Salam hari Rabu malam Khamis 15 Rabiulakhir 1444 Hijriah. Ketika menulis ini baru tersedar sudah masuk tarikh Islam tersebut. Allah. Terlupa langsung bahawa saya sepatutnya berpuasa putih siang Selasa dan Rabu. Nampaknya kerana penat akibat perjalanan-perjalanan yang dibuat sejak 27 Oktober. Apapun bersambung cerita daripada
Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh.
Awal pagi Rabu 2 November 2022. Keadaan ketika hendak menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid tempat saya menginap di Kampung Gunung Mensah Hilir, Gopeng.
Selepas solat terus menuju ke bandar raya Ipoh 21 km ke utara.
Bersarapan mee kari dekat Medan Kidd...
Kemudian ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh untuk urusan melibatkan keluarga Laksamana. Urusan berlanjutan sehingga tengah hari kerana kes menjadi sedikit rumit. Dengan ini biar diberikan sedikit butiran berkenaan.
Adapun kes kami ini bermula 2-3 tahun lalu apabila kami iaitu keluarga besar keturunan Laksamana Muhammad Amin daripada belah saya memohon masuk untuk tuntutan terhadap pampasan bagi harta Laksamana di Mekah. Kami masuk menuntut setelah mendapat tahu ada cabang keluarga yang lain telah memulakan proses tuntutan tanpa memberitahu kami. Apabila diminta untuk bersama mereka menolak atas alasan belah kami (kononnya) tidak layak mendapat faraid kerana moyang-moyang kami yang merupakan anak-anak Laksamana didakwa meninggal dunia lebih awal berbanding Laksamana. Sedangkan menurut pengetahuan kami tidak begitu. Hal inilah yang membawa kepada kes mahkamah yang berjalan hingga kini.
Pada mulanya pihak kami bergerak menggunakan satu peguam bagi mewakili tiga jalur utama yang dikatakan anak-anak Laksamana Muhammad Amin iaitu Orang Kaya Arshad (datuk kepada datuk saya), adik seibu sebapanya Aminah dan seorang bernama Ahmad Sharif. Tetapi setelah beberapa lama didapati ada sesuatu yang tidak kena tentang perjalanan kes lalu keluarga belah Aminah memilih untuk mendapatkan peguam lain bagi mencelah, begitu juga halnya keluarga Arshad selepas itu. Disebabkan beberapa perkembangan berkaitan kami semakin lama semakin sangsi apakah hubungan sebenar Ahmad Sharif dengan keluarga (rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel
Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh). Kemuncak kesangsian ini terzahir dengan kami meninggalkan langsung peguam lama lalu mendapatkan peguam baru bagi sesi perbicaraan terkini. Hal inilah yang menyebabkan kes jadi sedikit rumit lalu memenuhi sebahagian besar tempoh masa perbicaraan pada hari Rabu 2 November sebelum kes diputuskan agar disambung lagi pada 30 November.
Di sini saya tidak ingin memanjangkan lagi apa yang berlaku kecuali menyatakan sudah sampai masanya pihak-pihak berkenaan seperti istana dan orang-orang besar Perak mengambil cakna apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes harta Laksamana ini. Siasatlah perkara sebenar, kenapa kami sanggup mendapatkan peguam-peguam baru bagi meneruskan kes. Kami ini tidak pandai membawa mulut mencipta cerita-cerita muluk bagi membela diri sendiri sehingga sanggup melaga-lagakan adik beradik dan keluarga orang lain seperti sudah berlaku sejak sekian lama. Semoga Allah SWT jua menunjukkan duduk letak perkara.
Apapun selesai sesi di mahkamah saya singgah beriktikaf di Masjid Kampung Paloh kemudian pekena Nasi Ganja di tengah bandar raya. Kembali sahaja ke kereta mula hujan lebat.
Saya pun menuju ke Masjid Panglima Kinta untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar. Letaknya kurang 500 meter dari kedai Nasi Ganja.
Namun hujan lebat menyebabkan saya masuk ke bangunan utama makam terlebih dahulu. Ini kerana ia terletak lebih dekat dengan bahagian tempat letak kereta yang ada bumbung. Terjumpalah sesuatu yang selama ini terlepas pandang...
Cuma sekitar beberapa kaki sahaja dari makam Laksamana Hussain (yang bersemenda dengan keluarga Panglima Kinta) terdapat makam seorang anaknya bernama Che Taba Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 19 Mac 1917. Ini cuma sebulan lebih sahaja selepas ayahnya Hussain meninggal dunia 13 Februari 1917. Ah. Maka betullah Hussain memiliki anak-anak lelaki yang dikenali sebagai Che Taba diikuti Che Tambah. Disebabkan Che Taba meninggal begitu awal maka Che Tambah menjadi waris utama harta Hussain (yang disebut sudah bertaraf jutawan pada zaman itu) selepas itu.
Sesungguhnya ini ada kaitan tersendiri dengan hal datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad yang menurut sesetengah pihak sempat menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak ke-13 iaitu bagi menggantikan Hussain. Di kawasan tanah perkuburan keluarga kami di Batak Rabit terdapat makam Che Tambah yang meninggal dunia pada bulan Disember tahun 1918. Ada sebab tertentu kenapa makam beliau boleh berada di situ, bukan di Ipoh seperti halnya Hussain dan Che Taba. Itu yang disebut dalam artikel
Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh bahawa terdapat makam yang tertulis perkataan Inche' Hussain Laksamana di Batak Rabit tetapi dibaca sebagai Haji Ahmad Amin Laksamana oleh pihak lain.
Yang tidak atau belum disebut adalah bagaimana itu dijadikan asas hujah oleh suatu pihak sehingga saudara mara kami jadi berpecah belah. Oh. Ini adalah gambar saya beriktikaf di Masjid Panglima Kinta. Tunggu hujan reda baru hendak menyambung perjalanan.
Semasa di masjid saya mengambil peluang untuk menyemak kembali sejumlah maklumat yang diletakkan dalam galeri sana.
Maklumat berkenaan membuat saya pertama kali ingin ke Kampung Kepayang di Ipoh. Tujuannya boleh disimpulkan melalui hantaran ke Facebook sejurus sebelum menyeberangi Sungai Kinta di kampung tersebut...
SEMOGA KEBENARAN TERSERLAH. JANGAN MUDAH ANGGAP SEMUA YANG KELUAR DI INTERNET WAIMA WALAU DAPAT MASUK KE ISTANA SEKALIPUN ADALAH BENAR...
Ke Kampung Kepayang untuk menyiasat dakwaan2 melibatkan Panglima Kinta ke-7, Dato' Ngah Jabor. Pertama. Betulkah beliau orang sama dengan Ngah Jabor yang terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875? Kedua. Beliau dikatakan memiliki anak lelaki bernama Kanda Jahid. Betulkah isteri Jahid iaitu Ngah Teresah adalah anak Laksamana Muhammad Amin? Atau anak kepada Haji Muhammad Amin yang lain? Dengan itu juga betulkah adik (atau kakak?) Ngah Teresah bernama Puteh Menjera adalah anak Laksamana Muhammad Amin? Kalau ada bukti yang kukuh kami anak cucu sahih Laksamana Muhammad Amin tiada masalah menerima. Tapi kalau main tebuk2 aje bagi masuk dalam salasilah sebab ada nama sama Muhammad Amin? Takkan kami nak terus buat bodoh main terima sahaja?
Di sini cukuplah ditambah bahawa ada pihak mendakwa Laksamana Muhammad Amin memiliki anak-anak perempuan bernama Ngah Teresah dan Puteh Menjera sedangkan ia tiada dalam rekod keluarga kami. Sebaliknya yang dapat ditemui dalam rekod-rekod British adalah orang-orang tersebut merupakan anak kepada orang bernama Haji Muhammad Amin. Tidak ada disebut sebagai Laksamana kecuali oleh pihak yang mendakwa begitu.
Penelitian terhadap rekod-rekod lama juga menunjukkan terdapat beberapa orang bernama Muhammad Amin hidup di Perak sezaman dengan Laksamana Muhammad Amin. Seorang bahkan pernah menjadi penghulu di Batak Rabit yang merupakan kawasan asal keluarga belah saya. Apa yang mahu dikatakan di sini adalah sama ada disengajakan atau tidak ada orang mendakwa mereka adalah anak cucu Laksamana disebabkan memiliki moyang bernama Muhammad Amin. Pihak berkenaan bahkan pernah menuntut kepada saudara mara saya agar dimasukkan keluarga sebagai mereka yang berhak untuk bersama mendapatkan faraid harta Laksamana di Mekah tetapi kami menolak.
Fakta bahawa telah berlaku percubaan untuk masuk ke dalam salasilah kami secara sebegitu rupa sedangkan pihak berkenaan tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti kecuali ada memiliki moyang bernama Muhammad Amin menunjukkan bahawa perkara serupa mungkin telah berlaku pada masa silam. Pada kami kalau sungguh ahli keluarga sekurang-kurangnya boleh bersoreh dengan orang-orang lama dalam kalangan kami sehingga dapat ditemui dan dibuktikan bagaimanakah perhubungan persaudaraan itu. Kalau sungguh ada moyang bernama itu ini sebagai anak Laksamana Muhammad Amin harus ada ahli keluarga kami mengetahui lalu dapat mengesahkannya. Berdasarkan hal ini kami mendapati bahawa kedudukan orang bernama Ahmad Sharif dalam keluarga boleh dipersoalkan. Rujuk balik
Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh.
Semoga pihak istana dan orang-orang besar juga menyiasat sama. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Kerana ia melibatkan hak untuk mewarisi gelaran warisan keluarga juga harta yang sudah sahih dinilaikan berbillion RM, bukan cerita dongeng.
Keluar dari Ipoh singgah pula ke Pengkalan Pegoh lalu ke masjid berkenaan. Lihat Masjid (Mosque of) Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh. Tempat ini memiliki sejarah tersendiri sebagai satu pengkalan utama bagi mengeluarkan hasil bijih timah dari persekitaran Ipoh dan Lembah Kinta ke luar Perak abad ke-19.
Perjalanan diteruskan dengan menghala ke Kampung Gajah melalui jalan ke Tanjung Tualang.
Sejak 2-3 bulan kebelakangan, sejak rajin mengkaji banyak dokumen lama British dalam membentuk keadaan di bumi Perak bermula daripada Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 diikuti pembunuhan Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch pada 2 November 1875 diikuti Perang British-Perak yang berlanjutan sehingga tahun 1876 sebelum ramai pembesar ditangkap dan dihukum, moyang saya sendiri Laksamana Muhammad Amin dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah II pada tahun 1877, saya lebih peka tentang keadaan bentuk muka bumi sepanjang perjalanan dan apa yang pernah berlaku di sekitar itu...
Misalnya laluan Tanjung Tualang ke Kampung Gajah. Lihat sahaja dalam Google Map sambil berjalan. Jelas ditunjukkan betapa banyak bekas lombong wujud di sekitar, lombong-lombong yang dahulunya adalah milik para pembesar Melayu kemudian dirampas oleh British lalu diberikan kepada orang lain termasuk para pengusaha Cina.
Satu perkara menarik dapat dilihat. Ketika membuat perjalanan ke Terengganu dan kembali 27-31 Oktober didapati bendera-bendera parti untuk Piliharan Raya Umum ke-15 terkibar di kebanyakan laluan. Lihat
Kompilasi cerita perjalanan Terengganu 2022. Tetapi dalam perjalanan di Perak ini dah sampai Kampung Gajah baru ada kelihatan.
Perjalanan diteruskan ke Pasir Salak kemudian lebih jauh ke selatan menghilir Sungai Perak.
Cukuplah dikatakan bahawa saya pergi ke paling hujung selatan jalan yang boleh dilalui kereta untuk mencari tapak suatu tempat bernama Kota Lumut. Bukan Lumut di kuala Sungai Dinding yang boleh membawa ke Pulau Pangkor itu tetapi sebuah kota lama di mana Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin @ Raja Lumu ibni Daeng Chelak ditabalkan menggunakan nobat kerajaan Perak pada tahun 1766 Masihi. Lalu singgahlah ke beberapa tempat seperti berikut :-
Lihat juga siaran langsung berkenaan melalui Facebook yang diabadikan di
sini dan
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan