Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Februari 28, 2019

Santapan ilmu CASIS - Perjuangan yang diteruskan daripada ISTAC asal dan awal

Salam malam Jumaat. Kasi selesai gerak penulisan 2-3 hari ini. Masuk  cerita tentang majlis ilmu ketiga hari Sabtu yang berlanjutan sehingga lewat malam. Bersambung daripada artikel Bila Jomo bercakap tentang Melaka abad ke-15 - Kenapa ramai bukan Melayu nak ambil tahu?



Pada ketika saya sedang bersedia untuk menghadiri majlis ilmu di ISTAC pagi Sabtu (lihat Menangani krisis Yaman - Majlis "Stand With Yemen") berkumandang juga iklan secara on-line tentang majlis dalam poster atas di UTM (Universiti Teknologi Mara) kampus Kuala Lumpur di Jalan Semarak petang hingga malam hari yang sama.


Majlis yang diberi nama Ma'dabah Ilmu juga nama Inggeris Banquet of Knowledge membawa maksud Santapan Ilmu. Ada syarahan waktu petang dalam bahasa Melayu tetapi bertindih masa dengan majlis yang saya hadiri di Taman Tasik Perdana. Rujuk Bila Jomo bercakap tentang Melaka abad ke-15 - Kenapa ramai bukan Melayu nak ambil tahu?


Lewat petang ada syarahan menarik dalam bahasa Inggeris. Untuk pengetahuan penganjur utama majlis adalah CASIS - singkatan untuk Center for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (Pusat Pengajian Lanjut Islam, Sains dan Ketamadunan). Bandingkan nama dengan tempat saya kini menyambung pelajaran iaitu ISTAC, International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Kedua-duanya  adalah institusi pasca-siswazah yang memiliki  konsep ilmu dan pengajian sama demi memartabatkan Islam.


Bezanya CASIS yang diasaskan dua dekad selepas ISTAC berada di bawah UTM. ISTAC di bawah UIAM,  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Majlis anjuran CASIS dan beberapa badan berkaitan ini mengandungi jualan buku yang berlangsung petang hingga ke malam. Diketengahkan  sebuah buku baru tebal dalam  bahasa Melayu seperti  kelihatan dalam poster.


Namun syarahan melibatkan buku oleh penulisnya akan dibuat dalam bahasa Inggeris. Ini adalah bahasa pengantar utama di CASIS sepertimana halnya di ISTAC.


Selepas acara di Taman Tasik Perdana saya mengambil masa berbual-bual dengan beberapa orang kemudian ke Masjid Negara. Selepas itu baru menuju ke UTM di Jalan Semarak, tengok-tengok baru selesai hujan lebat.


Meja-meja jualan buku baru diatur kembali selepas beberapa lama dialih dan buku-buku ditutup untuk mengelakkan daripada terkena tempias hujan.


Saya masuk ke dewan syarahan jam 7.28. Syarahan bertajuk "Library and Scholarship" (Perpustakaan dan Kesarjanaan) oleh pensyarah CASIS, Profesor Dr Muhammad Zainiy Uthman masih lagi berjalan. Menurut jadual ia berlangsung jam 6-7.30. Ketika saya sampai  Zainiy sedang bercerita tentang peranan sejumlah cendekiawan Melayu untuk menyelamatkan tradisi keilmuan Islam di Bosnia. 


Beliau merujuk kepada perang Bosnia akibat serangan negara jirannya Serbia tahun 1992 hingga 1995. Ketika itu CASIS belum lagi wujud tetapi institusi yang membawa kepada pengasasannya sudah berdiri megah. Ia adalah ISTAC pada waktu awalnya dipimpin pengasas, cendekiawan besar bertaraf dunia Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas. Diceritakan bagaimana buku-buku penting di Bosnia diselamatkan oleh Malaysia dengan cara membawa masuk terowong bawah tanah. Untuk dibawa ke terowong kena melepasi dahulu tembakan peluru yang bersimpang-siur atas kepala...


Kata Zainiy usaha penyelamatan buku sebenarnya adalah inisiatif daripada Syed Naquib dan ISTAC. Namun yang ramai tahu cuma peranan Perdana Menteri Tun Mahathir (ketika itu lebih dikenali sebagai Dr Mahathir) untuk menyelamatkan orang Islam Bosnia. Buku-buku tersebut dan banyak lagi buku menarik kemudian dimasukkan ke dalam koleksi perpustakaan ISTAC. Diceritakanlah betapa penting peranan perpustakaan untuk kesarjanaan - para sarjana hebat akan tertarik dengan  institusi yang memiliki perpustakaan berisi koleksi buku hebat.


Zainiy kemudian menceritakan bagaimana boleh terlibat dengan ISTAC. Ketika belajar Fizik peringkat tinggi di Amerika beberapad dekad lalu beliau pernah bertemu dengan Syed Naquib yang sedang melawat lalu diberitahu ilmuwan Islam sudah lama mengkaji tentang atom sebelum dunia Barat. Hal ini menyebabkan beliau terpanggil untuk menyelidik teks-teks lama lalu terpaut dengan dunia pemikiran Islam. Apabila ISTAC ditubuhkan tahun 1987 beliau termasuk orang terawal bersama dalam perjuangan yang matlamatnya menghidupkan kembali kegemilangan dunia ilmiah Islam.

Selepas beberapa lama bersama Syed Naquib di ISTAC beliau keluar apabila gurunya itu dipaksa meninggalkan ISTAC tahun 2002 atas sebab-sebab yang katanya lebih bersifat politik. Apabila CASIS ditubuhkan beberapa tahun kemudian untuk meneruskan aspirasi asas ISTAC (selepas Syed Naquib keluar dikatakan mereka yang menerajui institusi tidak berjaya membawa citarasa asal) Zainiy ikut masuk. Apabila ditanya kenapa keadaan di CASIS "begitu sahaja" (suka menumpukan kepada ilmu falsafah tinggi), kenapa tidak dijadikan begitu atau begini menurut pendapat orang analogi fizik menjadi jawaban. Kata beliau mereka (warga utama CASIS) harus jadi seperti nukleus atom yang tidak berubah atau tetap komposisi. Kalau berubah nukleus boleh hancur keseluruhan atom...


Selepas keluar untuk makan malam kemudian menunaikan solat Isyak di masjid UTM saya kembali ke dewan untuk sesi seterusnya iaitu syarahan utama oleh Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud. Seperti Zainiy beliau juga pernah bersama ISTAC sejak hari-hari awal. Wan Nor kemudian dikenali sebagai pengasas bersama CASIS (bawah UTM). Beliau dianggap sebagai seorang anak murid utama Syed Naquib.


Tajuk syarahan adalah "The Crisis in Authority - Changes in Worldview, Religions and Ethics - Revitalization of Education". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Krisis Pihak Berkuasa - Perubahan Pandangan Sarwajagat, Agama dan Etika - Penyegaran Kembali Pendidikan".


Disebutlah tentang keperluan culture of knowledge - budaya ilmu. Kebetulan atau tidak ia adalah tajuk utama buku tulisan Wan Nor yang sedang diketengahkan sepanjang majlis. Disebutlah tentang keperluan untuk beradab kepada guru untuk mendapat keberkatan ilmu. Diluahkan bagaimana dunia sekarang tidak begitu mementingkan pencapaian ilmu kecuali jika ia boleh memberikan pendapatan lumayan atau membuat duit. Lalu kesarjanaan tulen dipandang sepi dengan kejayaan diukur daripada segi wang ringgit. Sedangkan ilmuwan sejati bukan memikirkan mahu membuat duit apabila mengejar atau mengaji suatu ilmu. Rasa sayang dan cinta pada ilmu tanpa mengira pencapaian materialistik inilah yang harus dipupuk kembali untuk menerbitkan budaya ilmu yang disebut tadi.


Tentang ilmu pula tidak cukup kita mengetahu sesuatu tanpa mengenali lawannya. Nak tahu ilmu kena tahu anti-ilmu atau apa yang berlawanan dengan suatu ilmu. Misalan diberikan - seseorang cuma boleh dikatakan tinggi apabila kita tahu lalu dapat membandingkan dengan orang lain yang dikatakan rendah. Kita kenal suatu warna kerana wujud warna lain yang tidak sama dengannya.

Kata Wan Nor banyak yang difikirkan dan diperkatakan telah dikumpulkan dalam buku tulisan beliau yang memiliki tajuk  penuh "Budaya Ilmu : Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini". Dalam membina kerangka pemikiran yang kemudian membentuk isi buku diciptalah takrik-takrif tertentu untuk menerangkan konsep fikir. Apabila menyebut tentang lawan ilmu beliau awalnya mahu menggunakan perkataan anti-ilmu. Tetapi setelah dikaji-kaji balik didapati perkataan tersebut tidak sesuai. Ini kerana ia boleh membawa maksud menolak langsung ilmu sedangkan praktiknya bukan begitu. 


Beliau pun merujuk kembali kepada kitab dan sumber-sumber ilmu termasuk Al-Quran. Setelah beberapa lama didapati lebih baik menggunakan perkataan "ingkar ilmu". Ia bukanlah perbuatan menolak ilmu tetapi mengubah daripada yang benar atau hak menjadi sesuatu yang bathil agarselari dengan kepentingan tertentu. Persoalan dan konsep inipun diterangkan panjang lebar kerana menggambarkan realiti dunia hari ini. Menjadi tanggungjawab para sarjana yang jujur terutama beragama Islam untuk mengembalikan segala bentuk ilmu kepada landasan yang sepatutnya.

Cukuplah perkongsian saya dan selesai gerak penulisan kali ini. Esok Jumaat 1 Mac saya dijadualkan mengikut mesyuarat tertentu di ISTAC pagi hingga tengah hari. Selepas solat Jumaat insyaallah saya akan mengikuti himpunan membantah penghinaan terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW kemudian malam mengikuti majlis ilmu tentang syair Melayu di CASIS. Wassalam.


Tiada ulasan: