“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera
untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”
- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.
Adapun komputer laptop saya telah menghadapi satu masalah lalu terpaksa diinstall kembali perisian Windows 7 ke dalamnya. Akibatnya ia kena total reset lalu nama panggilan saya Merah Silu sebagai pemilik dan pentadbir komputer harus dimasukkan kembali ke dalam sistem berserta passwordnya. Akibat daripada itu saya harus memakai satu gambar baru untuk dijadikan ikon pengguna. Timbul gerak untuk mencari satu lambang lama yang disebut pengkaji sebagai lambang kerajaan Samudera Pasai bermula lebih 700 tahun lalu.
Itulah gambar yang kelihatan di atas sana. Hal ini menyebabkan saya tergerak untuk berkongsi gambar di Facebook berserta ulasan berbunyi : "Tiba-tiba tergerak untuk mencari melalui Google. Lambang kerajaan nenek moyangku 700 tahun lalu." Update tersebut mendapat sejumlah maklum balas termasuk beberapa menyatakan ia adalah gambar lambang kerajaan Samudera Pasai. Ada yang memanjangkan cerita menggunakan sumber daripada Youtube bagaimana lambang itu kemudian diolah balik menjadi lambang kerajaan Indonesia yang terkenal dengan simbol burung garuda itu.
Dalam pada itu ada yang bertanya apakah pendapat saya tentang satu hadis mengenai Samudera. Saya faham apa yang dimaksudkan. Itulah hadis yang tertera sebagai pembukaan artikel ini. Adapun ulasan panjang lebar tentang hadis pernah dinyatakan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Ia kemudian dikongsikan dalam blogspot ini melalui 5 buah artikel lebih 11 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan