Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mac 10, 2019

Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441

Ini ada artikel yang ditulis di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) siang tadi. Keadaan yang membawa kepada kemunculan artikel mungkin adalah hasil daripada menurut gerak melepaskan tiga cerita terbaru di blogspot CATATAN SI MERAH SILU seperti berikut :-


1. Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru

2.  Wadah Cendekia "Francis Light" - Menolak naratif pro-Barat yang menafikan keberadaan awal Melayu di Pulau Pinang

3. Menerbitkan sistem pengajaran matematik dan sains yang bebas daripada belenggu pemikiran Barat


-------------------


Salam hari Ahad 3 haribulan Rejab tahun 1440 Hijriah. Adapun hampir 2 tahun lalu saya telah membuat artikel bertajuk Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita untuk memberitahu bahawa saya tidak mahu lagi menulis di blogspot HIKMAH buat suatu tempoh.  Setengah bulan sebelum itu saya telah membuat artikel bertajuk Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? untuk memberitahu tidak mahu lagi menganjurkan apa-apa lagi acara HIKMAH. Maka acara ke-20 yang telah diadakan di Aceh sebulan lebih awal boleh dikira sebagai acara terakhir kami. Lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017.

Namun pada bulan April tahun lepas saya mendapat isyarat agar menghidupkan kembali acara HIKMAH lalu memberitahu dalam artikel Gerak HIKMAH dan majlis hol almarhum Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0. Cuma ketika itu belum tahu bila lalu ditambah, ia bukanlah dalam masa terdekat. Penghujung tahun itu baru mendapat ilham tarikh yang sesuai untuk acara. Saya pun menyatakan dalam Facebook berserta satu gambar peta seperti berikut :-



JEJAK AWALUN ISLAM DAN ACARA KE-21 HIKMAH DI ACEH OGOS 2019

Salam semua. Saya sedang berkira-kira hendak membuat perjalanan pusing lawan arah jam seperti boleh dilihat dalam peta. Asalnya saya bercadang cuma mahu melawat makam-makam di Barus (penghujung selatan perjalanan) yang katanya ada makam-makam pendakwah Islam zaman khalifah ketiga empayar awal Islam, Saidina Uthman Affan. Oleh kerana saya belum pernah menjelajah kawasan pantai barat Aceh kecuali hingga ke Lhoong sekitar sejam perjalanan dari Banda Aceh maka biar dimulakan perjalanan dari bandar di hujung utara itu. Kembali nanti lalu pantai timur Sumatera. Bolehlah singgah ke Pulau Samosir di Danau Toba kemudian Berastagi kemudian Medan. Bolehlah singgah ke tapak- tapak kerajaan lama seperti Perlak dan Samudera Pasai. 

Perjalanan dijangka memakan masa seminggu. Cukup satu pusingan saya bercadang hendak mengadakan acara ke-21 HIKMAH di Banda Aceh. Tarikh yang terasa cantik adalah hari Sabtu 31 Ogos 2019. Saya dapati ia adalah bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah.

Rancangan perjalanan boleh dibahagi dua. Satu untuk hardcore atau pengembara/pengkaji sejarah tegar. Ini yang akan pusing seminggu seperti ditunjukkan dalam peta. Cadangan tak lebih 12 orang bersamaan 2 kereta. Maksimum 18 orang = 3 kereta. Kumpulan ini kena bertolak ke Banda Aceh seawal 22 Ogos lalu perlu mengambil cuti lebih seminggu. Kita akan cuba menjejak kesan sejarah awal Islam sebanyak mungkin sepanjang perjalanan itu.

Kumpulan kedua adalah mereka yang boleh mengikuti kesan-kesan sejarah Islam di Banda Aceh dan sekitar. Mereka boleh bertolak ke Banda Aceh paling lewat petang Jumaat 30 Ogos. Kedua-kedua kumpulan akan bersama untuk acara HIKMAH 31 Ogos pagi hingga tengah hari di satu lokasi dalam Banda Aceh. Lepas Zohor buat lawatan lapangan ke tapak kerajaan Lamuri 40 km ke timur bandar. Amacam? Sila berikan maklum balas...


-------------------------


Antara maklum balas yang diterima adalah cadangan agar majlis HIKMAH ke-21 itu dibuat di kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Yang mencadangkan adalah seorang rakan yang memegang jawatan sebagai duta Muzium Aceh di Banda Aceh, 6 jam perjalanan dari kompleks makam. Saya jawab boleh sahaja kalau beliau dapat mengatur perkara.

Sejak itu saya menyimpan hajat untuk mengadakan acara di makam pengasas kerajaan Samudera-Pasai. Ini kerana baginda merupakan seorang moyang utama sebelah bapa. Namun tak nampak lagi cara untuk menjadikan ia nyata. Rakan warga Aceh yang mencadangkannya pula memberitahu harus menunggu dahulu selesai Pilpres (majlis pilih presiden) Indonesia yang akan berlangsung pertengahan bulan April. Baru dia boleh menumpukan fikiran kepada bagaimana hendak menjayakan acara.

Hendak dijadikan cerita malam tadi saya sukar untuk melelapkan mata walaupun sebenarnya sudah penat dan kurang tenaga. Selepas jam 2 pagi tergerak untuk menyemak harga tiket kapal terbang Air Asia ke Banda Aceh kerana teringat isteri ada memberitahu sudah muncul tawaran murah malah tambang yang dikatakan percuma. Adapun selepas muncul ilham untuk tarikh mengadakan acara iaitu pada penghujung tahun lepas kami ada menyemak harga. Tetapi didapati ia amat mahal. Pergi balik untuk tempoh cadangan kami memerlukan sehingga RM500 satu kepala. Sedangkan kami nak pergi empat beranak. Tak larat nak bayar harga...

Tadi didapati tarikh pergi dan balik yang cukup sesuai memberikan harga minimum tiket RM134 satu kepala. Itupun kerana saya memiliki keahlian website Airasia. Kalau tiada keahlian harga minimum yang dapat ditemui adalah RM241 seorang. Kan banyak beza tu? Lebih RM400 murah untuk saya, isteri dan dua orang anak sekolah rendah.

Tarikh yang memberikan harga minimum itu adalah pergi hari Rabu 28 Ogos dan kembali Rabu 4 September. Kebetulan tiket balik memang tinggal 4 sahaja, cukuplah untuk kami sekeluarga. Dengan tarikh terbaik sudah didapati terus dapat membayangkan bagaimana jadual perjalanan pusing utara pulau Sumatera boleh diatur dengan acara ke-21 HIKMAH dapat diadakan pada 1 Muharram 1441. Cuma bila disemak kembali tarikh tersebut didapati jatuh pada hari Ahad 1 Sepmber 2019. Tetapi ini bukanlah masalah malah memberikan lebih banyak ruang masa untuk melihat-lihat tempat-tempat sepanjang pantai barat Sumatera hingga ke Barus membawa ke Medan lalu naik ke pantai timur...

Begitu banyak perkara bermain dalam fikiran tentang perancangan yang boleh dibuat sehingga dah dekat jam 5 pagi masih belum benar-benar dapat tidur. Selepas sedikit tidur ayam saya membuat update berikut ke FB menggunakan telefon pintar :-


BILA DAH DAPAT ILHAM DAN ISYARAT

Ya Allah susah betul nak lelap. Cuma dapat paksa diri agar tidur ayam sekejap demi memenuhi syarat boleh solat Tahajud iaitu selepas bangkit daripada tidur malam. Kepala jadi hyper-active sangat. Dah dapat ilham bagaimana perjalanan bersama keluarga boleh dibuat meliputi sebanyak mungkin tempat bersejarah dari Banda Aceh menyusur pantai barat Sumatera menghadap Lautan Hindi ke Barus kemudian masuk Pulau Samosir di tengah Danau Toba sebelum melaksanakan acara ke-21 HIKMAH di kompleks makam Sultan Malikus Saleh, tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai pada 1 Muharram 1441 Hijriah insyaallah. Selepas itu menyusur pula pantai timur Sumatera menghadap Selat Melaka kembali ke Banda Aceh sambil singgah lagi ke sebanyak mungkin tempat bersejarah.



---------------------


Selepas solat Tahujud kemudian bersahur lalu menunggu waktu Subuh masuk, setelah berbincang dengan isteri tentang tarikh penerbangan pergi balik Aceh yang memberikan harga minimum tiket kami pun melakukan transaksi atas talian menggunakan komputer riba lalu membeli 4 keping tiket. Dengan itu tetaplah tarikh kami bertolak ke Aceh pagi Rabu 28 Ogos 2019 dan kembali petang Rabu 4 September. Sekarang bolehlah diwar-warkan rancangan perjalanan supaya siapa yang berminat untuk turut serta boleh membuat rancangan yang selari. Selain dapat bersama kita juga boleh berkongsi kos sewa mobil/kereta. Semakin ramai semakin boleh menjimatkan belanja...




Secara kasar inilah laluan yang akan digunakan dalam jelajah lawan arah jam dari Banda Aceh menyusuri pantai barat utara Sumatera sehingga Barus di selatan sebelum menaik ke arah utara melalui Medan kemudian menyusuri pantai timur hingga kembali ke Banda Aceh. Jika dahulu saya bercadang harus on the road seminggu sebelum sampai ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh pada siang 1 Muharram 1441 kini terasa cukuplah 4 hari 4 malam berjalan kemudian ke makam. Tempoh masa yang sudah ditetapkan dengan pembelian tiket penerbangan ke Banda Aceh pagi Rabu 28 Ogos dan kembali ke Malaysia petang Rabu 4 September itu sendiri akan memakan tempoh keseluruhan 8 hari 7 malam. Jarak kasar diliputi berdasarkan lakaran dalam peta mencapai 1,599 km perjalanan darat.

Tetapi itu tidak dicampur lagi jarak perjalanan dalam setiap bandar yang akan disinggahi juga persinggahan tambahan yang mungkin akan dibuat, misalnya pusing Pulau Samosir di tengah tasik luas Danau Toba. Nak keliling pulau yang sebesar Singapura itu sendiri memakan jarak 120 km. Saya rasa jarak keseluruhan perjalanan darat boleh melepasi 1,800 km. Untuk mengoptimumkan perjalanan agar dapat singgah ke sebanyak mungkin tempat menarik dan bersejarah sambil mendapat penghayatan juga rehat secukupnya tempoh perjalanan  keseluruhan iaitu 8 hari 7 malam boleh dibahagikan begini :-




Hari 1 – Rabu 28 Ogos 2019


Walaupun sudah ke Aceh 8 kali perjalanan menyusuri pantai barat menghadap Lautan Hindi adalah sesuatu yang baru buat saya. Sebelum ini saya cuma pernah sampai ke satu tempat bernama Lhoong 50 km atau sejam lebih sedikit perjalanan dari Banda Aceh. Kali ini bolehlah melihat apa yang ada di tempat seperti Meulaboh sebelum bermalam di Tapak Tuan.



Hari 2 – Khamis 29 Ogos 2019


Esoknya hari Khamis perjalanan boleh disambung hingga ke Barus. Inilah asbab asal jelajah ini dibuat. Seperti ada disebut di atas saya teringin hendak menziarahi sejumlah makam lama yang katanya dimiliki pendakwah zaman sahabat Nabi. Ia dikatakan bukti paling awal pernah wujud komuniti beragama Islam di Asia Tenggara.




Selain itu Barus juga dipercayai pernah dikenali sebagai Fansur lalu dikatakan tempat asal pujangga dan ulamak besar Melayu Aceh abad ke-16 dan 17 Masihi iaitu Sheikh Hamzah Fansuri. Walaupun pernah menziarahi makam beliau di satu tempat lain yang turut dikatakan pernah dikenali sebagai Fansur tetapi begitu dekat dengan Banda Aceh dikatakan di Barus juga ada makam beliau. Cuma bila Google tadi lokasi tepat dikatakan adalah Subussalam yang jaraknya agak jauh sebelum Barus. Semak lagi lebih teliti. Kelihatan lokasi makam adalah 25 km ke barat Subussalam. Kena ikut laluan lain untuk memotong dari arah Tapak Tuan.

Selain itu teringin hendak ke Singkil, tempat asal seorang lagi ulamak besar Aceh abad ke-17 iaitu Sheikh Abdul Rauf Singkil. Untuk itu kena keluar jauh juga daripada laluan utama Tapak Tuan ke Barus. Pergi balik ada juga dalam 60 km jarak...




Hari 3 – Jumaat 30 Ogos 2019


Selepas bermalam di Barus perjalanan boleh diteruskan ke Medan hari Jumaat. Ada dua laluan boleh digunakan. Yang diwarnakan biru itu merentas bandar atas gunung atau tanah tinggi Berastagi lalu dapat dilihat pemandangan cantik gunung berapi Sinabung yang terkenal. Laluan ini pernah diambil bersama isteri tetapi dari arah berlawanan iaitu dari Medan menuju ke Danau Toba. Ketika itu penghujung tahun 2011 isteri sedang sarat mengandungkan anak bongsu kami Johan sedangkan abangnya Rasyid yang ikut sama baru berumur 2 tahun. Lihat artikel lama Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Medan ke Berastagi diikuti Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Berastagi ke Danau Toba di blogspot CATATAN SI MERAH SILU




Oleh kerana laluan ini sudah cukup dekat Danau Toba malah menghampiri satu bahagian di mana terdapat satu-satunya jambatan masuk ke Pulu Samosir (disebabkan perairan yang memisahkannya dengan daratan besar paling sempit di belah situ) boleh dibuat sekali perjalanan pusing pulau. Cuma ini akan menambah jarak perjalanan lagi 150 km. Kalau masa tidak menghalang eloklah dibuat perjalanan pusing pulau. Kami anak beranak pernah melakukannya dengan menaiki motosikal kecil walau harus meredah suku pulau dalam kegelapan malam dan hujan renyai. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Cabaran pusing pulau.

Selepas itu kami ke Medan menggunakan laluan lain iaitu dari Parapat. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Keluar pulau untuk ke Medan. Di Medan yang merupakan bandar raya terbesar di Sumatera kita boleh melawat Istana Kesultanan Deli yang sudah dijadikan muzium. Namun satu bahagian masih diduduki anak cucu raja yang sudah lama hidup seperti rakyat biasa. Ada juga masjid lama kebanggaan kesultanan iaitu Masjid Al-Mashun yang terletak berdekatan.

Dahulu kami anak beranak pernah bermalam di sebuah hotel yang terletak betul-betul di sebelah masjid lalu menyambut Hari Raya Aidil Adha di sana. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula. Kali ini ada baiknya kami bermalam dan beriktikaf dahulu di Masjid Deli Tua. Dari arah Danau Toba dan Berastagi kita akan sampai ke situ terlebih dahulu sebelum masuk ke Medan 11 km perjalanan.

Saya memikirkan ini kerana teringat ada ahli jawatankuasa masjid mengalu-alukan kami datang. Ini disebabkan dia pernah terbaca tulisan yang berkenaan. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Kerajaan Haru Deli Tua dan legenda Puteri Hijau. Selepas bermalam bolehlah melihat tempat-tempat menarik di Medan. Rasanya ini memang sesuai kerana perjalanan dari Barus ke Medan yang mana kalau boleh akan dibuat sekali dan perjalanan pusing Pulau Samosir bakal memakan masa yang agak lama.




Hari 4 – Sabtu 31 Ogos 2019


Adapun perjalanan tahun 2011 itu dibuat untuk menunjukkan kepada isteri laluan yang pernah diambil seorang diri ketika pertama kali masuk ke Aceh awal tahun 2004. Ketika itu darurat disebabkan perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) masih teruk melanda. Pengalaman inilah yang menjadi latarbelakang utama buku-buku terawal saya iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh". Buku pertama terbit Jun 2006 diikuti buku kedua Mei 2007 dan ketiga November 2007.

Cuma ketika itu saya tidak pergi ke Danau Toba. Selepas beberapa malam di Medan saya bergerak mengikut laluan seperti ditunjukkan di atas. Di Tanjung Pura kami singgah ke rumah suluk dan makam seorang ulamak dan wali Allah terkenal abad ke-19 iaitu Sheikh Abdul Wahab. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Tanjung Pura Langkat, Amir Hamzah, Sheikh Abdul Wahab dan Kampung Besilam



Dalam perjalanan kita akan lalu di bandar Pengkalan Brandan. Ia pernah menjadi tempat saya berehat sambil memohon petunjuk setelah ditahan askar di sempadan Aceh lalu dihalang daripada masuk wilayah. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Jeti bercat kuning dan masjid di Pengkalan Brandan. Kalau cukup masa elok keluar sedikit dari laluan utama untuk singgah ke Pengkalan Susu bagi mendapatkan bot ke Pulau Kampai. Ini harus memakan masa kerana bot cuma ada beberapa kali dalam sehari dan setiap kali pergi memakan masa setengah jam, begitu juga kembali. Tapi kalau dapat alhamdulillah kerana ia memiliki tinggalan sejarah yang tersendiri. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Pulau Kampai , keberadaan kerajaan Haru dan faktor Sheikh Abdul Qadir Jilani.

Seterusnya boleh singgah di Langsa yang terletak tidak beberapa jauh setelah memasuki Aceh. Di situ ada kenangan yang sangat bermakna dan manis apabila percubaan kali kedua memasuki Aceh  tahun 2004 membuahkan hasil. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Mengenang 3 malam di Langsa, tempat pertama kali bertapak di Aceh. Selesai itu baru ke Perlak di mana kami akan bermalam. Saya bercadang agar menginap di pondok musollah sebelah makam Sultan pertama Perlak iaitu Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah. Untuk pengetahuan baginda dikatakan telah ditabalkan pada 1 Muharram 225 Hijriah iaitu pada tahun 840 Masihi. Dalam perjalanan baru ini malam kami berada di Perlak itu sudah masuk 1 Muharram 1441 Hijrah.



Hari 5 – Ahad 1 September 2019 @ 1 Muharram 1441 Hijriah


Untuk pengetahuan lagi Sultan Abdul Aziz adalah berketurunan Nabi Muhammad SAW. Dengan membawa aura bermalam sambil beramal di makam 1 Muharram kami akan bergerak ke makam Sultan Malikus Saleh selepas Subuh. Menurut kajian saya Malikus Saleh yang hidup 400 tahun selepas Abdul Aziz juga berketurunan Rasulullah SAW. Saya percaya ini adalah gerak tepat yang boleh membantu mengangkat kembali Daulah Islamiah sejati di Alam Melayu.  Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Menelusuri sejarah Perlak sebelum ke makam Sultan Malikus Saleh.




Adapun ada kawan-kawan di Banda Aceh telah mencadangkan agar diadakan sekali satu majlis ilmu lain di tempat mereka sempena kedatangan saya untuk jelajah dan acara ke-21 HIKMAH.  Selepas selesai majlis di kompleks makam Sultan Malikus Saleh, mungkin paling lewat selepas Asar (insyaallah akan diziarahi beberapa lagi makam penting di sekitar) bolehlah bergerak menuju ke Banda Aceh. Dalam perjalanan boleh singgah ke makam tokoh bangsawan Melayu terkenal abad ke-17 Masihi iaitu Tun Sri Lanang. Beliau pernah menjadi Bendahara kerajaan Johor lama lalu menulis kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebelum menetap lalu meninggal dunia di Samalanga, Aceh.

Sampai di Pidie elok bermalam di sana. Keluar sedikit ada satu makam yang sangat penting dalam perjalanan hidup saya. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh. Di situ juga terdapat sejumlah kawan aktivis yang gigih memperjuangkan pemakaian pakaian adat atau busana tradisional Aceh. Mungkin boleh diadakan satu majlis ad hoc di tempat mereka seperti mana pernah dilakukan untuk meraikan persinggahan saya ke Pidie dalam satu sesi jelajah lain tahun 2014. Rujuk artikel Misi HIKMAH Aceh - Sambutan di Pidie dan perjalanan ke Takengon.

Ini berlaku dalam rangka kerja mahu melaksanakan acara ke-10 HIKMAH di Banda Aceh. Lihat Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014. Pada saya tak perlu pun majlis hebat. Cukup sekadar berjumpa beramai-ramai berbual-bual dengan pakaian tradisional pun sudah jadi majlis yang bererti buat perjuangan kami.



Hari 6 – Isnin 2 September 2019


Selepas majlis di Pidie yang mungkin berlangsung tak sampai setengah hari bolehlah kami bergerak ke Banda Aceh. Terdapat  beberapa tempat menarik dan bersejarah boleh disinggah.




Cuma tu le ada dua laluan berbeza, Setiap satu ada tarikan tersendiri. Yang biasa orang guna memang seperti dalam peta sebelum ini. Saya pernah sekali sahaja mengambil laluan lain yang banyak menyusuri garisan pantai seperti kelihatan dalam peta atas. Hasillnya, saya belum puas kerana ketika itu sudah lewat petang lalu setengah laluan  diambil pada waktu malam. 



Hari 7 – Selasa 1 September 2019


Apapun yang penting adalah dapat sampai lalu bermalam di Banda Aceh Isnin malam Selasa. Esok siang Selasa bolehlah diadakan majlis ilmu seperti diminta.




Selepas majlis mungkin boleh meliputi apa-apa yang tak sempat. Kalau ambil laluan pantai dari Pidie ke Banda Aceh lalu dapat singgah di makam Laksamana Kemalahayati bolehlah pergi masjid lama di Indrapuri petang Selasa. Kalau ambil jalan pendalaman hari Isnin bolehlah dilakukan sebaliknya...



Hari 8 – Rabu 2 September 2019


Hari terakhir di Aceh boleh santai-santai sebelum ke lapangan terbang untuk mengambil pesawat kembali ke Malaysia petang Rabu. Melihat ruang waktu boleh sahaja rancangan jelajah ini ditukar sedikit iaitu selepas acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh hari Ahad 1 Muharram 1441 boleh bermalam di sekitar itu. Esoknya Isnin baru bertolak ke Pidie. Selasa bertolak ke Banda Aceh. Majlis-majlis yang dicadangkan mahu diadakan di dua tempat ini boleh sahaja diatur pada suatu celah dalam tempoh masa itu.

Oh, ada satu perkara lupa nak cakap. Merujuk kepada artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? yang ditulis 2 tahun lalu. Ada disebut dalam artikel tersebut bahawa saya telah menyerahkan bunting atau sepanduk besar HIKMAH kepada seorang sahabat warga Aceh. Ia pernah digunakan untuk menghiasi hampir setiap 20 acara HIKMAH meliputi hampir seluruh Semenanjung membawa ke Aceh. Selepas itu ia disimpan atau 'ditapakan' di rumahnya di Banda Aceh.

Rumah itu terletak betul-betul di sebelah kapal atas rumah yang terkenal akibat hentaman ombak dahsyat Tsunami 26 Disember 2004. Sahabat tersebut adalah antara orang yang terselamat kerana berlindung di dalam kapal berupa bot nelayan besar. Bot pula ditolak ombak dari laut sehingga tersangkut di atas rumah. Sebelum memulakan perjalanan pusing utara Sumatera ini saya secara rasmi ingin mengambil kembali sepanduk. Ia akan dibawa dalam jelajah kemudian menghias kembali majlis pada acara ke-21 HIKMAH di makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441. Selepas itu saya akan membawanya kembali ke Malaysia. Semoga ada semangat kuat perjuangan Aceh dapat dibawa bersama untuk mendaulatkan Melayu dan Islam di tanah air tercinta. Amin.



Tiada ulasan: