Salam siang Rabu 29 Syawal, hari terakhir bulan raya ini. Tadi malam ada orang bertanya tentang perkembangan rancangan saya dan keluarga berjalan pusing Sumatera Utara melawat tempat-tempat bersejarah sambil mengajak sesiapa yang mahu turut serta sekali. Rujuk artikel
Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441. Katanya 5 orang dewasa mahu menyertai dan tiket pesawat pergi balik ke Banda Aceh telah dibeli untuk menyamai tarikh dan masa saya dan keluarga pergi. Saya jawab jangan risau, Insyaallah semuanya dalam aturan. Biar ditunggu sedikit masa lagi untuk melihat siapa lagi akan bersama supaya boleh diagih-agihkan pengangkutan, penginapan dan sebagainya dengan sebaiknya.
Pagi Rabu 26 Jun 2019 bersamaan 22 Syawal 1440an. Saya meninggalkan rumah kawan lama di Bandar Seri Putera jam 8 pagi untuk memulakan hari ke-2 kembara buku. Kawasan jangkauan yang dirancang adalah persekitaran Bangi, Putrajaya, Cyberjaya dan Shah Alam sebelum kembali ke rumah di Sungai Buaya, Rawang. Ada rancangan sekali untuk menyampaikan buku kepada anak seorang kawan yang beralamat di Tropicana dekat Damansara Utama.
Bapanya yang merupakan seorang kawan lama zaman A Level 1988-1990 sedang bertugas di Jakarta lalu meminta buku dihantar ke rumah anaknya. Jam 1.33 pagi itu saya pun menghantar pesanan WhatsApp untuk bertanya jika anak berada di rumah petang atau malam itu. Jam 7.19 pagi baru dapat jawaban - anak itu berada di Jakarta untuk beraya bersama bapanya, 8 Julai baru balik Malaysia. Kalau begitu hantar pun tak guna, pos pun tak sampai ke tangan lagi. Namun saya tetap akan ke kawasan sekitar itu kerana malam sebelumnya ada mendapat tahu akan diadakan satu majlis ilmu menarik di sebuah masjid dekat Taman Tun Dr Ismail selepas Maghrib.
Saya ada turut memikirkan mahu membuat perjalanan ke Jeram, Selangor atas permintaan seorang pembeli pra-bayar. Masih 50-50 tentang ini kerana lokasi tersebut terkeluar lebih 40 km daripada laluan yang dirancang. Apabila mendengarkan ini isteri kata biar dibuat petang Khamis kerana dia hendak ikut sekali kalau ke Jeram kerana ada kawannya mahu diziarahi sekali. Dengan itu penumpuan dapat dibuat ke kawasan Bangi, Putrajaya, Cyberjaya dan Shah Alam sebelum menuju ke Taman Tun untuk mendengar ceramah ilmu.
Kelihatan dalam gambar keadaan jalan keluar dari pekan Bangi lama menuju ke arah Bangi baru. Jalan sesak teruk... nasib baik teringat ada seorang bapa saudara rumahnya di sekitar ini lalu saya pun singgah untuk berhari raya. Ketika ini saya sedang meletakkan kereta di hadapan rumah beliau (ke arah kanan tempat duduk pemandu dan di luar gambar). Dah bertahun-tahun tak singgah. Nasib baik dia akan kerana belum keluar kerja.
Bapak saudara yang merupakan salah seorang pegawai tertinggi di ibu pejabat sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur itu sedang menunggu kesesakan lalu lintas surut sekitar jam 9.30 hingga 10 pagi. Dia pernah menjadi pengurus pasukan ketika bank tersebut menyertai liga-liga utama bola sepak Malaysia. Alhamdulillah dia membeli senaskah lalu menjadi pemilik pertama buku "Kenangan Eropah 1995" hari itu.
Kalau ikut rancangan awal dan asal Bangi cuma berada dalam laluan menuju dari rumah kawan (tempat bermalam) di Bandar Seri Putera ke arah Putraja dan Cyberjaya. Persinggahan di sekitar Bangi mahu dibuat pada hari sebelumnya iaitu hari Selasa sebelum bergerak ke Bukit Mewah di Kajang kemudian Suria Grande di Semenyih. Rujuk balik perjalanan dalam artikel
Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru. Namun tengah hari Isnin iaitu sebelum kembara dimulakan pagi Selasa saya dapat permintaan daripada seorang pembeli pra-bayar agar bukunya dapat disampaikan ke tempat kerja beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi. Sebelum ini beliau memberikan alamat pos di tempat tinggal di Seremban. Bila dapat tahu saya akan mula bergerak hari kedua dari Bandar Seri Putera baru dibuat permintaan tersebut.
Pada saya memang tiada masalah kerana laluan dari Bandar Seri Putera sudah sangat dekat dengan UKM. Dengan itu lebih ekonomikal jika persinggahan dua tempat lain di sekitar Bangi dibuat selepas ke UKM, bukan pada hari sebelumnya. Pertemuan pun diatur di masjid UKM. Saya sampai dalam jam 10.05.
Sempatlah melunaskan hajat kemudian bersolat dan beriktikaf sebelum bertemu pembeli pra-bayar bernama Azlan Shah Mustafa. Beliau telah menempah dan membayar untuk 2 buku...
Sehari sebelum kembara bermula baru tahu buku-buku itu untuk siapa. Baru saya tahu seorang pakar nuklear dan nanoteknologi terkemuka tanah air iaitu Profesor Dr Shahidan Radiman selalu mengikuti penulisan saya. Ini kerana selain sedikit sebanyak dipengaruhi latar belakang lama dalam bidang sains dan matematik tulisan-tulisan saya ada terselit unsur-unsur pencarian makna keTuhanan dan Sufi...
Apabila mengetahui Azlan ada berhubung dengan saya (beliau juga merupakan salah seorang pembeli pra-bayar buku "NABI ADAM DAN ORANG MELAYU 60,000 TAHUN LALU" dengan 'kembarnya', "BENUA TUA MELAYU SUMBER PERADABAN DUNIA") Shahidan meminta beliau menolong mendapatkan buku terbaru saya. Kemudian baru dapat tahu lulusan PhD University of Cambridge tahun 1990 ini ada dalam satu grup atau kumpulan WA yang mana saya ada bersama. Tentunya saya merasa berbesar hati kerana tulisan-tulisan dihargai oleh seorang cendekiawan dalam bidang ilmu tinggi. Kalau yang dihargai itu buku "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" tak hairanlah sangat kerana kandungannya lebih bersifat akademik. Ini buku "Kenangan Eropah 1995" yang lebih merupakan catatan kembara. Cuma ia ditulis daripada sudut pandang diri yang sudah sekali ganda lebih berumur. Ertinya orang seperti Shahidan dapat menghargai apa yang terkandung di sebalik perjalanan hidup yang bermacam ragam itu, bukan sekadar mencari suatu maklumat kepandaian yang boleh dibangga-bangga...
Lokasi seterusnya terletak di Kampung Sungai Tangkas 4 km dari UKM.
Pembeli pra-bayarnya adalah tuan Abdul Hamid Idris. Lebih dikenali sebagai Pak Lang beliau juga seorang pengukir kayu dan aktivis busana tradisional Melayu. Pak Lang ini sudah biasa ditemui dalam majlis-majlis silat dan busana Melayu. Umurnya 66 tahun kalau tak salah.
Beliau juga sudah lama menghargai tulisan-tulisan saya. Salah satu buku malah dijadikan '
tourist guide' ketika melawat monumen lama terkenal Borobudur di Pulau Jawa. Ini perkongsian berkenaan yang diletakkan Pak Lang dalam grup WA "Kelab Buku Merah Silu". Dalam buku bertajuk "Benua Tua Melayu" ada dikongsikan cerita tentang lawatan lapangan saya ke Borobudur mengikuti satu kumpulan yang mendakwa monumen adalah tinggalan Nabi Sulaiman AS. Rujuk artikel
Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang melampau.
Sambil keluar berjalan menyampaikan buku-buku hari Rabu buku-buku yang dihantar melalui Poslaju pagi Selasa juga mula menemui para pemiliknya...
Dari Sungai Tangkas saya bergerak ke Seksyen 7 Bangi...
Pembeli pra-bayar seterusnya, puan Noni Hashim sama belajar kolej di PPP/ITM Damansara Utama untuk pengajian peringkat A Level 30 tahun lalu tapi semasa itu kami tidak saling mengenali. Tiba-tiba boleh boleh muncul sebagai pembeli. Ini saya bergambar bersama suami dan anak beliau. Suaminya pun rupanya pernah sama tempat belajar tetapi ketika saya masuk 3 bulan di MSM Cheras.
Masuk tahun 1991 berlaku sesuatu yang membuat bertukar fikiran mahu menyambung pengajian lalu masuklah saya ke MSM itu. Walaupun keputusan peperiksaan A Level yang diambil pertengahan tahun tersebut kurang memberangsangkan saya mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Matematik di University College of London, salah satu menara gading paling terkemuka di United Kingdom. Asbab belajar di situ tahun 1991-1995 (saya mengulang setahun sebenarnya iaitu pada tahun 2) berlakulah kembara Eropah hampir penghujung musim panas tahun 1995 yang menjadi fokus penceritaan buku terbaru dan ke-13 saya.
Persinggahan seterusnya adalah di ILSAS (dahulu dikenali sebagai Institut Latihan Sultan Ahmad Shah) dalam kampus UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) ke timur Putrajaya. Pembeli pra-bayar Ayob Tan telah memberikan alamat penghantaran ini kerana isterinya mengajar di sana.
Oleh kerana isterinya bercuti hari itu saya tinggalkan buku dengan nota bersama pengawal keselamatan. Gambar ini dihantar melalui WA kepada Ayob untuk menunjukkan berlaku serahan. Untuk perkongsian di sini tak perlulah ditunjukkan nama isteri.
Jam 2 petang saya bergerak ke Cyberjaya.
Pembeli seterusnya adalah puan Nazila Jaafar yang bekerja di MAMPU, salah satu unit perancangan negara di bawah Jabatan Perdana Menteri. Banyak mata pelik memerhati saya berpakaian begini...
Dari Cyberjaya saya mengorak langkah ke Shah Alam.
Entah bagaimana boleh masuk Lebuh Raya PLUS ke arah selatan pula sedangkan sepatutnya pergi ke arah utara. Dah dekat susur keluar ke KLIA baru tersedar lalu saya harus membuat pusing balik di plaza tol seterusnya di Bandar Serenia. Akibat daripada kesilapan ini perjalanan jadi bertambah 30 km (ke selatan dari exit Cyberjaya dan kembali). Kesilapan berlaku kerana ada leka mengikuti perkembangan di FB dan WA.
Saya harus mengikuti perkembangan kerana beberapa perkara :-
1. Kot-kot ada pembeli baru masuk dan boleh bertemu dalam atau sekitar laluan
2. Menjawab pertanyaan daripada pembeli-pembeli pra-bayar yang sedang menunggu bila saya dijangka sampai ke tempat mereka
3. Untuk perkara 1 dan 2 orang harus tahu saya sudah sampai di mana pada suatu waktu itu...
Sambil itu dapat melihat lebih ramai pembeli pra-bayar di luar Lembah Klang dan Selangor menerima buku yang diposkan pagi Selasa.
Lokasi seterusnya adalah di Seksyen 24, Shah Alam...
Singgah menghantar buku sambil berhari raya di rumah saudara Azhari Shaari (duduk kiri).
Asbab daripada persinggahan ini seorang lagi pembeli pra-bayar, saudara Nik Mohd Izman dapat datang lalu berkenalan dengan Azhari.
Mereka sama-sama menetap di Seksyen 24 malah Nik Izman rupa-rupanya bekerja di bengkel tempat Azhari selalu menghantar kereta tetapi baru kini mengenali...
Tadi ada diberitahu saya tersilap masuk Lebuh Raya PLUS ke selatan kerana terleka mengikuti perkembangan di FB dan WA. Salah satu sebab perkembangan diikuti adalah : "Kot-kot ada pembeli baru masuk dan boleh bertemu dalam atau sekitar laluan". Sebelum sampai ke Seksyen 24, Shah Alam muncul seorang menyatakan mahu membeli. Saya cam nama kerana merupakan antara pembeli pra-bayar set buku "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" awal tahun lalu.
Oleh kerana tempat bertugas beliau iaitu UiTM Shah Alam terletak pada garisan lurus ke utara dari Seksyen 24 saya pun bersetuju untuk bertemu di suatu tempat berdekatan iaitu di Seksyen 2. Ini dia orangnya saudara Hishamuddin Mohamad Twontawi. Nama yang unik membuatkan senang ingat...
Dari Seksyen 2 singgah di masjid besar Shah Alam untuk mandi kemudian bersolat. Ketika sampai sudah jam lepas jam 5 petang lalu mendapat berita bahawa seorang pembeli pra-bayar yang telah memberikan alamat pos di tempat kerja di kawasan perindustrian HICOM-Glenmarie mahu bergerak kembali ke rumahnya di Bukit Jelutong. Dengan itu biar diadakan pertemuan di sana. Saya pun tak perlu terkejar-kerja. Boleh ambil masa berehat dan beriktikaf juga di masjid besar.
Kebetulan alamat yang mahu dituju selepas itu adalah di Bukit Jelutong juga. Alhamdulillah dah dapat jimat perjalanan dan masa, boleh hantar dua buku sekali di tempat sama...
Inilah pembeli pra-bayar itu saudara Ismail Omar. Tengok-tengok di atas mejanya ada kesemua 12 buku saya sebelum ini. Campur buku baru lengkap 13 tajuk kesemuanya. Beliau meminta isteri mengambil gambar yang dapat menunjukkan penerimaan buku baru sambil memasukkan buku-buku lama sekali tapi takda angle. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya ada lagi seorang anak Melayu berkedudukan tinggi yang tahu menghargai penulisan sehingga semua buku-buku saya dimilikinya...
Kembara buku yang dimulakan pagi Selasa itu menyaksikan sejumlah buku dihantar masuk ke kawasan-kawasan rumah mewah. Sesungguhnya ini adalah tanda para pembaca buku dan penulisan saya ramai daripada kalangan orang yang berada, matang pemikiran dan banyak pengalaman hidup - sebab itu mereka tahu menghargainya. Ketika berada di rumah saudara Ismail saya menerima makluman satu lagi buku yang diposkan pagi Selasa telah diterima pembaca hari Rabu. Sebetulnya ada lagi beberapa orang telah menerima tetapi biar ditunjukkan sedikit sahaja menurut keperluan bercerita...
Tadi awal sudah disebut saya mahu menghadiri satu majlis ilmu menarik di sebuah masjid dekat Taman Tun Dr Ismail selepas Maghrib. Sedangkan saya berada dan beraya di rumah Ismail itupun dah dekat waktu senja. Nasib baik ia cukup dekat dengan rumah pembeli pra-bayar seterusnya iaitu puan Izzah. Apabila mendapat tahu isteri Ismail mengenalinya saya pun meninggalkan buku Izzah kepada beliau untuk diserahkan kemudian lalu bergegas ke lokasi penghantaran seterusnya di Denai Alam.
Ini pembeli pra-bayar di Denai Alam itu iaitu puan Raja Mazyah. Beliau adalah
junior setahun di kolej zaman A Level tetapi tidak saling mengenali. Lama kemudian selepas melepasi umur 40 tahun baru berhubung apabila mendapat tahu kami memiliki pertalian darah melalui seorang moyang utama iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin juga kerabat diraja Perak. Rujuk artikel
Perhimpunan dan sambutan raya keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang tahun 2019. Tadi tu gambar saya bersama anak lelaki bujangnya. Dia masih terkial-kial melihat saya memakai tanjak. Walhal itu bukan pakaian penuh pun - malas nak pakai balik selepas mandi di masjid besar Shah Alam. Kalau nampak saya berbusana penuh bersampin, berkeris apatah lagi?
Raja Mazyah yang juga memiliki darah keturunan Sultan Abdullah Perak (dibuang ke Pulau Seychelles bersama sepupunya Mat Amin tahun 1877) dan dari belah Sultan Idris (yang membuka Bukit Chandan di Kuala Kangsar penghujung abad ke-19) tersenyum sahaja melihat anaknya. Saya jawab beginilah cara pemakaian nenek moyang kami dahulukala... :]
Seterusnya saya bergegas ke majlis ilmu yang dimaksudkan. Sebetulnya persinggahan hampir dibatalkan memandangkan sampai ke rumah Raja Mazyah di Denai Alam itupun sudah dekat jam 8 malam. Ketika mahu menjamakkan solat di rumah beliau muncul gerak hati mengatakan pergi aje le walaupun lambat. Pergi aje le ke masjid tempat majlis dekat Taman Tun itu walau sudah terlepas. Bukankah saya juga sudah merancang untuk menginap di masjid tempat saya belajar di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam di Bukit Tunku malam itu?
Ya. Itulah rancangan baru yang muncul sekitar jam 2-3 petang hari Rabu. Kalau ikut rancangan asal selepas Denai Alam kemudian ke Tropicana selepas itu kembali ke rumah... tamat kembara buku. Mungkin celah-celah itu boleh dibuat persinggahan ke Jeram seperti diminta pembeli pra-bayar di sana. Mungkin. Saya 50-50. Bila dapat tahu ada majlis ilmu di Taman Tun atau lebih tepat di Pinggir TTDI ditambahlah persinggahan ke sana.
Kemudian teringat pula bahawa pada pagi Khamis keesokannya ada majlis ilmu di ISTAC. Maka saya pun memberitahu isteri daripada bersusah-payah berkejar kembali ke rumah lewat malam itu kemudian esok paginya berkejar kembali ke majlis ilmu di ISTAC lebih baik menginap sahaja di masjid ISTAC atau mana-mana tempat berdekatan.
Disebabkan sudah memutuskan akan bermalam di ISTAC atau sekitarnya saya rasa tak rugi ke lokasi majlis ilmu di Pinggir TTDI. Walaupun meninggalkan rumah Raja Mazyah sekitar jam 8.20 sedangkan majlis dikatakan bermula selepas Maghrib saya berkejar juga. Ketika sampai sudah masuk waktu Isyak. Masuk aje le masjid walaupun sudah terlepas majlis. Lihat artikel
Masjid (Mosque of) al-Ghufran, Pinggir TTDI di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Ternyata tidak rugi saya pergi. Tanpa disangka oleh hadirin yang rata-rata menganggap majlis tamat sebelum masuk Isyak, pensyarah iaitu Sheikh Imran Hossein menyambung lagi perkongsian ilmu selepas solat berjemaah...
Walaupun yang tinggal cuma sedikit penerangan tambahan diikuti sesi soal jawab cukuplah dapat mengikuti juga. Disebabkan banyak yang tertinggal tak perlulah dibuat satu artikel penuh tentang majlis ilmu ini ya. Lebih seronok lagi dapat berjumpa dua orang rakan sama batch satu kolej A Level dan seorang rakan lama semasa bersekolah menengah di Sekolah Tinggi Muar penghujung 1986 hingga SPM 1987. Pada mereka yang keliru kerana saya juga sering menyebut tentang rakan-rakan lama Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) di Kluang biar diberitahu - saya di SMSJ bermula Tingkatan 1 tahun 1983 tetapi ditendang keluar penghujung 1986 lalu menyambung di Muar akibat masalah disiplin.
Seorang daripada kawan sejak A Level terus bertanya tentang buku baru walaupun saya tidak menyebut tentangnya. Nampaknya dia tahu tentang perkembangan daripada grup WA kami. Kebetulan saya ada beberapa naskah dalam beg sandang lalu dibelinya satu...
Sampai ke ISTAC untuk berehat dan bermalam di masjid situ meter kereta menunjukkan kembara buku sudah meliputi jarak 317 km dalam tempoh 2 hari. Dijangka ia akan bertambah menjadi lebih 400 km. Tak sangka pula jumlah meningkat jadi 540 km nanti. Tapi itu cerita hari Khamis... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan