Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Jun 01, 2007

Nostalgia kenangan silam di bandar Muar

Masjid Jamek Muar.

Nak tengok banyak lagi gambar-gambar di Muar, klik kat sini:-
Gambar-gambar di Muar (pictures in Muar)
Gambar-gambar di Muar 2 (Pictures in Muar 2)
Gambar-gambar di Muar 3 (Pictures in Muar 3)

Alhamdulillah, setelah bertungkus-lumus menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan terbitnya buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II sepanjang 2 minggu lepas, saya akhirnya boleh bernafas sedikit lega. Petang tadi, saya baru sahaja selesai mengalihkan 1,680 naskah buku ini daripada kilang percetakan ke tempat simpanan persendirian (angkat sendiri woo!!!) milik seorang rakan maka selepas ini saya boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap majlis pelancaran siri buku BKA yang akan diadakan Sabtu 9 Jun di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit pula.
Adapun, salah satu perkara yang mengganggu jiwa sepanjang 2 minggu ini selain penat-lelah mengejar masa melaksanakan pelbagai perkara di berbagai lokasi berlainan adalah keinginan untuk kembali ke kampung ibu di Muar, Johor (ayah yang berasal dari Perak pun dah jadi orang Muar) untuk menghadap dan memohon restu mereka. Kesibukan menyelesaikan bermacam-macam hal membuat saya terpaksa menunda keinginan ini.
Kalau ikutkan, proses mengalih baki buku daripada kilang adalah proses terakhir selepas sejumlah buku diserahkan kepada pengedar (maknanya tak lama lagi masuk le ke kedai-kedai seluruh Malaysia, yeye!). Ia sepatutnya selesai Isnin lalu, maka saya telah berkira-kira untuk untuk kembali ke kampung hari seterusnya dan berehat 2-3 hari di sana. Rupa-rupanya banyak hal lain menganggu sehingga proses pengalihan ini cuma dapat diselesaikan Jumaat petang tadi. Kalau nak balik kampung rasa terburu-buru pula sebab hari Ahad ini saya sudah berjanji untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat, kemudian mengatur langkah yang patut untuk majlis pelancaran siri buku BKA hujung minggu depan.
Nasib baiklah ada seorang kawan yang menawarkan untuk membawa saya balik hari ke Muar Khamis, semalam. Maklumlah, saya cuma mengharapkan pengangkut awam kerana tidak memiliki kenderaan sendiri (kecuali motor besar yang tersadai 2 tahun di Janda Baik menunggu masa untuk dibaik-pulih). Maka dapat juga saya kembali menghadap ayah dan bonda lalu memohon restu dan doa mereka agar usaha saya di dalam dunia penerbitan buku mendapat kejayaan. Sempat pula singgah di beberapa tempat di Melaka sebelum kembali ke Kuala Lumpur petang itu juga.
Apapun, saya sungguh bersyukur kerana gerak Qudrat dan Iradat daripada Allah Ta'ala yang telah melapangkan dada ini. Di sini, saya rasa ingin berkongsi sedikit cerita nostalgia zaman ketika masih menetap di Muar lebih 20 tahun lalu yang ada dinukilkan di dalam buku BKA II.
Sila, baca... :]
Oh... Terlupa pula. Cerita yang diambil daripada Bab 7 ini bermula dengan pengalaman berada di Pengkalan Brandan, Sumatera, Indonesia... Ketika berehat di sebuah jeti tepi sungai, tiba-tiba teringat pula pada Muar! Kena le beritahu, kalau tak nanti orang pelik, apa pula cerita ini, duduk kat jeti mana tetiba teringat kat Muar pula. Apa hal? Heh...


---------------------


Rasyid naik ke atas jeti. Kelihatan sebuah sungai yang agak luas, lebih kurang seluas Sungai Muar di bahagian kuala. Pemuda itu mengambil satu sudut yang selesa untuk menikmati pemandangan indah sungai yang luas dengan ramai orang sedang berperahu merata di permukaan air. Di seberang sungai kelihatan sebuah kampung yang terdiri di atas pelantar kayu atas air, berlatar-belakangkan hutan kayu bakau saujana mata memandang. Suasana dan pemandangan itu sungguh mempesonakan. Terasa begitu tenang dan aman, sudah lama betul dia tidak merasa damai sebegini...
Tiba-tiba anak muda itu terasa seolah-olah jiwanya ditarik satu kuasa anih memutarnya kembali ke tahun 60an (walaupun tidak pernah mengalaminya kerana dilahirkan tahun 70)... Balik pada suatu zaman di mana kehidupan lebih santai dan aman damai. Kata orang putih, simple life... Hamba Allah ini amat merindukan suasana kampung sejati di mana manusia tidak terkejar-kejar mencari dunia seperti sering dilihatnya sekarang. Rasanya, di Malaysia sekarang ini susah sungguh hendak terjumpa kampung yang betul-betul dapat memberikan rasa aman damai yang pernah dikecapi seperti semasa dia kecil-kecil dahulu. Zaman telah begitu jauh berubah dan manusia semakin mementingkan diri sendiri, kononnya di atas nama kemajuan. Semuanya nafsu-nafsi, seolah-olah tidak wujud lagi rasa kasih-sayang sejati yang tidak meminta pembalasan budi...

———————————————

Sebagai anak muda yang sempat membesar dalam zaman "Buku Hijau" bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak kemudian melalui zaman pentadbiran Tun Hussein Onn, Rasyid merasakan orang Melayu seperti dahulukala yang sangat mesra alam, sayangkan kehijauan kampung halaman serta tidak hairan pada harta menimbun sudah hampir pupus. Sejak akhir tahun 80an, pemuda itu dapat melihat bagaimana anak-bangsanya telah diajar untuk menggunakan segala kebolehan yang ada, segala resources atau hasil dalam tangan lalu menggadai tanah, kebun dan sawah milik keluarga turun-temurun untuk mengejar apa-apa peluang membuat duit, menghambat kekayaan dan kesenangan materialistik zaman sekarang... Walaupun ini akan menyebabkan mereka mulai tamak-haloba dan hilang budi-bahasa kebanggaan bangsa, mulai jadi manusia yang kurang-ajar. Segalanya harus berubah atas nama pembangunan!
Berbagai alasan telah dikemukakan atas nama kemajuan dan kemodenan.Konon ini semua perlu, "anjakan paradigma" dan "perubahan minda" mesti dilakukan supaya orang Melayu dapat bersaing dengan bangsa lain terutama Cina... Kata Orang Putih, to join the rat race, supaya dapat memenuhi sasaran Bumiputera menguasai kek ekonomi negara sekurang-kurangnya 30 peratus, tidak ketinggalan dalam perlumbaan mencari harta. Lalu ramai yang berhijrah ke bandar besar untuk mencari kehidupan lebih sejahtera yang kononnya dapat diukur dari segi pencapaian wang ringgit. Banyak pula yang mula berubah perangai dan jadi lupa diri apabila terasa sudah moden, up to date... Lalu rambut yang hitam arang bertukar jadi blonde, loghat Kedah jadi pelat palsu British dan Amerika, makan pakai tangan sudah geli, mesti pakai sudu dan garfu sahaja!
Natijah perubahan tatacara hidup yang sangat nyata akhir 80an menyaksikan kemunculan ramai OKB – Orang Kaya Baru dalam persada perniagaan juga politik negara. Mereka adalah orang-orang kaya Melayu yang berjaya diwujudkan melalui pelbagai program tajaan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputra termasuk proses pengswastaan yang menyaksikan ramai bekas pegawai kerajaan menjadi ahli perniagaan dan korporat segera... Termasuk di kalangan mereka adalah orang Melayu yang mempunyai "kabel" atau talian politik yang membolehkan mereka memperolehi hasil durian runtuh daripada pengagihan pink slip, saham-saham Bumiputra yang diterbitkan melalui polisi 30 peratus Bumiputra ownership yang diwajibkan terhadap syarikat luar yang ingin beroperasi di Malaysia. Maka pada ketika syarikat-syarikat luar diberi pelbagai insentif menarik untuk melabur dan membuka anak syarikat di Malaysia, ramai mendapat untung atas angin lalu menjadi para OKB dalam sekelip mata!
Pada masa itu juga muncul anak-anak muda gaya baru sebaya Rasyid yang datuk-neneknya dahulu pernah berhempas-pulas berkebun dan bersawah. Atas nama kemajuan, anak-anak berbapakan para OKB ini seolah-olah diajar untuk melupakan sejarah silam keluarga demi mencipta identiti baru yang dikira lebih ranggi dan selari dengan status sebagai orang bandar. Sesetengah daripada mereka masih memiliki sepupu yang leka bermain dengan lumpur di luar bandar tetapi mereka pula mendakwa tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung-kampung, kononnya jijik, kotor, tak standard. Maklumlah, mereka dibesarkan di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, tidak pernah kenal erti kehidupan kampung, tidak tahu keseronokan mengejar anak ayam dan dipatuk angsa berang! Lalu terdapat anak-anak Melayu yang baru beberapa tahun menjejakkan kaki ke luar negara, sesetengahnya setakat pernah duduk setahun dua di England semasa kecil kerana mengikuti ibu-bapa yang menyambung pengajian ke peringkat Masters... Tetapi berani mendakwa kepada kawan-kawan di Malaysia bahawa mereka telah dibesarkan hampir seumur hidup di London dan bila balik kononnya tidak tahu berbahasa Melayu!
Masuk tahun 90an pula, Rasyid melihat suasana kampung dan luar bandar turut berubah apabila budaya "serba moden" bandar mula menyelinap masuk ke dalam. Rumah-rumah kayu yang memilki character tersendiri sebagai identiti dan jati-diri Melayu dari pelbagai daerah dan pecahan ras bangsa banyak telah dirobohkan atau direnovate untuk dijadikan rumah batu seperti di bandar juga. Penduduknya pula semakin mementingkan diri sendiri, nafsu-nafsi belaka sehingga kawasan dan halaman rumah jiran yang dahulu pernah menjadi tempat permainan anak muda itu dan kawan-kawan tergolek dikejar angsa telah dipagar-tutup supaya orang ramai tidak boleh lagi menumpang lalu. Kononnya takut diceroboh pencuri... Maka tidak ada beza lagi kampung dan bandar kecuali dari segi kepesatan pembangunan dan jumlah bangunan tinggi. Semuanya mementingkan diri sendiri, yang tinggal Melayu cuma sifat hasad dan dengki.
Sekarang, kalau mahu merasa suasana aman damai kampung yang suci murni, kita terpaksa pergi jauh mencari kampung terpencil di pinggir hutan. Malah pinggir hutan pun belum tentu selamat daripada arus pembangunan yang membawa kepanasan dosa manusia yang tamak-haloba... Terpaksa pergi lebih jauh masuk ke dalam, barulah ada sedikit kedamaian. Kemajuan material yang dikejar-kejar memang telah memberi banyak manfaat kepada bangsa Melayu yang dahulu sering merasa kerdil selepas hidup lama di bawah ketiak penjajah tetapi apakah harganya? Apakah kesannya terhadap hati dan jiwa kita?
Memang sudah menjadi adat manusia... Mereka yang hidup di kampung kepingin hendak menghirup kehidupan berwarna-warni serba-moden di bandar-bandar besar tetapi mereka yang telah merasa segala macam nikmat duniawi urbanisasi yang disertai hiruk-pikuk yang membingitkan akhirnya ingin kembali mendekati alam semulajadi di kampung. Dulu semasa dibesarkan di Muar, di kawasan pinggir bandar yang bukan kampung tetapi dirasanya seperti kampung, Rasyid selalu bermimpi hendak melihat bandar kelahirannya menjadi sebuah kotaraya besar seperti Kuala Lumpur... Selalu ternanti-nanti bilakah Muar akan memiliki jalan double-lane, jejantas bertingkat juga lampu isyarat kerana seingatnya itupun belum wujud di situ ketika dia masih menuntut di sekolah rendah lebih 25 tahun dahulu. Semasa itu, dia amat mendambakan pembangunan besar di daerah kelahirannya sehingga angan-angan untuk melihat Muar memiliki bangunan pencakar langit terbawa-bawa ke tempat tidur!
Ketika sedang duduk mengelamun di Tanjung Emas, di kuala Sungai Muar sambil menikmati angin laut pula, pemuda ini sering berimaginasi, jika memiliki kuasa ajaib atau superpower, ada kekuatan magic yang boleh mencabut dan mengalihkan bandar-bandar, maka dia akan mengambil secebis kota New York bersama secebis kota London lalu mengaturnya di kedua-dua tebing sungai supaya Muar menjadi kotaraya besar, jauh lebih besar dari Kuala Lumpur yang sering disebut-sebut orang. Semasa itu, Muar yang dianggap bandar kedua terbesar di Johor selepas ibu negerinya Johor Bahru cuma merangkumi sedikit bahagian selatan sungai... Terlalu kecil untuk memuaskan imaginasi suburnya yang sering membayangkan kehebatan serta kepesatan kota-kota besar dunia seperti London dan New York seperti dilihat.dalam buku, poskad dan majalah, juga rancangan televisyen yang menjadi sajian harian zaman kanak-kanaknya.
Lagipun Rasyid cukup berminat dengan bangunan tinggi dan megah menggapai awan, sudah lama tertarik dengan rekabentuk infrastuktur hebat seperti Empire State Building di New York dan Sears Tower di Chicago. Maka dia kecewa kerana semasa itu, sebelum awal 80an, Muar belum lagi memiliki bangunan yang lebih tinggi dari lima tingkat, apalagi pencakar langit 30 tingkat ke atas seperti di Kuala Lumpur ataupun Singapura... Sampailah satu masa nanti, kalau tidak salah ingatan selepas Rasyid masuk sekolah menengah apabila bangunan UMNO Cawangan Pagoh setinggi 12 tingkat didirikan di sebelah stesyen bas. Lalu dia cukup berbangga Muar sudah ada bangunan tinggi, boleh dijadikan modal bercerita kepada kawan-kawan yang datang dari seluruh pelusuk tanah-air di sekolah asramanya, Sekolah Menengah Sains Johor di Keluang..
Sekarang semua itu tidak begitu penting baginya... Bukan keperluan hidup yang dapat menjamin kebahagiaan atau kesejahteraan sesiapa. Rasyid masih sukakan bangunan tinggi lagi megah, cuma tidak lagi kuat seperti dahulu. Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentu dia merasa bangga apabila Kuala Lumpur berjaya memiliki bangunan tertinggi di dunia (sekarang entah ke berapa kerana sudah banyak negara lain membangunkan bangunan yang lebih tinggi) iaitu menara berkembar Petronas... Sudah merasa bersantai di zon eksklusif tingkat 88 bangunan itu, juga pernah menikmati hidangan buffet restoran berpusing menara Telekom di Bukit Nenas yang membolehkan pelanggan melihat pemandangan setiap sudut kotaraya daripada aras ketinggian 300m!
Hamba Allah berjiwa halus ini juga masih meminati infrastruktur besar seperti lebuhraya dan persimpangan bertingkat yang boleh didapati hampir di mana-mana bandar besar Malaysia kini, masih boleh terpesona melihat bahu batu gergasi yang menyokong lebuhraya MR2 (Middle Ring Road) terutama di persimpangan Ampang berhampiran pusat membeli-belah Ampang Point. Tetapi dia lebih merindukan suasana damai aman tenteram, bukan ribut traffic jam, orang kelam-kabut mengejar masa dan duit seperti sering dilihatnya sekarang... Orang lebih banyak menyamakan masa dengan duit, bukannya anugerah Allah Ta’ala untuk manusia mengenali Pencipta dan perbuataanNya.
Banyak perubahan zaman sekarang yang Rasyid rasa kurang berkenan. Dia melihat kesibukan untuk memajukan diri masing-masing telah menyebabkan orang Melayu yang dahulu cukup terkenal dengan adab sopan juga rasa keprihatinan dan semangat ukhuwah yang tinggi sudah tidak berapa pedulikan lagi nasib orang lain walau yang sebangsa dan seagama dengan mereka... Malah kebanyakkannya sudah pandai menipu dan "menyembelih" anak bangsa sendiri demi mencari kekayaan dalam dunia yang semakin kehilangan arah dan pedoman. Pada Rasyid, bangsanya tidak lagi mementingkan budi pekerti elok dan akhlak mulia yang sejati. Kalau ada pun, mereka setakat memandang budi pekerti zahir penuh kepura-puraan yang sering dibuat-buat untuk mencapai sesuatu matlamat, budi pekerti PR atau Public Relations yang menjadi kebanggaan para hipokrit! Maka hatinya sering menjerit.. Ke manakah perginya kejujuran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang sebenar? Apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu sekarang? Apakah berbaloi dikorbankan segala sifat mulia yang pernah menghiasi anak bangsa semata-mata untuk menjadi kaya-raya dan berkuasa, supaya di pandang hebat masyarakat? Inikah natijah segala usaha untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain?

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Ke manakah perginya jati diri Melayu sebenar yang tidak hairankan harta dan pangkat, tidak boleh dibeli dengan apa bentuk imbuhan keduniaan apalagi rasuah yang menjadi penyakit manusia sekarang? Ke manakah menghilang hati-budi sejati bersuluh Nur Iman pancaran cahaya Ilahi yang tahu menilai budi pekerti mulia dan keikhlasan diri yang tidak mengharapkan balasan? Apakah terjadi kepada sifat-sifat mulia yang patut menjadi pakaian harian seorang Islam? Betul, zaman telah berubah dan arus kemodenan tidak dapat dielakkan... Tetapi adakah kita harus membuang segala yang lama sehingga hanyut dipukul gelombang kemajuan yang menghakis jati diri kita yang sebenar?
Rasyid sudah merasa hidup di Kuala Lumpur yang merupakan kotaraya terbesar di Malaysia... Pernah juga hidup bertahun di kotaraya London, sebuah kota yang jauh lebih besar dan maju dengan penduduk sekitar 10 juta orang. Dia pernah sampai ke Paris yang tidak kurang hebatnya juga beberapa kota megah lain di Eropah seperti Amsterdam, Brussels dan Frankfurt. Walaupun pemuda ini kagum dengan kepesatan hidup di sana, dia menjadi semakin rindu kepada kedamaian desa juga suasana santai seperti yang dirasakannya di pinggir bandar Muar ketika sedang membesar dahulu... Rindu suasana tahun 70 dan 80an ketika ramai orang masih suka berbasikal ke bandar, sesetengahnya menaiki beca...
Anak muda ini teringat pengalaman di Belanda, semasa hitchiking keliling Eropah selepas tamat pengajian di London tahun 1995. Kota-kota besarnya seperti Amsterdam dan Rotterdam bukan calang-calang, mewah dan kaya-raya lagi pesat dan maju pula. Tetapi beribu-ribu penduduknya masih memilih untuk berbasikal ke tempat kerja, juga bersantai di tengah kota. Kenapa Muar yang baru membesar sedikit meliputi bahagian utara sungai tidak mencontohinya? Apa salahnya terus berbasikal walau sudah berpangkat dan kaya-raya?
Anak mendiang Presiden Amerika, John F. Kennedy Junior, juga waris keluarga Onassis yang memiliki empayar perkapalan Greek bernilai berbillion Dolar pun boleh menunggang basikal ke tempat kerja, di tengah kesibukan kota gergasi New York. Kita yang tidak seberapa ini hendak sombong apa? Betullah cakap bekas Perdana Mentera Tun Dr. Mahathir, Melayu mudah lupa…

Tiada ulasan: