Salam pagi Khamis 24 Ramadan. Adapun saya sedang berehat di rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang setelah kembali dari Janda Baik pagi semalam. Petang karang insyaallah akan menyambung permusafiran dan iktikaf, kali ini di negeri Perak. Sebelum itu biar disambung cerita daripada artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Asbab tayar pancit.
Awal pagi Selasa 2 Mac 2024 bersamaan 22 Ramadan 1425 Hijriah. Keadaan sewaktu hendak memulakan solat Subuh berjemaah di surau tempat saya beriktikaf dan bermalam iaitu di Kampung Sum Sum, Janda Baik.
Malam itu tiada orang datang untuk berQiamulail, mungkin kerana hujan lebat. Sekitar jam 8.30 pagi tergerak untuk mengambil gambar ini lalu meletakkan di Facebook berserta teks berikut :-
MENGHARAPKAN PEMBUKAAN DARI MEKAH
Seingat saya pertama kali membaca kitab Al-Futuhat Al-Makkiyah (Pembukaan di Mekah) tulisan Ibnu Arabi (hidup abad ke-13 Masihi), dalam bentuk terjemahan ke bahasa Inggeris di rumah seorang ibu saudara ketika berumur awal 20an, lebih 30 tahun lalu. Banyak perkara-perkara pelik melibatkan ilmu Tasawuf dan keTuhanan diceritakan hasil pengalaman peribadi beliau di hadapan Ka’abah di Mekah. Dua tahun lalu baru membeli sendiri senaskah terjemahan
yang dihasilkan tahun 2016. Tetapi baru 3 minggu kebelakangan mula menelaah. Ini disebabkan kitab Futuhat menjadi rujukan utama seorang sarjana dalam membincangkan sifat masa, satu perkara yang sedang dalam kajian saya untuk cadangan tesis PhD akan datang.
Buku itu tebalnya lebih 600 muka surat. Setelah membaca bahagian awal baru tahu ia sebenarnya cuma mewakili 1 sahaja daripada 37 kumpulan tulisan yang membentuk keseluruhan Futuhat, semuanya melebihi 10,000 muka surat! Dalam tempoh 3 minggu kebelakangan itu saya baca secara bergilir dengan sejumlah artikel moden melibatkan masa dan penciptaan alam menurut faham sarjana berkenaan berdasarkan kajian beliau setelah membaca seluruh Futuhat juga beberapa kitab lain tulisan Ibnu Arabi, dalam bahasa Arab. Sambil itu juga diteruskan usaha mengaji sekurang2nya 1 juzuk Quran proses khatam bagi bulan Ramadan.
Kini, pada pagi ini yang sudah masuk tarikh 22 Ramadan , buku tinggal lagi 56 muka surat untuk selesai, artikel tinggal 7 daripada 95. Bacaan Quran pula sudah dapat hingga setengah Juz 27. Pada ketika ini sudah masuk 4 hari 3 malam saya keluar bermusafir seorang diri tidur di masjid2. Esok insyaallah baru balik rumah sebelum keluar lagi bermusafir 4 hari 3 malam menyambung iktikaf bagi 10 malam terakhir Ramadan.
Besar kemungkinan bacaan buku dan artikel dapat diselesaikan sebelum balik rumah esok. Khatam Quran pula mungkin harus menunggu sehingga hari Jumaat, pada sesi sambungan permusafiran. Semoga usaha ini akan membawa kepada “pembukaan dari Mekah” dalam masa terdekat. Doakan.


Ya. Sepanjang 3 minggu kebelakangan buku Futuhat yang begitu tebal itu selalui menemani ke mana-mana dalam usaha untuk menelaah sehingga selesai. Sambil itu juga dibaca sejumlah artikel berkenaan secara atas talian, sambil juga berusaha untuk mengkhatamkan Al-Quran. Kelihatan satu sudut yang menjadi tempat saya menelaah, membaca juga bersantai Di situlah juga tidur apabila terasa begitu penat.
Pandangan damai ke luar tingkap.
Saya mahu bergerak ke satu surau lain yang mahu dijadikan tempat iktikaf dan bermalam seterusnya di Janda Baik.
Sebelum itu mahu mencari satu bahagian yang belum pernah disinggahi untuk meneruskan bacaan Al Quran.
Di bahagian yang jalan di hadapannya mungkin pernah lalu sekali dua, yang pasti memang belum pernah berhenti singgah itu, juga disambung bacaan dan menelaah artikel-artikel atas talian yang diharap dapat membantu penulisan cadangan tesis PhD akan datang, insyaallah.
Dan seperti biasa sejak 3 minggu kebelakangan digilirkan dengan bacaan buku Futuhat, atau lebih tepat, terjemahan beberapa bab ke dalam bahasa Inggeris edisi tahun 2016.
Dekat nak masuk Maghrib baru ke surau seterusnya.
Di situlah berbuka dengan makanan ringan kemudian bersolat Maghrib berjemaah. Selepas menyambung dengan makanan berat sambung lagi bacaan Futuhat.
Juzuk ke-27 Al Quran sudah berjaya diselesaikan ketika di tepi sungai yang belum pernah disinggah sebelum itu. Begitu juga bacaan artikel yang dicapai melalui satu laman sesawang (yang disebut atas tadi ada 7 artikel lagi daripada 95 tinggal pada waktu pagi). Untuk bacaan Futuhat selepas selesai solat sunat Tarawikh dan Witir baru ada kesempatan untuk menyambung lagi. Alhamdulillah masuk jam 11.10 malam barulah selesai. Semoga selepas itu mendapat Futuhut (pembukaan Ilahi) yang dicari-cari. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan