Salam hari Khamis 1 Zulkaedah. Adapun menurut cara kiraan kalendar Islam, bulan 'beraya sakan' Syawal telah tamat apabila masuk waktu Maghrib malam tadi. Namun tidak salah jika ada yang masih mahu menyambut perayaan. Adapun saya sendiri bercadang untuk membuat majlis rumah terbuka berserta 'sambutan' (ganti kata pelancaran) buku tidak lama lagi. Insyaallah perkara ini akan diumumkan esok hari Jumaat.
Sebelum itu biar diselesaikan siri cerita "Kembara buku Kenangan Eropah 1995". Masuklah pada penceritaan hari ke-3 dan terakhir kembara. Bersambung daripada artikel
Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Ke Bangi, Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam dan sekitar sambil orang jauh mendapat buku pos....
Pagi Khamis 27 Jun 2019 sekitar jam 5.45. Saya dikejutkan daripada tidur secara mendadak apabila ada orang muncul diikuti azan Subuh. Gambar ini diambil pada jam 6.06 sambil saya bersedia untuk masuk jemaah solat Subuh. Ini adalah keadaan biasa di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) di Bukit Tunku tempat saya menginap malam itu.
Menjadi kebiasaan juga buat saya untuk menunaikan puasa sunat setiap hari Khamis selain setiap hari Isnin dan pertengahan bulan Islam hari ke-13, 14 dan 15 (puasa putih) sejak lebih setahun lalu. Jadi saya akan bangun jam 4.44 atau paling lewat jam 5.05 untuk menunaikan solat Tahajjud kemudian bersahur. Malah alarm pada handphone pun sudah ditetapkan agar mengejutkan pada waktu-waktu tersebut setiap hari. Tetapi saya langsung tidak sedar pagi itu.
Saya cuma tersedar apabila datang orang membuka lampu sebelum azan Subuh. Ini adalah perkara yang jarang berlaku. Saya cuma sempat bangun bersila dalam keadaan terpinga-pinga, tak berpeluang langsung untuk menyentuh makanan dan minuman bagi sahur yang diletakkan cuma 2 kaki dari tempat tidur. Tiba-tiba dah kedengaran bunyi azan berkumandang memecahkan suasana.
Jam 6.35 pagi iaitu selepas selesai solat berjemaah dan sedikit wirid peribadi tergerak untuk membuat update berikut di Facebook berserta gambar atas...
CABARAN HARI KE-3 KEMBARA BUKU KE-13 MERAH SILU
Salam pagi Khamis 23 Syawal. Semoga sihat sejahtera hendaknya para pembaca kesemuanya. Adapun saya masih dalam kembara buku yang bermula pagi Selasa sempena siap dan terbitnya buku ke-13 saya " KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995" hari itu. Meter kereta menunjukkan kembara yang meliputi tempat-tempat di sekitar Lembah Klang dan negeri Selangor ini sudah mencapai jarak 317 km.
Kembara dibuat untuk menghantar sendiri buku kepada para pembaca yang telah membuat tempahan awal dan membayar harganya sambil berhari raya dan bersilaturrahim. Apabila ia dijangka tamat malam Jumaat nanti harus melepasi jarak 400 km. Antara soalan yang sering ditanya oleh penerima buku adalah tak bawa ke isteri dan anak-anak mengembara sama? Ini kerana mereka tahu saya selalu membawa keluarga berjalan ke mana-mana.
Saya jawab tidak. Ini kerana perjalanan dilakukan pada hari minggu sedangkan ilham untuk melakukannya baru muncul beberapa hari lalu. Isteri bekerja di pejabat dan anak-anak pula bersekolah. Bagaimana hendak dibawa bersama? Lagipun banyak tempat hendak dituju sambil mengejar masa...
Lalu ada yang berseloroh. Dah nama buku pun "KENANGAN KEMBARA SOLO..." - sesuailah kembara dibuat secara solo. Saya pun mengulangi hal ini apabila ditanya penerima-penerima kemudian tentang keluarga. Tapi petang Khamis ini selepas isteri habis bekerja dan anak-anak habis sekolah agama insyaallah saya akan mengambil mereka untuk ke destinasi seterusnya. Ini kerana isteri nak ikut sama apabila diberitahu ada permintaan agar kembara diteruskan ke Jeram, dekat Kuala Selangor. Sedangkan ia terkeluar 40 km daripada laluan yang dirancang pada awal mula perkara.
Memang memenatkan tapi seronok walau terkejar-kejar masa. Pada kala ini sudah ada 30 naskah buku diterima terus daripada tangan saya selain 20 yang diposkan pagi Selasa. Punyalah penat sampai tak sedar nak bangun sahur untuk puasa sunat hari Khamis yang menjadi kebiasaan saya selain puasa sunat Isnin dan puasa putih 3 hari pertengahan bulan Islam. Walhal selalunya saya sedar dan bangun kerana alarm telefon bimbit ditetapkan berbunyi pada jam 4.44 dan 5.05 setiap pagi.
Tahu-tahu je dah nak masuk Subuh apabila datang orang membuka lampu-lampu di masjid tempat saya menginap malam tadi. Tak sempat nak buat apa-apa walaupun makanan dan minuman dah sedia ada 2 kaki sahaja dari tempat tidur. Bangun aje duduk bersila ada orang melaungkan azan Subuh. Kalau di kawasan rumah saya satu laungan azan dilakukan terlebih dahulu sekitar jam 4.40 untuk mengejutkan orang agar bersedia untuk bangun Subuh... :]
Saya menginap di masjid ISTAC kerana mahu menghadiri wacana ilmu seperti tertera dalam poster atas iaitu pada jam 10 pagi.
Selepas berehat sedikit lagi di masjid baru mandi dan bersiap lalu ke bilik persidangan untuk wacana. Walaupun masuk lewat 20 minit saya sempat mengikuti hampir keseluruhan pembentangan. Saya tidak terlepas apa-apa perkara penting kecuali bahagian pengenalan lalu dapat membuat satu cerita khas tentangnya. Lihat artikel
Abdullah Munshi bapa sains moden di Alam Melayu? yang dipersembahkan petang Jumaat lalu.
Selain menghadiri wacana saya ke ISTAC untuk menyerahkan 20 naskah buku "Kembara Eropah 1995" kepada saudara Zahamri Nizar sebagai bayaran kerana membuat reka bentuk kulit buku. Lupa pula hendak mengambil gambar beliau dengan buku. Jadi ganti sahajalah dengan gambar yang dipotong daripada Facebook syarikat buku beliau, Taman Pustaka.
Untuk makluman Zahamri adalah seorang saudagar buku-buku ilmu pengetahuan. Beliau datang untuk mengikuti wacana kemudian menjual buku. Dengan itu kehadiran saya di ISTAC memang boleh dimasukkan ke dalam kembara buku.
Sambil menghadiri wacana sambil itu juga mendapat berita ada lagi buku yang diposkan pagi Selasa 25 Jun sudah sampai kepada pemilik di luar Lembah Klang dan Selangor. Kalau ikut rancangan asal yang difikirkan sebelum kembara dimulakan pagi itu ia cuma akan berlanjutan sehingga hari Rabu masuk malam Khamis sahaja. Kemudian balik rumah. Habis kembara.
Sebaliknya isteri menelefon untuk memberitahu tidak perlu berkejar kembali ke rumah. Biar diselesaikan apa-apa urusan yang perlu di ISTAC dan Kuala Lumpur. Beliau sanggup menggalas tugas mengambil anak-anak balik sekolah pagi kemudian menghantar ke sekolah petang. Untuk itu harus bergerak 14 km pergi dan 14 km balik dari pejabatnya di bandar Rawang.
Selesai wacana dan soal jawab dapatlah berbual-bual santai dengan kawan-kawan, hadirin dan para pensyarah/ahli akademik. Dapat juga mengemaskinikan rekod penghantaran buku dalam komputer riba. Kemudian timbul ilham agar mengambil gambar atas. Gambar ini dikongsikan di FB jam 1.50 petang berserta teks berikut :-
SATU CETUSAN ILHAM ..
Tergerak untuk mengambil gambar begini. Bagaimanakah anda melihat dan menafsirkan cerita? Sila kongsi...
Seorang pembaca yang memakai nama Lela Rentaka menyebut : "Melayu dan Aceh bersatu". Nampaknya beliau merujuk pada tanjak sebagai lambang orang Melayu, senjata tajam rencong sebagai lambang orang Aceh. Saudara Mohd Saiful Zaman Haris pula mengambil tafsiran keseluruhan yang berbunyi begini : "Kerinduan akan taman-taman syurga. Kenangan akan Baghdad dan Andalusia.". Anak muda dari Raub, Pahang ini juga merupakan salah seorang pembeli pra-bayar buku. Beliau ada memberitahu jam 12.15 tengah hari itu sudah menerima naskahnya.
Seorang pembaca dan kenalan, saudara Ahmad Wafee Ariff terus berkongsi atau share gambar ke wall sendiri dengan teks berikut. Nampaknya ada dimensi tinggi keSufian dalam tafsirannya...
Dirhagayu rencong Aceh lambang keberanian, tengkolok lambang pemerintahan di pinggir 12 mata air pancur (fansur) di telaga makrifat.
Maka renangilah kamu dalam telaga itu tenggelam dalam keasyikan.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
(وَقَطَّعْنَاهُمُ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ أَسْبَاطًا أُمَمًا ۚ وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ إِذِ اسْتَسْقَاهُ قَوْمُهُ أَنِ اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ ۖ فَانْبَجَسَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ ۚ وَظَلَّلْنَا عَلَيْهِمُ الْغَمَامَ وَأَنْزَلْنَا عَلَيْهِمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ۚ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ)
[Surat Al-Araf : 160]
Kembali pada hal ambil anak-anak yang mempengaruhi perjalanan hari ke-3 kembara buku. Adapun bila saya keluar mengembara isteri terpaksa bersusah-payah melakukan itu sedangkan beliau bekerja tetap di pejabat, saya ini yang bekerja sendiri dari rumah lalu lebih mudah menghantar anak-anak pergi balik sekolah. Sudah menjadi tugasan saya sejak beberapa tahun lalu menghantar anak-anak ke sekolah pagi (termasuk ketika zaman taska) 3 km dari rumah kemudian mengambil mereka antara jam 1 hingga 1.30. Sebelum jam 2.30 harus mengharungi jarak dan laluan sama untuk menghantar mereka ke sekolah petang. Jam 5.30 ambil lalu bawa ke kelas mengaji lebih dekat dengan rumah.
Ketika mula menyambung pengajian pasca-siswazah di ISTAC semester kedua tahun lepas (rujuk
Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia) saya harus menghadiri kelas setiap hari Selasa hingga Khamis jam 5 petang hingga 8 malam lalu isteri yang mengambil anak-anak balik dari sekolah petang. Bermula awal tahun 2019 saya tidak perlu lagi menghadiri kelas kerana sudah cukup syarat. Boleh memberikan tumpuan penuh kepada kajian dan tesis. Tetapi saya suka menghadiri syarahan khas oleh Sheikhul Kulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar pagi Isnin sebelum berbincang tentang tesis dengan penyelia tesis saya itu pada waktu petang. Oleh itu dibuat aturan setiap hari Isnin isteri mengambil anak waktu rehat tengah hari sebelum menghantar ke sekolah.
Kalau berlaku sesuatu yang memerlukan saya berada di luar kawasan sehingga tidak dapat menunaikan tugasan mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah isteri terpaksa mengambil alih lalu bergegas keluar jauh dari pejabat. Sebab itu saya tidak akan mudah keluar mengembara sendiri hari minggu kecuali setelah menjalinkan persefahaman yang tidak terlalu menyusahkan isteri. Kemudian pandai-pandailah ganti pengorbanan yang diberikan.
Petang selepas jam 3 saya menerima berita seorang pembeli pra-bayar bernama Farha Muhammad baru sahaja menerima buku. Sebelum itu ada sedikit masalah. Buku yang sepatutnya dihantar ke alamat tempat kerja beliau di Pagoh, Muar 'terlajak' hingga ke Air Hitam, Kluang.
Ketika itu saya sudah selesai melaksanakan urusan di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Selepas beberapa lama saya pun bergegas untuk kembali ke rumah di Sungai Buaya, Rawang. Pergi dahulu ke kawasan sekolah petang anak-anak, atur kembali segala macam barangan yang telah 3 hari memenuhi tempat duduk depan dan belakang dialih ke ruang barangan.
Waktu persekolahan selesai jam 5.30. Tapi masuk jam 5.40 baru kelihatan anak-anak meluru ke luar...
Jam 5.49 sampai rumah.
Ketika itu kembara buku yang dipanjangkan telah meliputi jarak 370 km.
Tujuan beliau mahu bersama adalah disebabkan mahu beraya ke rumah seorang kawan dekat kawasan Parit Mahang. Kalau ikutkan kepenatan saya waktu itu mahu sahaja dibatalkan perjalanan. Biar diposkan sahaja buku nanti. Selain penat berjalan berkejar ke merata tempat saya tak cukup rehat dan tidur. Pada malam sebelum kembara pagi Selasa dekat jam 3 baru dapat melelapkan mata. Begitu juga malam selepas dan seterusnya. Walaupun sangat sangat penat saya menghadapi masalah melelapkan mata kerana asyik memikirkan tentang buku dan penghantaran. Kena pula bangun awal pagi untuk menyiapkan urusan.
Tetapi memikirkan hajat orang saya menggagahkan diri juga walaupun sudah muncul tanda-tanda hendak demam dan batuk-batuk selain sakit urat. Antara sebab saya memberikan komitmen kepada pembeli pra-bayar bernama Mohd Hasni Yusof (dalam gambar) adalah alamat pos yang diberikan iaitu Sekolah Menengah Hira' di Jeram. Rasa seperti harus menunaikan panggilan kerana ia adalah sebuah sekolah agama. Dan lagi sudah lama tidak sampai ke Jeram...
Dahulu ketika menetap dan menyewa rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang tahun 2008-2014 saya biasa ke sana juga kawasan-kawasan berdekatan seperti Kuala Selangor kerana jaraknya cuma sekitar 30 km. Kini jaraknya hampir sekali ganda menghampiri 60 km. Saya fikir pertemuan mahu dibuat di sekolah yang mana Hasni adalah seorang guru tetapi rupanya di rumah. Menariknya lokasi sangat dekat dengan kepala Bukit Jeram yang memiliki ceritanya yang tersendiri. Biar dikongsikan artikel-artikel lama yang pernah dibuat melibatkan persekitaran...
Sejak itu tidak nampak masa yang sesuai bila kami boleh bertemu untuk menyampaikan buku secara berhadapan. Khamis malam Jumaat dalam perjalanan ke Jeram baru timbul rasa biar dipanjangkan perjalanan lagi 40 km ke tempat hamba Allah tersebut di Klang. Sesungguhnya saya cuba seboleh dan sebaik mungkin untuk menyampaikan buku dengan tangan sendiri kepada para pembeli dan pembaca seraya datang berhari raya dan bersilaturrahim. Rasa tak lengkap kerja selagi ini tak selesai.
Saya sampai lewat malam dekat jam 11. Ketika itu anak bongsu dah nyenyak tidur dalam kereta lalu isteri menemaninya di dalam. Saya sahaja keluar bersama seorang anak bertemu pembeli pra-bayar bernama Haji Rizlan Darus itu. Sempatlah berbual-bual sedikit, nak makan raya dah lewat malam dah dan saya pun masih kenyang kerana hidangan nasi lauk masakan kampung yang disediakan pembeli sebelum itu iaitu saudara atau cikgu Hasni di Jeram. Baru tahu alamat pos yang diberikan dekat Ampang itu adalah disebabkan Rizlan terlibat dengan satu projek lebuh raya baru. Selagi tak siap selagi itulah ia menjadi alamat kerja. Sedangkan alamat tetap majikan beliau adalah di Rawang.
Dalam perjalanan kembali ke rumah dapat pesanan WA mengatakan seorang pembeli baru dari Kapar sudah memasukkan duit jam 11.14. Padahal sekitar jam 10 tadi ada melalui sekitar itu. Kalau diberitahu lebih awal tentu saya singgah menghantar buku...
Sampai ke rumah jam 11.50 hampir tengah malam meter kereta menunjukkan kembara buku sudah meliputi jarak 540 km. Bandingkan dengan jarak 370 km semasa sampai selepas mengambil anak-anak daripada sekolah petang. Ini bermakna 170 km jarak tambahan telah dilalui bagi memenuhi hajat orang.
Sebagai mengakhiri artikel biar dikongsikan update FB saya pada jam 12.25 tengah malam Jumaat itu. Teks berikut disertakan bersama gambar atas. Selesai cerita kembara buku.
SELESAI SUDAH KEMBARA 3 HARI PENUH UNTUK BUKU KE-13 MERAH SILU
Salam malam 24 Syawal. Salam barakah malam Jumaat ke-3 bagi bulan mulia ini. Sukacita dimaklumkan sejurus sebelum masuk tengah malam tadi saya telah menamatkan kembara untuk buku ke-13 saya, "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995". Meter kereta menunjukkan saya telah memandu sejauh 540 km dalam kembara ini.
Kembara dimulakan jam 8 pagi Selasa 25 Jun 2019 bersamaan 21 Syawal 1440 Hijriah dengan tujuan untuk menghantar sendiri buku-buku kepada para penempah dan pembayar awal (pre-order) di sekitar Lembah Klang dan Selangor. Ia meliputi tempoh masa 3 hari penuh dengan 2 malam menginap di luar termasuk di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Saya telah mengambil sendiri 412 naskah dari kilang cetak apabila buku betul-betul siap sekitar jam 11 pagi. Selepas itu baru memandu ke tempat-tempat tertentu untuk mengagihkan atau menyerahkan buku.
Dalam tempoh yang meliputi tarikh 25-27 Jun namun bersamaan 21-24 Syawal (sebab bermula siang Selasa lalu berlanjutan hingga malam Jumaat menurut kalender Islam) itu 33 naskah buku telah disampaikan terus kepada pembaca, 20 diposkan, 20 diserahkan kepada pembuat reka bentuk kulit buku sebagai bayaran dan 200 kepada pengedar untuk diletakkan ke kedai-kedai buku. Selesai ini semua baru saya mengambil senaskah untuk simpanan dan koleksi sendiri.
Cerita tentang kembara buku ini akan dikongsikan dalam blogspot tidak lama lagi. Saya juga bercadang untuk mengadakan majlis rumah terbuka raya lewat berserta sambutan buku (saya rasa terma ini lebih elok daripada pelancaran atau peluncuran buku) hari Sabtu 13 Julai nanti. Sementara itu buku yang dicetak begitu cantik lagi berwarna-warni ini boleh didapatkan daripada saya secara terus juga secara pos. Ikut panduan berikut untuk mendapatkannya...
CARA MEMBUAT PEMBAYARAN
Pilih salah satu harga berikut :-
1. RM55 senaskah sahaja bagi yang hendak mengambil buku terus daripada saya. Boleh berjumpa di rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang atau di Kuala Lumpur (selalunya saya berada di tempat belajar di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam di Bukit Tunku sepanjang hari Isnin)
2. RM62.90 (senaskah buku RM55 + RM7.90 pakej Poslaju) untuk pembaca di Semenanjung
3. RM67.50 (senaskah buku RM55 + RM12.50 pakej Poslaju) untuk pembaca di Sabah dan Sarawak.
Sila masukkan jumlah berkenaan ke dalam akaun saya :-
AFFIN ISLAMIC BANK : 20-530-011171-1
Atas nama: Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee
Atau akaun isteri :-
MAYBANK - 112110854698
Atas nama: Nor Afidah binti Yusof
Selepas itu pm bukti pembayaran ke Facebook atau Whatsapp nombor saya 013-3082131. Sertakan sekali alamat pos dan nombor telefon untuk memudahkan urusan Poslaju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan