Ini adalah gambar Masjid Jamek Kuala Lumpur yang diambil sejurus sebelum solat Jumaat minggu lepas...
Selalunya kalau berada di sekitar ini, saya akan bersolat Jumaat juga solat harian biasa samada di masjid jamek atau Masjid India. Kali ini saya memilih Masjid India kerana satu, kereta saya ditinggalkan di sekitar itu, kedua dalam keadaan orang ramai mula memenuhi ruang, solat Jumaat di sana lebih senang kerana saya boleh mengambil wudhuk di bilik air Wisma Yakin kemudian turun untuk menggunakan tikar-tikar yang sedia terbentang di satu bahagian.
Ketika imam sedang membaca khutbah (dalam bahasa Urdhu ke hapa, sepatah haram aku tak faham!) saya tergerak mengambil gambar masjid dengan orang ramai di luar. Saya sedang duduk di tepian Wisma Yakin jadi ada orang lalu-lalang di hadapan.
Gambar pertama saya padamkan kerana ketika menekan punat kamera, ketika itu juga ada orang muncul lalu di hadapan sehingga menutup sedikit ruangan. Pada gambar kedua pula tiba-tiba muncul orang tua Benghali ini... ish, bai...
Nampaknya ini tidak boleh dielakkan. Kalau saya padam dan ambil gambar lain, kemungkinan besar akan ada orang lain yang sedang berjalan turut terselit dalam gambar. Jadi saya biarkan.
Apabila melihat balik gambar ini, teringat pula kes Masjid Babri di utara India. Eh... tapi kes itu melibatkan orang Hindu dengan orang Islam, bukan Benghali yang cara berpakaiannya kalau dilihat secara teliti hampir menyamai orang Islam! Hmm...
Ini pula gambar selepas tamat solat Jumaat, ketika orang sedang bersurai. Tiba-tiba terfikir, kedudukan Masjid India yang berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur agak serupa berbanding Masjid Kapitan Keling dengan Masjid Lebuh Aceh di Pulau Pinang dan Masjid Kampung Keling dengan Masjid Kampung Hulu di Melaka. Ketiga-tiga pasangan masjid terletak sekitar 300 meter antara satu sama lain, kalau ikut pendapat sesetengah orang tak patut ada dua masjid begitu dekat untuk solat Jumaat, salah satu mesti mengalah.
Menurut ceritanya, Masjid Kampung Keling diwujudkan hampir 300 tahun lalu di Melaka untuk dijadikan tempat tumpuan orang India Muslim yang ketika itu ada sedikit perselisihan dengan orang Melayu. Kalau tidak, semuanya tertumpu di Masjid Kampung Hulu yang sudah dibina lebih awal. Kini Masjid Kampung Keling lebih terkenal di kalangan pelancung luar sedangkan Masjid Kampung Hulu terus didatangi mereka yang mengharapkan berkat hasil karamah seorang wali!
Dari segi fungsi kini, solat Jumaat diadakan bergilir antara kedua masjid. Malah keduanya menggunakan khidmat tok siak yang sama untuk menjaga masjid. Jadi tiada masalah tentang patut atau tidak kedua-dua masjid digunakan untuk solat Jumaat sedangkan ia terletak begitu dekat.
Di Pulau Pinang pula, setahu saya Masjid Lebuh Aceh sudah lama tidak digunakan untuk solat Jumaat walhal satu masa dahulu ia adalah pusat untuk orang Islam berkumpul dari seluruh Tanah Melayu terutama sebelum masuk musim haji! Masjid Kapitan Keling pula lebih terserlah kerana kedudukannya di kawasan lebih terbuka lalu boleh dilihat semua.
Tentang Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Masjid India, tidak boleh disalahkan jika kedua-duanya ada sesi solat Jumaat serentak. Ini kerana jumlah jemaah yang datang dari sekitar melimpah-ruah. Jadi eloklah kedua-keduanya berfungsi untuk menampung jumlah yang ramai...
Selepas solat, saya singgah makan tengahari di kawasan gerai-gerai ini. Selalunya kalau di sini, saya suka makan chapati atau roti apa entah yang tebal sikit cicah dengan daging cincang. Tapi kali ini buat pertama kali saya makan nasi beriyani yang ada di situ, dengan daging kambing...
Selepas itu saya pergi ke pejabat isteri lalu meninggalkan kereta. Kemudian saya ambil motosikal besar lalu keluar menghala ke Sungai Chinchin di Gombak... singgah sebentar minum air di depan sebuah kedai runcit, duduk menumpang kerusi di gerai kecil hadapan lalu terlihat budak-budak ini bermain di bawah meja...
Kawasan ini terletak tidak jauh dari simpang masuk ke Universiti Islam Antarabangsa...
Pandangan ke sisi kiri dengan jalan yang boleh membawa ke sekitar Taman Greenwood. Sesekali, biarlah motosikal saya turut "posing" sama... :]
Kemudian baru saya pergi ke Masjid Sungai Chinchin. Sebenarnya penulisan untuk projek buku masjid yang sedang saya usahakan sudah sampai ke bahagian mengenai masjid itu. Setelah selesai mengolah-balik cerita masjid-masjid di selatan tanahair berserta masjid di Pantai Timur Jumaat sebelumnya, baru saya memulakan cerita masjid-masjid di utara... beberapa hari kemudian baru mendapat gerak yang mantap untuk menyiapkan cerita mengenai masjid-masjid di Perak lalu saya sambung terus ke masjid-masjid sekitar Lembah Kelang.
Ini berlaku malam Jumaat lepas. Pada pagi Jumaat itu, saya ingat saya mampu menyiapkan terus penulisan kesemuanya tetapi sampai pada bahagian mengenai Sungai Chinchin yang terletak selepas cerita mengenai masjid besar Shah Alam, saya terlupa pada tahun bilakah masjid batu di Sungai Chinchin didirikan, begitu juga tentang masjid kayu yang masih ada. Itu yang saya pergi ke sana, untuk memastikannya. Fikir saya selepas itu, dapatlah saya menyiapkan terus penulisan untuk projek buku masjid itu.
Ternyata selepas itu penulisan jadi tersangkut. Kalau tidak, tentu artikel ini sudah saya tulis di sini petang itu juga. Sebaliknya 2-3 hari lepas baru ia siap. Kebetulan pula siri cerita perjalanan terbaru ke Pantai Timur berjaya diselesaikan tadi. Jadi eloklah saya dapat melepaskan cerita ini hari ini. Selepas ini saya dan isteri akan bergerak ke Melaka untuk ke Pulau Besar.
Oleh kerana penulisan projek buku masjid ini sudah selesai, biar diletakkan sekali link-link untuk cerita projek buku masjid yang pernah dibuat di sini ya. Insyaallah bukunya akan diterbitkan dan dilancarkan seiring dengan Pesta Buku Kuala Lumpur 2009 April ini. Sekian! :]
Projek buku masjid - perjalanan selatan 1
Projek buku masjid - perjalanan selatan 2
Projek buku masjid - perjalanan selatan 3
Menulis balik cerita masjid di waktu malam?
Cerita projek buku masjid - Membuka perjalanan di Negeri Sembilan
Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka
Cerita projek buku masjid - Pulau Besar membawa ke Muar dan makam Sultan Alauddin
Perjalanan terbaru ke Pantai Timur - Cerita projek masjid
Projek buku masjid - Terengganu dalam kurang 24 jam
Projek buku masjid - Satu pandangan segar terhadap Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu
Projek buku masjid - Melihat lagi masjid dan makam Tok Kenali seterusnya "sekolah pondok"
Projek buku masjid - Lagi, Danau Tok Uban dan Masjid Brunei Darussalam
Projek buku masjid - Dari Kota Bahru ke Kuala Lipis, kembali ke Kuala Lumpur
Nombor 434 dan perjalanan terbaru ke utara...
Projek buku masjid - perjalanan terbaru ke utara...
Projek buku masjid - akhirnya, cukup tujuh wali...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan