Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Ogos 04, 2008

Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak...


Ini adalah gambar motosikal besar saya diambil daripada artikel Yahoo, eh... Alhamdulillah... Moto beso aku boleh jalan dah! yang dibuat 3 minggu lalu. Adapun saya memaparkan kembali gambar ini kerana mahu menunjukkan tayar belakang yang dibeli di Bentong, Pahang tahun 2002 dan kini masih dapat digunakan elok alhamdulillah, tayar yang menggantikan sebuah tayar lain yang telah meletup dalam perjalanan mendaki Banjaran Titiwangsa untuk ke Raub, Pahang. Baca ceritanya di bawah...

Saya tak pasti apakah saya pernah memaparkan cerita yang merupakan sedutan daripada buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" ini di sini. Apapun, sedutan ini ialah versi yang telah diedit sedikit untuk edisi Internet yang akan datang. Sila baca... Oh, biar diletakkan sedikit kata-kata pembukaannya sekali yang merupakan sedikit terjemahan ayat-ayat Al-Quran untuk membuka bab yang diberi nama Bab 12. Mari! :]

-----------------

BAB 12

Ketika Yusuf berkata kepada bapanya:
Hai bapaku! Sesungguhnya aku bermimpi
melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan
semuanya kulihat sujud kepadaku.

Berkata bapanya: Hai anakku! Janganlah engkau ceritakan
mimpimu itu kepada saudara-saudaramu,
nanti mereka akan memperdayakanmu dengan segala tipu-daya.
Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia.

Demikianlah Tuhanmu memilihmu
dan mengajarkan takwil mimpi kepadamu dan
kepada keluarga Ya’aqub,
sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya
kepada dua orang bapamu sebelumnya, Ibrahim dan Ishaq…

- Surah Yusuf, Ayat 4-6

Awal pagi Khamis pertengahan 2002, Rasyid mendapat panggilan telefon daripada ayah. Mereka jarang berhubung kecuali jika ada perkara penting. Ternyata panggilan itu sangat penting bagi keluarga...

“Rasyid,” kata ayah. “Nenek semakin teruk. Dia kini di Raub.”

Pemuda itu faham maksud ayah... Sebelum itu, ibu kepada ayahnya ini telah terlantar sakit lebih tiga bulan di Hospital Daerah Bentong... Sakit tua campur kencing manis campur darah tinggi dan entah apa-apa lagi. Selama terlantar di katil hospital, Nenek lebih banyak tidur, lemah, sakit-sakit badan dan kepala, langsung tak boleh bersuara. Dia tahu Nenek tak mampu lagi bertahan. Sudah sampai masanya wanita berumur hampir 80 tahun itu meninggalkan dunia yang fana’ ini.

“Baiklah,” jawab Rasyid. “Saya bergerak ke Raub sekarang.”

Pemuda itu bersiap ala kadar kemudian menghantar pesanan SMS kepada isteri yang sedang bertugas memaklumkan rancangan. Enjin motosikal besarnya dihidupkan, dia pun meninggalkan Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan, kata-kata Nenek dalam perbualan terakhir mereka lebih setengah tahun lalu terngiang-ngiang di telinga...

“Ingat! Kamu berasal dari keturunan orang baik-baik. Jaga nama baik keluarga. Ada amanah besar perlu kamu pikul nanti. Ingat itu!”

Ya… Saya ingat Nek. Tak pernah lupa walau sedetik. Sebab itu cucunda sanggup mengembara ke sana ke mari mencari dan menziarahi makam-makam lama untuk mengenali asal-usul keluarga... Sanggup bertungkus-lumus menggali kembali cerita-cerita Melayu lama, sanggup meninggalkan keselesaan hidup, kerjaya yang elok dan lumayan malah sanggup mengenepikan rumahtangga sehingga dituduh gila!

Saya tahu Nenek sengaja tak menceritakan semuanya, setakat memberi sedikit sejarah keluarga supaya cucunda keluar berkelana. Sebab itu saya sanggup tempuh perjalanan hidup yang mencabar demi menyerlahkan diri sejati supaya mampu memikul amanah itu nanti.

Motosikal berkuasa tinggi meluncur laju 120kmj hingga 140kmj memasuki bahagian lebuhraya berliku mendaki Banjaran Titiwangsa. Tiba-tiba terdengar letupan kuat di sebalik deruan angin.“Ah!” bisik hatinya. “Bunyi seperti tayar motosikal aku meletup!”

Kebetulan kedua tayar motosikal itu sudah lama licin tanpa bunga. Tapi dia terus menggunakannya kerana tak mampu menukar baru. Maklumlah tayar hadapan RM300 harganya, yang belakang RM400!

Bayangkan tayar belakang buruk, lebih tiga bulan kelihatan benang. Di sesetengah bahagian, jaringan benang yang sepatutnya tersorok dalam getah menonjol keluar sehingga mengelilingi seluruh ukurlilit tayar bermakna bila-bila masa sahaja ia boleh bocor! Bayangkan...

Pemuda itu buat tak tahu apa yang berlaku dengan harapan letupan kuat itu berasal dari sebuah lori besar yang dilepasinya tadi. Sambil itu dia tak henti berzikir dalam hati memohon pertolongan Allah SWT supaya sempat sampai ke Raub dengan selamat. Kelajuan motosikal dikurangkan kepada 80kmj hingga 100 kmj kerana jalan berliku tajam. Sekitar 5km selepas melepasi terowong bawah-tanah di Genting Sempah di mana penurunan Banjaran Titiwangsa bermula, motosikal itu mula terasa ‘geylong’, tidak stabil dan susah hendak dikawal.

Ternyata tayar belakang motosikal sudah kempis kerana besi rim tayar terasa bergesel dengan jalan. Rasyid yang berada di laluan pantas memberikan isyarat untuk ke tepi jalan sambil memperlahankan motosikal dengan kadar terkawal supaya tak tergelincir. Nasib baik dia telah menghampiri simpang ke pekan Bukit Tinggi lalu dapat keluar dari lingkungan tertutup lebuhraya. Pemuda ini terus menghalakan motosikal pancit itu ke kawasan kedai berdekatan. Kebetulan ayah dan ibu yang bergerak dari Muar baru hendak sampai ke Kuala Lumpur... Mereka dapat dihubungi lalu ditumpang sampai ke Raub!

Rasyid sampai ke Hospital Besar Raub lebih kurang dua jam kemudian. Beberapa orang saudara-mara telah berkumpul mengelilingi katil di mana Nenek sudah lebih tiga hari tak sedarkan diri... Dapat bernafas pun dengan sokongan alat life-support machine... Pemuda itu terus meluru ke sisi lalu menggenggam tangannya. Nadinya sangat lemah menandakan nyawanya kini berada di hujung tanduk…

Seorang sepupu mendapat tahu apa yang berlaku lalu menawarkan diri menolong membawa motosikal pemuda itu kembali ke Raub.

“Kamu tak boleh tinggalkan di Bukit Tinggi,” dia memberitahu. “Di situ lori-lori besar biasa keluar masuk. Takut ada yang berniat jahat lalu mengangkut dan membawa motosikal kamu pergi.”

Rasyid termenung panjang. Perlukah ke sana meninggalkan Nenek yang sedang nazak? Pemuda ini bertafakur sebentar... Lalu hati kecilnya berkata, nenda akan bertahan sedikit lagi sekurang-kurangnya sehingga anak-anaknya yang bertebaran di Semenanjung berada ke sisi.

Anak muda itupun mengangguk bersetuju. Kata sepupunya, mereka boleh pergi ke kedai di Bentong yang menjual barangan motosikal besar dan meminta pihak kedai supaya membawa van ke Bukit Tinggi untuk mengangkut motosikal lalu ditukarkan tayar. Cuma satu saja masalah... Dia tiada wang untuk membeli tayar baru. Nasib baik ayah sedia menolong. Sejak mula bekerja enam tahun lalu, Rasyid tak pernah meminta duit orang tuanya tetapi kali ini dia tiada pilihan... Ayah faham lalu menghulurkan RM400 dari poket baju.

Dipendekkan cerita, motosikal itu dapat diangkut ke Bentong dan ditukarkan tayar serta dilengkapi getah tiub baru dengan jumlah harga RM380. Sepupu Rasyid pula menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat tayar lama yang koyak berlubang besar...

“Nasib baik tak tergolek,” katanya. “Kamu memang beruntung dapat selamat kerana Tuhan memang mahu menemukan dengan Nenek.”

Bayangkan... Tayar itu bukan saja terkoyak berlubang besar malah tiub di dalamnya pun boleh terkeluar terbang! Plet nombor di belakang pula berkecai tinggal serpihan yang dikunci dengan skru, mungkin kerana dihentam tiub yang terkeluar. Sebab itu terdengar bunyi letupan kuat... Rupa-rupanya bunyi tayar pecah campur plet belakang dihentam. Dalam keadaan itu, Rasyid bukan saja selamat malah berjaya menunggang motosikal mendaki lebuhraya berliku agak curam pada kelajuan 80kmj hingga 100kmj, terus berjalan 10km lagi untuk sampai ke simpang keluar yang membolehkannya berehat!

------------------

OK. Seperti disebut dalam artikel Nombor 131 dan gerak penceritaan seterusnya... yang dibuat Khamis minggu lepas, selepas ini saya mahu memaparkan satu siri cerita lama tentang perjalanan tak dirancang ke Singapura penghujung 2006 diikuti cerita tentang umrah yang dibuat 2005. Fikirnya, saya tidak akan membuat apa-apa perjalanan baru sehingga masuk pertengahan bulan untuk ke Perak seperti ada disebut dalam artikel Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua!

Sebaliknya hujung minggu lalu terjadi pula satu perjalanan ke Gemas seterusnya ke Melaka. Lalu terasa pula mahu diluahkan lalu tadi saya lepaskan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH melalui artikel-artikel bertajuk A long trailer passing through Gemas... dan A visit to Gemas, Malaysia's very own rail crossroad... di diikuti cerita Masjid (Mosque of) Tengkera, Melaka di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Apapun, di celah cerita tentang Singapura yang insyaallah akan saya mulakan selepas ini, saya bercadang mahu meletakkan sedikit cerita sokongan sebagai persediaan untuk perjalanan ke Perak yang akan berlangsung tak lama lagi... Sekurang-kurangnya untuk persediaan sesiapa yang mahu turut sama agar dapat mengatur fakta kejadian sekitar Perjanjian Pangkor 1874 seperti yang pernah saya paparkan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?".

Kebanyakan fakta sekitar perjanjian itu diletakkan dalam bab yang bertajuk Bab 12 pada buku itu. Kebetulan dalam proses untuk membuat siri buku "Berpetualang ke Aceh" versi Internet, saya selesai mengedit bab itu di Gemas... Apabila melihat betapa bab itu menceritakan banyak lapisan peristiwa yang membawa kepada Perjanjian Pangkor, saya rasa elok juga seluruh isi Bab 12 yang baru diedit itu dipaparkan di blogspot ini peringkat demi peringkat hingga selesai. Bermula dengan bahagian yang terpapar di atas ini...

Tiada ulasan: