Dari Universiti Malaya saya bergegas kembali ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk mengikuti satu lagi majlis ilmu. Ia adalah edisi kedua siri syarahan "
Islamic Spirituality in the Malay World" atau "Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu" oleh
fellow dan pensyarah ISTAC, Profesor Baharudin Ahmad. Siri bermula pada 24 Okober 2019 iaitu pada setengah bulan lalu. Ia mahu diadakan sekali setiap 2 minggu petang Khamis. Lihat
Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu - Dia yang Zahir Dia juga yang Batin.
Syarahan dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang. Tetapi ketika itu pun majlis di UM baru sahaja selesai sedangkan ada jarak lebih 10 km perlu ditempuh berserta kesesakan jalan raya. Saya sampai ke bilik syarahan jam 3.02. Ketika itu kedengaran Baharuddin sedang menyebut nama ulamak besar Aceh bertaraf wali abad ke-17 Masihi iaitu Sheikh Abdul Rauf Singkil.
Diceritakan beliau kadangkala membuat perjalanan ke luar Aceh, antaranya ke Terengganu di mana terdapat seorang anak murid beliau iaitu Sheikh Abdul Malik. Inilah yang nanti dikenali sebagai Tok Pulau Manis, ulamak besar Terengganu bertaraf wali. Kata Baharuddin, Tok Pulau Manis berasal daripada keluarga diraja. Beliau kemudian keluar merantau ke Aceh untuk mengaji dengan Sheikh Abdul Rauf. Singgah dahulu ke Semarang lalu seorang bernama Sheikh Umar ikut sebagai rakan sepengajian.
Sheikh Abdul Rauf dikenali sebagai guru kepada ramai ulamak besar Alam Melayu. Tok Pulau Manis kemudian disuruh untuk menyambung pengajian di Mekah. Di sana beliau mengaji kitab Hikam karangan Ibnu Ato'ilah yang merupakan seorang khalifah Tariqat Shadziliyah. Tok Pulau Manis kemudian menulis lalu mensyarahkan kitab. Jadilah kitab Hikam Melayu yang menurut Baharuddin adalah kitab agama dan tasawuf paling besar pernah dihasilkan oleh seorang ulamak Melayu. Ia digunapakai dalam banyak sekolah-sekolah pengajian tradisional pondok sehingga ke wilayah-wilayah yang membentuk Indo-China.
Fikir saya syarahan kali ini mahu memanjangkan cerita tentang Tok Pulau Manis. Dalam syarahan terdahulu hadirin telah diperkenalkan dengan dunia falsafah Yunani purba sebelum dibandingkan untuk dicari persamaan dengan tradisi-tradisi pemikiran tinggi di bahagian dunia yang lain seperti di India dan China. Kemudian baru masuk ke dunia falsafah silam Islam yang mengambil pengaruh daripada falsafah Yunani... sebelum membawa kepada dunia Tasawuf ataupun Sufi. Disebut tentang beberapa konsep spiritual tinggi juga kebatinan yang terdapat di dalamnya, belum lagi masuk dunia Tasawuf ataupun Sufi di Alam Melayu...
Disebabkan siri ini sendiri diberi tajuk yang membawa makna "Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu" tentunya ia harus menuju ke situ. Syarahan pertama setengah bulan lalu boleh dikatakan pengenalan dan persediaan sebelum bercerita tentang Alam Melayu. Entah apa yang saya terlepas antara jam 2.30 hingga 3 petang semalam, tahu-tahu sahaja sudah disebut tentang Sheikh Abdul Rauf kemudian Tok Pulau Manis.
Rupa-rupanya syarahan kali ini lebih pada memperkenalkan ulamak-ulamak besar utama bertaraf wali di Aceh. Cuma peliknya tidak sekali pun dalam syarahan ini Baharuddin menyebut perkataan wali atau bahasa Inggerisnya saint. Yang disebut, selain menjadi ulamak mereka adalah insan-insan istimewa tetapi tetap manusia biasa. Ini dibandingkan dengan Nabi yang tentunya lebih daripada insan biasa. Disebut sekali nama Lukmanul Hakim sebagai contoh insan istimewa yang bukan Nabi.
Mungkin Baharuddin terlupa untuk menyatakan bahawa orang-orang seperti Sheikh Abdul Rauf dan Tok Pulau Manis diakui ramai sebagai wali. Kemudian beliau menyebut nama Hamzah Fansuri, ulamak besar yang pertama dan terawal antara 4 nama besar di Aceh. Beliau menyebutnya sebagai mufti pertama Aceh. Tapi setahu saya Hamzah tidak pernah menjadi mufti walaupun beliau ulamak besar yang telah menghasilkan banyak penulisan bersifat keSufian lagi tinggi nilai sastera hingga digelar sebagai pujangga.
Disebut bahawa Hamzah membawa ajaran Sufi bersifat doktrin. Nampaknya Baharuddin merujuk kepada penulisan-penulisan Hamzah yang kelihatan lebih menggambarkan teori dan falsafah Sufi, bukan pada pengalaman sebenar yang bersifat dzauqiah atau rasa memuncak kenikmatan tenggelam dalam ingatan kepada Ilahi. Disebut Hamzah membawa ajaran Wahdatul Wujud yang sering ditafsirkan mereka yang kurang faham sebagai mendakwa cuma Tuhan sahaja yang wujud, tidak ada yang wujud selain itu. Maka itu apa yang kita lihat di sekeliling kita, makhluk-makhluk dan sebagainya tiada lain adalah Tuhan belaka. Nauzubillah. Ini adalah pemahaman yang salah.
Baharuddin melukiskan satu gambar rajah. Batu dibaling ke dalam air lalu muncul riak berupa gelombang bulat yang membesar lapisan demi lapisan sekelilingnya. Riak itu muncul akibat batu. Tetapi ia bukan batu. Namun ia terhasil daripada batu. Tidak ada batu tidak ada riak itu. Nampaknya itulah gambaran yang hendak diberikan tentang ajaran Wahdatul Wujud.
Seterusnya disebut nama Sheikh Shamsuddin Sumatrani sebagai pengganti Hamzah. Yang ini jelas pernah menjadi mufti atau gelaran sebenarnya yang saya tahu Qadi Malikul Adil, jawatan ulamak tertinggi dalam kerajaan Aceh... pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636 Masihi). Beliau menyebut Shamsuddin yang merupakan anak murid Hamzah membawa doktrin yang sama. Disebut pula nama pengganti Sheikh Shamsuddin iaitu Nuruddin ar-Raniri yang naik semasa zaman pemerintahan pengganti Iskandar Muda iaitu Sultan Iskandar Thani (1636-1641). Namun Nuruddin menentang ajaran dan para pengikut Hamzah dan Shamsuddin. Pada zaman Sheikh Abdul Rauf naik sebagai ulamak kerajaan tertinggi baru semua ini didamaikan sebagai betul belaka tapi kelihatan berbeza kerana lain sudut pandangan.
Pada saya walaupun Baharuddin langsung tidak menyebut perkataan wali tetapi yang diceritakan ini semuanya bertaraf wali (kecuali Nuruddin mungkin). Walaupun ada disebut tentang Sheikh Abul Hassan Shadzili yang mengasaskan Tarikat Shaziliyah abad ke-13 Masihi tidak banyak dihuraikan kecuali beliau adalah pengasas tarikat . Nampaknya ini dibangkitkan dalam konteks penulis kitab Hikam iaitu Ibnu Atho'ilah adalah seorang khalifah Tarikat Shadziliyah, Lalu disebut seorang Barat bernama Victor Danner telah menterjemahkannya menjadi buku berbahasa Inggeris bertajuk "The Book of Wisdom". Danner kemudian pergi ke Morokko (Maghribi). Beliau mengamalkan Tarikat Shadziliyah sehingga meninggal dunia.
Oh. Disebut juga sebuah kitab tulisan Sheikh Shamsuddin telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh seorang bernama A.H. Johns dalam JMBRAS (Journal of the Malayan/Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, satu makalah bersiri tulisan pengkaji-pengkaji Barat tentang Tanah Melayu bermula tahun 1878). Kata Baharuddin John kemudian memeluk Islam. Disebut bahawa sebelum itu seorang bernama Archer telah mengkaji Tasawuf di Aceh tahun 1930s. Disebut pula seorang Belanda bernama Snouck Hurgronje sebagai gigih mengkaji lalu masuk Islam malah mencapai taraf ulamak. Walhal menurut kebanyakan orang yang saya kenal terutama kawan-kawan di Aceh inilah perosak bangsa. Beliau masuk Islam sebagai penyamaran untuk mengaji karakter orang Aceh demi mencari kelemahan. Yang pasti hasil kajian itulah yang digunakan untuk Belanda mengalahkan Aceh awal abad ke-20.
Kata Baharuddin apabila orang Aceh pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji mereka bertemu dengan orang Turki lalu saling bertukar cerita. Disebabkan itulah kerajaan Turki Uthmaniyah dapat tahu tentang Aceh lalu menghantar bantuan menangani pencerobohan Barat. Pada saya beliau mungkin terlupa lalu mencampuradukkan zaman. Sehingga Ibnu Battutah dikatakan datang ke Aceh berjumpa raja Aceh yang alim terkenal walhal setahu saya ia sebenarnya merujuk pada raja kerajaan Samudera-Pasai yang wujud sebelum naiknya Aceh.
Untuk pengetahuan Ibnu Batutah sampai ke situ pada tahun 1345 Masihi. Kerajaan Aceh pula naik sebagai reaksi terhadap kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Portugis kemudian menduduki Pasai (ketika itu Samudera-Pasai lebih dikenali sebagai Pasai sahaja) tahun 1521. Aceh mengalahkan Portugis lalu menyerap Pasai masuk ke dalam wilayahnya tahun 1524.
Tak mengapalah. Yang penting banyak cerita tentang ilmu dan keSufian dikongsikan. Disebut tentang konsep Nur Muhammad yang sangat penting dalam Tasawuf falsafah. Kata Baharuddin ibunya ada membaca hikayat berkenaan 60 tahun lalu.
Disebut bahawa Nuruddin ada menulis kitab bertajuk Hikayat Kejadian 7 petala Langit dan Bumi. Hal ini tercatat pada satu bahagian sisi dalam kitab Tajuk Muluk. Nuruddin menulis bahawa kehidupan dunia adalah satu pusingan - manusia bermula lemah dalam keadaan bayi lalu kembali lemah seperti bayi apabila sudah terlalu tua dan begitu juga sejarah. Ibnu Khaldun menulis hal sama dalam menerangkan turun naik suatu kerajaan dan peradaban. Kata Baharuddin, orang Sufi melihat masa juga begitu. Bagaimana ia bermula begitulah akhirnya.
Walaupun banyak perkara disentuh secara rata saya melihat lebih banyak diperkatakan tentang 4 ulamak besar Aceh bertaraf wali yang berperanan pada abad ke-17. Oleh kerana disebut juga nama Tok Pulau Manis yang berasal dari Terengganu biarlah artikel ini diberi tajuk kecil "Tasawuf dan Wali-wali besar Alam Melayu abad ke-17".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan