Ahad, September 23, 2018

Apabila panggilan perjuangan nenek moyang kembali terngiang-ngiang dalam kepala



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera 

untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”


- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.









Salam semua. Salam malam 13 Muharram. Saya belum dapat melelapkan mata kerana ada perkara terngiang-ngiang dalam kepala lalu perlu dilepaskan atau diluahkan sehingga terasa lega. 

Adapun komputer laptop saya telah menghadapi satu masalah lalu terpaksa diinstall kembali perisian Windows 7 ke dalamnya. Akibatnya ia kena total reset lalu nama panggilan saya Merah Silu sebagai pemilik dan pentadbir komputer harus dimasukkan kembali ke dalam sistem berserta passwordnya. Akibat daripada itu saya harus memakai satu gambar baru untuk dijadikan ikon pengguna. Timbul gerak untuk mencari satu lambang lama yang disebut pengkaji sebagai lambang kerajaan Samudera Pasai bermula lebih 700 tahun lalu.

Itulah gambar yang kelihatan di atas sana. Hal ini menyebabkan saya tergerak untuk berkongsi gambar di Facebook berserta ulasan berbunyi :  "Tiba-tiba tergerak untuk mencari melalui Google. Lambang kerajaan nenek moyangku 700 tahun lalu." Update tersebut mendapat sejumlah maklum balas termasuk beberapa menyatakan ia adalah gambar lambang kerajaan Samudera Pasai. Ada yang memanjangkan cerita menggunakan sumber daripada Youtube bagaimana lambang itu kemudian diolah balik menjadi lambang kerajaan Indonesia yang terkenal dengan simbol burung garuda itu. 

Dalam pada itu ada yang bertanya apakah pendapat saya tentang satu hadis mengenai Samudera. Saya faham apa yang dimaksudkan.  Itulah hadis yang tertera sebagai pembukaan artikel ini. Adapun ulasan panjang lebar tentang hadis pernah dinyatakan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Ia kemudian dikongsikan dalam blogspot ini melalui 5 buah artikel lebih 11 tahun lalu.





Saya pun tergerak untuk menjawab komen menggunakan pautan kepada artikel-artikel tersebut. Namun didapati perkongsian yang diambil terus daripada buku kurang mesra pembaca kerana tidak dilakukan perkara-perkara seperti justify, letak italics pada mana-mana perkataan yang patut juga tidak dibuat baris kosong selepas setiap perenggan kerana begitulah keadaannya dalam buku. Pada saya cukuplah orang yang betul-betul serius berusaha untuk membaca dan memahaminya. Mereka yang tidak cukup tegar untuk melepasi gangguan teks kurang mesra boleh pergi main jauh-jauh...  

Kelihatan dalam gambar atas bagaimana pautan bagi setiap artikel diabadikan pada satu ruang di bahagian kiri blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Kini, setelah beberapa lama timbul rasa agar isi setiap artikel dijadikan mesra pembaca. Pengubahsuaian reka letak teks yang patut pun dilakukan tadi apatah lagi isi buku telah dipersembahkan kembali dalam bentuk yang lebih menarik untuk pembaca sejak tahun 2015. Rujuk artikel Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar! diikuti Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi. Setelah membuat pengubahsuaian terasa ada baiknya kesemua pautan dikumpulkan dalam satu artikel baru untuk memudahkan rujukan umum. 

Maka terbitlah artikel ini malam-malam buta. Bolehlah ulasan panjang lebar tentang hadis Samudera dibaca menurut turutan pada bila-bila masa. Semoga dengan ini bakal bersemarak kembali malah lebih cemerlang api perjuangan yang pernah meluap-luap muncul sehingga timbulnya buku pertama dalam siri trilogi novel unik "Berpetualang ke Aceh" lebih 12 tahun yang lampau. Dikongsikan pautan bagi artikel-artikel yang sudah dibuat pengubahsuaian seperti berikut :-











Tiada ulasan:

Catat Ulasan