Salam siang Selasa 19 November 2019 (19/11/19) bersamaan 22 Rabiulawal 1441 Hijriah. Entah buat kali ke berapa kini sekali lagi saya menulis dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam". Biarlah berceloteh dahulu...
Semalam petang Isnin 18 November 2019 saya bergegas lagi ke ISTAC 40 km dari rumah selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2.30.
Ini adalah perkara biasa sejak menyambung pelajaran pada peringkat pasca-siswazah di ISTAC bermula awal September 2018 iaitu lebih setahun lalu. Kini sudah muncul satu kebiasaan baru.
Kelihatan dalam gambar ada retak kecil pada cermin kereta. Untuk makluman gambar diambil pada jam 2.53 petang beberapa minit selepas mengisi minyak kereta di perhentian jejantas Sungai Buloh. Keretakan berlaku 2-3 minit sebelum singgah di perhentian. Hendak dijadikan cerita saya sedang memandu di lorong tengah. Tiba-tiba ada kereta memotong di lorong kanan. Selepas memotong ada batu kecil terlempar laju kena cermin lalu jadilah retak.
Kalau ikutkan memang terasa ralat. Untuk pengetahuan cermin baru ditukar tak sampai setahun dengan kos ratusan Ringgit akibat kereta perlu melepasi pemeriksaan PUSPAKOM selepas bertukar ke enjin turbo. Tengok-tengok dah kena retak. Walhal ia ditukar kerana dahulu pun ada keretakan akibat terkena batu. Kalau tak kerana pemeriksaan masih boleh dipakai walau tak berapa cantik rupa.
Tak mengapalah, saya menyedapkan hati. Anggaplah ini sebagai ganti demi mengelakkan daripada musibah yang lagi besar. Dah berapa jauh saya mengembara dengan kereta ini juga dengan sebuah kereta lain dan motosikal besar kesayangan. Dah berapa jauh juga mengembara ke sana ke mari baik secara bersendirian mahupun dengan isteri dan anak-anak. Allah SWT bagi selamat dan sihat walau dalam keadaan mencabar lagi membahayakan. Syukur alhamdulillah.
Kini saya pergi ke ISTAC bukan sekadar untuk mengikuti syarahan. Saya ingin bermalam sekali, satu kebiasaan yang kalau tak salah ingatan bermula penghujung Jun 2019 merangkap penghujung bulan Syawal bagi tahun 1440 Hijrah.
Saya sebut tak salah ingatan kerana menghadapi masalah untuk mengesan bilakah tarikh tepat bermula kebiasaan menginap di masjid ISTAC. Yang ingat pertama kali adalah pada penghujung Ramadhan tahun lepas iaitu awal Jun 2018. Ketika itu saya belum lagi bergelar pelajar ISTAC. Tetapi sudah membiasakan diri menghadiri syarahan...
Kemudian saya beriktikaf lagi di masjid ISTAC pada penghujung Ramadhan tahun ini bersamaan penghujung Mei membawa ke awal Jun. Namun saya tak menganggap ia sebagai kebiasaan kerana beriktikaf pada hujung bulan Ramadhan adalah sesuatu perkara yang dilakukan ramai orang Islam. Ramai pelajar ISTAC juga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM - Ia adalah badan yang menaungi ISTAC) melakukannya di masjid ISTAC. Yang hendak dikesan bilakah tarikh tepat saya mula bermalam di masjid ISTAC semata-mata untuk mengikuti syarahan. Dan ini dilakukan secara bersendirian, tiada orang menemankan.
Ini dilakukan apabila ada syarahan mahu diikuti sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Daripada balik ke rumah selepas suatu syarahan petang kemudian esok berkejar lagi dari rumah untuk mengikuti syarahan pagi lebih baik bermalam sahaja di masjid. Pergi balik rumah dah makan jarak 80 km (40 km pergi 40 km balik dari ISTAC). Duit minyak dan tol dalam RM20-30 sekali keluar. Ambil masa lagi, kena lalu kesesakan jalan raya lagi.
Pada saya lebih elok menginap di masjid daripada berkejar pergi balik. Selain daripada itu memang sudah menjadi tabiat suka bermalam di masjid apabila keluar mengembara. Dan lagi ini masjid ISTAC. Walau dalam keadaan tidur sekali pun jasad saya dekat dengan gedung ilmu. Alhamdulillah, isteri sangat memahami dan redha apa lagi kami memang suka keluar bermusafir anak beranak. Dia tahu ada masanya saya ingin keluar bermusafir berseorangan.
Yang membuat saya ingin berceloteh tentang hal tersebut kali ini adalah apabila menyedari semalam adalah kali ke-3 saya berbuat begini dalam bulan November. Jumaat malam Sabtu akan datang ini pun akan bermalam lagi kerana ada syarahan malam mahu dihadiri diikuti majlis ilmu pagi Sabtu. Rasanya dah lebih 6 kali setakat ini saya bermalam di ISTAC untuk mengikuti majlis ilmu. Malam tadi saya menginap kerana ada syarahan petang Isnin seperti ditunjukkan dalam gambar. Pagi Selasa mahu mengikuti majlis ilmu di Muzium Negara sebelum kembali ke ISTAC untuk satu lagi majlis sebelah petang.
Sekarang barulah terasa puas berceloteh tentang bermalam di ISTAC. Bolehlah tumpuan diberikan pada majlis atau syarahan petang semalam. Tajuk yang kelihatan pada poster boleh diterjemahkan sebagai "Islam China : Kaitan Parsi". Pensyarah atau lebih tepat pembicara (kerana pensyarah sering dikaitkan dengan suatu jawatan tetap bersyarah) adalah Encik Ali Sabeghi, kaunselor kebudayaan bagi Kedutaan Iran di Kuala Lumpur.
Kelihatan dalam gambar orangnya di tengah. Apabila melihat nama pada poster beberapa hari lalu terus saya tahu bahawa ini adalah salah satu syarahan yang boleh dikatakan dibuat secara
ad hoc mengambil kesempatan atas suatu kelapangan yang muncul bagi seseorang yang berpengetahuan berkongsi ilmu di ISTAC. Saya tahu ini kerana hadir pada majlis di mana Ali kelihatan pertama kali memperkenalkan diri kepada ISTAC. Berlangsung pada 3 Oktober ia adalah tentang Islam di Cina. Lihat
Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.
Ketika sesi soal jawab beliau telah memperkenalkan diri sebagai ahli Kedutaan Iran lalu memberikan pandangan panjang lebar tentang perkara berdasarkan pengetahuan beliau. Hal ini membuat Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar memberitahu khalayak ada baiknya diadakan sesi khas perkongsian ilmu daripada Ali. Itu cerita sebulan setengah lalu, semalam Ali pun bersyarah. Sudah menjadi kebiasaan atau boleh dikatakan keistimewaan di ISTAC tiba-tiba boleh muncul suatu majlis ilmu tak dirancang.
Keadaan ini ibarat hari ni bagi cadangan lusa dah jadi majlis. Ini bergantung pada kelapangan dan ruang juga pembicara/pensyarah yang dicadangkan berserta topik. Sudah beberapa kali berlaku seseorang ahli akademik dari luar datang ke Kuala Lumpur untuk tujuan lain. ISTAC dapat tahu lalu terus hubungi dan ajak berikan syarahan. Setelah mendapat persetujuan dan komitmen terus keluar poster dengan tajuk itu ini. Tahu tahu je dah jadi majlis...
Apapun disebabkan bertolak selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2.30 saya sampai lewat ke ISTAC. Majlis sendiri dijadualkan bermula jam 2.30. Tapi tak semestinya ia bermula pada waktu itu kerana ada ketikanya perlu menunggu cukup ramai hadirin muncul baru dimulakan.
Selalunya majlis dimulakan dengan pengenalan. Ini biasa memakan masa sehingga 15 minit. Ketika saya sampai ke ruang majlis lalu mengambil gambar atas sudah jam 3.13 petang Ali baru hendak menghabiskan perkongsian tentang Islam dan penganutnya pada zaman Dinasti Tang dan Song di China. Ini merujuk pada tempoh masa 618 hingga 1279 Masihi.
Dalam sejarah orang Islam pertama datang berdakwah ke China adalah Saad bin Abi Waqqas tahun 651 Masihi. Saya tidak sempat mendengar hal ini disebut oleh Ali tetapi percaya tentu ia disentuh kerana merupakan satu titik penting dalam sejarah Islam di China. Dinyatakan dalam slaid bahawa pada zaman inilah satu rangkaian masjid dibina, pendakwah-pendakwah Islam dari Iran (Parsi) dan Asia Tengah dihantar. Mereka mengekalkan identiti dan budaya sendiri tanpa mencampuri urusan masyarakat China. Mereka tidak campur tangan dalam hal-hal politik, keagamaan, sosial dan budaya tempatan tetapi mempengaruhi istana dan keluarga-keluarga Cina yang berpengaruh secara bertahap.
Masuk zaman Dinasti Yuan (1279–1368) orang Islam di China yang datang dari Timur Tengah mendapat kedudukan-kedudukan tinggi. Menurut Ali kebanyakan daripada mereka adalah orang Parsi. Kalau tidak berbangsa Parsi pun kerana mungkin orang Turk (bangsa Turki, bukan negara Turki seperti dikenali sekarang), orang Tajik dan sebagainya mereka diketahui berbudaya Parsi kerana sejarah ketamadunan tingginya lama mempengaruhi. Untuk makluman dinasti tersebut didirikan oleh orang Monggol yang menakluki Cina, bukan etnik berbangsa Cina. Oleh itu mereka lebih percaya pada orang Islam sebagai pentadbir dan wakil.
Kata Ali ini adalah puncak penyebaran Islam di China. Orang Islam memiliki kehadiran kuat dalam hal ehwal negara dan struktur pemerintahan Dinasti Yuan. Bahasa Parsi berkembang sebagai satu bahasa yang sangat berpengaruh. Daripada 12 negeri yang membentuk negara China 6 memiliki pemerintah beragama Islam.
Masuk zaman Dinasti Ming (1368–1644) berlaku perubahan besar. Islam masih diterima tetapi disuruh berikan citarasa tempatan. Jika dahulu orang Islam dari luar boleh mengekalkan identiti asal Arab/Parsi/Timur Tengah dan berurusan dalam bahasa mereka tanpa perlu tahu bahasa, budaya dan adat istiadat Cina pada zaman Dinasti Ming mereka disuruh melebur kalau mahu terus menetap di Cina. Mereka boleh tetap mengikut ajaran Islam tetapi harus memakai identiti keCinaan. Mereka harus bertutur dalam bahasa Cina, memakai pakaian Cina dan memiliki nama-nama Cina selain nama Islam.
Islam mula diajar dalam bahasa Cina. Prinsip-prinsipnya diberikan kefahaman menurut konsep dan terma yang ada dalam ajaran Confucianisma ikutan kebanyakan orang Cina. Namun orang Islam terus memegang kedudukan-kedudukan penting dalam kerajaan. Untuk pengetahuan (tambahan saya ini) pada zaman awal Dinasti Ming inilah muncul Laksamana Cheng Ho. Beliau terkenal dalam sejarah dunia memimpin armada 300 buah kapal dengan 30,000 anak kapal melawat pelabuhan-pelabuhan penting di Alam Melayu termasuk Melaka awal abad ke-15 Masihi. Beliau dan ramai anak kapal utama diketahui beragama Islam malah pernah membawa armada hingga ke Tanah Arab bagi menunaikan ibadah haji.
Keadaan menjadi teruk bagi orang Islam apabila naik Dinasti Qing mengalahkan Dinasti Ming lalu memerintah China 1644–1911. Kata Ali semasa itu berlaku tragedi paling buruk umat Islam dibunuh beramai-ramai. Walhal seperti Dinasti Yuan yang berbangsa Mongol mereka juga bukan berbangsa asal etnik China. Mereka berbangsa Manchu (dari kawasan antara Mongolia dan Korea sekarang). Kata Ali etnik Han yang merupakan majoriti orang China pun memandang tinggi orang Islam. Hal ini menyebabkan Dinasti Qing Manchu bahkan lagi membenci orang Islam.
Ada lagi beberapa slaid yang dipanjangkan penceritaan. Antaranya wujud orang Islam China yang lari ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu akibat penindasan Dinasti Qing. Tetapi cukuplah penceritaan. Pada ketika ayat ini ditulis sudah jam 5.20 petang sedangkan artikel dimulakan selepas solat Subuh tadi.
Masuk jam 7.47 pagi ia didapati masih jauh daripada siap sedangkan saya sudah terasa penat lalu perlu melelapkan mata sebentar. Bangun jam 8.30 bersiap-siap untuk pergi ke majlis di muzium yang dijadualkan bermula jam 9. Selesai itu saya kembali ke ISTAC untuk majlis seterusnya yang dijadualkan bermula jam 2.30. Saya sampai jam 1.48 lalu masuk ke masjid untuk menunaikan solat. Selepas itu sambung lagi penulisan tetapi dapat sedikit sahaja. Jam 2.45 bergerak ke ruang majlis, jam 5.10 baru ada kelapangan untuk menyiapkan artikel di masjid. Cukup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan