-----------------
Bagi Rasyid, ia seperti negeri pokok pisang “Separuh” yang pernah ‘diasaskannya’ ketika berumur lima tahun tetapi jauh lebih besar. Walaupun penduduk sekitar melarang anak-anak mereka bermain di sana kerana menurut ceritanya, pohon jejawi itu adalah sarang pontianak dan tempat kepala orang dipancung semasa zaman pemerintahan Jepun, pemuda ini terasa begitu tenang di situ sehingga adakalanya dia akan memanjat pohon seorang diri lalu berehat di atas dahan besar di pertengahan ketika senja sehingga matahari terbenam!
Ada masanya, Rasyid akan membawa rakan-rakan, kadang-kala sehingga 30 orang sekali datang untuk “beriadah” di pohon jejawi tersebut. Memang seronok bergayut seperti Tarzan pada akar-akar atas yang menjulur keluar daripada dahan-dahan sehingga terjuntai mencecah tanah atau bermain sorok-sorok dan perang... Paling tidak pun berehat sambil bercerita di ‘gua-gua’ di pangkal pokok, terutama sebuah ‘gua’ besar yang dilengkapi pangkin buatan mereka.
Hendak dijadikan cerita, suatu hari, setelah menghadiri dua tiga kelas pagi sekolah agama, timbul rasa jemu lalu Rasyid mengajak dua orang kawan, Hid dan Boy (dipanggil Boy kerana dialah satu-satunya anak lelaki dari 7 orang adik-beradik, anak bongsu lagi!) untuk bermain di pohon itu. Sudah jadi semacam kewajiban kanak-kanak di Muar untuk menghadiri sekolah agama yang diadakan bergilir dengan sekolah harian biasa. Jika sesi sekolah harian diadakan petang, maka sekolah agama pula diadakan sebelah pagi. dan begitulah sebaliknya.
Hid dan Boy yang selalu mengikutinya bermain pun pergi bersama, masing-masing menaiki basikal setelah berjaya ‘melepaskan’ diri daripada pengawasan guru. Sampai sahaja di sana, mereka terus berlumba memanjat ke pertengahan pohon di mana dahan-dahan besar mula bercabang. Tak sampai seminit sudah sampai pada ketinggian tidak kurang 25 kaki. Aktiviti seterusnya adalah meniti sebuah dahan besar yang menjulur keluar lebih 30 kaki untuk sampai ke bahagian hujung di mana sebuah akar ‘Tarzan’ menunggu untuk dijadikan buaian.
Rasyid memulakan langkah diikuti Boy. Hid yang boleh tahan lincah mengekori di belakang. Langkah mereka bertukar menjadi lari-lari anak. Tiba-tiba Hid menjerit “Berhenti! Berhenti!” dengan nada panik.
Pemuda itu yang sedang menumpukan perhatian pada hujung dahan pun berhenti dan menoleh ke belakang. Ada sesuatu yang tidak kena...
“Mana Boy?” dia bertanya. Sepatutnya Boy ada di belakang Rasyid...
“Ada di bawah... Dia terjatuh tadi!” Hid tercungap-cungap menjawab.
“Alamak!” jantung Rasyid mula berdegup kencang. Masalah ini!
Dia melihat ke bawah. Kelibat Boy langsung tidak kelihatan, mungkin terperosok di celah semak dan rimbunan anak pokok lebih 20 kaki ke bawah? Belukar yang tumbuh di sekeliling pohon jejawi boleh tahan tebal...
Dalam keadaan berdebar, pemuda itu memberikan arahan: “Kita turun!”
Hid menganggukkan kepala lalu berpatah balik untuk turun melalui pangkal pokok. Rasyid pula berlari ke hujung dahan dan turun melalui akar “Tarzan”. Mereka bertemu balik di celah belukar. Sah!… Tubuh Boy terperosok di celah semak dan rimbunan anak pokok. Tidak sedar langsung, pengsan. Terus out...
Rasyid mulai panik. Sebagai ketua, sudah tentu dia perlu bertanggungjawab. Sudahlah ponteng sekolah agama, sanggup menyeludup keluar secara senyap semata-mata untuk memanjat pohon jejawi kegemaran, sekarang rakan baiknya pula tidak sedarkan diri di bawah pohon itu, entah hidup entahkan mati...
Anak yang ketika itu berumur tidak sampai 12 tahun pun tidak tahu keadaan sebenar Boy, tidak terfikir pun hendak memeriksa nadi dan pernafasannya. Dalam jiwanya cuma terbayang masalah besar yang bakal timbul nanti, mengikut imaginasinya yang hyper-active lah itu – Dia telah menyebabkan kematian seorang kawan, ketika mereka sedang ponteng sekolah... Lalu dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan itu. Malah terbayang kelibat Boy reput sedikit demi sedikit dimakan ulat, mungkin bangkit balik nanti menjadi hantu! Begitu jauh imaginasinya bermain… Ternyata Hid lebih waras lalu mencari orang di rumah yang berdekatan, lebih kurang sepelaung dari situ kemudian memecutkan basikalnya balik ke sekolah agama untuk mendapatkan bantuan guru. Akhirnya Boy di bawa ke hospital di kala Rasyid menangis penuh perasaan memohon ampun daripada guru kerana menyebabkan ‘kematian’ rakannya itu.
Lama juga Boy terlantar di wad ICU, pusat rawatan intensif hospital daerah Muar dalam keadaan koma, langsung tidak sedarkan diri. Lebih dua minggu kemudian, barulah anak bongsu kesayangan keluarganya itu, satu-satunya anak lelaki di antara lebih 10 adik-beradik mula membuka mata dan berkata-kata, itupun sering dalam keadaan meronta-ronta dan meracau-racau, bercakap yang bukan-bukan seperti disampuk hantu ataupun syaitan! Kata orang Boy dirasuki penunggu pohon jejawi besar, maklumlah tempat pontianak dan jin bertendang! Sebulan kemudian barulah rakan sedarjah Rasyid di kelas Enam Beruang ini berjaya dipulihkan sehingga cukup waras untuk dibawa keluar daripada hospital... Itupun mengikut ceritanya setelah dikunjungi beberapa orang ahli perubatan tradisional... Setelah beberapa percubaan untuk memulihkannya gagal!
Rasyid masih ingat betapa marahnya ibu Boy kerana menyebabkan anak emasnya jadi begitu. Boy merupakan seorang pelajar cemerlang, pengawas serta ahli jawatankuasa pelbagai persatuan di Sekolah Ismail Dua, salah sebuah sekolah rendah terkemuka di Muar, selain olahragawan dan jaguh lumba lari jarah jauh peringkat negeri Johor..Tetapi sejak peristiwa itu, dia tidak aktif lagi seperti dahulu malah adakalanya kelihatan seperti orang sewel.
“Saya jaga anak saya macam jaga ayam Australia. Tiba-tiba ikut budak ini boleh jadi begini pula,” katanya dalam nada pedas tetapi masih terkawal di hadapan beberapa orang rakan dan guru sekolah yang menziarahi hospital.
Perubahan fizikal Boy paling ketara sejak berlaku peristiwa itu...Kepalanya menjadi ‘teleng (bahasa budak-budak Muar) ataupun senget... Sentiasa mengiring ke sisi seperti orang mengantuk atau terlentuk. Air-mukanya pula kelihatan pelik, seperti orang “tiga suku” atau orang tidak betul. Dia sentiasa tersengih seperti kerang busuk, adakalanya seperti tenggelam dalam dunia sendiri...
Beberapa tahun kemudian, ketika Rasyid menuntut di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang, Boy terlibat dalam satu lagi peristiwa “Misteri Nusantara”. Dia menceroboh masuk asrama perempuan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SAB), tidak jauh daripada rumahnya selepas tengah malam. Mengikut cerita orang, dia telah menutup suis eletrik utama asrama sehingga black-out kemudian masuk ke bilik seorang pelajar perempuan tertentu dalam keadaan separuh sedar, ada yang kata sleep-walking, berjalan dalam tidur! Kononnya anak muda ini telah dirasuk penunggu pohon jejawi besar tempatnya jatuh dahulu lalu disuruh berbuat perkara yang tidak elok... Wallahualam!
Apapun, Boy berjaya melanjutkan pengajian ke universiti di England di bawah tajaan MARA. Di England lah, di Malaysia Hall, London, pada musim panas 1995, Rasyid bersua kembali dengannya setelah lebih 10 tahun tidak bertemu. Ternyata Boy masih ‘teleng’ dengan air-muka “tiga-suku”nya…
2 ulasan:
Kakak Boy tu cun dulu Ooo..aku pun terpikat ..sbb pegi skolah satu van ngan dia...
Hah? Kakak Boy? Aku tak cam le. Tak pernah plak time tu aku terfikir nak telek muka adik-beradik dia... heh! :]
Catat Ulasan