Salam. Merujuk pada artikel Perjalanan Terengganu 2022 - Berserah di bawah perlindunganNya yang dipersembahkan pada tengah hari Selasa 1 November, artikel pertama dan pembukaan bagi siri berkenaan. Pada perenggan pertamanya ada disebut bahawa pada malam sebelumnya saya dan keluarga baru sahaja kembali daripada satu perjalanan di Terengganu yang memakan masa 5 hari 4 malam serta jarak pemanduan tidak kurang 1,100 km. Petang itu pula harus bergerak bersendirian ke Perak kerana satu urusan. Sekarang biar dimulakan cerita tentang perjalanan tersebut.
Adapun perjalanan ke Perak ini merupakan kesinambungan bagi beberapa perjalanan ke negeri kelahiran bapa yang telah dibuat dalam tempoh setengah tahun kebelakangan. Saya perlu berada di Ipoh pada pagi Rabu 2 November 2022 kerana ada lagi sesi perbicaraan mahkamah melibatkan hal harta pusaka waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah II kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875).
Sebetulnya pada Selasa 1 November saya masih memikirkan apakah perlu bergerak hari itu juga atau tunggu selepas Subuh hari Rabu 2 November. Ini kerana kepenatan daripada perjalanan Terengganu masih amat terasa. Lewat petang apabila sampai masa untuk mengambil anak kembali dari sekolah agama baru terfikir elok dimulakan perjalanan. Diajak isteri ikut sekali dalam kereta supaya boleh mengambil kereta lagi satu yang baru siap diperbaiki di sebuah bengkel berdekatan Bukit Sentosa.
Selepas isteri menaiki kereta tersebut dengan anak saya pun bergerak ke Bukit Sentosa untuk menyelesaikan sedikit hal.
Tengok-tengok terlajak sehingga selepas Maghrib baru dapat menyambung perjalanan...
Oh. Sebetulnya banyak hal asalnya mahu diluahkan dalam artikel pembukaan ini yang ceritanya sebenarnya adalah kesinambungan daripada apa yang telah dikongsikan dalam artikel-artikel kompilasi berikut :-
Antaranya adalah betapa hampanya melihat perangai ramai manusia begitu pentingkan kebendaan walhal mengaku diri kuat beragama, berzikir, berselawat, berTasawuf lagi. Letih tengok perangai sesetengah orang apabila ke majlis asyik mahu diangkat dan dilayan sebagai VIP. Sedangkan saya sendiri yang sebenarnya VIP di majlis-majlis berkenaan tidak pernah meminta layanan sebegitu. Pada saya bersyukurlah dapat hadir. Kemudian mahu bebas bergerak ke sana ke sini tanpa terikat dengan apa-apa protokol.
Disebabkan hal-hal sebegitulah saya lihat ramai senang terpengaruh dengan orang yang pandai bermuka-muka lagi penipu pandai memainkan ayat-ayat agama lalu perjuangan hendak menonjolkan kebenaran terasa begitu sia-sia. Kerana orang tidak pentingkan kebenaran. Kebenaran cuma penting apabila dapat digunakan untuk mendapatkan kelebihan dan kemenangan.
Kalau dikatakan puak-puak kaki penipu sanggup bermain bomoh untuk mengenakan kita tentu orang-orang sebegitu tidak akan percaya. Padahal banyak kebenaran boleh ditunjukkan dengan terang kalau mata dan jiwa tidak terhijab. Misalnya batu nesan yang sudah cukup jelas tertulis Jawi perkataan "Inche' Hussain Laksamana" pun tetap mahu dibacanya sebagai "Haji Ahmad Amin Laksamana" demi untuk menyokong dakwaan satu pihak yang mendakwa ada batu nesan lain bertulis perkataan "Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad 11.11.36" sebagai 'bukti' bahawa seorang individu bernama Ahmad Sharif meninggal dunia pada tarikh berkenaan.
Individu ini didakwa sebagai salah seorang anak Laksamana Muhammad Amin yang layak menerima bahagian pusaka faraid Laksamana. Walhal setelah meneliti lebih 11,000 dokumen asli zaman British daripada tempoh masa berkenaan iaitu penghujung abad ke-19 membawa ke awal abad ke-20 dan lebih 2,000 muka surat lagi secara atas talian selain beribu muka surat buku-buku sejarah tidak dapat ditemui apa-apa rekod atau kenyataan untuk menunjukkan bahawa Laksamana memiliki anak bernama Ahmad Sharif kecuali satu sahaja. Ia adalah satu dokumen tanah British di Singapura bertarikh 27 Jun 1925. Dinyatakan hal tanah melibatkan seorang bernama "Ahmad Shariff bin Dato' Muhammad Amin Laksamana"..
Nama Ahmad Shariff ini disebut dalam dokumen tersebut banyak kali diikuti dengan perkataan deceased yang membawa makna beliau telah meninggal dunia ketika dokumen dibuat.
Malah pada pertengahan muka surat kedua dokumen disebut dengan jelas "Ahmad Shariff died on the 29th day of December 1897" iaitu beliau meninggal dunia pada 29 Disember 1897.
Kalau begitu siapa pula Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad yang dikatakan meninggal dunia pada 11.11.36, yang tulisan begitu tertera pada satu batu nesan di Perak? Sama ke dengan Ahmad Sharif yang jelas tertulis dalam dokumen British telah meninggal dunia pada tahun 1897? Ke nak kata dia ni macam Mat Kilau yang diisytiharkan mati oleh British 1895 tetapi sebenarnya masih hidup lagi? Cuma dalam penyamaran sehinggalah mengisytiharkan diri lalu meninggal tahun 1970?
Mat Kilau itu semua orang tahu ceritanya sebagai pahlawan hebat Melayu Pahang yang menentang penjajahan British di negerinya. Disebabkan diburu selepas menentang maka wujud keperluan untuk British mengisytiharkan beliau mati demi meredamkan semangat perjuangan orang Melayu sementara beliau sendiri harus meneruskan kehidupan dalam penyamaran. Tetapi Ahmad Sharif? Pernahkah ke dengar ada pejuang Melayu bernama demikian pada mana-mana zaman? Apatah lagi Ayub Sharif?
Yang pasti, tidak seperti Mat Kilau tidak ada lain-lain rekod menunjukkan wujudnya individu bernama Ahmad Sharif sebagai anak Laksamana Muhammad Amin pada waktu berkenaan iaitu penghujung abad ke-19 Masihi selain dokumen tanah yang diceritakan. Kalau ada sila tunjukkan kepada kami sebagai bukti. Jangan alih topik dengan melaga-lagakan orang lain atau mengatakan mak orang sekian sekian adalah anak angkat dan sebagainya. Tapi kalau nama Muhammad Amin memang ada beberapa orang dengan nama sama di Perak, pada zaman yang sama. Itu boleh ditemui dalam rekod. Kelihatan, besar kemungkinan Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad itu adalah anak kepada Muhammad Amin lain, bukan anak Laksamana.
Walaupun British ada menyatakan terdapat Ahmad Sharif bin Muhammad Amin Laksamana kami masih boleh persoalkan apakah benar anak kandung atau sebenarnya anak angkat? Ini kerana pada zaman itu tidak ada pihak bertanggungjawab untuk menapis hal-hal berkenaan seperti sekarang. Lalu seorang anak angkat boleh diisytiharkan sebagai anak kandung berbinkan Laksamana ketika mendaftar dan membuat surat mati tanpa disoal kesahihannya oleh British. Lalu ini pula kemudian boleh diselitkan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam salasilah besar keluarga Laksamana sedangkan ia sepatutnya ditapis dan disiasat. Kerana walaupun dianggap sebagai anak kandung sekalipun seorang anak angkat tidak layak menerima bahagian faraid harta Laksamana dan anak cucunya tidak sepatutnya mewarisi apatah lagi mahu mendapatkan gelaran keturunan.
Oh. Saya berjalan malam itu dalam keadaan main ikut sahaja mana nak sampai. Ini kerana tidak seperti perjalanan-perjalanan ke Perak sebelum itu belum lagi jelas apakah tempat-tempat yang mahu disinggahi. Yang tahu mesti berada di mahkamah syariah di Ipoh pada pagi Rabu. Apabila sampai ke masjid ini dekat jam 10.30 sekitar 21 km sebelum Ipoh lalu mendapati ia cukup selesa saya pun memilih untuk berehat. Lihat Masjid (Mosque of) Ar-Rahman, Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,332 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan