Sekarang, telah nyata bahawa Hari Raya Aidilfitri akan disambut Rabu esok. Terasa janggal pula jika tidak membuat sekurang-kurangnya satu artikel untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya, maaf zahir batin untuk semua lalu saya rasa elok juga menulis hari ini.
Lagipun dalam, beberapa hari lepas, saya sebenarnya telah membuat satu siri pengembaraan baru. Maka elok juga dilepaskan dari hati sanubari saya agar Hari Raya esok dan seterusnya dapat disambut tanpa ada apa-apa perasaan tersekat. Dan lagi anggaplah artikel ini (dan beberapa artikel yang akan cuba disiapkan hari ini juga di ketiga-ketiga blogspot saya iaitu di sini, di BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ) sebagai 'bekalan' bacaan untuk para pengunjung setia blogspots saya sempena Hari Raya ini. Mari! :]
Ini adalah gambar motosikal besar kesayangan saya di hadapan rumah almarhum Nenek, ibu kepada bapa saya, di Raub, Pahang. Adapun seperti pembaca setia blogspots saya sedia maklum, motosikal ini sudah 5 tahun tidak berjalan akibat kerosakan lalu tersadai di Kampung Janda Baik, Pahang, baru sebulan dua ini ia berjaya diperbaiki dan mula berjalan kembali. Sila baca artikel Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman? yang mengandungi sedikit 'sejarah' motosikal ini.
Untuk pengetahuan selepas ia berjaya diperbaiki, paling jauh ia pernah berjalan sekali jalan ialah dalam jarak 40km dari Kuala Lumpur ke Janda Baik. Lalu perjalanan ke Raub dari KL sejauh lebih sedikit dari 100km yang dibuat Rabu lalu memecah 'rekod' sejak ia diperbaiki... Dan tentunya itulah kali pertama motosikal ini sampai di Raub sejak lebih 5 tahun!
Adapun perjalanan ke Raub ini dapat dibuat setelah beberapa kerja selesai terutama pembuatan DVD perjalanan ke Perak seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! Selasa lepas. Awal bulan Ramadhan, sepupu saya di sana yang jarang berhubung ada membuat panggilan telefon bertanyakan apakah saya akan kembali ke Raub untuk bulan puasa. Jawab saya, saya tidak dapat menjamin akan ke sana untuk Ramadhan malah untuk Hari Raya pun mungkin tidak. Tetapi setelah selesai pembikinan DVD malah percetakan kulitnya yang dapat dibuat siang Selasa itu juga, saya terasa begitu lega lalu terus merancang membuat perjalanan ke Raub.
Di atas ialah gambar sebuah masjid dengan rekabentuk unik di Ulu Dong, Raub. Untuk pengetahuan, masjid ini ialah markas tariqat Naqshabandiah-Khalidiyah di sana dan sering dijadikan tempat bersuluk. Sebenarnya, sudah lama saya ingin memaparkan gambar masjid ini di blogspots saya. Baru kini dapat dan telah pun diletakkan tadi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , di bawah tajuk Masjid (mosque of) Ulu Dong, Raub, Pahang ...
Saya bermalam dua malam di Raub. Pagi Jumaat, saya bersedia meninggalkannya untuk ke Kampung Janda Baik. Sebelum itu, saya menziarahi makam Nenek yang hampir setahun tidak dijejaki. Untuk pengetahuan, Nenek inilah yang saya jadikan salah satu watak utama dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh". Dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Raub untuk melihat Nenek yang sudah nazak tahun 2002, tayar motosikal besar saya pernah meletup ketika mendaki jalan berliku hampir ke terowong di Genting Sempah. Sila baca artikel Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak...
Seperti ramai pembaca setia di sini tahu, Janda Baik ialah tempat kegemaran saya berehat. Dahulu saya pernah menumpang 3 tahun duduk di rumah penulis buku politik Pak Habib atau S.H. Alattas. Kemudian atas sebab-sebab tertentu, saya telah keluar dari rumah itu lalu lebih selesa tidur di sebuah surau di tepian sungai apabila naik ke Janda Baik.
Sesekali, saya akan bermalam seorang diri di sebuah rumah lama dari Perak yang dicabut dari Gunung Semanggol lalu dipasang-balik di satu bahagian Janda Baik. Untuk malam Tujuh Likur tahun lepas, saya telah bermalam di sana dan untuk malam Tujuh Likur baru-baru inipun saya bermalam lagi seorang diri di rumah itu dalam kegelapan tanpa eletrik.
Sila lihat artikel Pemandangan dalam rumah lama Perak di Janda Baik (An inside look of the old Perak house in Janda Baik) yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi. Sedikit gambar yang ada diambil pada pagi hari selepas selamat bermalam di rumah itu tanpa apa-apa gangguan...
Untuk makluman, malam Tujuh Likur atau 27 Ramadhan adalah hari lahir saya menurut tahun Hijrah sedangkan rumah lama tidak berpenghuni yang dikatakan sangat 'keras' itu ada semacam talian peribadi istimewa buat saya. Cerita akan disambung selepas melepaskan beberapa buah artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Harap bersabar... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan