perjalanan Al-Farabi pada peringkat dewasa.

Laluan yang dipetakan adalah berdasarkan rangkaian jalan raya yang wujud sekarang. Tetapi dapat dibayangkan laluan serupa atau berdekatan ada digunakan pada zaman Al-Farabi kerana menjadi kebiasaan jalan-jalan baru dibina berdasarkan laluan yang telah lebih awal wujud zaman berzaman. Maka dapat dilihat bagaimanakah pergerakan dari Merv ke Baghdad (dalam negara Iraq sekarang) membawa ke Harran (dekat sempadan Syria-Turki) lalu ke Constantinople (Istanbul di barat Turki). Menurut Google Map ini memakan jarak 4,364 km. Terus timbul rasa kerinduan untuk mengembara jauh lagi. Paling jauh saya pernah mengembara dalam satu perjalanan darat tanpa putus adalah sekitar 5,900 km meliputi 11 negara Eropah dalam tempoh 33 hari. Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 dan Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.








Al-Farabi kembali ke Baghdad sekitar tahun 910-920. Pendudukan kali kedua yang berpanjangan sehingga 2 dekad digunakan untuk mengabdikan diri kepada pengajian falsafah, mengajar dan menulis. Ketika mula sampai beliau bertemu dengan Matta Ibn Yunus (meninggal dunia 940M), ahli falsafah Nestorian yang pernah menjadi anak murid kepada al-Marwazi dan Quwairi (ada disebut pada penghujung muka surat 15 sebagai waris-waris ilmu Aristotle daripada satu jalur atau sanad ilmu). Al-Farabi pun menjadi anak murid beliau. Menurut sesetengah pihak kebolehan Al-Farabi untuk menyatakan ide paling abstrak menjadi mudah difahami dalam bahasa ringkas adalah disebabkan tunjuk ajar Matta. Guru utama beliau Ibn Hailan yang dengan mana beliau sambung lagi belajar di Baghdad pula meninggal dunia tahun 932.

Dalam tempoh waktu ini ajaran dan penulisan Al-Farabi menetapkan reputasi beliau sebagai ahli falsafah Muslim yang paling terhadapan. Beliau malah diangkat sebagai ahli falsafah paling berotoriti selepas Aristotle. Dikatakan walaupun dianggap muda (sudah melepas umur 50an sebenarnya tetapi masih muda berbanding tokoh-tokoh lain) beliau tidak lama kemudian mengatasi gurunya Matta dalam bidang logik.

Kata Osman, al-Farabi cukup tahu tentang ilmu pengetahuan Islam kemudian dapat membuat penyatuan atau sintesis dengan ilmu-ilmu lain. Ditambah, usaha 'mengIslamkan ilmu pengetahuan' (seperti sering diwar-warkan sebagai satu misi utama UIAM atau Universiti Islam Antabangsa Malaysia yang menjadi badan penaung ISTAC juga oleh pengasas ISTAC iaitu Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas) sudah berlaku lama. Kata Osman kita patut belajar bagaimana ahli falsafah Islam membuat sintesis ilmu pengetahuan.

"Al-Farabi adalah orang pertama dapat menyelaraskan (pemikiran) Plato dengan Aristotle. Sedangkan Barat sampai sekarang masih mendapati ia berlawanan," Osman menerangkan. "Plato melihat dari 'atas' (ilmu metafizik tinggi menjurus ke arah keTuhanan' ke 'bawah' (ilmu-ilmu kemanusiaan dan alam) sedangkan Aristotile melihat dari 'bawah' ke 'atas'." 

Barat lebih menekankan pemikiran empirikal lalu menyanjung tinggi Aristotle. Al-Farabi pula dapat menyatukan juga menyelaraskan pandangan kerana beliau juga seorang ahli Sufi selain sangat mengenali falsafah Yunani. Kata Osman, sudah diberitahu Ibn Khailan merupakan penuntut terakhir masih hidup (waktu itu) yang memiliki sanad atau silsilah ilmu tanpa putus hingga ke Aristotle. Ditambah bahawa Seyyed Hossein Nasr (pemikir besar Islam yang pernah menjadi guru Osman di Amerika Syarikat tahun 1980an) ada menyebut falsafah dalam Islam dilahirkan daripada acuan kenabian. Ia terkait dengan ilmu yang disampaikan oleh Nabi Idris AS, Nabi Sulaiman AS dan beberapa orang. Lihat penerangan berkenaan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?.




Bahagian seterusnya (dalam muka surat 19) menyebut Al-Farabi mengambil sikap 'meninggikan diri daripada mengambil tahu" (kept himself aloof) daripada segala macam konflik politik yang sedang melanda Baghdad waktu itu. Hubungan beliau dengan takhta pemerintahan adalah cuma melalui para wazir yang menaungi sains-sains falsafah. Satu tulisan besar beliau tentang muzik iaitu Kitab al-musiqa al-kabir dihasilkan atas permintaan seorang yang menjadi wazir kepada Khalifah al-Radi tahun 936. Hmm. Saya harus mula memendekkan penulisan dan ulasan...

Untuk makluman artikel ini dimulakan sekitar jam 8.30. Ayat ini pula ditulis jam 2.22 pagi. Bagi muka surat ini cukuplah ditambah bahawa berlaku kekacauan menyebabkan pemerintah kemudian iaitu Khalifah al-Mutaqqi, para wazirnya dan pengawal peribadi lari meninggalkan kota tahun 942. Al-Farabi sendiri berpindah tahun yang sama ke Damascus (Damsyik) yang lebih aman.




Pada awal pendudukannya di Damsyik beliau dikatakan menjadi penjaga taman pada siang hari dan membaca juga menulis buku-buku falsafah pada waktu malam. Kata Osman setelah hilang kerja di Baghdad akibat konflik politik begitulah kehidupannya. Beliau menetap 2 tahun sebelum berpindah ke Mesir akibat satu lagi konflik politik. Al-Farabi kembali ke Damsyik tahun 949. Kali ini beliau dialu-alukan oleh pemerintah baru Syria yang berpusat di Aleppo. 

Beliau menjadi tokoh yang sangat dihormati di istana Aleppo tetapi tidak mengambil peluang daripada keadaan itu. Sebaliknya beliau mengamalkan kehidupan ringkas ahli Sufi tanpa mengikuti cara pakaian yang disyaratkan di istana...





Dalam bulan Rejab tahun 339H bersamaan Disember 950M al-Farabi meninggal dunia di Damsyik lalu dimakamkan di luar pintu selatan kota. Syarahan ditamatkan dengan ulasan perenggan berkenaan. Selepas itu diumumkan bahawa siri syarahan  "Classifications of Knowledge in Islam" (Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam) bagi semester ini telah pun tamat. Ia akan disambung dengan sub-topik nombor 1.3 iaitu tentang hasil-hasil kerja Al-Farabi dan kepentingannya insyaallah Januari tahun hadapan.



Sebagai mengakhir artikel biar ditunjukkan peta anggaran laluan dari Baghdad ke Damsyik kemudian ke Mesir, kembali ke Damsyik seterusnya ke Aleppo sebelum akhirnya bersemadi Damsyik. Beliau sanggup mengembara jauh setelah meninggalkan kedudukan selesa sebagai kadhi demi menambah ilmu pengetahuan kerana ingin mencari kebenaran, Inilah yang memungkinkan beliau dapat membuat sintesis pelbagai ilmu pengetahuan. Artikel ini pun diberi tajuk kecil "Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham".



Tiada ulasan: