Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 30, 2015

Seminar Panglima Awang di UPSI - Pengesahan daripada Melaka



Sebelum sesi pertama pembentangan tamat diadakan dahulu pembentangan sampingan daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


Satu rombongan telah pergi ke Kuala Sungai Baru, Melaka untuk melawat rumah yang dikatakan tempat Panglima Awang menetap 500 tahun lalu.


Rumah yang dipanggil Teratak Enrique Malacca ini diselenggarakan oleh seorang yang dikenali sebagai Dato' Paduka Zainal Johan. Disebut pada risalah kecil atur cara majlis bahawa antara objektif seminar adalah mempromosi teratak tersebut di Lot 214, Batu 27, Jalan Kg Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka. Zainal tersenarai sebagai salah seorang pembentang seminar malah menurut atur cara di FB (atur cara yang diterima pagi itu tidak menyebut ini) akan mempamerkan contoh alat pelayaran yang digunakan oleh Panglima Awang. Tetapi sekitar jam 9.30 hadirin diberitahu beliau tidak dapat datang kerana ada masalah.


Saya tersenyum sahaja mendengar itu.  Saya tersenyum lagi melihat cerita yang dikongsikan kepada rombongan pelajar yang datang ke tempat beliau. 


Nasib baik yang datang itu pelajar sastera, kalau pelajar sejarah mungkin mereka terus tak layan lagi cerita Zainal. Bagaimana mahu dilayan? Ketika Panglima Awang selesai mengelilingi dunia tahun 1520an, dia sudah berumur sekitar 30an kerana ditawan Portugis 1511 ketika berumur antara 18 hingga 20 tahun. Belanda masuk bertapak di Melaka pada tahun 1641, selepas bersama kerajaan Johor mengalahkan Portugis. Tahun itu, kalau Panglima Awang masih hidup umurnya harus sekitar 150 tahun. Tak mustahil tetapi tak pernah lagi saya mendengar cerita orang bernama Panglima Awang yang dikatakan pernah mengelilingi dunia bersama armada kapal Ferdinand Magellan itu menyerang kapal Belanda. Malah saya tidak pernah mendengar apa-apa pasukan Melayu pernah menyerang Belanda pun hinggalah tahun 1784 apabila Raja Haji ibni Daeng Chelak begaduh dengan kuasa Barat itu. Ini kerana kerajaan Johor yang mewarisi jajahan takluk Melaka pernah berpuluh tahun bekerjasama dengan Belanda untuk mengalahkan Portugis. Selepas itumereka terus bekerjasama sampailah ternyata kaum kafir itu bukanlah kawan yang setia.. Ke Zainal nak kata ini adalah sejarah yang disembunyikan? Mungkin pembaca boleh membuat kajian lanjut... 


Hal sejarah versi Zainal yang tidak konsisten dengan fakta sejarah yang diketahui pengkaji bertauliah itu malah disentuh pembentang seterusnya, tuan Mohd Zamberi Abdul Malek, mantan karyawan UM (Universiti Malaya) dan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Beliau mengingatkan pelajar yang hadir agar menyemak dahulu fakta sejarah, tempoh masa berlaku suatu peristiwa dan sebagainya, jangan percaya bulat-bulat apa-apa cerita orang. Membawa tajuk “Penelitian Semula Susur Galur Perjuangan Panglima Awang Selaku Orang Melayu Pertama Mengelilingi Dunia” beliau sebelum itu mengajak hadirin cuba menyaring yang manakah fakta yang manakah pendapat juga imaginasi apabila bercakap tentang Panglima Awang. Ini kerana banyak dakwaan telah dibuat termasuk tentang asal usul beliau, ada kata dari Melaka, ada kata dari Rembau sedangkan apa yang boleh disebut sebagai fakta cuma sedikit sahaja. selain daripada itu boleh kata semua cerita berkenaan Panglima Awang yang masyarakat umum dengar adalah interpretasi kreatif para penulis novel terhadap keadaan walaupun bersandar pada fakta.


Zamberi bercakap terus tanpa menggunakan slaid. Apa yang saya nampak beliau menyelak nota-nota dalam tangan. Turut disebut keadaan selepas kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511, bagaimana keadaan Sultan Mahmud dan para pengikut selepas itu yang cuba melanjutkan perang melawan Portugis dan cuba memerdekakan kota Melaka daripada beberapa tempat, antaranya Pagoh di Muar membawa ke kepulauan Bintan di selatan Singapura sebelum baginda mangkat di Kampar 1528.


Saya agak terpegun dengan fakta-fakta yang dikemukakan Zamberi tentang Panglima Awang.Rupa-rupanya beliau mengambil rujukan daripada buku mahal terbitan kerajaan Melaka ini, kalau tak salah buku tahun 2009. Zamberi pun rupa-rupanya meminjam daripada Dt Talib Samat. Saya meminjamnya sebentar untuk mengambil beberapa gambar.


Nah. Saya pilih beberapa muka surat yang dirasakan paling relevan selepas buku diimbas pantas. Pembaca boleh membuka dalam windows lain agar kelihatan lebih terang...





Berbanding novel-novel yang membenarkan imaginasi penulis melencongkan fakta, satu perkara yang diterima dengan senang hati dalam dunia sastera tetapi menjadi kesalahan besar dalam dunia pengkajian sejarah, apa yang terpapar dalam buku mewah berharga RM350 senaskah ini cukup ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Untuk menerbitkan buku kerajaan Melaka telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Panel penulis telah cuba menjejak sebaik mungkin semua tempat yang pernah disinggahi watak pengembara yang dipanggil Panglima Awang itu dalam perjalanannya mengelilingi dunia. Ini dibuat merujuk kepada catatan perjalanan rombongan armada Magellan seperti yang tersimpan di Sepanyol malah diketahui ramai sejak beberapa lama...





Sudah disebut dalam artikel Seminar Panglima Awang di UPSI - Membedah karya tentang sosok sang pengembara bahawa tiada siapa yang tahu nama sebenar pengembara tersebut. Panglima Awang sebenarnya adalah nama yang diberi oleh penulis Harun Aminurrashid, orang Singapura yang pernah belajar dan mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (yang kemudian menjadi UPSI atau Universiti Perguruan Sultan Idris itu) merujuk pada watak yang disebut Barat sebagai Enrique atau Henry. Beliaulah yang menyebabkan nama itu mula disebut ramai, Ini adalah susulan terbitnya novel beliau yang bertajuk "Panglima Awang" 1983.


Saya paling tertarik dengan kenyataan Zamberi bahawa Harun Aminurrashid menulis berdasarkan 3 sumber yang tak sepanjang mana pun cerita, namun amat berpotensi untuk dikembangkan lebih lanjut. Ia merupakan tulisan akhbar dan majalah tahun 1944-1956 seperti  diulisan di atas. Tulisan itu sendiri bersumberkan daripada 3 perkara. Ini merupakan wasiat Magellan tentang bagaimana Enrique harus diperlakukan jika beliau mati, catatan pengganti Magellan iaitu Duarte Barbosa diikuti catatan sarjana Itali,  Antonio Pigafetta yang ikut sama belayar.


Pembentang ketika dan terakhir, saudara Rosli Mohd. Sah adalah kawan lama saya yang dikenali sejak saya rajin masuk ke satu forum Internet untuk mempromosi siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" iaitu selepas buku pertama siri terbit Jun 2006. Beliau yang diperkenalkan sebagai editor syarikat penerbitan buku Yamani Angel telah menulis novel "Panglima Awang Penguasa Lima Lautan" tahun 2014.


Membawa tajuk "“Proses Kreatif dan Pengalaman Menulis Novel Panglima Awang Penguasa Lima Lautan” beliau menegaskan bahawa tidak banyak catatn sejarah boleh ditemui tentang Panglima Awang. Maka itu rata-rata penulis mengambil sikap membuat interpretasi sendiri terhadap keadaan lalu tiada siapa pun boleh mengaku memiliki fakta yang lengkap atau lebih bagus. Beliau ada menyebut bahawa nama Enrique yang diberikan oleh Barat itu sebenarnya adalah nama kucing belaan Magellan. Saya terlupa hendak bertanya daripada manakah beliau dapat kenyataan ini. Yang saya ingat beliau ada menunjukkan rujukan berupa rekod perjalanan salah seorang pelayar yang pernah bersama (saya terlupa pula Pigefetta ke Barbosa) yang diperolehi melalui Internet.


Tamat pembentangan seorang hadirin mengambil peluang untuk berkongsi pandangan tentang Panglima Awang. Kata beliau ada usaha pihak tertentu agar nama anak Melayu yang hebat ini tidak lagi disebut orang. Kata beliau ada pihak tertentu telah membeli hak cipta daripada novel Harun Aminurrashid (kalau tak salah dengar dan ingatan le) dengan janji mahu menerbitkan filem tentang manusia hebat yang berjaya mengelilingi dunia itu. Tetapi sudah beberapa lama masih tak terbit malah tidak pernah kelihatan pun usaha untuk menerbitkan, seolah-olah ia sengaja diperam dan disenyapkan.

Selepas itu aworang pelajar UPSI membacakan sajak berkenaan Panglima Awang.


Seorang lagi membaca sajak. Sambil itu saya membelek lagi buku.



Nah, Peta pelayaran Panglima Awang yang tertera pada bahagian akhir buku. Memang patut kisah ini diangkat agar dapat dikenali dan dicontohi lebih ramai anak Melayu.



2 ulasan:

Unknown berkata...

Mana nak cari buku Tuan baca tersebut?

Radzi Sapiee berkata...

Cuba tanya kat mana2 muzium di Melaka. Kalau tak salah buku tersebut adalah terbitan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)...